AKTA HASUTAN 1948: KEPENTINGAN MELAYU DAN ANAK NEGERI SABAH DAN SARAWAK DAN PERPADUAN RAKYAT MALAYSIA

GABUNGAN PERSATUAN PENULIS NASIONAL MALAYSIA (GAPENA)
WACANA NEGARAKU MALAYSIA BERTAMADDUN
6 September 2014

AKTA HASUTAN 1948: KEPENTINGAN MELAYU DAN ANAK NEGERI SABAH DAN SARAWAK DAN PERPADUAN RAKYAT MALAYSIA
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 


Semenanjung Tanah Melayu tetah dijajah oleh British daripada orang Melayu. Sebab itulah, yang menentangnya, baik Dato Bahaman, Dato Sagor, Dato Maharaja Lela, Dol Said atau Tok Janggut adalah orang Melayu. Sebab itulah yang menentang Malayan Union adalah orang Melayu. Sebab itulah yang berkorban nyawa menentang pengganas Kominis semasa darurat adalah orang Melayu. Sebab itulah yang menuntut kemerdekaan adalah orang Melayu. Orang bukan Melayu menyertai gerakan menuntut kemerdekaan apabila mereka melihat ianya akan menjadi kenyataan, untuk menjaga kepentingan mereka. Perhatikan bahawa tujuan orang Melayu menuntut kemerdekaan dan tujuan orang bukan Melayu menyertai gerakan itu pun berbeza. Orang Melayu menuntut kemerdekaan untuk membebaskan tanahairnya. Orang bukan Melayu menyertai gerakan menuntut kemerdekaan untuk menjaga kepentingan mereka, selepas Merdeka. MIC asalnya ditubuh untuk menghantar sukarelawan ke India untuk menuntut kemerdekaan India dari British. Itu fakta sejarah.

Logiknya, saya ulagi, logiknya Semenanjung Tanah Melayu yang dijajah daripada orang Melayu hendaklah dipulangkan kepada orang Melayu. Tetapi tidak, orang Melayu diminta berkongsi kuasa yang akan diserah balik oleh penjajah British. Pada masa itu pun orang Melayu telah diminta mengorbankan hak mereka “untuk menjaga perpaduan”. Orang Melayu bersetuju.

Semasa rundingan kemerdekaan, PAS menuntut supaya Pulau Pinang dan Melaka dijadikan Negeri-Negeri Melayu demi manjaga hak keistimewaan orang Melayu. Semasa Malaysia hendak ditubuhkan PAS menentangnya kerana ia akan mengurangkan paratusan orang Melayu dan takut kiranya orang Melayu akan hilang kuasa politik dan dengan itu kedudukan orang Melayu dan agama Islam akan tergugat.

Parti Boroh Malaya menuntut supaya ditubuhkan kerajaan unitari kerana, mengikut mereka, mengekalkan Sultan-Sultan dan Negeri-Negeri Melayu akan mewujudkan sebuah kerajaan beraja. Dalam kata-kata lain mereka hendak menghapuskan sistem beraja di Malaya. Siapakah majoriti ahli-ahli Parti Boroh?

Parti Kominis Malaya mengangkat senjata untuk menubuhkan kerajaan kominis ala-China. Beberapa orang pemimpin parti-parti kiri Melayu lari ke hutan dan menyertai Parti Kominis Malaya kerana takut ditangkap British. Mereka diperalatkan oleh Chin Peng untuk mempengaruhi orang Melayu menyokong perjuangan mereka. Nasib baik, pada masa itu orang Melayu tidak terpengaruh dengan mereka.

Perlu diketahui bahawa kedudukan Raja-Raja Melayu, hak keistimewaan orang-orang Melayu, kedudukan Bahasa Melayu dan agama Islam adalah antara Terma-Terma Rujukan Suruhanjaya Reid.

Hasil daripada tolak ansur di antara orang Melayu dan bukan Melayu, maka terbentuklah satu kontrak sosial: orang Melayu bersetuju memberikan kerakyatan kepada orang bukan Melayu dan orang Melayu bersetuju hak-hak Raja-Raja Melayu dikekalkan, agama Islam dijadikan agama Persekutuan, Bahasa Melayu dijadikan Bakasa Kebangsaan dan beberapa hak keistimewaan seperti yang terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan diberikan kepada orang Melayu. Kesemuanya telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, undang-undang utama kita.

