PILIHANRAYA TANPA BENDERA

PILIHANRAYA TANPA BENDERA
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Pilihanraya Umum ke-14 (PRU 14) akan diadakan tidak lama lagi walaupun tarikhnya kita belum tahu. Dalam ucaptama saya di seminar anjuran The Association of Voices of Peace, Conscience and Reason (PCORE) pada 15 Februari 2014, antara lain, saya berkata:

“Berbalik kepada perbelanjaan pilihan raya, fikirkan sahaja jumlah wang yang dibelanjakan untuk banner, poster, bendera, pelekat, perhimpunan, jamuan, hadiah, penajaan, pemberian dan sebagainya. Kebetulan, dua kali saya berada di Amerika Syarikat pada hari Pilihan Raya Presiden. Saya tidak melihat satu poster pun. Begitu juga semasa saya berada di The Hague, Belanda pada satu hari pilihan raya umum. Saya tidak akan tahu bahawa hari itu adalah hari pilihanraya umum jika anak perempuan saya tidak memberitahu saya kerana tidak ada satu pun poster, bendera atau banner di kawasan sekeliling.

Kita telah mencipta budaya itu. Sekarang kita terjebak dengannya. Pilihan raya umum kian sehari kian menjadi lebih mahal. Rasuah menyusur masuk. Daripada apa yang saya lihat, Singapura tidak mempunyai masalah ini. Begitu juga negara-negara maju.

Jika ahli-ahli politik kita, baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang, benar-benar ikhlas untuk membasmi rasuah, sebagai langkah pertama, saya mencadangkan bahawa mereka perlu mencapai persetujuan untuk mengurangkan pembaziran dan perbelanjaan yang dilakukan oleh mereka dalam pilihan raya umum. Jika itu dilakukan, sekurang-kurangnya satu sebab bagi keperluan untuk menambah dana untuk membiayai kempen pilihan raya, akan ditiadakan. Logiknya, salah satu faktor yang membawa kepada rasuah telah ditiadakan.

Memanglah, tidak ada jaminan bahawa faktor-faktor lain tidak mungkin timbul. Tidak mengapa. Kita akan menangani satu masalah demi satu masalah. Kita tidak boleh mengubah tabiat dan amalan yang sudah berakar umbi dalam sekelip mata. Saya bersedia untuk menjadi pemudah cara atau orang tengah (apa sahaja yang anda mahu memanggilnya) jika saya berguna. Sudah tentu Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah bersama………… Saya bimbang tentang pembaziran wang rakyat dan juga keperluan untuk parti-parti politik untuk mengumpul dana untuk membiayai pilihan raya….yang, seperti yang saya telah berhujah, boleh menjadi faktor yang menyumbang kepada rasuah.” (Terjemahan saya)

Maka, saya ingin mengulangi seruan itu. Cuma dalam keadaan saya sekarang, saya tidak lagi berupaya untuk menjadi pemudahcara atau orang tengah. Inisiatif boleh di ambil oleh Suruhanjaya Pilihanraya.

16 04 2017

[email protected]

98 visits