UNTUK MEMULIHKAN UMNO DS ZAHID PERLU BERUNDUR

UNTUK MEMULIHKAN UMNO DS ZAHID PERLU BERUNDUR

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

UMNO ibarat seorang pesakit jantung. Disebabkan cara hidupnya yang tidak sihat selama beberapa dekad, jantungnya tersumbat. Pada umur 72 tahun, ia kena serangan jantung, hampir mati. Tetapi, ia pulih semula. Belum dapat berjalan dengan baik, ia kena serangan lagi. Kali ini tidak ada jalan lain. Pembedahan jantung terbuka perlu dilakukan.

Dalam rencana saya “Siapa patut memimpin UMNO untuk menghadapi PRU 15?” bertarikh 16 April 2019, antara lain, saya berkata:

“Untuk menghadapi PRU 15, UMNO perlu tampil ke hadapan dengan wajah baru dan sifat-sifat baru. Ia perlu membersihkan diri daripada politik wang, rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Untuk itu, pemimpin-pemimpin utamanya hendaklah orang-orang yang berintegriti.

…………

Bagaimana dengan DS Najib dan DS Zahid? Melainkan mereka telah dibebaskan oleh mahkamah daripada semua pertuduhan, adalah lebih baik bagi imej UMNO jika mereka tidak memegang apa-apa jawatan dalam UMNO.

Malah, pada pandangan saya, DS Najib lebih baik tidak mencuba untuk menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri semula. Sehingga beliau dibebaskan daripada semua pertuduhan, jika itu berlaku, persepsi negatif terhadapnya, betul atau tidak, adalah terlalu tebal untuk dilupai dalam sekejap masa….

Bagaimana dengan DS Zahid? Apa yang saya katakan mengenai DS Najib terpakai kepada beliau. Beliau eloklah mengikut teladan DS Najib dengan meletak jawatan sebagai Presiden UMNO. Berhentilah cakap-cakap untuk menjalankan tugas sebagai Presiden semula. Jika beliau berbuat demikian, populariti UMNO yang mula meningkat itu akan merudum semula. Sudah tiba masanya beliau berhenti dari politilk, atau hanya menjadi ahli biasa. Beliau patut bersyukur beliau telah naik setinggi itu. Beliau bukanlah material Perdana Menteri.”

Saya masih berpendirian demikian. Maka, berita bahawa DS Zahid menamatkan percutiannya dan kembali semula memimpin UMNO sebagai presidennya sangat mengecewakan saya.

Bagi saya, dengan berbuat demikian, pemulihan UMNO yang sedang berlaku bukan sahaja akan terbantut, malah akan mundur ke belakang.

Maka, saya ulangi, demi memulihkan UMNO dan masa depan bangsa Melayu. DS Zahid sepatutnya mencontohi apa yang dilakukan oleh DS Najib.

Jika beliau enggan berundur dengan sukarela, maka Ahli-Ahli Majlis Tertinggi perlulah mengambil pendirian, diikuti oleh pergerakan pemuda, wanita dan puteri, malah bahagian-bahagian dan ahli-ahli UMNO. Mereka hendaklah mengetepikan kepentingan diri dan memikirkan kepentingan parti dan bangsa Melayu.

Ini adalah ujian terbesar bagi mereka. Dari situ kita boleh lihat mereka berpolitik untuk apa, tak usahlah bertempik di Dewan Merdeka di perhimpunan agung lagi.

Mungkin saya suara sumbang dalam hal ini. Jika ya pun tidak mengapa. Ini pendapat saya. Betul atau tidak belum tahu. Biarlah sejarah menjadi penentu.

Bagi saya, sama ada saya betul atau tidak dalam hal ini, tiada apa bezanya. Saya terlentang juga. Tetapi, bagi UMNO dan orang Melayu, ia mungkin akan menjadi penentu masa depan kedua-duanya. Kalah sekali sudah terbenam. Sekali lagi mungkin tertimbus.

01 07 2019

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

69 visits