PERBINCANGAN KERTAS KERJA “PERKEMBANGAN TERKINI MAHKAMAH SYARIAH DI MALAYSIA”
SEMINAR ANTARABANGSA “SISTEM KEHAKIMAN ISLAM”
IKIM 8 & 9 JUN 1999
PERBINCANGAN KERTAS KERJA “PERKEMBANGAN TERKINI
MAHKAMAH SYARIAH DI MALAYSIA”
Oleh
Dato’ Abdul Hamid Mohamad
Nampaknya perkembangan yang berlaku kepada Mahkamah di Malaysia di kebelakangan ini bolehlah disimpulkan sebagai “pensivillan” Mahkamah Syariah, bukan “pengIslaman” Mahkamah Sivil.
Ini terutama sekali dalam hal-hal acara (procedure) dan pentadbiran kehakiman. Acara Mal dan Jenayah telah diterima-pakai, dengan pengubah-suaian yang perlu. Akta Keterangan dijadikan asas penggubalan Enakmen Keterangan Syariah. Kuasa untuk memberi remedi seperti “injunction” telah diberi kepada Mahkamah Syariah, walau pun terhad kepada undang-undang keluarga. Susunan mahkamah, nama mahkamah, nama jawatan hakim, malah “the manner of addressing the judges” pun telah diselaraskan. Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Sivil dilantik menjadi Hakim Mahkamah Rayuan Syariah.Sistem kepeguaman di Mahkamah Sivil juga di pakai di Mahkamah Syariah.
Bagi saya, ini menunjukkan bahawa, pertama, acara yang dipakai di Mahkamah Sivil selama ini, pada keseluruhannya, tidaklah bercanggah dengan Hukum Syarak. Kedua, ia merapatkan kedua-dua sistem Mahkamah ini. Ketiga, Hakim-Hakim di kedua-dua sistem mahkamah ini boleh belajar-mempelajari antara satu sama lain.
Pengwujudan acara-acara itu adalah satu langkah yang amat perlu dalam pentadbiran kehakiman. Kerana, untuk bermain bola sepak pun ada peraturannya. Acara inilah yang membezakan antara prosiding di mahkamah dengan di jabatan-jabatan kerajaan lain. Suatu “permohonan” di mahkamah bukan hanya satu permintaan melalui sepucuk surat. Ada bentuknya yang ditetapkan, perlu disokong oleh affidavit, perlu dibuat beberapa salinan, perlu difailkan, perlu di serah kepada pihak lawan, perlu diberi tarikh pendengaran, Mahkamah perlu mendengar kedua-dua belah pihak, memberi keputusan mengikut perinsip-perinsip yang telah ditetapkan, pihak yang tidak puas hati boleh merayu ke mahkamah yang lebih tinggi, Hakim yang membuat keputusan itu perlu menulis alasan-alasan penghakimannya, dan seterusnya. Ia juga akan menjadikan sesuatu perbicaraan atau pendengaran sesuatu kes itu lebih teratur.
Adalah diharapkan negeri-negeri yang belum menerima-pakai acara-acara itu akan menerima-pakainya secepat mungkin supaya prosedur di semua Mahkamah Syariah akan selaras. Juga, tindakan susulan, seperti mengadakan kaedah-kaedah mengenai fee dan kos perlulah dibuat segera dan diselaraskan.
Di peringkat awal pemakaian acara-acara itu, ia mungkin akan menimbulkan beberapa masalah kepada Hakim-Hakim Syariahkerana bagi mereka ini adalah perkara baru, tiada precedent, tiada buku rujukan, dan mereka belum pernah terdedah kepadanya. Acara-acara itu, atau yang serupa dengannya, telah dipakai lebih kurang seratus tahun di Mahkamah Sivil di Malaysia dan lebih lama lagi di England. Mahkamah-mahkamah, melalui penghakimannya telah memberi pentafsiran peruntukan-peruntukannya dan meletakkan prinsip-prinsip yang perlu dipakai dalam menimbangkan sesuatu permohonan. Misalnya, dalam permohonan untuk penyampaian ganti, untuk meminda pliding, untuk mengenepikan penghakiman ingkar, untuk menggantung prosiding atau pelaksanaan penghakiman, untuk injunksi dan lain-lain, apa prinsip yang perlu di pakai, apa faktor yang perlu ditimbang. Semuanya telah ditetapkan dalam penghakiman-pengkhakiman yang terdahulu, dilaporkan dalam laporan-laporan undang-undang, dibincangkan dalam buku-buku teks dan disusun dalam buku-buku rujukan. Ia mudah dicari.
