USAHA MEMANSUHKAN AKTA HASUTAN: KALI KEDUA

USAHA MEMANSUHKAN AKTA HASUTAN: KALI KEDUA

Oleh

Tun Abdul Hamid M ohamad

 

Setiap kali saya merasa mungkin saya tidak perlu, malah tidak akan menulis lagi, ada sahaja sesuatu yang berlaku yang menyebabkan saya menulis lagi. Kali ini, apabila saya menerima WhatsApp daripada Dato’ Zaini Hassan yang menghantar surat terbuka Prof. Emiritus Datuk Dr. Hashim Yaacob (yang saya tidak kenali) kepada Tun Dr Mahathir, kepada saya.

Dalam tahun 2014, mungkin sayalah yang paling banyak menulis dan berucap menentang cadangan Dato’ Seri Najib, Perdana Menteri (PM) Barisan Nasional (BN), pada masa itu untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948. Semua ucapan-ucapan itu boleh didapati dalam laman-laman web saya. (Untuk memudahkan rujukan, saya berikan Tarikh-tarikhnya, ia itu 17 07 2014, 21 07 2014, 06 09 2014, 03 10 2014, 23 11 2014 dan 10 12 2014 (Di dalam laman-laman web saya ia disusun terbalik, iaitu yang paling awal di akhir sekali.)

Saya menentang pemansuhan Akta Hasutan atas alasan-alasan yang saya bahagikan kepada dua bahagian. Pertama, peocedure yang digunakan dan, kedua, mengenai merit (baik tidaknya) pemansuhan itu.

Ringkasnya, mengenai procedure, pertama, Akta Hasutan terletak di bawah bidangkuasa Menteri Dalam Negeri (pada masa itu Dato’ Seri Zahid Hamidi). Tetapi usaha memansuhkannya dan menggantikannya dengan apa yang dikenali dengan tiga Rang Undang-undang Harmoni, diambil alih oleh Menteri di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Jabatan Perdana Menteri (DPM), Tan Sri Joseph Kurup (anak negeri Sabah).

Kedua, biasanya, isu dasar seperti sama ada sesuatu akta itu hendak dipinda atau dimansuhkan dan digantikan atau tidak, ditentukan oleh kementerian yang bertanggungjawab melaksanakan akta berkenaan kerana ia mengetahui di mana terdapat kelemahannya dan ia mempunyai segala maklumat, termasuk, dalam kes ini, maklumat rahsia, yang perlu ditimbang sebelum ia di bawa ke Kabinet. Tetapi, dalam cadangan memansuhkan Akta Hasutan itu, dalam tahun 2014, soal dasar diserahkan kepada Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar (JUUD), sebuah jawatankuasa yang ditubuh oleh Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN) atau dalam Bahasa Inggerisnya, National Unity Consultative Council (NUCC). MPKN ditubuh oleh JPNIN.

Lebih menarik ialah Pengerusi JUUD itu ialah Dato’ Dr. Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen PAS Parit Buntar (sekarang Menteri di JPM) dan Timbalan Pengerusi JUUD ialah Encik Lim Chee Wee, bekas Presiden Majlis Peguam.

Ketiga, mengikut amalan biasa, gubalan sesustu rang undang-undang adalah tugas Peguam Negara. Mengapa dalam kes itu ia diambil alih oleh Majlis Peguam?

Usaha itu ditentang dengan kuatnya oleh NGO-NGO Melayu/Islam diketuai oleh Perkasa. (yang mengadakan Konvensten Perpaduan Nasional pada 23 November 2014, iaitu empat hari sebelum Persidangan Agung Tahunan UMNO 2014.

Saya dijemput menyampaikan ucapan khas di konvensyen itu. Dalam ucapan itu, antara lain, saya menjawab alasan yang diberi oleh Dato’ Mujahid bahawa akta itu adalah warisan penjajah (sebab ia dibuat dalam tahun 1948). Saya jelaskan:

“Akta Hasutan asalnya dibuat oleh British dalam tahun 1948 apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan untuk mengekang penentangan kepada pemerintahan British. Secara ringkas, ia mengandungi kesalahan-kesalahan kerana menghasut untuk membangkitkan kebencian dan tidak taat setia kepada Raja atau Kerajaan, menghasut rakyat untuk mendapat perubahan dengan cara yang tidak sah, menghasut orang supaya benci kepada pentadbiran keadilan, menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat Malaysia, mengembangkan perasaan permusuhan antara kaum.

Bukan semua isi kandungan akta itu dibuat oleh penjajah British dalam tahun 1948. Itu kita mesti tahu. Peruntukan yang sangat penting, ia itu seksyen 3(1)(f) dibuat selepas peristiwa 13 Mei 1969 di era Tun Abdul Razak untuk mengelak berulangnya peristiwa yang serupa. Seksyen itu dimasukkan melalui Emergency (Essential Powers) Ordinance No. 45, 1970 (P.U. (A) 282/1970) berkuatkuasa pada 10.8.1970. Bagi saya, pengwujudan seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan adalah kemuncak kejayaan politik orang Melayu dan Tun Abdul Razak Bin Hussain.