Maka pada detik 12.00 tengah malam 31 Ogos 1957, Semenanjung Tanah Melayu pun merdeka. Orang-orang yang sebaya dengan saya masih terdengar pekikan “Merdeka” itu dengan perasaan penuh semangat dan kegembiraan.

Tetapi, pada detik yang sama, satu perkara berlaku, yang kebanyakan orang tidak tahu. Ini digambarkan dengan jelas oleh Professor Shad Saleem Farouqi (seorang kelahiran India yang datang ke Malaysia sebagai seorang pelajar dan terus menetap di sini) dalam bukunya yang bertajuk “Document of Destiny: The Constitution of the Federation of Malaysia” di muka surat 710. Katanya:

“As a result of the “social contract” between the various races, millions of migrants to British Malaya were bestowed with citizenship by the Merdeka Constitution. It is believed that the number of citizens in Malaya doubled at the stroke of midnight on August 31, 1957 due to the constitutional grant.”

“Akibat “kontrak sosial” di antara berbagai kaum, berjuta-juta pendatang ke Malaya yang diperintah oleh British itu diberi kerakyatan oleh Perlembagaan Merdeka. Adalah dipercayai bahawa jumlah warga negara Malaya bertambah sekali ganda pada detik tengah malam 31 Ogos 1957 disebabkan oleh pemberian Perlembagaan itu.” (Terjemahan saya).

Dalam tahun 1963, Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia. Kedudukan anak negeri Sabah dan Sarawak hampir serupa dengan kedudukan orang Melayu di Semenanjung. Maka peruntukan yang serupa dibuat untuk mereka – lihat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Keadaan bertahan selama lebih kurang 50 tahun. Ia disebabkan Kerajaan Persekutuan kukuh, pemimpin-pemimpin yang tegas dan ekonomi yang senentiasa berkembang. Kerajaan Persekutuan kuat sebab ia menerima sokongan orang Melayu dan bukan Melayu yang mencukupi, walau pun lebih banyak orang Cina senentiasa menyebelahi pembangkang. Mereka mahu lebih. Itu sahaja sebabnya.

Tetapi, keadaan berubah di kebelakangan ini. Orang Melayu berpecah kerana leka dengan sedikit kemakmuran yang baru dirasa, kataksuban kepada parti dan pemimpin dan kehadiran pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong yang opportunist yang tidak kira apa yang akan terjadi kepada bangsa, negara dan agama asalkan cita-cita mereka tercapai. Maka orang Melayu berpecah dengan seriusnya. Kumpulan pengundi majoriti menjadi minoriti. Kumpulan minoriti memperalatkan sebahagian pengundi Melayu untuk kepentingan mereka dan orang Melayu tidak sedar.

Sambil itu, kumpulan-kumpulan ekstremis mula membuat tuntutan-tuntutan yang bukan-bukan, meyerang hak-hak orang Melayu, menghina lagu Kebangsaan, menghina bendera Malaysia, menghina Institusi Raja-Raja dan menghina agama Islam. Ketiadaan tindakan tegas terhadap mereka dilihat oleh mereka sebagai tanda kelemahan dan mereka menuntut lebih lagi.

Tahukah tuan-tuan apa yang dilakukan oleh COMANGO dan beberapa NGO bukan Melayu/Islam tahun lepas?

COMANGO (Coalition of Malaysian Human Rights NGOs) adalah gabungan 54 “NGO” Hak Asasi Manusia. Pada bulan Mac 2013, COMANGO telah mengemukakan satu laporan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang bertempat di Geneva untuk ditimbang mengikut Mekanisme Semakan Berkala Sejagat (Universal Periodic Review (UPR)). Laporan itu mengandungi syor-syor umum dan banyak kritikan dan syor-syor berkenaan situasi hak asasi di Malaysia. Beberapa NGO lain seperti Becket Fund for Religious Liberty, Human Rights Watch, Amnesty International, Majlis Peguam, International Commission of Jurists juga meghantar laporan masing-masing kepada Majlis tersebut.