Peguam-peguam syarie, yang kebanyakkannya adalah peguam-peguam di Mahkamah Sivil semestinya akan merujuk kepada nas-nas itu.
Saya berpendapat, prinsip-prinsip itu, terutama sekali di mana peruntukan acara yang dipakai di Mahkamah Syariah itu sama atau serupa dengan yang dipakai di Mahkamah Sivil, asalkan ia tidak bercanggah dengan Hukum Syarak ,eloklah dipakai.(Sebenarnya tidak ada sebab mengapa prinsip-prinsip itu harus bercanggah dengan Hukum Syarak kerana ia adalah pentafsiran acara-acara yang telah diterima-pakai di Mahkamah Syariah). Ini akan menyelaras acara di kedua-dua sistem mahkamah itu.
Rasanya, eloklah diadakan kursus-kursus untuk mendedahkan Hakim-Hakim Mahkamah Syariah kepada prinsip-prinsip itu.
Perkembangan terkini yang kita baca dalam akhbar baru-baru ini ialah perjanjian gunasama pegawai-pegawai kehakiman dan perundangan Syariah. Ini satu langkah penting yang baik. Walau pun, di peringkat ini cuma tiga buah negeri yang bersetuju, tidak mengapa. Jalan dulu. Apabila kesannya baik, negeri-negeri lain akan ikut serta. Pokok pangkalnya ialah bagaimana pelaksanaannya dilakukan, bukan meriah mana pelancarannya.
British tidak melebarkan pengaruhnay sekaligus kepada semua negeri-negeri di Tanah Melayu. Mereka tumpukan perhatian satu demi satu. Akhirnya habis masuk di bawah kekuasaannya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Satu perkara lagi yang saya ingin sebut ialah mengenai masalah percanggahan bidangkuasa antara kedua-dua mahkamah itu. Saya telah membincang masalah ini dengan panjang lebar dalam kes Lim Chan Seng v. Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (1996) 3 CLJ 231 dan mengulanginya dalam kes Abdul Shaik bin Ibrahim v. Hussein bin Ibrahim (Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Guaman Sivil No. 22-85-1997 baru-baru ini. Masalah ini akan terus berlaku dan akan terus menjadi masalah.
Dalam kes terbaru saya itu saya terpaksa memberi sebahagian daripada perintah-perintah yang di pohon dan menolak yang lainnya dan menasihatkan Plaintif membuat tuntutan semula di Mahkamah Syariah mengenainya. Bagi saya ini amat merugikan orang Islam. Manakala orang bukan Islam boleh mendapat semua perintah-perintah itu dalam satu kes di satu Mahkamah, orang Islam terpaksa memfail dua kes di dua Mahkamah yang berlainan. Ini akan memakan masa dan wang.
Nampaknya, dalam beberapa perkara, di Malaysia ini, orang-orang Islam berada dalam keadaan yang rugi.
Untuk mengatasi masalah percanggahan bidangkuasa di antara kedua-dua sistem mahkamah ini, untuk memudah dan memperkemaskan lagi pelaksanaan perintah-perintah Mahkamah Syariah di seluruh negara dan di luar negeri, untuk mengatasi masalah infra-struktur dan dan kaki-tangan, untuk memberi peluang kerjaya yang lebih baik kepada pegawai perundangan dan kehakiman syariah, untuk menaikkan taraf Mahkamah Syariah dan lain-lain lagi, rasanya sudah tiba masanya kita mula berfikir dengan serius sama ada kedua-dua sistem Mahkamah itu patut di satukan.
Ia memang satu perkara yang rumit. Tetapi, rasanya eloklah kita mula mempunyai satu wawasan mengenainya, tidak kiralah wawasan berapa puluh berapa.
Saya gembira membaca rencana Y.Bhg. Tan Sri Harun Hashim dalam The New Straits Times baru-baru ini yang mempunyai pandangan yang sama. Selepas itu satu rencana lagi tersiar dalam Utusan Malaysia.
Rasanya, syor itu eloklah dibincang dalam satu seminar di masa hadapan.
Sekian. Terima kasih.
Dato’ Abdul Hamid bin Haji Mohamad,
Hakim, Mahkamah Tinggi,
Pulau Pinang.