PERSPEKTIF RAYUAN DARI MAHKAMAH SIVIL TERHADAP PENGURUSAN KES RAYUAN DI MAHKAMAH SYARIAH: SYOR DAN PANDANGAN

MULTAQA HAKIM-HAKIM RAYUAN SYARIAH SELURUH MALAYSIA

Hotel Holiday Villa, Subang
13 Ogos 2003

PERSPEKTIF RAYUAN DARI MAHKAMAH SIVIL TERHADAP PENGURUSAN KES RAYUAN DI MAHKAMAH SYARIAH: SYOR DAN PANDANGAN

oleh

Dato’ Abdul Hamid bin Haji Mohamad
Hakim Mahkamah Persekutuan, Malaysia


 

Pendahuluan

Saya akan bentangkan amalan di Mahkamah Rayuan (sivil). Dari situ kita boleh lihat mana yang sesuai dan mana yang tidak sesuai dipakai atau diikuti di Mahkamah Rayuan Syariah.

Saya akui bahawa pengetahuan saya mengenai Mahkamah Rayuan Syariah amat terhad. Sedikit sebanyak yang saya tahu adalah berdasarkan pengalaman saya semasa menjadi ahli panel Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah di Pulau Pinang. Itu pun amat terhad kerana dalam tempoh tiga tahun perlantikan itu saya cuma bersidang sebanyak tiga kali, lebih kurang sejam sekali. Jumlah rayuan yang ditetapkan untuk didengar, malah yang ada pada masa itu, tidak melebihi dua puluh kes. Ianya samaada rayuan terhadap hukuman bagi kes-kes khalwat atau rayuan mengenai amaun nafkah yang diperintahkan. Antaranya, ada yang notis tidak dapat disampaikan, pihak-pihak tidak hadir dan rayuan-rayuan yang difail di mahkamah yang salah. Oleh itu, jika kesemua rayuan-rayuan itu ditetapka pada satu hari pun, boleh diselesaikan. Jika itulah ukuran bilangan dan jenis rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah, sepatutnya tidak ada masalah. Tetapi saya percaya pada masa ini terdapat lebih banyak rayuan yang yang tertunggak dan lebih rumit. Walau bagaimana pun, tuan-tuan lebih tahu mengenai kedudukan di Mahkamah Rayuan Syariah yang sebenar dan lebih tahu mengenai amalan yang sesuai dipakai di Mahkamah Rayuan Syariah.

Jumlah Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan (sivil)

Jumlah Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan (sivil) pada masa ini ialah sebayk 13 orang, kurang seorang daripada jumlah Ketua-Ketua Hakim Syar’ie, jika semua jawatan diisi, tidak termasuk Ahli-Ahli Panel Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah.

Jenis-jenis rayuan di Mahkamah Rayuan (sivil)

Rayuan-rayuan di Mahkamah Rayuan (sivil) datangnya daripada keputusan atau penghakinan Mahkamah Tinggi, sama ada yang dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi atau rayuan dari Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Majistret. Bagi kes-kes mal yang nilainya kurang daripada RM250,000.00 kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Rayuan mestilah diperolehi terlebih dahulu daripada Mahkamah Rayuan. Ia dibuat melalui Notis Usul.

Kes-kes yang didengar oleh Mahkamah Rayuan bolehlah dibahagikan kepada dua kategori:

  1. Permohonan
  2. Rayuan.

Permohonan

Kebanyakan permohonan adalah yang berkaitan dengan rayuan-rayuan sivil. Kebanyakannya ialah permohonan untuk mendapat kebenaran merayu, permohonan untuk menggantungkan pelaksanaan atau prosiding, permohonan untuk melanjutkan masa, misalnya untuk memfail Rekod Rayuan Tambahan dan permohonan untuk perintah sampingan dan sementara, termasuk injunksi.

Bagi kes-kes jenayah, kerapkali permohonan itu adalah untuk melanjutkan masa memfail rekod rayuan dan sebagainya.

Jumlah permohonan dan rayuan yang didaftarkan di Mahkamah Rayuan dan yang diselesaikan bagi tahun-tahun 2000, 2001 dan 2002 adalah seperti Lampiran “A”.

