UCAPAN DI MALAM KENANGAN SEKOLAH MENENGAH ST. MARK, BUTTERWORTH
UCAPAN DI MALAM KENANGAN
SEKOLAH MENENGAH ST. MARK, BUTTERWORTH
2 Julai 1994
By
Dato’ Abdul Hamid Mohamad
This is the first time in my life that I have come back to school at night. In other words I had never committed lurking house-trespass or housebreaking by night in the school (or elsewhere) even as a student of the school. This is also the first time I am speaking here since 32 years ago when I used to speak at the literary and debating society, usually with Mr. Jenarthan. As a judge I don’t have any more opportunity to debate. But Mr. Jenarthan still does it, for a living. Sometimes I have to listen to him whether I like it or not, and whether I agree with him or not. Encik Bazari or Bashir as he is known to most of us, has joined his club. I had the privilege of admitting him to the Bar, for better or for worse!
Saudara-saudari sekalian,
Memandang kebelakang 32 tahun rasanya amat sekejap. Banyak perubahan telah berlaku kepada diri kita. Yang dulu “jambu” sudah jadi “kecut”. Ada pula yang dulu kurus kering sekarang gemuk gedempom. Saya minta ma’af kerana terpaksa merujuk kepada saudara Jenarthan sekali lagi, kerana beliau adalah antara rakan sedarjah saya yang pertama yang saya temui, di mahkamah, apabila saya ditukarkan ke sini dalam tahun 1990. Suatu hari saya dijadualkan untuk mendengar rayuan jenayah (criminal appeals). Antara peguam-peguam yang berada dalam mahkamah, menunggu kes mereka dipanggil, saya nampak seorang. Dari atas “bench” yang menarik pemandangan saya ialah “mini air-strip” di atas kepalanya. Ini mengingatkan saya bahawa “ozone layer” di dunia kita ini semakin nipis. Hanya apabila dia bangun dan memberitahu namanya baru saya sedar bahawa dia adalah J. Jenarthan.
Saudara, saudara sekalian,
Saya amat gembira kerana dijemput ke majlis ini malam ini. Kalau tidak dijemput pun saya akan datang sebagai seorang murid tua. Terima kasih saya kepada saudara Lee Swee Kheng dan ahli-ahli jawatankuasanya yang bersusah payah mengadakan majlis ini.
Saya amat gembira dapat bertemu dengan saudara saudari sekalian setelah sekian lama tidak berjumpa. Saya yakin saudara saudari adalah orang-orang yang berjaya dalam kerjaya masing-masing. Kepada semua mereka saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah.
Kejayaan dalam hidup tidak sepatutnya hanya diukur dari segi wang ringgit. Saya percaya bahawa “money alone does not make a man”. Bagi saya kejayaan seseorang itu patut diukur dari semua segi, rohani, jasmani, akhlak dan seterusnya. Oleh itu saudara-saudara kita yang sudah menjadi kaya raya (I am not) tidak harus sombong terhadap yang lainnya. Saudara-saudara kita yang tidak kaya dengan wang ringgit pula tidak patut merasa malu kepada yang lainnya.
Saya percaya bahawa Tuhan tidak memberi segala-galanya kepada seorang, dan tidak pula tidak memberi apa-apa kepada yang lain. Setiap orang ada kelebihannya dan kekurangannya – cuma dalam bidang-bidang yang berlainan.
Kita harus ingat bahawa, sekurang-kurangnya kita mempunyai satu persamaan – kita semua pernah belajar di sekolah ini pada suatu masa dahulu.
Sehubungan dengan itu kita patutlah berbangga dengan sekolah kita, biar di mana pun kita berada. Banyak orang cuma berbangga kerana sekolahnya terkenal tetapi dia sendiri tidak berbuat apa-apa untuk menjadikan sekolahnya terkenal. Bagi saya faktor yang paling penting yang membuatkan sesebuah sekolah itu terkenal ialah pelajarnya. Pelajar-pelajarnyalah, melalui apa yang mereka lakukan semasa di sekolah dan selepas sekolah, yang menyebabkan sesebuah sekolah itu terkenal atau tidak. Jadi kita patutlah memberi apa sahaja sumbangan yang kita mampu, dengan cara yang kita boleh lakukan untuk menaikkan “image” sekolah kita.
Seterusnya, bagi pihak diri saya, dan rasanya saya boleh bercakap juga bagi pihak saudara-saudara sekalian, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih saya dan kita semua kepada semua guru-guru kita, baik yang masih hidup atau sudah meninggal dunia. Mereka adalah ibarat lilin yang membakar diri untuk memberi cahaya kepada kita semua sehingga kita jadi apa yang kita jadi hari ini.
Saya juga ingin merakamkan penghargaan saya kepada semua Pengetua, guru-guru, kakitangan dan ahli-ahli Persatuan Ibu-Bapa dan Guru-Guru yang telah atau sedang berkhidmat di sekolah ini atau yang dengan apa cara jua menyumbang khidmat mereka kepada sekolah ini sehingga ia menjadi sebuah sekolah yang ulung di kawasan ini.
Akhi sekali saya harap majlis malam ini akan menjadi titik-tolak pertama yang akan mendekatkan semula kita sesama kita, kita dengan guru-guru kita dan kita dengan sekolah kita.
Sekian, terima kasih.
[DATO’ ABDUL HAMID BIN HAJI MOHAMED]
HAKIM, MAHKAMAH TINGGI (1)
PULAU PINANG.