SEMINAR KAEDAH ALTERNATIF PENYELESAIAN PERTIKAIAN MENURUT ISLAM (IKIM)
SEMINAR KAEDAH ALTERNATIF PENYELESAIAN PERTIKAIAN MENURUT ISLAM (IKIM)
5 & 6 November 2001
Ucapan Penutup
Oleh
Dato’ Abdul Hamid bin Haji Mohamad
(Hakim Mahkamah Rayuan, Malaysia)
Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Y. Bhg. Dato’ Dr. Ismail bin Haji Ibrahim, Ketua Pengarah IKIM yang sudi menjemput saya merasmikan majlis penutup seminar ini. Ini adalah kali pertama saya menutup satu seminar. Saya belum pernah membukanya. Saya harap saya akan dapat menutup dengan sempurna apa yang telah dibuka dengan baik oleh Y.B. Brig. Jen. (B) Dato’ Abdul Hamid bin Zainal Abidin. Jika tidak ada apa-apa persamaan antara kami berdua pun, sekurang-kurangnya nama kami sama.
Keadaan yang paling baik dalam kehidupan manusia ialah tidak ada pertikaian. Tetapi, itu satu keadaan yang tidak mungkin wujud. Dua orang anak Nabi Allah Adam Alaihi Salam yang mempunyai seluruh dunia ini untuk dibahagikan antara mereka berdua pun berbalah dan berbunuh. Malah sejarah manusia dipenuhi oleh pertikaian, perbalahan, pergaduhan, penentangan, pemberontakan dan peperangan, dari dulu hingga sekarang. Sejarah ummat Islam pun serupa dan lebih banyak sama sendiri daripada dengan orang lain. Sebab adanya pertikaian dan perlu diselesaikan, maka manusia mengadakan cara-cara menyelesaikannya.
Dalam seminar ini kita cuba mencari jalan untuk memperbaiki lagi cara-cara menyelesaikan pertikaian antara manusia itu. Kali ini kita memberi tumpuan kepada pertikaian yang khusus ia itu pertikaian mal atau “civil” antara individu.
Di zaman awal tamaddun manusia, semasa manusia hidup dalam unit keluarga dan masyarakat yang rapat, pertikaian seperti itu diselesaikan oleh ahli keluarga dan ketua-ketua masyarakat. Keadaan menjadi lebih complex. Mereka tidak dapat berfungsi dengan berkesan. Maka diadakan mahkamah. Sekarang, penyelesaian melalui mahkamah telah menjadi terlalu complex, terlalu mahal dan terlalu lambat pula. Maka kita mencari cara baru, yang sebenarnya adalah cara lama, dengan pembaharuan yang perlu.
Dalam sistem perundangan Islam, konsep itu telah sedia ada sejak awal-awal lagi. Malah dalam masyarakat Melyu/Islam pun ia digunakan, sejak turun temurun, secara tidak rasmi. Sekarang kita hendak merasmikannya.
Tidak dapat dinafikan bahawa penyelasaian yang paling baik ialah penyelesaian sebelum masuk ke mahkamah dan penyelesaian di luar mahkamah. Penghakiman yang paling baik ialah penghakiman dengan persetujuan.
Ada tiga kebaikan penyelesaian sebelum masuk mahkamah atau di luar mahkamah. Pertama, ia lebih murah. Kedua, ia lebih cepat. Ketiga, ia dapat merapatkan semula hubungan persaudaran antara pihk-pihak yang berbalah itu.
Maka, apa cara pun yang akan kita cari untuk menggantikan penghakiman mahkamah selepas perbicaraan mestilah berupaya memberi faedah-faedah ini. Jika tidak, tidak ada gunanya. Malah ia hanya akan melambatkan lagi proses mahkamah dalam menyelesaikan pertikaian itu, memakan lebih banyak berbelanjaan dan mendalamkan serta memanjangkan lagi pertikaian itu.
Sistem timbangtara atau sulh adalah satu sistem alternatif yang hanya boleh berfungsi kiranya kedua-dua pihak kepada pertikaian itu bersetuju menggunakannya dan mematuhi keputusan yang dicapai. Ia tidak boleh dipaksakan. Hak mereka untuk ke Mahkamah juga tidak boleh dihapuskan. Jika dipaksakan ia boleh melambatkan lagi penyelesaian pertikaian itu. Sebagai misalan, saya perhatikan Jawatankasa Rekonsiliasi (Reconciliation Committee) yang ditubuh di bawah Law Reform (Marriage and Divorce) Act 1976 kurang berkesan. Kerap kali sebelah pihak tidak memperdulikan pangilan untuk hadir di hadapan Jawatankuasa tersebut.
Ini tidak bererti kita tidak patut mencuba, jika, setelah dikaji dengan mendalam, didapati, besar kemungkinan, ia dapat dilaksanakan dan akan berfaedah. Kita cuba tetapi seperti kata orang Utara “jangan gagah sangat.” Kalau mareka mahu memakai perkhidmatan badan berkenaan, teruskan. Jika tidak biar mereka terus ke mahkamah. Jangan kerana “hendak gagah juga” akan melambatkan penyelesain pertikaian itu melalui proses mahkamah. Yang rugi ialah pihak yang mempunyai kes yang lebih mantap. Kerana, biasanya pihak yang mempunyai kes yang lemah itulah yang cuba melambatkan proses mahkamah. Untuk itu, berbagai cara boleh dilakukannya.
Dalam melaksanakannya, jika ia dilaksanakan, tumpuan yang lebih perlulah diberi kepada pelaksanaannya. Jangan sampai suatu perancangan yang baik gagal diperingkat pelaksanaan.
Saya selalu mengatakan bahawa cara yang paling baik untuk berdakwah ialah dengan membuat kerja. Cara yang lebih baik untuk memperkenalkan undang-undang Islam ialah melalui pelaksanannya dengan cekap dan adil. Sepuluh caramah mengenai kebaikan undang-undang Islam tidak akan memberi kesan yang sama dengan satu kes yang diselesaikan dengan cekap dan adil. Orang melihat kepada hasilnya yang terakhir.
Saya percaya seminar ini telah banyak memberi manfaat kepada peserta sekalian. Saya harap seminar ini akan membuka jalan untuk kita melaksanakan sistem ini dengan cekap, adil dan berkesan. Kepada pembentang-pembentang kertas kerja, pengerusi-pengerusi sesi dan peserta, bagi pihak penganjur, saya ucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan masing-nasing.
Sambil memohon rahmat dan pertunjuk daripada Allah s.w.t, saya dengan rasminya mengisytiharkan seminar ini ditutup.
Terima kasih.