Antara jenis-jenis permohonan yang disebut itu, permohonan untuk menggantung pelaksanaan atau prosiding dan permohonan untuk mendapat perintah injunksi perlu didengar dengan segera, ada kalanya pada hari ianya difail atau dua tiga hari kemudian, selewat-lewatnya. Jika permohonan itu permohon ex parte, ia boleh didengar oleh Presiden Mahkamah Rayuan sendiri atau seorang Hakim yang diarahnya. Beliau atau Hakim itu boleh membuat perintah secara ex-parte dan mengarahkan permohonan itu dan perintahnya diserahkan kepada pihak lawan. Satu tarikh diberi sama ada pada minggu itu juga atau pada minggu berikutnya untuk mendengar semula permohonan itu secara inter partes.

Kami tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan satu panel Mahkamah Rayuan mendengar semula permohonan itu sama ada pada minggu itu juga atau pada minggu berikutnya kerana setiap minggu ada sekurang-kurangnya dua panel Mahkamah Rayuan yang bersidang di Kuala Lumpur dan kerap kali satu panel lagi bersidang di luar Kuala Lumpur.

Oleh sebab setiap minggu (malah hampir setiap hari) ada persidangan Mahkamah Rayuan, permohonan-permohonan ex-parte pun biasanya diberi terus kepada panel yang sedang bersidang itu untuk mendengarnya.

Perlu disebut, bahawa walau pun sesuatu permohonan itu dibuat secara ex parte tidak bererti ianya akan didengar secara ex parte. Hakim atau Mahkamah mestilah menilai sama permohonan itu patut didengar secara ex parte atau tidak. Kerapkali, permohonan yang dibuat secara ex parte pun di dengar secara inter partes (mendengar kedua-dua belah pihak). Hakim atau Mahkamah sendiri akan mengarahkan permohonan itu diserah kepada pihak lawan dan terus memberi tarikh untuk mendengarnya, biasanya dalam minggu itu juga. Ini untuk mengelak ketidakadilan berlaku kepada pihak lawan dan menghalang pemohon daripada memperolehi perintah secara senyap-senyap dibelakang pihak lawan.

Juga, perlu disebut, bahawa suatu perintah ex parte boleh diketepikan atas permohonan pihak lawan setelah mendengar kedua-dua belah pihak. Permohonan untuk mengenepikan perintah ex parte juga perlu didengar dengan segera, jika tidak tidak adil kepada pihak yang terhadapnya perintah dibuat tanpa dia diberi peluang untuk didengar.

Bagi permohonan-permohonan lain yang tidak begitu perlu didengar dengan segera, amalan sekarang ialah menetapkan lebihkurang 50 permohonan untuk didengar oleh satu panel pada minggu-minggu tertentu. Biasanya kesemuanya boleh diselesaikan dalam masa dua atau tiga hari.

Permohonan-permohonan itu juga ditetapkan untuk didengar oleh panel-panel yang bersidang setiap minggu untuk mendengar rayuan-rayuan itu. Biasanya lebihkurang 15 permohonan ditetapkan untuk sesuatu panel, sebagai tambahan kepada rayuan-rayuan.

(Dalam hal ini Mahkamah Rayuan Syariah mungkin menghadapi masalah jika ada permohonan-permohonan demikian sebab Mahkamah Syariah di setiap negeri tidak bersidang setiap minggu/hari. Mungkin masalah itu tidak timbul kerana tidak ada permohonan demikian. Tetapi, jika tidak ada permohonan demikian, atau tidak ada peruntukan untuk membuat permohonan-pormohonan demikian, saya khuatir ada sesuatu yang kekurangan yang boleh menjejaskan kepentingan perayu dalam rayuan yang belum didengar itu. Misalnya seorang defendan yang menang dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi, akan dengan segera melupuskan harta yang menjadi bahan perbalahan itu untuk menggagalkan rayuan plaintif/perayu. Jika tidak ada perintah halangan sementara menunggu pendengaran dan keputusan rayuan itu, walau pun plaintif/perayu itu akhirnya menang dalam rayuannya kemudiannya, kemenangan itu adalah sia-sia. Apa yang diperolehi oleh plaintif/perayu yang berjaya dalam rayuannya itu hanyalah pernghakiman kertas. Tetapi, perlu diingati bahawa perintah halangan sementara itu hanya diberi jika ada keadaan tertentu (“special circumstances’))

Rayuan

Biasanya lebihkurang 25 rayuan ditetapkan untuk satu panel untuk seminggu. Antaranya temasuk dua atau tiga rayuan jenayah. Yang lainnya rayuan sivil.

