UAPAN DI MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH KHIDMAT CEMERLANG
MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH KHIDMAT CEMERLANG
MAHKAMAH PERSEKUTUAN MALAYSIA 2006
DI PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (PICC)
28 FEBRUARI 2008
UCAPAN KETUA HAKIM NEGARA
Kita berhimpun di sini untuk meraikan penerima-penerima anugerah khidmat cemerlang bagi tahun 2006. Malangnya, dalam mengadakan majlis ini pun ada perkara yang tidak cemerlang. Majlis ini sepatutnya diadakan dalam tahun 2007. Tetapi, oleh sebab peruntukan tahun 2007 telah digunakan untuk mengadakan majlis yang serupa bagi tahun 2005, kita kekurangan wang untuk mengadakannya dalam tahun 2007. Ertinya, kita telah terhutang selama dua tahun berturut-turut. Soalannya, mengapa terjadi sedemikian? Adakah kita telah membelanjakan peruntukan 2006 untuk tujuan lain? Atau, adakah kita telah berbelanja secara berlebihan?
Saya harap perkara seperti ini tidak akan berulang lagi. Saya juga mahukan majlis yang serupa untuk tahun 2007 diadakan pada tahun ini juga. Jika tidak, kita akan terus menangguh dan kita akan terus berhutang. Untuk berbuat demikian, jika kita perlu berjimat, kita hendaklah berjimat. Jika kita perlu mengadakan majlis yang sederhana, kita hendaklah hanya mengadakan majlis yang sederhana. Jika penerima-penerima anugerah itu perlu menaiki kapal terbang kelas ekonomi untuk ke majlis itu, walaupun mereka layak menaiki kelas perniagaan, mereka hendaklah sanggup berbuat demikian. Jika mereka tidak mahu hadir kerana tidak sanggup berbuat demikian, tidak mengapa. Yang penting ialah bahawa ianya diadakan mengikut jadual supaya kita tidak akan terus menangguh dan berhutang setiap tahun.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Saya dengan gembiranya mengalu-alukan kedatangan pemenang-pemenang anugerah khidmat cemerlang tahun 2006 ke majlis ini. Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada mereka di atas prestasi cemerlang yang mereka telah capai. Saya harap mereka akan menjadi teladan kepada rakan-rakan sekerja mereka. Saya juga berharap bahawa mereka tidak akan berpuashati dan leka dengan kejayaan mereka itu. Mereka patut berusaha memperbaiki prestasi mereka, terutama sekali dalam bidang yang mereka kurang baik dan memperbaiki lagi prestasi mereka dalam semua bidang.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Seperti yang saya katakan dalam ucapan pelantikan saya, Badan Kehakiman adalah benteng terakhir masyarakat sivil dalam sesebuah negara. Biar apapun pandangan orang ramai terhadap badan-badan kerajaan yang lain, selagi mereka masih mempunyai keyakinan terhadap integriti dan keberkesanan Badan Kehakiman, masih ada ruang untuk kesinambungan sebuah masyarakat sivil di negara kita. Apabila keyakinan itu telah hilang, maka huru-haralah akibatnya. Apa yang paling mendukacitakan ialah, pada masa ini, persepsi orang ramai terhadap Badan Kehakiman berada di tahap yang paling rendah dalam sejarah kehakiman di negara ini selepas Merdeka.
Mahu tidak mahu, beban untuk menaikkan semula persepsi itu terletak di atas bahu kita semua, daripada hakim hinggalah kepada pencari fail. Sebab, setiap salahlaku setiap anggota Badan Kehakiman akan mencemarkan Badan itu. Maka saya menyeru semua kakitangan Badan Kehakiman, tidak kira apa jawatannya, dari setinggi-tingginya hingga serendah-rendahnya, untuk bersama-sama memulihkan keadaan itu dan sekaligus menaikkan semula persepsi orang ramai terhadap Badan Kehakiman.
Sambil saya akui bahawa untuk memulihkan persepsi negatif itu bukanlah satu perkara yang mudah dan ianya tidak boleh dilakukan dengan sekelip mata, saya juga berpendapat bahawa caranya pula bukanlah amat susah dan kita boleh melakukannya.
Pokok pangkalnya ialah kejujuran. Seseorang yang jujur dalam menjalankan tugasnya tidak akan rasuah, tidak akan mencuri tulang, tidak akan ponteng, tidak akan menikam kawan dari belakang, tidak hipokrit, tidak akan bermuka-muka membodek pegawai-pegawai atasan yang difikirkan berguna baginya sambil memburukkan rakan-rakan sejawatannya, tidak akan berbohong, tidak akan menolak tugasnya untuk dilakukan oleh orang lain, tidak akan membazir harta awam, tidak akan membuat tuntutan palsu dan berbagai-bagai lagi. Susah sangatkah untuk berlaku jujur?
Jika setiap anggota Badan Kehakiman dapat menjalankan tugas masing-masing dengan jujur, lebih dari separuh masalah kita telah kita atasi. Ditambah dengan beberapa sifat lagi seperti tekun, berbudi bahasa, bertimbang rasa terhadap orang awam, menepati masa dan sebagainya, saya percaya kita akan berjaya memulihkan persepsi negatif terhadap Badan Kehakiman itu. Susah sangatkah untuk melakukan semua ini?
Tuan-tuan dan puan-puan,
Kita akan melenting jika gaji kita dibayar kurang atau lambat. Tetapi, pernahkah kita bertanya diri kita sama ada kita berkerja secukupnya dan menyelesaikan tugas kita dengan segera setiap hari?