Di antara tuntutan-tuntutan yang terdapat dalam laporan-laporan COMANGO dan lain-lain NGO itu ialah:

  1. Malaysia dituntut untuk menandatangani dan memeterai International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR). Perkara 18 ICCPR mengandungi peruntukan berhubung dengan hak kebebasan beragama yang termasuk “the right to replace one’s current religion or belief with another or to adopt atheistic views, as well as the right to retain one’s religion or belief…” yang bakal mengizinkan pemurtadan berlaku secara berleluasa.
  2. Malaysia dituntut untuk menandatangani dan memeterai International Covenant on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD) yang akan memaksa Malaysia menerima tafsiran istilah “racism” atau perkauman mengikut acuan Barat dan mengenepikan realiti dan sejarah serta aspek keagamaan dan sosio-budaya tempatan.
  3. Malaysia ditekan untuk mengiktiraf hak-hak berlandaskan SOGI – Sexual Orientation & Gender Identity iaitu hak-hak LGBTIQ (Lesbian, Bisexual, Gays, Transgender, inter-sexed & queer-persons). Mereka mendakwa hak-hak kumpulan itu dinafikan. Malaysia juga ditekan untuk memansuhkan seksyen 377A Kanun Kesiksaan (liwat).
  4. Malaysia juga ditekan untuk tunduk kepada kandungan di dalam Prinsip-prinsip Yogjakarta 2006 yang memberikan kebebasan mutlak kepada mereka yang mempraktikkan amalan seks songsang. Sekiranya hak-hak LGBT ini diizinkan, maka langkah pertama yang mesti dilakukan Kerajaan Malaysia ialah menghapuskan undang-undang berhubung kesalahan jenayah liwat.
  5. Mereka mendakwa bahawa Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak-hak istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak bersifat perkauman dan “alat politik”.
  6. Mereka mempersoalkan Enakmen-enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dan mendesak pemansuhan atau pindaan terhadap kesalahan-kesalahan jenayah Syariah dan enakmen-enakmen yang didakwa sebagai “mengganggu hak peribadi”.
  7. Mereka membangkitkan isu kalimah “Allah”, larangan terhadap penganut ajaran Syiah menyebarkan fahaman mereka di kalangan orang-orang Islam dan hak seorang bapa beragama Islam untuk mengislamkan anak-anak di bawah umur.

Itu cabaran yang bersifat “confrontational”. Di samping itu kita juga hendaklah prihatin terhadap cabaran yang berlaku secara senyap-senyap, yang berlaku kerana kecuaian kita sendiri. Yang paling ketara di akhir-akhir ini adalah mengenai penggubalan RUU Harmoni dan pemansuhan Akta Hasutan.

(Kerana kesuntukan masa, saya tidak akan menyentuh mengenai pemansuhan Deklarasi Darurat dan undang-undang yang dibuat di bawahnya dan juga mengenai ISA. Sesiapa yang ingin mengikuti perbincagan mengenainya bolehlah membacanya dalam ucapan saya bertajuk “Mempertahankan Perlembagaan Sebagai Asas Perpaduan Nasional” di laman web saya: www.tunabdulhamid.my)

Akta Hasutan asalnya dibuat oleh British dalam tahun 1948 apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan untuk mengekang penentangan kepada pemerintahan British. Secara ringkas, ia mengandungi kesalahan-kesalahan kerana menghasut untuk membangkitkan kebencian dan tidak taat setia kepada Raja atau Kerajaan, menghasut rakyat untuk mendapat perubahan dengan cara yang tak sah, menghasut orang supaya benci kepada pentabiran keadilan, menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat Malaysia, megembangkan perasaan permusuhan antara kaum.

