SEPATAH KATA PRESIDEN PERSATUAN MEMANCING MALAYSIA

SEPATAHKATA PRESIDEN PeMM

 

Saya pernah ditanya mengapa saya memilih memancing sebagai satu hobi. Saya menjawab: kerana tidak ada protokol dan tidak ada hipokrasi. Ikan dalam air tidak tahu siapa yang sedang memegang joran di atas bot atau di darat. Maka soal ikan pertama dan ikan terbesar patut memakan umpan “V.I.P.” tidak timbul. Juga, kerapkali seorang yang paling “rendah kedudukannya” dalam masyarakat dalam sesuatu ekspedisi memancing itu adalah orang yang paling penting, malah penyelamat, dalam ekspidisi itu”. Pandangan saya masih tidak berubah.

Dalam tempoh sepuluh tahun yang lepas, memancing telah menjadi satu hobi dan riadah yang amat popular di Malaysia. Jika dahulu cuma orang-orang miskin dan kanak-kanak di kampong-kampong yang memancing, hari ini ia melibatkan anggota-anggota masyarakat daripada segenap peringkat dalam masyarakat dan kedudukan, kaya dan miskin, tua dan muda, lelaki dan perempuan, tidak kira bangsa, agama dan bahasa. Saya tidak nampak satu hobi atau riadah lain yang mempunyai penglibatan sedemikian. Bagi saya tidak ada satu aktiviti lain yang lebih menyatukan rakyat Malaysia lebih daripada aktiviti memancing.

Memancing juga telah menjadi satu industri yang melibatkan beratus ribu (jika tidak berjuta) orang dan beratus juta (jika tidak berbilion) ringgit. Modal yang sedikit (ikan yang belum tahu sama ada boleh ditangkap) boleh menjanakan industri terus dan sampingan yang besar. Potensi ekonominya amat besar.

Kita juga lihat perkembangan daripada menangkap ikan untuk makan kepada menangkap ikan untuk hiburan. Dulu, membuang balik ikan yang ditangkap ke dalam air adalah satu “pantang.” Sekarang ia telah menjadi satu kepuasan, malah satu kemegahan. Sekurang-kurangnya di kalangan pemancing, tidak melepas balik ikan-ikan tertentu, misalnya ikan layar, adalah memalukan. Ini satu perkembangan yang amat sihat.

Dahulu, pemancing-pemancing cuma menangkap ikan kerana mereka beranggapan bahawa ikan itu sedia ada dan akan terus ada. Sekarang perhatian pemancing-pemancing telah beralih kepada pemuliharaan, pembiakan, penyelamatan dan alam sekitar. PeMM sendiri lebih banyak menumpukan masa dan aktivitinya dalam hal-hal itu daripada aktiviti menangkap ikan. PeMM mengadakan seminar-seminar, bengkel-bengkel di peringkat kebangsaan dan tempatan yang melibatkan berbagai peringkat masyarakat, daripada pelajar-pelajar hingga kepada orang dewasa untuk memberi kesedaran tentang pentingnya pemuliharaan spesis ikan dan alam sekitar selain daripada memperkenalkan spesis ikan dan teknik memancing. Antaranya termasuklah program “tangkap dan lepas”, pelancaran “Malaysian Game Fishing Record” dan Website PeMM. Sambutan orang ramai, termasuk pelajar-pelajar, amatlah menggalakkan. Disamping itu terdapat sekumpulan pemancing-pemancing di kalangan ahli-ahli PeMM sendiri, yang telah menjadi “pakar” bukan sahaja mengenai teknik-teknik memancing, malah mengenai perikanan.

Melalui buletin ini diharapkan pembaca-pembaca akan memperolehi lebih banyak maklumat dan bertukar-tukar maklumat dan pendapat mengenai hal-hal yang perkaitan dengan pancing, perikanan, pemuliharaan spesis ikan dan alam sekitar.

Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan buletin ini. Saya harap semua pembaca akan memberi sumbangan mereka, dengan apa juga cara yang mereka boleh, untuk menjayakan buletin ini, membangunkan industri memancing, menyelamatkan spesis dan memulihara alam sekitar kita.

Tiada ikan, tiada pemancing.

Terima kasih.

Dato’ Abdul Hamid Mohamad
Presiden, PeMM.

Read 228 times