Saya tahu bahawa kebanyakan anggota Badan Kehakiman daripada Hakim-Hakim (yang walaupun cemerlang tidak ada anugerah khidmat cemerlang untuk mereka) hinggalah kepada kakitangan kumpulan yang paling rendah, masing-masing bertungkus lumus memeberi perkhidmatan yang terbaik. Kepada mereka saya mengucapkan syabas. Tetapi, ada juga sebilangan kecil yang tidak berbuat demikian. Kepada mereka ini, saya minta supaya mereka memperbaiki prestasi mereka, sebelum terlewat. Terus terang saya katakan, jika ada ranting yang berulat yang perlu dipotong, kita akan memotongnya, demi untuk menjaga pokoknya.
Kita perlu sedar bahawa prasarana yang diberi kepada kita, adalah jauh lebih lengkap dan sempurna jika dibandingkan dengan apa yang terdapat di kebanyakan negara-negara lain. Jika kita dapat memanfaatkannya sepenuhnya, saya percaya bahawa kita akan dapat memberi perkhidmatan yang sudah cukup baik. Semuanya terletak kepada kita sendiri.
Di samping itu, ibu pejabat akan cuba mendapatkan bekalan yang lebih, perjawatan yang lebih dan mengisi kekosongan yang ada seberapa yang boleh dan secepat mungkin. Saya akan memastikan bahawa peruntukan yang kita perolehi akan digunakan untuk tujuan yang ianya dipohon dan diberi.
Saya terkejut apabila dimaklumkan bahawa semenjak tahun 2004 kita tidak mempunyai peruntukan untuk membeli buku teks undang-undang walaupun kita mempunyai peruntukan untuk membeli jurnal undang-undang. Tetapi, saya gembira apabila dimaklumkan bahawa tahun ini kita telah mendapat peruntukan sebanyak RM700,500.00 untuk membeli buku-buku teks undang-undang di samping peruntukan untuk membeli jurnal undang-undang. Saya telah pun memilih buku-buku yang akan dibeli dengan wang itu. Saya harap kita akan sama-sama menjaga dan memanfaatkannya. Kerana harganya yang terlalu mahal, kita tidak membekalkan kesemua buku-buku itu kepada setiap mahkamah. Ada yang hanya akan diletakkan di Perpustakaan Mahkamah Persekutuan. Tetapi, dengan alat perhubungan yang ada sekarang, saya percaya mahkamah-mahkamah lain juga akan dapat merujuk kepadanya. Sila berhubung dengan Pustakawan Mahkamah Persekutuan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Selain daripada apa yang saya telah sebutkan, hari ini saya ingin menyarankan kepada semua anggota dan kakitangan Badan Kehakiman supaya mengamalkan beberapa perkara yang mungkin dianggap remeh tetapi, bagi saya, adalah penting dan mencerminkan perwatakan kita.
Pertama, setiap anggota dan kakitangan Badan Kehakiman hendaklah menegur sapa, memberi salam atau mengucap selamat antara satu sama lain apabila bertemu. Adalah sopan bagi seseorang itu menegur atau memberi ucap selamat kepada pegawai yang lebih kanan. Pegawai yang lebih kanan pula, apabila ditegur atau diucap selamat, hendaklah menjawabnya. Itu pun kesopanan juga. Janganlah menunggu Hari Keluarga setahun sekali baru hendak bertegur sapa.
Kedua, terutama sekali bagi mereka-mereka yang bertugas di kaunter, janganlah sibuk berborak sesama sendiri hingga tidak memperduli orang awam yang datang untuk berurusan. Tanya mereka apa yang kita boleh tolong dan bantulah mereka. Ingatlah bahawa kita dibayar gaji untuk memberi perkhidmatan kepada mereka.
Ketiga, ucapkan terima kasih kepada orang ramai apabila mereka membayar fi dan terima kasih kembali apabila mereka mengucapkan terima kasih kepada kita. Saya perhatikan bahawa orang Malaysia amat susah untuk mengucapkan perkataan “terima kasih”, malah, kerapkali tidak tahu berterima kasih.
Keempat, jangan membazir harta kerajaan. Sebagai misalan, kalau hendak mencetak draf surat atau alasan penghakiman, gunakan kertas yang telah dipakai sebelah sebab, selepas dibaca dan dibuat pembetulan, ia akan dibuang sahaja. Kepada setiausaha-setiausaha hakim, janganlah sengaja menaip jarang-jarang dengan fon yang terlalu besar dan hanya di atas sebahagian muka kertas kerana hendak mendapat bayaran yang lebih. Itu bukan sahaja membazir. Ia juga tidak jujur.
Kelima, kurangkan upacara (“ceremonies”) dan beri tumpuan kepada kerja yang substantif. Dalam kata-kata lain “buat kerja” bukan “buat kenduri”.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Untuk sementara waktu dan mulai hari ini, jika setiap anggota dan kakitangan Badan Kehakiman dapat mengamalkan lima “perkara remeh” ini pun, sebagai tambahan kepada apa yang saya telah sebutkan sebelumnya, ia sudah cukup baik. Saya fikir adalah tidak susah bagi tuan-tuan dan puan-puan untuk mengamalnya. Juga, saya harap tolonglah sampaikan amanat ini kepada rakan-rakan sekerja di tempat masing-masing.
Sekali lagi saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua yang berjaya menerima anugerah khidmat cemerlang bagi tahun 2006. Saya harap ada di antara tuan-tuan dan puan-puan yang akan datang sekali lagi tahun ini untuk menerima anugerah yang sama bagi tahun 2007.
Sekian. Terima kasih.