Bukan semua isi kandungan akta itu dibuat oleh penjajah British dalam tahun 1948. Itu kita mesti tahu. Peruntukan yang sangat penting, ia itu seksyen 3(1)(f) dibuat selepas peristiwa 13 Mei 1969 di era Tun Abdul Razak untuk mengelak berulangnya peristiwa yang serupa. Seksyen itu dimasukkan melalui Emergency (Essential Powers) Ordinance No. 45, 1970 (P.U. (A) 282/1970) berkuatkuasa pada 10.8.1970. Bagi saya, pengwujudan seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan adalah kemuncak kejayaan politik orang Melayu dan Tun Abdul Razak Bin Hussain.

Seksyen 3(1)(f) memperuntukkan:

“(f) to question any matter, right, status, position, privilege, sovereignty or prerogative established or protected by the provisions of Part III of the Federal Constitution or Article 152, 153 or 181 of the Federal Constitution.”

“(f) bagi mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogative yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan.”

Bahgian III adalah mengenai kewarganegaraan. Perkara 152 ialah mengenai Bahasa Kebangsaan. Perkara 153 adalah mengenai “perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu atau anak negeri Sabah dan Sarawak.

Singapura masih mempunyai Akta Hasutan (Sedition Act). Singapura tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap seseorang. Daripada kes-kes yang saya temui, semua orang yang dituduh dan dihukum adalah orang bukan Islam kerana kesalahan terhadap orang Islam. Sebagai misalan, sepasang suami isteri Cina beragama Kristian dihukum penjara 4 minggu masing-maing kerana mengedar bahan cetak yang menghasut (distributing seditious publications) kepada dua orang perempuan Islam.

Seorang lagi dituduh kerana membuat kenyataan yang mengandungi kata-kata yang lucah dan menghina (insulting) terhadap orang Melayu dan agama mereka, Islam. Dia dikenakan sebulan penjara. Semasa menjatuhkan hukuman bagi kedua-dua kes itu, pada 7 Oktober 2005, Hakim Kanan Mahkamah Daerah Richard Magnus berkata adalah penting untuk menjatuhkan hukuman yang mencegah (deterrent) supaya perbuatan yang menyakitkan hati (offending) itu boleh ditangani dari awal dan dikawal. Beliau mengingatkan peistiwa rusuhan kaum dalam tahun 1964 di Singapura dan bahawa kenyataan yang tak bertanggungjawab mengenai bangsa dan agama boleh menggugat ketenteraman awam.

Tindakan itu diambil walaupun Perlembagaan Republik Singapura tidak mempunyai peruntukan bahawa Islam adalah agama Republik itu dan juga tidak ada peruntukan yang membolehkan undang-undang dibuat untuk melarang orang bukan Islam daripada menyebar agama bukan Islam kepada orang Islam. Tindakan itu diambil atas alasan ia boleh menggugat ketenteraman awam. Malaysia patut belajar daripada Singapura.

Bagaimana dengan Rang Undang-Undang Harmoni (RUU Hamoni) yang sedang digubal itu? Di sini saya merujuk kepada:

  1. Racial and Religious Hate Crime Billl;
  2. National Harmony and Reconciliation Bill; and
  3. National Harmony and Reconciliation Commission Bill

yang sedang digubal oleh Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar (JUU&D), Majlis Konsultasi Perpaduannegara (MKPN) itu.

Penggubal RUU itu mengaitkan Akta Hasutan dengan RUU Harmoni. Akta Harmoni (jika diluluskan oleh Parlimen) akan menggantikan Akta Hasutan. Ertinya, mengikut mereka, untuk mencapai perpaduan dan harmoni Akta Hasutan perlulah dimansuhkan kerana ia menjadi penghalang perpaduan. Dalam kata-kata lain, mengikut hujah mereka, berikan kebebasan kepada sesiapa sahaja untuk menghasut orang ramai supaya membenci Raja, mempersoalkan kedudukn Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, mempersoalkan hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan kerakyatan, perpaduan akan tercapai. Lojik apa ini? Ia samalah dengan lojik seorang yang berkata “Kalau mahu tebuan berada di dalam sarangnya, joloklah sarangnya kuat-kuat.” Cubalah!
Alasan bahawa Akta Hasutan perlu dimansuhkan demi untuk mencapai perpaduan itu tidak berasas lansung. Ia hanyalah helah untuk memansuhkan Akta Hasutan oleh orang-orang yang tidak sukakannya. Yang menggubalnya adalah Majlis Peguam. Perhatilah betapa serupanya isi kandungan RUU Harmoni dengan tuntutan COMANGO yang saya sebut tadi. Sebenarnya di antara orang-orang yang membuat tuntutan COMANGO dan yang menggubal RUU Harmoni adalah orang-orang yang sama atau mempunyai pendirian yang sama. Anihnya, mereka dilantik oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) untuk duduk dalam Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) yang melantik mereka menganggotai Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar (JUU&D) yang menggubal RUU Harmoni. Ketawalah mereka.