Ringkasnya, seksyen 3(1)(f) memperuntukkan bahahwa adalah menjadi kesalahan bagi seseorang jika dia mempersoalkan hak kewarganegaraan, kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu atau anak negeri Sabah dan Sarawak dan kedudukan Raja-Raja Melayu.”

Sehari selepas persidangan itu, Dato’ Seri Sharizat, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, dalam ucapannya di Persidangan Agung UMNO 2014 menyatakan pendiriannya membantah pemansuhan Akta Hasutan. Pendiriannya itu bercanggah dengan pendirian Dato’ Seri Najib, Presiden UMNO. Dato’ Seri Sharizat memberitahu saya apabila kami bertembung di PWTC bahawa beliau membuat keputusan sedemikian kerana, ke mana sahaja beliau pergi, beliau diminta merujuk kepada rencana saya mengenainya.

Esoknya, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Mohyiddin Yassin, dalam ucapannya di persidangan itu menyatakan pendirian yang sama. Malah beliau memetik ucapan saya. Ini akuannya sendiri sambil menambah, “Saya mendapat inspirasi dari Tun Hamid.”

Esoknya, iaitu sehari sebelum ucapan rasminya di persidangan itu, Dato’ Sri Najib membuat U-turn dan menyatakan dalam sidang akhbarnya bahawa Akta Hasusan tidak akan dimanuhkan, tetapi akan ditambahbaikkan. Beliau mengulanginya dalam ucapan rasminya di persidangan itu.

Tidak syak lagi bahawa beliau membuat keputusan itu kerana tentangan dalam UMNO sendiri, NGO-NGO Melayu yang diketuai oleh Perkasa, walaupun Dato’ Sri Azman Ujang mengatakan ucapan saya itu memain peranan penting. Antara lain, katanya:

“”Penentangan dalam UMNO terhadap janji Dato’ Seri Najib Razak untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 itu adalah “time bomb” yang akan meletup di perhimpunan agung parti pada minggu lalu jika Perdana Menteri tidak memadamnya (diffuse) pada saat-saat akhir ….

“Sesuatu telah berlaku pada 23 Nov, hanya empat hari sebelum ucapan pembukaan Najib di perhimpunan ……

Pada hari itu, bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad berkata bahawa cadangan untuk memansuhkan Akta Hasutan adalah satu adalah satu kesilapan.

Berucap di konvensyen mengenai perpaduan negara, Hamid mengingatkan negara bahawa walaupun akta itu diadakan oleh pihak British untuk menangani bangkangan terhadap pemerintahan kolonial, ia juga mengharamkan perbuatan mencetuskan kebencian antara kaum dan ketidaksetiaan kepada raja-raja Melayu. …

Dan beliau mengatakan bahawa tidak semuanya dalam akta itu dibuat oleh Inggeris.
Kemudian tibalah hujah yang menyebabkan “perubahan hati” Najib atas pendirian tegarnya yang terdahulu untuk memansuhkan akta tersebut. Itulah tujuannya sehingga 5 Sept.

Hamid mendedahkan bahawa pindaan yang paling penting kepada akta itu dibuat selepas 13 Mei 1969 oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak, bapa Najib.

Beliau berkata Seksyen 3(1)(f) ditambah untuk mengelakkan berulangnya tragedi 13 Mei. Pindaan itu menjadikan suatu kesalahan untuk mempersoalkan hak kewarganegaraan, kedudukan raja-raja Melayu, status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan peruntukan kuota khas dan permit kepada orang Melayu dan anak- anak negeri Sabah dan Sarawak.

“Bagi saya, pengwujudan seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan adalah kemuncak kejayaan politik orang Melayu dan Tun Abdul Razak,” katanya.

Dalam ucapannya di perhimpunan itu, Najib mengumumkan bahawa akta itu akan dikekalkan disambut tepukan gemuruh perwakilan yang paling riuh (rapturous) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra.” (Terjemahan saya) (The Sun 4 Disember 2014)

Dalam kata-kata lain, Dato’ Seri Najib telah memungkiri janjinya kepada NGO-NGO bukan Melayu untuk memansuhkan Akta Hasutan. Sekarang BN telah ditumbangkan oleh Pakatan Harapan. Dato’ Sri Mujahid menjadi Menteri. Demikian juga dengan Datuk Saifuddin Abdullah, seorang ahli MKPN. Maka, tidak hairanlah jika cadangan itu dihidupkan semula.

Tetapi, jika dahulu terdapat tiga “highjacking”, sekarang, setakat yang diketahui, hanya satu. Sekarang, Menteri Dalam Negeri adalah Tan Sri Muhyiddin. Akta Hasutan terletak di bawah bidangkuasanya. Mengapa Menteri di JPM (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong mengambil alih untuk memansuhkannya?

