RUU MUFTI: ULASAN TERHADAP TITAH DYMM RAJA PERLIS DAN KRITIKAN MUFTI PERLIS

RUU MUFTI: ULASAN TERHADAP TITAH DYMM RAJA PERLIS DAN KRITIKAN MUFTI PERLIS

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

 

Pada 2 Julai 2024, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar (Menteri Agama) telah membentangkan Rang Undang-Undang  Mufti Wilayah Persekutuan 2024 (RUU Mufti) bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat. Ia akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada sidang Parlimen yang bermula 14 Oktober 2024.

Pada 10 Julai 2024, Berita Harian menyiarkan berita “Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah baginda tidak berkenan apabila nama Majlis Raja-Raja digunakan dalam usaha menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan).

Perkembangan itu dimaklumkan melalui Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam satu hantaran di Facebook hari ini.”

Pada 11 Julai 2024, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) memaklumkan “perincian mengenai… (RUU Mufti)… itu akan dirujuk kepada Majlis Raja-Raja minggu hadapan.

Perdana Menteri berkata, ketika ini RUU berkenaan dalam proses perbincangan di peringkat pakar.

“RUU Mufti sedang dibincang dan mendengar pandangan, (bagaimanapun) tidak ada pertikaian dalam soal Ahli Sunnah Wal Jamaah dan merujuk (mazhab) Syafie, Maliki, Hanafi dan Hambali serta pandangan lain.””

Pada 16 Oktober 2024, Astro Awani melaporkan “Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin (Mufti Perlis) mengkritik keras Menteri Agama kerana mensyaratkan akidah Ashairah dan Maturidiyyah sebagai identiti Ahli Sunnah wal Jamaah.

Mufti Perlis itu berkata, “kebanyakan besar umat Islam tidak memahami berkaitan ajaran Al-Ashairah dan Al-Maturidiyyah yang ingin dijadikan sebagai identiti Ahli Sunnah wal Jamaah.

Malah beliau …. mendakwa Mohd Na’im sendiri belum tentu faham berkaitan perkara itu.

“Saya berani katakan, insya-Allah Menteri Agama yang beriya-iya mahu mensyaratkan akidah rakyat dengan syarat-syarat itu pun kurang faham. Saya boleh buktikan, insya-Allah jika saya diberikan ruang secara terbuka disaksikan rakyat untuk bersoal-jawab dengan beliau berkaitan beberapa soalan tentang Ashairah, Maturidiyyah, al-Junaid dan al-Ghazali.

“Jika beliau benar, beliau dahululah buktikan beliau faham sebelum beliau ingin memaksa rakyat. Jika beliau sendiri tidak mampu, apakah beliau mahu menyesatkan akidah rakyat awam yang akhirnya menyesatkan diri?” soalnya dalam kenyataan di Facebook pada Rabu.

Katanya, RUU yang Menteri Agama mahu laksanakan akan menjadikan keislaman seseorang di Wilayah Persekutuan tidak dianggap mencukupi sehinggalah individu itu menganut Ashairah, Maturidiyyah, bertasawuf dengan cara Junaid al-Baghdadi dan al-Ghazali.

“Jika tidak, muslim itu dianggap terkeluar daripada Ahlus Sunnah wal Jamaah dan menganut ajaran sesat. Di sana ada akta ajaran sesat yang boleh dikenakan,” ujarnya.

Mohd Asri menambah, untuk mengikuti mazhab akidah seperti Ashairah dan Maturidiyyah, ia tidak memadai sekadar mengetahui nama pengasas dan beberapa isu teologi sahaja.

Sebaliknya ia perlu memahami perbahasan akidah berkaitan qidam, azali, jisim, jauhar, masa, tempat dan beberapa teori serta andaian hukum fizik yang pelbagai.

Asri berkata dia percaya sekurang-kurangnya 97 peratus orang Islam di negara ini tidak mampu memahami perbahasan akidah Ashairah dan Maturidiyyah.

“Apakah dengan RUU ini, maka era kafir mengkafir sesama umat akan bermula? Sesat menyesatkan akan menjadi agenda kerajaan? Rakyat akan diuji keabsahan akidah mereka?