Apakah untungnya orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak jika larangan-larangan mempersoalkan hak-hak yang diberi kepada mereka oleh Perkara 153 itu dihapuskan? Apakah untungnya orang Melayu jika hasutan mengenai kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dibenarkan? Yang untung hanyalah orang-orang yang tidak sukakan peruntukan-peruntukan itu. Tanpa Akta Hasutan mereka bebas menghasut orang ramai untuk menghapuskan pemerintahan Raja Berperlembagaan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, hak-hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak. Itu kita mesti faham. YB Tan Sri Joseph Kurup dan YB Nancy Shuki patut faham bahawa yang akan rugi bukan sahaja orang Melayu dan Islam, tetapi juga anak negeri Sabah dan Sarawak.

Selain dari itu, ada beberapa perkara yang sangat menghairankan saya mengenai usaha menggubal RUU Harmoni untuk menggantikan Akta Hasutan itu. Pertama, Akta Hasutan terletak di bawah portfolio Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang Menterinya ialah YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Sepatutnya, semua perkara yang berkenaan dengan akta itu, sama ada hendak memindanya atau memansuhhkannya, hendaklah datangnya dari kementerian itu. Ini penting bukan sahaja kerana akta itu terletak di bawah kementerian itu, tetapi kerana kementerian itu mempunyai mahklumat-maklumat, termasuk maklumat rahsia, mengenai kententeraman negara yang akan menentukan dasar mengenainya. Apatah lagi, pada 6 Julai 2013, akhbar The Sun Daily melaporkan:

“KUALA LUMPUR (July 6, 2013): Home Minister Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi today hit out at those demanding for the Sedition Act 1948 to be abolished without thinking of the negative impact.”

“Kuala Lumpur (July 6, 2013): Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar mereka yang menuntut supaya Akta Hasutan 1948 dimansuhkan tanpa mengmbil kita kesan negatifnya.” (Terjemahan saya).

Itu kata Menteri yang bertanggungjawab bagi Akta Hasutan. Bagaimana YB Tan Sri Joseph Kurup, Menteri di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan YB Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, boleh mengambil alih bidangkuasa ke atas Akta Hasutan itu dan menyerahkan kepada Majlis Peguam untuk menggubal undang-undang untuk memansuhkannya?

Kedua, mengikut prosedur biasa, penetapan dasar dilakukan oleh kementerian berkenaan (dalam hal ini, KDN) sebelum ia diputuskan oleh Kabinet. Dalam hal ini, penentuan dasar, sekurang-kurangnya di pringkat permulaan, diserahkan kepada JUU&D yang ditubuh oleh MKPN yang ditubuh pula oleh JPNIN. Pengerusi JUU&D adalah YB Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen PAS Parit Buntar dan Timbalan Pengerusinya adalah Encik Lim Chee Wee, mantan Presiden Majlis Peguam. Kita semua tahu bahawa Majlis Peguam adalah penyokong kuat parti-parti pembangkang terutama sekali DAP dan PKR. Bagaimana hal seperti ini boleh berlaku?

Ketiga, mengikut prosedur biasa, setelah dasar ditentukan oleh kementerian berkenaan, gubalan dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara. Dalam hal ini, gubalan dilakukan oleh Majlis Peguam. Mengapa?

Disebabkan oleh kesuntukan masa, saya hanya akan memberi dua misalan mengenai isi kandungan RUU Harmoni. Kita tahu ia masih di peringkat awal, tetapi mengapa dari awal ia telah diserahkan kepada Majlis Peguam untuk membuatnya? Jika tidak ditegur mungkin ia telah terlepas pandang.

