UCAPAN DI MAJLIS ANUGERAH KHIDMAT CEMERLANG 2007

UCAPAN DI MAJLIS ANUGERAH KHIDMAT CEMERLANG 2007
PICC PUTRAJAYA
7 Ogos 2008
Oleh
Tun Dato’ Seri Abdul Hamid Bin Haji Mohamad
Ketua Hakim Negara, Malaysia

 

Ini adalah kali kedua dan terakhir saya berucap di majlis ini. Saya ucapkan selamat datang kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian dan tahniah kerana terpilih menerima anugerah khidmat cemerlang bagi tahun 2007. Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat yang membolehkan majlis ini diadakan dalam tahun ini juga dan sebelum saya bersara. Sekurang-kurangnya kita telah menyelesaikan “hutang” kita. Saya harap mulai hari ini majlis ini tidak akan tertangguh lagi.

Walaupun kerajaan telah menetapkan kriteria-kriteria pemilihan anugerah ini, saya sedar bahawa pemilihan yang kita lakukan ini tidaklah sempurna (“perfect”). Mungkin ada yang berpendapat bahawa ada orang yang kurang layak menerima anugerah ini dan yang lebih layak tidak menerimanya. Sebenarnya itu adalah pendapat masing-masing. Mungkin ada sedikit sebanyak kebenarannya, mungkin tidak.

Perbezaan pendapat seperti itu tidak dapat dielakkan. Biar apa atau bagaimana pun pemilihan dibuat, kita tidak boleh mencapai tahap “sempurna” kerana, walaupun kriteria pemilihan ditetapkan, walaupun dalam laporan prestasi ditetapkan butiran-butiran yang diambil kira dan bilangan markah yang diperuntukkan untuk setiap butiran itu, dalam memberi markah kepada seseorang, ada pegawai penilai yang lebih pemurah dan ada yang kedekut, ada pegawai yang lebih rapat dengan pegawai penilai, malah mungkin juga ada pegawai penilai yang termakan budi dengan pegawai yang dinilai. Perkara yang terahir disebut ini tidak sepatutnya berlaku. Tetapi ia boleh berlaku. Jawatankuasa yang membuat pemilihan hanya mengambil kira markah-markah yang diberi oleh pegawai penilai. Di samping itu, atas arahan saya, kita juga mengambil kira sama ada, bagi Hakim-Hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret, mereka mempunyai alasan penghakiman tertunggak yang banyak atau lama dan sama ada terdapat aduan-aduan terhadap mereka. Dalam keadaan itu, apa yang penting ialah jawatankuasa itu telah melakukan sehabis baik yang mereka boleh lakukan, dengan jujur, mematuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan setakat yang termampu untuk menentukan penerima-penerima anugerah ini. Maka tuan-tuan dan puan-puan hendaklah bersyukur dan berterima kasih kerana telah terpilih.

Hakikat bahawa tuan-tuan dan puan-puan telah terpilih sebagai penerima anugerah ini hendaknya janganlah dijadikan alasan untuk bersikap sombong atau berpuashati dengan perkhidmatan masing-masing. Sebaliknya, ia hendaklah menjadi perangsang untuk memperbaiki perkhidmatan tuan-tuan dan puan-puan.

Saya tahu kebanyakan Hakim-Hakim di semua mahkamah, Majistret, Pegawai dan kakitangan mahkamah sedang menjalankan tugas mereka dengan tekun dan jujur. Walau bagaimana pun, masih banyak perkara-perkara yang kita perlu perbaiki dalam perkhidmatan kita. Saya masih mendengar desas desus mengenai hubungan Hakim-Hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret dengan peguam-peguam yang terlalu rapat dan menimbulkan kesangsian. Saya masih mendengar aduan bahawa ada Majistret yang tidak memberi perhatian serius terhadap tugasnya seperti tidak mengisi butiran-butiran dalam kertas pertuduhan dan tidak memantau kakitangannya. Saya masih mendengar desas desus bahawa, di sesetengah tempat, untuk mendapatkan fail perlu ada bayaran. Selain daripada itu, terdapat kecuaian dalam melaksanakan tugas-tugas yang mudah hingga memberi akibat yang serius dan buruk. Sebagai misalan, dalam satu kes, seorang Hakim Mahkamah Sesyen telah memerintahkan pemindahan suatu kes daripada sebuah mahkamah ke mahkamah di negeri lain. Setelah empat tahun, fail itu masih tidak di hantar ke mahkamah itu.