Penetapan tarikh, Hakim dan kes

Tarikh persidangan Mahkamah Rayuan ditetapkan oleh Presiden Mahkamah Rayuan. Sekarang ini setiap minggu dua panel bersidang di Kuala Lumpur, dan, kerapkali, satu lagi di luar Kuala Lumpur. Bagi setiap panel beliau memilih salah seorang Hakim yang lebih kanan untuk menjadi “Pengerusi” dan dua orang Hakim lagi yang akan bersidang bersamamnya. Hitung panjang setiap orang Hakim Mahkamah Rayuan bersidang tiga minggu sebulan. (Sebenarnya ini terlalu berat. Tiada masa untuk membaca fail-fail untuk minggu berikutnya apatah lagi untuk menulis alasan penghakiman. Kebanyakan Hakim membawa fail-fail balik ke rumah.) Notis-notis perlantikan Hakim-Hakim untuk menganggotai sesuatu panel diberi kepada Hakim-Hakim lebihkurang sebulan sebelum tarikh persidangan.

Kes-kes yang hendak dibicarakan ditetapkan oleh Presiden dengan bantuan Pendaftar. Notis-notis kepada peguam-peguam dan pihak-pihak di hantar sekurang-kurangnya satu bulan sebelum tarikh persidangan.

Tugas Pendaftar sebelum hari persidangan

Tugas Pendaftar sebelum hari persidangan Mahkamah Rayuan termasuk:

  1. mendapat arahan Presiden mengenai tarikh persidangan, siapakah Hakim-Hakimnya dan kes-kes mana yang hendak ditetapkan untuk didengar oleh panel itu;
  2. mendapatkan fail-fail rayuan yang yang hendak didengar itu, untuk contoh fail-fail untuk satu panel untuk persidangan seminggu (5 hari berkerja), lihat Lampiran “B”;
  3. menyediakan senarai rayuan-rayuan yang ditetapkan itu, sebagai misalan, lihat Lampiran “C1” dan “C2”;
  4. menyediakan ringkasan mengenai rayuan-rayuan itu – sebagai contoh lihat Lampiran”D”;
  5. menghantar notis-notis pendengaran rayuan-rayuan kepada peguam-peguam dan pihak-pihak dalam rayuan-rayuan itu, sebagai contoh, lihat Lampiran “E”;
  6. menyediakan borang yang mengandungi senarai rayuan-rayuan yang akan didengar itu dengan ruangan kosong untuk peguam-peguam mengisi nama-nama mereka pada hari pertama sebelum mahkamah bersidang, sebagai contoh lihat Lampiran “F”. Senarai yang telah diisi itu diletak di atas meja Hakim sebelum mahkamah bersidang untruk memudah dan mempercepatkan Hakim-Hakim menulis nama-nama peguam itu. Pada hari pertama, hari Isnin, biasanya antara 50 hingga 60 orang peguam akan hadir.
  7. memberi kepada Hakim-Hakim sekurang-kurangnya seminggu sebelum tarikh persidangan senarai rayuan-rayuan yang hendak didengar, ringkasan kes (jika siap) dan fail-fail berkenaan.

Tugas peguam-peguam sebelum hari persidangan

Saya ambil rayuan sivil sebagai contoh. Selain daripada menyedia, memfail dan menyampaikan rekod rayuan seperti yang dikehendaki oleh Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994, peguam-peguam juga dikehendaki menyedia dan memfailkan:

  1. kronologi peristiwa kes berkenaan – sebagai contoh, lihat Lampiran “G”;
  2. ringkasan penghujahannya –sebagai contoh, lihat Lampiran “H”;
  3. senarai authoritinya dan salinan authoriti-authoriti yang hendak dirurjuk olehnya.

Semua ini hendaklah diserah kepada Pendaftar sekurang-kurangnya satu minggu sebelum tarikh persidangan itu. Semua ini diberi kepada Hakim bersama-sama dengan senarai permohonan dan rayuan, ringkasan mengenai permohonan atau rayuan itu (yang disediakan oleh Pendaftar) dan notis-notis usul (permohonan) dan rekod rayuan, biasanya seminggu sebelum tarikh persidangan bermula.