Pertama, rang undang-undang itu menekankan peruntukan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Seksyen 2(i) National Harmony and Reconciliation Bill mengatakan bahawa tujuan rang undang-undang itu adalah:

“2(i) To give effect to the letter and spirit of the Federal Constitution, in particular Article 8.”

“2(i) Untuk memberi kesan kepada apa yang tersurat dan semangat Perlembagaan Persekutuan, terutama sekali Perkara 8.” (Terjemahan saya).

Perkara 8(1) memperuntukkan:

“8. (1) All persons are equal before the law and entitled to the equal protection of the law.”

“8.(1) Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.”

Kesan daripada peruntukan ini ialah, dalam pentafsiran dan pemakaian (in the interpretation and application) akta itu kelak tekanan yang lebih hendaklah diberi kepada kesama-rataan. Maka hak-hak yang diberikan oleh Perlembagaan kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, dan kedudukan Bahasa Melayu akan terhakis dan akhinya terhapus.

Saya belum penah temui satu akta yang memperuntukkan bahawa sesuatu perkara dalam Perlembagan itu kena diberi perhatian yang lebih daripada yang lain-lain. Dari situ kita dapat lihat tujuan mereka yang yang tersirat.

Kedua, nampaknya matlamat utama penggubal RUU Harmoni adalah untuk memansuhkan Akta Hasutan. Seksyen 8(1), Draft Racial and Religious Hate Crimes Bill memperuntukkan:

“8(1) The Sedition Act 1948 [Act No. 15] is repealed.”

“8(1) Akta Hasutan 1948 (Akta No. 15) adalah dimansuhkan”. (Terjemaham saya)

Itulah yang mereka mahu. Mereka diberi peluang untuk menentukan dasar dan menggubal, walau pun di peringkat awal, mereka terus memanfaatkan peluang itu. Pucuk dicita ulam mendatang.

Patutkah Akta Hasutan dimasuhkan? Jawapan saya: tidak. Patutkah ia dipinda? Jawapaan saya: Ya. Apakah pindaan yang perlu dibuat? Jawapan saya: Masukkan Perkara 3 Perlembagaan Malaysia (agama Islam agama Persekutuan) ke dalam seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan bersama-sama Perkara 152, 153, 181 dan Bahagian III.

Kedua, pada pandangan saya, adalah lebih baik bagi kerajaan kiranya kesalahan menghasut terhadap kerajaan dimansuhkan. Maksud saya hanya terhadap kerajaan tetapi terhadap Raja mestilah dikekalkan. Ini lebih demokratik, lebih telus dan lebih terbuka. Hari ini pun, walapun larangan itu ada, setakat yang saya tahu, kerajaan tidak pernah mengambil tindakan terhadap orang yang mengeritiknya kerana itu sebahagian daripada proses demokrasi. Untuk apa dikekalkan peruntukan itu?

Draf RUU Harmoni itu telah diletak di laman laman web MKPN untuk mendapat maklum balas orang ramai. Kaum manakah yang paling banyak respond? Tentu sekali kaum yang lebih berada, pelajarannya lebih tinggi, lebih-lebih lagi yang tinggal di bandar-bandar dan yang akan mendapat “keuntungan” daripada RUU Harmoni itu. Tuan-tuan boleh teka siapa mereka. “Townhall Meeting” juga telah diadakan di Kuala Lumpur dan di beberapa bandar besar. Perkataan “Townhall” itu sendiri memberi gambaran tempat itu berada di bandar-bandar. Ertinya orang yang akan menghadirinya untuk mendengar penerangan dan memberi pendapat adalah orang-orang bandar. Kaum manakah majority penduduk bandar? Pendengaran tidak dan, saya percaya, tidak akan diadakan di kampung-kampung, di rumah-rumah panjang dan di kawasan-kawasan pedalaman. Ertinya penduduk-penduduk luar bandar dan pedalaman tidak akan mendapat peluang yang sama dengan penduduk bandar untuk memberi pendapat mereka, walaupun hak-hak merekalah yang akan terhakis.