“Atau mungkin selepas ini akan dicadangkan dimasukkan ke kad pengenalan, Agama: Islam Ashairah Maturidiyyah Junaid dan Ghazali. Apa yang saya lihat, ini isu sektarian yang disumbat kepada Kerajaan MADANI. Agenda orang lain yang ingin mengkultuskan yang cuba menggunakan undang-undang negara,” katanya lagi.

Mohd Asri sebelum ini mengajak Mohd Na’im tampil berdialog dengannya berhubung RUU itu selain meminta media rasmi kerajaan memberi ruang berkenaan secara terbuka agar rakyat menyaksikan cara menteri berkenaan mempertahankan ideanya.”

Oleh sebab ulasan saya terhadap titah DYMM Raja Perlis lebih ringkas, biarlah saya menyelesaikannya terlebjh dahulu. Saya bersetuju bahawa perkara ini tidaklah patut dibawa ke Majlis Raja-Raja untuk mendapat persetujuan atau sokongan kerana ia terletak di luar bidang kuasa Majlis itu. Ia mungkin akan menyebabkan perbezaan pendapat dan menampakkan perpecahan dalam Majlis itu, apatah lagi mengenai satu perkara yang terletak di luar bidang kuasa Majlis itu. – Lihat, antara lain, rencana-rencana saya bertajuk: Perpaduan Umah: Patutkah Raja-Raja Dilibatkan? (24 05 2016), Majlis Raja-Raja: Fungsinya Menurut Perlembagaan Persekutuan (19 09 2017) dan Tidak Sesuai Meletakkan Jakim Di Bawah Majlis Raja-Raja (18 03 2022).

Undang-undang yang hendak dibuat itu pula adalah sama seperti undang-undang negeri.  Ia hanya terpakai di Wilayah Persekutuan. Ia perlu dibuat oleh Parlimen kerana Wilayah Persekutuan tidak mempunyai Dewan Undangan Negeri.

Tidak ada keperluan bagi negeri-negeri yang hendak membuat undang-undang yang sama merujukkannya kepada Majlis Raja-Raja terlebih dahulu. Demikianlah sebaliknya. Jika ada Raja-Raja yang tidak bersetuju, adakah ia akan ditarik balik? Adakah ia akan menghalang mana-mana negeri membuatnya, walaupun ia bukanlah halangan undang-undang?

Lagi pula, ini adalah isu ilmiah yang, dengan hormat, saya percaya, Raja-Raja tidak mempunyai pengetahuan yang cukup untuk membuat keputusan mengenainya.

Tetapi, jika ada Raja-Raja yang ingin mengetahui, Majlis Raja-Raja bolehlah menjemput mana-mana ilmuan untuk memberi taklimat mengenainya tanpa menghendaki Raja-Raia memberi pendapat, mengambil pendirian atau memberi persetujuan di akhirnya.

Sebelum membincang kritikan Mufti Perlis itu, eloklah saya perturunkan peruntukan berkenaan:

Mufti dan Timbalan Mufti

 (1) Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Menteri selepas berunding dengan Majlis, melantik seorang Mufti dan apa-apa bilangan Timbalan Mufti bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan.

(2) Seseorang itu layak menjadi Mufti atau Timbalan Mufti sekiranya—

(a) dia seorang warganegara Malaysia;

(b) dia seorang Ahli Sunah Waljamaah; dan

(c) dia mempunyai kepakaran dalam Hukum Syarak.

(3) Pelantikan Mufti dan Timbalan Mufti hendaklah disiarkan dalam Warta.

(4) Bagi maksud seksyen ini, “Ahli Sunah Waljamaah” ertinya mana-mana orang yang berpegang dengan al-Quran dan Sunah—

(a) berkenaan dengan akidah, yang mengikut pegangan yang bersumberkan daripada

 aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah;

(b) berkenaan dengan syariah, yang mengikut Mazhab Syafie atau dalam keadaan

 tertentu mengikut mana-mana satu Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali atau ijtihad

 hukum yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa; dan

(c) berkenaan dengan tasawuf, yang mengikut pegangan yang dibawa oleh Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.”

