Abdul Rashid Rajantharan Abdullah LWN. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Malaysia & Yang Lain

Abdul Rashid Rajantharan Abdullah LWN. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Malaysia & Yang Lain
Mahkamah Tinggi Malaya, Pulau Pinang
ABDUL HAMID MOHAMAD
PERMOHONAN JENAYAH NO. 44-96-90
7 MAC 1991
[1991] 1 CLJ Rep 505; [1991] 2 CLJ 1123
TAHANAN PENCEGAHAN: Perintah tahanan – Isi kandungan – Penterjemahan – Kegagalan penterjemah memfail afidavit – Kecacatatan bentuk atau isi – “Hearsay” – Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985, s. 3(1).

Defendan pertama, D1, telah mengeluarkan perintah tahanan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 (Akta tersebut) kepada pemohon R.

R berhujah bahawa perintah tahanan tidak sah kerana tanpa afidavit penterjemah yang telah menterjemahkan perintah tahanan dan alasan dan juga tuduhan yang dikembarkan kepada perintah tahanan itu, tidak memadai untuk mengatakan bahawa dokumen-dokumen itu diterjemahkan kepada R dan jika diterjemahkan, tanpa afidavit penterjemah itu, apa yang dikatakan oleh M dalam afidavitnya berkenaan penterjemahan adalah “hearsay”;

Diputuskan:

[1] Berdasarkan apa yang dinyatakan oleh M dalam afidavitnya dan apa yang tercatit di mukasurat 2 perintah tahanan tersebut iaitu tandatangan dan butir-butir penterjemah yang dia telah menterjemahkan isi kandungan dokumen kepada R dalam Bahasa Tamil, dan juga kegagalan R untuk memfail afidavit yang mengatakan sebaliknya, isi kandungan dokumen-dokuman itu telah diterjemahkan kepada R.

[2] Soal “hearsay” tidak timbul kerana apa yang dikatakan oleh penterjemah itu tidak dimasukkan sebagai keterangan – yang menjadi keterangan ialah bahawa M telah menerangkan isi kandungan dokumen kepada R dan penerangan ini telah diterjemahkan kepada R dan penterjemahan ini disahkan oleh penterjemah dalam perintah tahanan.

[3] Oleh kerana tahanan hanya boleh dicabar kerana tidak mematuhi peruntukan prosedur, tidak sepatutnya menyebabkan Mahkamah lupa kepada isi dan cuma memandang kepada bentuk; Mahkamah harus menyoal jikalau kecacatan bentuk itu menyebabkan kecacatan isinya. Dalam kes ini, kegagalan penterjemah memfail afidavit bukanlah satu kegagalan ketidakpatuhan kehendak prosedur yang mengakibatkan perintah tahanan yang tidak sah.
[Nota Pengarang: R telah membuat rayuan kepada Mahkamah Agung pada 5 Februari 1991]
Case(s) referred to:
Naranjan Singh V. Public Prosecutor [1948] 1 LNS 36
Tang Lew Keng V. Public Prosecutor [1968] 1 LNS 153

Legislation referred to:
Dangerous Drugs (Special Preventive Measures) Act 1985, ss. 3(1), 6(1)
Federal Constitution, art. 5(3)
Counsel:
Bagi pihak pemohon – Karpal Singh; T/n. Karpal Singh & Co.
Bagi pihak responden – Noorbahri bin Baharuddin, Peguam Persekutuan, Kementerian Dalam Negeri
PENGHAKIMAN

Abdul Hamid Mohamed PK:

Pemohon ditangkap di bawah s. 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 pada 7 Mac 1990. Pada 5 Mei 1990 Timbalan Menteri Dalam Negeri mengeluarkan perintah di bawah s. 6(1) Akta itu mengarahkannya ditahan selama 2 tahun.

Pada mulanya Encik Karpal Singh, Peguam pemohon mengemukakan dua alasan untuk permohonan ini. Atas persetujuan semua pihak keputusan kes ini ditangguh sementara menunggu keputusan Mahkamah Agung berkenaan salah satu daripada alasan itu yang juga berbangkit dalam kes-kes sebelum ini. Berdasarkan keputusan Mahkamah Agung berkenaan persoalan, Encik Karpal Singh menarik balik alasan itu. Yang tinggal hanyalah satu alasan sahaja.

Alasan itu ialah tanpa afidavit penterjemah yang menterjemahkan perintah tahanan dan alasan-alasan dan juga tuduhan-tuduhan yang dikembarkan kepada perintah tahanan itu (Ekshibit “CMB1” dan “CMB2” kepada afidavit Inspektor Che Malek bin Bedot), adalah tidak memadai untuk mengatakan bahawa dokumen-dokumen itu diterjemahkan kepada pemohon, dan, jika diterjemahkan pun, tanpa afidavit penterjemah itu, apa yang dikatakan oleh Inspektor Che Malek dalam afidavitnya berkenaan penterjemahan adalah “hearsay”.
Sayugia diambil perhatian bahawa dalam afidavitnya Inspektor Che Malek, antara lain, mengatakan:
(4) Isi-isi kandungan ekshibit “CMB1” dan “CMB2” telah diterangkan oleh saya dan diterjemahkan oleh Detektif Konstabel 70737 Sagathivan a/l Rengasamy kepada pemohon.

