UCAPAN-UCAPAPAN AWAL SAYA

UCAPAN-UCAPAN AWAL SAYA
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

Kali pertama saya berucap, tanpa coaching oleh sesiapa, ialah dalam tahun 1960, semasa saya dalam Tingkatan 3. Pada tahun itu, Dewan Bahasa Dan Pustaka menganjurkan Minggu Bahasa Kebangsaan. Saya mendaftar, menulis ucapan saya sendiri, naik ke pentas dan berucap. Saya menang di peringkat Daerah, Negeri dan Kawasan Utara yang terdiri daripada Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Di peringkat Kebangsaan, saya mendapat tempat ketiga.

Tajuk ucapan ialah Bahasa Jiwa Bangsa. Tajuk yang sama digunakan di semua peringkat. Saya tahu isi ucapan saya memanglah kurang baik. Apa yang boleh diharapkan daripada pelajar Tingkatan Tiga? Saya tidak hairan jika peserta-peserta lain yang ditemani oleh guru-guru mereka, bukan sahaja mendapat bantuan daripada guru-guru mereka, malah ucapan mereka ditulis sepenuhnya oleh guru-guru mereka. Tetapi, bahawa saya boleh sampai ke peringkat kebangsaan sudah cukup baik bagi saya.

Pada tahun itu, Yuhanis Mohamed, pelajar sekolah saya yang juga menyertai pertandingan itu, mendapat tempat yang sama dengan saya di semua peringkat.

Selepas pertandingan itu, saya dijemput berucap di Majlis Ihtifal di Sekolah agama Haji Abdul Razak, ayah kawan sedarjah saya dan jurugambar saya, Hilmi. Saya tidak ingat apa yang saya katakan. Sekali lagi, apalah yang boleh diharapkan daripada pelajar Tingkatan Tiga? Tetapi, hakikat bahawa seawal itu saya telah dijemput untuk berucap dan sanggup berucap pun sudah cukup baik.

Dalam tahun berikutnya (1961) saya kalah di peringkat daerah. Tetapi, tahun itu saya menang beberapa peraduan syarahan, termasuk satu yang dianjurkan bersempena Perayaan Jubli Perak Pondok Pokok Sena. Menjadi johan dalam pertandingan itu adalah penting bagi saya kerana saya bertanding dengan pelajar-pelajar sekolah Arab, tidak ada had umur dan tajuknya mengenai agama Islam sedangkan saya seorang pelajar sekolah Inggeris.

Dalam tahun berikutnya (1962), saya mengambil bahagian dalam peraduan syarahan Bulan Bahasa Kebangsaan lagi, bersama-sama Yuhanis Mohamed, pelajar perempuan dari sekolah saya itu. Kali ini kami sama-sama menang di peringkat daerah dan negeri dan mewakili Pulau Pinang ke peringkat kebangsaan. Saya menjadi johan dan beliau naib johan dalam bahagian masing-masing.

Tahun itu, tajuknya ditukar di setiap peringkat. Saya lupa tajuk-tajuknya. Bukan sahaja saya menulis ucapan-ucapan saya sendiri malah, di peringkat kebangsaan, sayalah yang menulis ucapan Yuhanis.

Saya duduk di belakang mendengar penyampaiannya yang cukup menarik itu. Orang yang duduk di sebelah saya berkata kepada isterinya, “bahasa sedap”. Malangnya Yuhanis terlupa sebahagian daripada ucapannya. Beliau menjadi naib johan. Johannya ialah Shajaratuddur Sheikh Abdul Halim, adik Tun Ahmad Fairuz yang saya ganti sebagai Ketua Hakim Negara 45 tahun kemudian.

Johan kebangsaan bahagian penuntut bukan Melayu perempuan bernama Choong Giok Hee, berketurunan baba nyonya dari Melaka, sekarang isteri saya dan ibu kepada anak-anak saya. Saya ingat ucapannya sangat lancar dan fasih, tidak sedikit pun kedengaran seperti disampaikan oleh seorang bukan Melayu dan jauh bezanya daripada peserta-peserta lain dalam bahagiannya.

Ada satu perkara yang menarik mengenai komen terhadap ucapan Yuhanis oleh orang yang duduk di sebelah saya itu. 52 tahun kemudian, saya membentang kertas kerja mengenai Bidangkuasa Persekutuan dan Negeri Mengenai Undang-undang Jenayah di Malaysia anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia. Semasa saya ditolak keluar dari dewan (saya menaiki kerusi roda) seorang peserta, yang berumur dalam lingkungan tiga puluhan berkata dengan kuat, “Ayat sedap Tun. Boleh bergurukah?” Saya jawab “Boleh”.

Semasa saya masih seorang pelajar di Tingkatan Enam, saya dijemput berucap di majlis sambutan Maulidur Rasul di Masjid Haji Ahmad Badawi, Kepala Batas. Saya sangat teruja dengan jemputan itu.

Kemudian, semasa saya menjadi Yang Dipertua Mahkamah Sesyen, Kuala Kubu Baharu (1972), saya tidak tahu apa yang menyebabkan saya dijemput untuk menyampaikan ucapan di Majlis Pertandingan Quran bagi Daerah Tanjung Malim. Selepas berucap, Qadi Daerah Tanjung Malim yang saya tidak kenal, menjemput saya membaca khutbah dan menjadi imam solat Jumaat pada hari Jumaat minggu itu. Saya menolak kerana saya tahu saya tidak layak. Biar apa pun, itu satu indikasi bahawa ucapan saya itu memuaskan hati beliau.

Semasa saya menjadi Penolong Pengarah, Biro Bantuan Guaman Kedah dan Perlis (1973), saya dijemput berucap di Majlis Maulidur Rasul bagi Daerah Butterworth yang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Butterworth. Hadir di situ adalah Dato Haji Ahmad Badawi, bapa Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi dan Cikgu Muhammad Awang, guru saya yang bertanggungjawab menghantar saya ke sekolah Inggeris. Beliau melihat saya menjadi Johan Kebangsaan Pearaduan Syarahan Bulan Bahasa Kebangsaan, menjadi anak Kepala Batas yang Pertama yang mendapat ijazah undang-undang, menjadi Majistret dan seterusnya. Saya percaya beliaulah yang mempromosikan saya untuk berucap di majlis ltu. Beliau seolah-olah mempunyai satu rancangan untuk saya dan saya percaya beliau mahu saya menjadi seorang ahli politik! (Beliau adalah Setiausaha Agung PAS yang pertama.) Sedihnya, beliau meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Malangnya, semua ucapan-ucapan awal saya itu, yang ditulis dengan tulisan jawi, telah hilang. Memanglah, jika saya membacanya hari ini, saya percaya saya sendiri tidak puas hati dengannya. Tetapi, jika sebaliknya, ia bererti bahawa, selepas itu, saya tidak belajar apa-apa lagi.

14 09 2017

 

120 visits