Desas desus seperti ini mungkin tidak semuanya benar. Tetapi, untuk mengetahui sama ada ianya benar atau tidak, jika pada zahirnya ia nampak bukan tidak berasas, siasatan perlu dijalankan. Tahap dan bentuk siasatan dan sama ada tindakan diambil atau tidak dan bentuknya tertakluk kepada seriusnya aduan, maklumat yang diterima dan bukti yang diperolehi.

Dua bulan lepas saya telah menghantar surat kepada 48 orang Hakim-Hakim (termasuk Hakim-Hakim Mahkamah Sesyen) dan Majistret-Majistret. Saya meminta mereka mengesahkan senarai kes-kes yang alasan penghakimannya dikatakan masih belum disediakan oleh mereka. Daripada maklumbalas yang saya perolehi, daripada 656 alasan penghakiman tertunggak yang disenaraikan itu, 102 (15.5.%) sebenarnya telah pun disediakan. Ertinya, senarai itu tidak dikemaskini. Di samping itu, ada kes-kes yang sebenarnya bukan dibicarakan oleh Hakim-Hakim yang tersebut dalam senarai itu. Ada Hakim-Hakim atau Majistret-Majistret berkenaan tidak diberitahu bahawa terdapat rayuan terhadap keputusan mereka dan fail-fail berkenaan tidak diberi kepada mereka terutama sekali setelah mereka bertukar. Ada alasan penghakiman yang telah disediakan tetapi nota keterangan tidak atau belum di taip. Bagi kes jenayah, ada rekod rayuan tidak disediakan. Bagi kes-kes sivil pula ada alasan penghakiman yang telah disediakan tetapi ia tidak diambil oleh peguam-peguam kerana tidak mahu membayar finya sebab anakguamnya tidak berminat lagi untuk meneruskan rayuan. Tetapi, ada juga beberapa orang Hakim dan Majistret yang mempunyai bilangan alasan penghakiman tertunggak yang banyak. Misalnya, seorang Hakim Mahkamah Sesyen, mempunyai sebanyak 46 alasan penghakiman tertunggak.

Saya minta setiap orang Hakim, Majistret, Pendaftar, pegawai dan kakitangan supaya mengambil berat untuk memastikan bahawa rekod dan statistik kita adalah betul, sehabis baik yang boleh kita lakukan. Hakim-Hakim dan Majistret-Majistret hendaklah segera menyediakan alasan-alasan penghakiman yang masih belum disediakan. Kedudukan bilangan penghakiman tertunggak akan diambil kira dalam pengesahan dalam jawatan, kenaikan pangkat, malah bagi Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi ke atas, apabila memohon cuti tambang percuma. Jika perlu, tindakan tatatertib juga mungkin akan diambil.

Satu perkara lagi yang perlu diberi perhatian oleh Hakim-Hakim dan Majistret-Majistret ialah mengenai kes-kes separuh bicara. Idealnya apabila sesuatu kes itu dibicarakan ia hendaklah diteruskan sehingga selesai. Tetapi, saya tahu, ini tidak praktikal. Tetapi, kita mesti tahu mengatur jadual kita supaya tidak akan wujud bilangan kes separuh bicara yang terlalu banyak kerana ini akan menimbulkan berbagai-bagai masalah, terutama sekali apabila seorang Hakim atau Majistret itu telah bertukar, selain daripada masalah kepada pihak-pihak dan saksi-saksi. Saya amat terkejut apabila mendapat tahu bahawa ada seorang Hakim Mahkamah Sesyen yang mempunyai lebih daripada 300 kes separuh bicara.

Kepada Hakim tersebut dan kepada semua Hakim dan Majistret, saya menyeru mereka untuk memberi keutamaan untuk menyelesaikan semua kes-kes separuh bicara terlebih dahulu.