Tugas Pendaftar pada hari persidangan

Pada hari pertama persidangan, hari Isnin, sebelum mahkamah bersidang (mahkamah mula besidang tepat pada jam pukul 9.00 pagi dan di sebelah petang mulai 2.30 petang setiap hari), Pendaftar akan memastikan:

  1. orang salah bagi rayuan jenayah berada di mahkamah;
  2. peguam-peguam menulis nama masing-masing pada borang yang disediakan, Lampiran “F”;
  3. mendapatkan maklumat daripada peguam-peguam yang hadir mana-mana permohonan/rayuan yang akan ditarik balik, yang pihak-pihak akan merekodkan penghakiman dengan persetujuan, yang peguam/pihak akan memohon penangguhan, yang tidak boleh berjalan oleh sesuatu sebab dan permohonan/rayuan mana yang peguam/pihak terlibat tidak hadir;
  4. memaklumkan Pengerusi dan Hakim-Hakim sebelum persidangan bermula maklumat dalam perenggan © untuk mendapat arahan permohonan/rayuan mana yang akan dipanggil dahulu;
  5. menyusun fail-fail mengikut susunan keutamaan seperti yang diarahkan oleh Pengerusi. Susunan itu biasanya adalah seperti berikut:
    (1) permohonan-permohonan untuk ditarik balik;
    (2) permohonan-permohonan untuk merekod penghakiman dengan persetujuan;
    (3) permohonan-permohonan untuk penaggguhan.
    (4) permohonan-permohonan yang pendengarannya akan berjalan.
    (5) rayuan-rayuan untuk ditarik balik;
    (6) rayuan-rayuan untuk merekod penghakiman dengan persetujuan;
    (7) rayuan-rayuan untuk penaggguhan;
    (8) rayuan-rayuan yang pendengarannya akan berjalan.

Apabila persidangan bermula, pada hari pertama, kes-kes dipanggil mengikut susunan yang saya sebut itu. Setelah melupuskan permohonan-permohonan yang hendak ditarik balik, merekodkan penghakiman dengan persetujuan dan menangguh mana yang perlu ditangguh, mahkamah akan melupuskan pula rayuan-rayuan yang hendak ditarik balik, yang penghakiman dengan persetujuan hendak direkodkan dan perlu ditangguhkan. Selepas itu mahkamah akan menetapkan tarikh-tarikh untuk rayuan mana yang akan didengar pada hari apa dalam minggu itu. Semasa membuat penetapan tarikh-tarikh pendengaran itu borang di Lampiran “F” digunakan. Hakim-Hakim cuma tanda “_/ “ pada ruangan-ruangan yang disediakan.

Tujuan berbuat demikian ialah untuk mengurangkan kesesakan di mahkamah dan tidak menghabiskan masa peguam-peguam menunggu giliran masing-masing. Seperti yang saya sebut tadi, pada hari pertama terdapat antara 50 hingga 60 orang peguam hadir. Mahkamah sesak. Ada yang terpaksa berdiri. Dengan cara ini peguam-peguam yang kes-kesnya telah dilupuskan boleh terus pulang. Peguam-peguam yang terlibat dalam rayuan-rayuan yang ditetapkan pada hari-hari berikutnya juga boleh pulang dan datang semula pada hari tersebut.

Mendengar permohonan/rayuan

Semasa naik ke mahkamah, hakim yang paling “junior” berjalan di hadapan, diikuti oleh Hakim yang lebih “senior” dan di belakangnya Pengerusi persidangan itu. Pengerusi duduk di tengah, Hakim yang lebih “senior” di kanan Pengerusi dan yang “junior” sekali di kiri Pengerusi. Semasa turun, Pengerusi berjalan dahulu diikuti oleh Hakim yang lebih kanan dan di belakangnya Hakim yang paling “junior”.

Walau pun Hakim yang paling kanan “mempengerusikan” persidangan itu, setiap orang Hakim adalah bebas menyoal atau membangkitkan apa-apa persoalan semasa pendengaran permohonan atau rayuan itu.

Ada kalanya adalah jelas kepada Hakim-Hakim yang telah pun membaca rekod rayuan, ringkasan hujah-hujah dan authoriti-authoriti yang telah dikemukakan dan membuat nota-nota persendirian, bahawa permohonan atau rayuan itu patut dibenarkan, Mahkamah terus mendapat pengesahan daripada peguam pemohon atau perayu mengenai alasan-alasannya tanpa dia dikehendaki berhujah dengan panjang lebar. Selepas itu Mahkamah terus meminta peguam sebelah lagi menjawab. Demikian juga, jika setelah mendengar hujah-hujah peguam pemohon atau perayu, jelas kepada Mahkamah bahawa permohonan atau rayuan itu sepatutnya ditolak, Mahkamah tidak akan mendengar hujah peguam pihak menentang dan terus memberi keputusan. Ini untuk menjimatkan masa. Tetapi, dalam kebanyakan kes, Mahkamah akan mendengar kedua-dua belah pihak.