Harus diingati bahawa Menteri di JPM (Undang-undang) bukan bertanggungjawab mengenai undang-undang yang terletak di bawah bidangkuasa semua kementerian. Beliau hanya bertanggungjawab mengenai undang-undang bagi perkara-perkara yang terletak di bawah jabatan-jabatan yang terletak di bawah JPM, termasuk mahkamah. Akta Hasutan terletak di bawah bidangkuasa Kementerian Dalam Negeri. Mengapa beliau nengambil alih tugas itu? Mengapa TS Muhyiddin membiarkannya? Apa pendirian Kementerian Dalam Negeri? Apakah pendirian Tan Sri Muhyiddin sekarang?

Mengenai meritnya, memadai kita tumpukan kepada seksyen 3(1)(f) yang memperuntukkan:

“(f) bagi mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogative yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan.”

Bahgian III adalah mengenai kewarganegaraan. Perkara 152 ialah mengenai Bahasa Kebangsaan. Perkara 153 adalah mengenai “perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu atau anak negeri Sabah dan Sarawak.” Mempersoalkan perkara-perkara yang tersebut itu menjadi kesalahan di bawah akta itu.

Soalnya, adakah rakyat Malaysia sekarang begitu menghormati peruntukan Perlembagaan Persekutuan sehingga mereka tidak lagi mempersoalkan perkara-perkara itu yang menyebabkan peruntukan itu tidak perlu lagi? Tanpa menyenaraikan satu persatu apa yang berlaku, saya katakan bahawa, di kebelakangan ini, keadaan telah menjadi lebih buruk. Pihak-pihak tertentu bukan sahaja mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak, kedudukan agama Islam, institusi Raja-Raja Melayu , malah menghina Nabi Muhammad s.a,w, dan agama Islam.

Mereka berani berbuat demikian kerana meraka tahu tindakan tidak diambil terhadap mereka sebab pelaksanaan Akta Hasutan telah “digantung.”

Sebenarnya, dalam undang-undang tidak ada kuasa yang diberikan kepada Kabinet untuk “menggantung” pelaksanaan sesuatu akta. Selagi sesuatu akta itu masih berkuatkuasa, adalah menjadi tanggungjawab eksekutif melaksanakannya. Jika eksekutif tidak melaksakannya, itu satu kegagalan eksekutif. Jika akta itu tidak diperlukan lagi, Eksekutif bolehlah membawanya ke Parlimen untuk memansuhkannya.

Tujuan Tun Abdul Razak mengadakan peruntukan itu ialah untuk mengelak berulangnya peristiwa 13 Mei. Adakah hubungan antara kaum sekarang begitu baik hingga kemungkinan berulang peristiwa itu sudah tidak ada lagi?

Saya tidak berani berkata demikian. Saya percaya, pada masa ini ketenteraman masih terkawal kerana orang Melayu masih bersabar dan tidak bertindak balas.

Bagaimana, jika terlalu didesak, orang Melayu menyerang balas dan mempersoalkan kerakyatan yang diberikan kepada orang bukan Melayu? Tidakkah ketenteraman negara akan tergugat?

Semua itu perlu difikirkan. Mungkin menteri yang berasal dari Sabah yang berumur sembilan tahun dan tinggal di Sabah semasa peristiwa Mei 13 belaku, tidak dapat menghayati keperluan seksyen 3(1)(f).

Apakah pendirian yang patut diambil oleh orang Melayu? Dalam tahun 2014, penentangan terdahap pemansuhan akta itu hanya di peringkat NGO dan UMNO. Ia tidak menyeluruh ke semua peringkat masyarakat Melayu/Islam seperti yang berlaku semasa penentangan terhadap ICERD.

Sekarang, orang Melayu perlu berfikir sama ada mereka mahu hak keistimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak, kedudukan agama Islam, institusi Raja-Raja Melayu dipersoalkan dan Nabi Muhammad s,a,w, dan agama Islam terus dihina? Adakah mereka akan terus bersabar demi untuk memelihara ketenteraman negara? Adakah mereka mahu peristiwa 13 Mei berulang?

Bukankahkah lebih baik untuk mengekalkan akta itu untuk menghalang peristiwa seperti itu berulang. Singapura pun masih mengekalkannya dan melaksanakannya dengan tegas. Pokok pangkalnya ialah janganlah ia disalahgunakan. Apa yang berlaku sekarang dan, saya khuatir, akan menjadi lebih buruk jika Akta Hasutan dimansuhkan, ialah penyalahgunaan kebebasan bersuara.

Semua penyalahgunaan adalah tidak baik. Tetapi, sebuah kerajaan yang bertanggungjawab tidak sepatutnya menyalahgunakan kuasa. Sebaliknya, penyalahguaan kebebasan bersuara oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab boleh membawa bencana kepada seluruh negara. Fikirlah sendiri.

23 05 2019 / 18 Ramadan 1440

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

83 visits