Saya difahamkan bahawa “Townhall Meeting” itu juga telah dikendalikan oleh ahli-ahli Majlis Peguam, termasuk aktivis KOMANGO. Mereka semestinya akan memberi gambaran yang selaras dengan agenda mereka, untuk mendapat sokongan dan memaklumkan kepada MKPN dan Kerajaan bahawa “majoriti besar rakyat Malaysia menyokong RUU Harmoni dan pemansuhan Akta Hasutan” untuk mempengaruhi Kerajaan (Kabinet) menyetujuinya. Sebenarnya itu adalah maklumat yang misleading.

Kesimpulan pandangan saya mengenai Akta Hasutan dan RUU Harmoni adalah seperti berikut:

  1. Jangan mansuhkan Akta Hasutan 1948.
  2. Segala urusan mengenai Akta Hasutan hendaklah dilakukan oleh kementerian yang bertanggungjawab mengenainya ia itu KDN.
  3. JPNIN tidak septutnya mengambil alih perkara yang terletak dalam bidangkuasa KDN dan Peguam Negara.
  4. Prosedur biasa di mana Kementerian berkenaan menentukan dasar dan gubalan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara manakala keputusan muktamat dibuat oleh Kabinet hendaklah diikuti.
  5. Akta Hasutan hendaklah dipinda untuk memasukkan Perkara 3 (agama Islam sebagai agama Persekutuan) ke dalam seksyen 3(1)(f).
  6. Eloklah kerajaan memikirkan untuk meminda Akta Hasutan untuk mengeluarkan kesalahan menghasut terhadap kerajaan supaya kerajaan nampak lebih telus, terbuka dan demokratik.
  7. Ketepikan draf RUU yang dibuat oleh Majlis Peguam itu.
  8. Jika JPNIN berfikir bahawa perpaduan boleh dicapai melalui undang-undang, sila sediakan drafnya. Ikutlah peraturan biasa dan jangan kaitkan dengan Akta Hasutan.
  9. Akta Hasutan hedaklah dilaksanakan dengan tegas.
  10. Bubarkan MKPN dan sekaligus JUU & D. Kerja JPNIN hendaklah dibuat oleh JPNIN. JPNIN boleh consult sesiapa sahaja tetapi terajunya ia mesti pegang.

Pemansuhan Akta Hasutan dan pengwujudan Akta Harmoni seperti yang dicadangkan oleh JUU& D yang di pengaruhi oleh Majlis Peguam dan Comango itu tidak ada kena mengena dengan pengwujudan perpaduan kaum. Ia adalah helah untuk menghakis kepentingn orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan kedudukan agama Islam di Malaysia. Malah saya katakan ia akan menggalakkan persengkitaan di antara kaum.

Penduduk Malaysia telah hidup dengan rukun damai semenjak sebelum tertubuhnya Malaysia lagi. Selepas tertubuhnya Malaysia pun, selain daripada peristiwa 13 Mei dan beberapa peristiwa kecil, mereka hidup dengan aman damai. Untuk mengelak peristiwa 13 Mei berulang pindaan telah dibuat kepada Akta Hasutan. Yang penting ialah kerajaan tidak menyalahgunakannya. Jika Kerajaan tidak mahu dikritik, ia hendaklah jangan menalahgunakan Akta Hasutan, bukan memasuhkannya kerana takut menyalahgunakannya. Sebuah kerajaan yang memansuhkan sesuatu undang-undang kerana ia takut ia akan menyalahgunakannya samalah seperti seorang yang menjual keretanya kerana dia takut dia akan memandu kereta itu dengan laju. Sekali lagi saya tidak faham logic itu. Berbuat demikian hanya akan termasuk ke dalam perangkap kumpulan yang memang hendak memansuhnya kerana tujuan tertentu.

Kita mesti waspada bahawa dalam keadaan politik tanahair sekarang, sekali tersilap langkah, tidak ada patah balik lagi. Orang Melayu/Islam dan anak negeri Sabah dan Sarawak akan rugi, untuk selama-lamanya.

Sekian. Terima kasih.

1,206 visits