Di mukasurat 2 perintah tahanan itu terdapat tandatangan dan butir-butir D/Konst. Sagathivan yang mengesahkan bahawa beliau menerangkan isi kandungan dokumen-dokumen berkenaan kepada pemohon dalam Bahasa Tamil. Pemohon juga mengesahkan bahawa beliau memahami isi kandungan dokumen-dokumen berkenaan dan menurunkan tandatangannya.

Persoalan pertama ialah adakah isi kandungan dokumen-dokumen itu diterangkan dan diterjemah kepada pemohon? Berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Inspektor Che Malek dalam afidavitnya dan apa yang tercatit di mukasurat 2 perintah tahanan itu dan juga ketiadaan apa-apa afidavit difailkan oleh pemohon sendiri yang mengatakan sebaliknya, saya tidak merasa was-was barang sedikit pun bahawa isi kandungan dokumen-dokumen itu diterjemahkan kepada pemohon.

Persoalan kedua ialah adakah pernyataan-pernyataan yang tersebut dalam afidavit Inspektor Che Malek dan di perintah tahanan itu tidak boleh diterima atas alasan ianya adalah “hearsay” kerana penterjemah itu tidak memfailkan afidavit bahawa dia menterjemahnya?

Saya dirujukkan kepada dua kes: Naranjan Singh V. Public Prosecutor [1948] 1 LNS 36 dan Tang Lew Keng V. Public Prosecutor [1968] 1 LNS 153. Dalam kes its satu “dying deposition” tidak diterima sebagai keterangan kerana jurubahasa yang menterjemahkannya daripada Bahasa Punjabi ke Bahasa Inggeris tidak dipanggil sebagai saksi. Dalam kes its keterangan perayu di Mahkamah dalam satu perbicaraan lain tidak diterima kerana jurubahasa yang menterjemahkannya tidak dipanggil sebagai saksi.

Perlu diambil perhatian kedua-dua kes ini melibatkan penerimaan dokumen-dokumen sebagai keterangan. Dalam kes ini tidak timbul soal penerimaan apa-apa dokumen seperti dalam kes-kes itu. Soalnya ialah adakah isi kandungan dokumen-dokumen berkenaan diterjemahkan? Inspektor Che Malek yang menerangkannya dan penerangannya diterjemah kepada pemohon mengatakan ia diterjemahkan. Ini disahkan oleh penterjemah itu sendiri dalam perintah tahanan itu. Ini adalah satu pernyataan fakta oleh orang yang menerang dan orang yang menterjemah. Soal “hearsay” tidak timbul. Kerana, bukan apa yang dikatakan oleh penterjemah itu yang hendak dimasukkan sebagai keterangan seperti dalam kedua-dua kes itu.

Seterusnya, dalam kes seperti ini, di mana keterangan adalah melalui afidavit, sejauh manakah Mahkamah patut memakai prinsip “hearsay” ini? Kalau apa yang dikatakan oleh Inspektor Che Malek itu hearsay, bagaimana pula afidavit isteri pemohon yang merupakan satu-satunya afidavit menyokong permohonan ini? Di perenggan 6 isteri pemohon antara lain mengatakan:

(6) Saya dinasihatkan dan sesungguhnya percaya bahawa pemohon tidak diberitahu sebab-sebab atau alasan-alasan tahanan dari mula-mula beliau ditahan. Pemohon telah diserang (assaulted) oleh anggota-anggota polis selepas ditahan.

Bukankah ini juga “hearsay”?

Saya berpendapat, hakikat bahawa tahanan hanya boleh dicabar kerana tidak mematuhi peruntukan prosedur tidak sepatutnya menyebabkan Mahkamah lupa kepada isi (substance) dan cuma memandang kepada bentuk (form). Kita perlu melihat kepada bentuk. Tetapi, seterusnya, kita harus menyoal adakah kecacatan bentuk itu menyebabkan kecacatan isinya?

Untuk mengelak kekeliruan, perlu dijelaskan di sini, bahawa hujah yang dikemukakan oleh En. Karpal Singh berkenaan penterjemahan itu bukanlah berkenaan pemberitahuan sebab-sebab pemohon ditangkap yang dikehendaki diberitahu oleh Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan, walaupun afidavit isteri pemohon, mengatakan demikian. Yang dihujahkan oleh Encik Karpal Singh ialah isi kandungan perintah tahanan dan alasan-alasan serta tuduhan-tuduhan (Ekshibit “CMB1” dan “CMB2”) tidak boleh dikatakan diterangkan kepada pemohon kerana orang yang menterjemahkannya tidak memfail afidavit mengatakan beliau menterjemahkannya.
Saya berpuashati, tanpa sebarang was-was bahawa dokumen-dokumen itu diterangkan dan diterjemahkan kepada pemohon dan pemohon faham isi kandungannya. Kegagalan penterjemah memfail afidavit bukanlah satu kegagalan mematuhi mana-mana kehendak prosedur yang menjadikan permohonan tidak sah.

Read 66 times