Kerana kesuntukan masa, Mahkamah sentiasa mengawal masa peguam-peguam itu berhujah. Jika Mahkamah bersetuju dengan sesuatu hujah yang dikemukakan, Mahkamah akan mengarahkan peguam itu supaya terus pergi kepada hujahnya selanjutnya. Jika sesuatu hujah itu jelas tidak berasas, Mahkmah akan berkata kepadanya “Kami faham hujah kamu. Teruskan dengan hujah selanjutnya.” Demikian juga dengan autoriti-autoriti. Jika Hakim-Hakim telah biasa dengannya, peguam-peguam di minta supaya tidak menghabiskan masa membacanya. Perlu diingati bahawa Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan itu sekurang-kurang telah mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam bidang kehakiman dan perundangan. Antara penghakiman-penghakiman yang hendak dirujukkan itu adalah penghakiman-penghakiman yang telah ditulis oleh Hakim-Hakim itu sendiri atau yang kesnya telah dihujahkan oleh mereka sebelum mereka dilantik menjadi Hakim Mahkamah Tinggi. Demikian juga dengan nota keterangan. Oleh sebab semua Hakim-Hakim telah membacanya sebelum persidangan itu, biasanya kami cuma meminta peguam-peguam itu memberitahu mukasuratnya sahaja untuk dicatat supaya mudah dirujuk semasa menulis alasan penghakiman kelak. Oleh sebab ringkasan penghujahan telah dikemukakan dan dibaca oleh Hakim-Hakim, Hakim-Hakim cuma mencatat “point-point” hujah-hujah lisan peguam-peguam itu sahaja. Mereka tidak menulis apa sahaja yang dikatakan oleh peguam-peguam itu. Tetapi, sama ada sesuatu panel itu cepat atau lambat terletak kepada Pengerusi. Kalau Pengerusi itu “jenis cepat”, cepatlah. Kalau Pengerusi “jenis lambat”, lambatlah.

Membuat keputusan

Dalam permohonan atau rayuan yang keputusannya mudah dibuat, Pengerusi akan berbisik dengan kedua-dua Hakin yang bersidang dengannya dan jika ketiga-tiga mereka bersetuju, terus memberi keputusan. Mahkamah juga mungkin menangguhkan keputusan itu sekejap atau hingga esoknya atau hingga ke akhir minggu itu atau kepada suatu tarikh yang akan ditetapkan. Apabila ia ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan ditetapkan, biasanya penghakiman bertulis akan disediakan dan dibaca pada hari yang ditepkan untuk penyampaian penghakiman itu.

Menulis alasan penghakiman

Bagi permohonan, tiada rayuan ke Mahkamah Persekutuan. Oleh itu alasan penghakiman tidak perlu ditulis walaupun ada kalanya ditulis juga kerana terdapat persoalan undang-undang yang penting.

Bagi rayuan, alasan penghakiman perlu ditulis jika ada permohonan untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan atau jika ia melibatkan isu-isu yang rumit dan/atau penting.

Pengerusi ditugaskan untuk membahagikan antara tiga orang Hakim itu siapa yang akan menulis alasan penghakiman yang mana. Pengerusi dikehendaki mengisi satu borang – sebagai contoh, lihat Lampiran “I”. Satu salinan borang itu diberi kepada Presiden Mahkamah Rayuan dan satu salinan kepada Pendaftar. Presiden Mahkamah Rayuan akan memantau siapa yang menulis dan siapa yang tidak.

Hakim yang ditugaskan menulis alasan penghakiman itu akan membuat drafnya dan menghantarnyan kepada kedua-dua Hakim lagi. Mereka akan memberi komen mereka, sama ada mereka bersetuju atau tidak, mana-mana bahagian yang patut dipinda atau dibetulkan. Jika seorang Hakim itu tidak bersetuju dengan draf itu, beliau akan menulis penghakiman berasingan. Penghakiman yang dipersetujui oleh dua orang Hakim akan menjadi penghakiman majoriti dan yang lagi satu itu penghakiman minoriti atau “dissenting”. Jika ketiga-tiga mereka bersetuju, ia dijadikan penghakiman Mahkamah.

Mengikut rekod saya, dalam tahun 2001 saya menulis sebanyak 13 alasan penghakiman Mahkamah Rayuan (tidak termasuk sebanyak 5 penghakiman Mahkamah Tinggi). Dalam tahun 2002 saya menulis 20 alasan penghakiman Mahkamah Rayuan (tidak termasuk 6 penghakiman Mahkamah Tinggi dan satu penghakiman Mahkamah Persekutuan).