Setiap orang pekerja hendaklah mempunyai perasaan “bangga dengan kerjanya”. Maksud saya ialah “proud of his work”, bukan “megah, bukan “angkuh”. Kita mesti “bangga dengan kerja” kita dan sayangkan kerja kita, tidak kira apa jawatan kita. Jika kita seorang pencari fail, kita sepatutnya mencuba sedaya upaya untuk menjadi pencari fail yang terbaik. Demikianlah seterusnya. Janganlah menganggap kerja kita sebagai suatu perkara yang terpaksa dibuat dan hanya dilakukan secara sambil lewa sahaja. Kita dibayar gaji sepenuh masa. Kita perlu bekerja sepenuh masa pejabat. Kerja pejabat yang kita lakukan di luar waktu pejabat adalah sumbangan kita kepada negara. Percayalah bahawa kesenangan tidak akan datang dengan mudah dan usaha tidak akan sia-sia.

Saya harap kita tidak akan mendengar lagi desas desus mengenai rasuah di mahkamah, walau dalam bentuk apa sekali pun. Rasuah di mahkamah adalah satu perkara yang saya langsung tidak dapat terima. Saya amat sedih apabila membaca dalam akhbar bahawa ada pegawai (dalam berita itu bukan dari mahkamah) yang menerima rasuah untuk menunaikan umrah. Umrah adalah ibadat dan hanya sunat. Mengapa mencari jalan yang haram untuk melakukan ibadat yang sunat? Adakah rasuah itu kurang haram jika ia untuk mengerjakan ibadat? Tidak lama lagi, bulan puasa akan datang. Saya harap tidak ada firma guaman yang akan menaja majlis buka puasa sebagai balasan untuk mempercepatkan pengeluaran dokumen-dokumen mereka atau pun untuk megambil hati kakitangan mahkamah. Mengapa rosakkan ibadat puasa dengan berbuka dengan makanan dan minuman yang diperolehi dengan cara yang haram atau syubhat?

Dalam kerjaya kita, malah dalam hidup kita pun, kita tidak perlu melobi dan berkonspirasi untuk manjatuhkan orang lain dan menaikkan diri sendiri. Ingatlah firman Allah S.W.T. yang selalu kita baca:

“Katakanlah (wahai Muhammad)”: “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesunguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
– A-Li ‘Imran: 26

Apa yang penting ialah bahawa kita menjalankan tugas kita dengan bersungguh-sungguh dan jujur dan serahkan kepada Allah S.W.T. untuk memberi ganjarannya. Jika kita tidak mendapat apa yang kita idamkan, mungkin ada hikmahnya. Mungkin kita tidak layak menerimanya. Tidak memperolehi sesuatu yang kita tidak layak menerima adalah lebih baik daripada menerima penghinaan kerana memperolehi sesuatu yang kita tidak layak terima, apatah lagi dengan cara yang “batil”.

Kita diberi akal dan fikiran dan kita semua tahu apa yang baik apa yang buruk, apa yang betul dan apa yang salah, apa yang kita patut lakukan dan apa yang tidak. Soalnya setakat manakah kekuatan peribadi kita untuk melakukan apa yang baik dan menjauhkan perkara yang tidak baik. Tanyalah diri sendiri.

Besar kemungkinan, selepas majlis ini, saya tidak akan bertemu lagi dengan kebanyakan tuan-tuan dan puan-puan sebagai Ketua Hakim Negara, malah mungkin untuk selama-lamanya. Tetapi, selepas saya bersara pun, selagi hayat masih ada, jika bertemu di mana-mana, jika saya tidak kenal tuan-tuan dan puan-puan pun, sudilah menegur, itu pun jika sudi. Kebanyakan tuan-tuan dan puan-puan masih muda. Gunakanlah zaman muda itu untuk melakukan perkara yang baik dan betul. Tuan-tuan dan puan-puan pasti tidak akan menyesal kemudian hari. Percayalah bahawa Allah itu ada dan Allah melihat dan mengetahui segala-galanya.

Sekali lagi saya ucapkan tahniah dan selamat maju jaya.

Terima kasih.

Read 136 times