Untuk makluman tuan-tuan kami tidak mempunyai pegawai pelyelidik.

Ada Hakim yang menaip terus draf penghakimannya, ada yang menulis dengan tangan dan ditaip oleh Setiausaha. Setalah penghakiman itu di isytihar, satu salinan penghakiman itu disampaikan kepada Ketua Hakim Negara, satu kepada Presiden Mahkamah Rayuan, satu kepada Perpustakaan Mahkamah. Peguam-peguam terlibat akan memohon kepada Setiausaha jika mereka menghendakinya. Jurnal-jurnal undang-undang seperti Malayan Law Journal, Current Law Journal dan All Malaysia Report akan diberi disket yang mengandungi penghakiman itu. Disket-disket kosong disediakan oleh syarikat-syarikat itu dan orang-orang mereka akan datang sendiri mengambilnya. Setiap orang Hakim akan diberi satu naskah percuma setiap keluaran oleh syarikat-syarikat yang mengeluarkan jurnal-jurnal itu sebab mereka mendapat bahan-bahan mereka dengan percuma.

Tugas Pendaftar selepas persidangan

Antara tugas Pendaftar selepas setiap persidangan ialah:

  1. mengumpul dan mengemaskini statistik kes-kes, terutama sekali berapa yang diselesaikan;
  2. merekodkan kes-kes yang ditangguh, kes-kes yang selesai didengar tetapi keputusannya ditangguh;
  3. mengeluarkan waran tahanan bagi ke-kes jenayah, di mana berkenaan;
  4. meluluskan dan memeterai perintah-perintah mahkamah; dan
  5. mendengar permohonan-permohonan taksiran kos.

Penutup

Itu apa yang kami buat dan terpaksa buat. Apa yang boleh dan patut diikuti, terserahlah kepada tuan-tuan. Cuma, ada beberapa perkara yang saya ingin tekankan.

Pertama, kerja memantau kes-kes tertunggak, menentukan tarikh-tarikh persidangan, menentukan Hakim-Hakim yang akan bersidang, menetapkan kes-kes yang akan didengar oleh sesuatu panel, memantau sama ada panel itu menghabiskan kerja yang ditetapkan untuk mereka dengar bagi sesuatu minggu itu, memberi keputusan dan menulis alasan penghakiman dengan segera, mestilah dilakukan, bagi Mahkamah Rayuan Syariah, oleh Ketua Hakim Syariah sendiri.

Kedua, Mahkamah mestilah mula bersidang tepat pada waktu yang ditetapkan, ia itu pukul 9.00 di sebelah pagi dan pukul 2.30 di sebelah petang. Jika tidak orang tidak akan hormatkan kita.

Ketiga, mestilah ada sifat kesegeraan (“sense of urgency”). Kami tidak ada “istiadat”. Minum kopi pun masing-masing, sebelum bersidang. Lima minit sebelum pukul 9.00 pagi, semua telah pergi ke kamar Mahkamah Rayuan. Pukul 9.00 naik.

Keempat, mestilah ada sistem. Yang perlu didahulukan, didahulukan. Pendaftar juga mestilah bersedia, cekap, aktif dan cergas. Bagi saya, kesemuanya terletak kepada sikap kita, keutamaan (“priority”) kita dan bagaimana kita buat kerja. Kalau cergas, cepatlah. Kalau lembab, lambatlah.

Akhir sekali, kita mesti ingat bahawa peguam-peguam senentiasa memerhatikan kita. Sama ada kita telah baca rekod rayuan atau tidak, sama ada kita tahu fakta-fakta kes dan isu-isu yang terlibat atau tidak, sama ada kita faham hujah-hujah mereka atau tidak, sama ada kita tahu undang-undang mengenai isu-isu itu atau tidak, sama ada kita dapat tangkap “point-point” yang berkenaan atau tidak, malah jika waktu sudah lewat tetapi kita masih bersarapan dalam kamar sedangkan mereka menunggu dalam mahkamah pun semuanya mereka tahu. Dan mereka “menghakimkan” kita di luar mahkamah. Mereka tidak peduli berapa banyak ilmu yang kita ada. Mereka menghakimkan kita berdasarkan kerja yang kita buat.

Sekian. Terima kasih.

Read 2,272 times