Membaca kritikan Mufti Perlis itu dan peruntukan berkenaan yang saya telah perturunkan, adalan jelas Mufti itu telah tersasar keluar daripada konteksnya. Tafsiran “Ahli Sunah Waljamaah” dalam subseksyen (4) adalah untuk tujuan seksyen itu, iaitu seksyen 3 berkenaan pelantikan Mufti dan Timbalan Mufti. Tajuk seksyen itu adalah “Mufti dan Timbalan Mufti”. Seksyen itu bermula dengan kata-kata “Bagi maksud seksyen ini…”

Selepas itu diikuti pula dengan tafsiran kata-kata “Ahli Sunah Waljamaah” itu. Ertinya  syarat yang disebut dalam tafsiran itu hanya terpakai bagi pelantikan Mufti dan Timbalan Mufti.

Ia bukanlah syarat keislaman seseorang yang tinggal di Wilayah Persekutuan.  Maka, soal 97% penduduk Wilayah Persekutuan tidak mampu memahaminya tidak timbul langsung. Takkanlah mereka semua hendak menjadi Mufti atau Timbalan Mufti? Peruntukan itu bukan mengatakan seseorang yang tinggal di Wilayah Persekutuan hendaklah memenuhi  syarat-syarat itu baru dia diterima sebagai seorang Islam. Bagaimana kelayakan menjadi Mufti dan Timbalan Mufti akan menyebabkan timbulnya masalah kafir mengkafir seperti di antara penyokong PAS terhadap penyokong UMNO dahulu? Mengapa syarat kelayakan Mufti dan Timbalan Mufti perlu dimasukkan ke dalam  kad pengenalan penduduk Wilayah Persekutuan?

Sama ada syarat-syarat itu patut dijadikan syarat pelantikan Mufti dan Timbalan Mufti dari persektif Syariah adalah soal lain. Saya tiada ilmu mengenainya dan tidak layak memberi pendapat mengenainya. Mufti Perlis yang mengaku mengetahuinya dengan mendalam patut mengemukakan hujah-hujahnya dari perspektif ini. Malangnya, beliau tidak berbuat demikian. Sebaliknya, beliau memilih untuk memperlekehkan pengetahuan Menteri Agama itu, hingga, antara lain,  beliau sanggup berkata:

“Jika beliau benar, beliau dahululah buktikan beliau faham sebelum beliau ingin memaksa rakyat. Jika beliau sendiri tidak mampu, apakah beliau mahu menyesatkan akidah rakyat awam yang akhirnya menyesatkan diri?” soalnya dalam kenyataan di Facebook pada Rabu.

Itu bukan cara berhujah ilmiah. Hujah ilmiah hendaklah tertumpu kepada alasan-alasan yang menguatkan atau melemahkan sesuatu pendapat mengenai isu yang dibincangkan, bukan dengan menyerang peribadi orang berkenaan dan membuat tuduhan liar terhadapnya.

Adakah setiap kali seorang Menteri hendak membentang satu rang undang-undang, beliau perlu membuktikan kepada pakar-pakar dalam bidang berkenaan bahawa beliau lebih faham mengenainya daripada orang lain?

Mufti Perlis itu tidak sepatutnya mencabar Menteri Agama berdailog dengannya. Walaupun laporan itu menggunakan perkataan “mengajak”, dibaca keseluruhan apa yang dikatakan oleh beliau, terutama sekali tuntutannya supaya “diberikan ruang secara terbuka disaksikan rakyat untuk bersoal-jawab dengan (Menteri Agama)”, ia jelas menunjukkan beliau hendak memperbodohkan Menteri Agama di khalayak ramai, bukan untuk mengemukakan pendapat dan hujah-hujah beliau untuk dipertimbangkan oleh Kerajaan.

Menteri Agama adalah lantikan politik. Beliau tidak semestinya alim dalam semua  bidang agama. Jika Mufti Perlis itu hendak berdialog, eloklah berdialog dengan Mufti-Mufti negeri lain yang menyokong cadangan itu.

Bagi saya, berdialog  seperti yang dikehendaki oleh Mufti Perlis itu bukanlah cara yang sesuai untuk berbincang perkara ini. Dialog ini tiada bezanya dengan perbahasan yang bertujuan mencari siapa menang, bukan untuk berbincang dengan fikiran terbuka, mendengar pandangan dan hujah-hujah sebelah lagi, menimbang dengan saksama dan membuat keputusan yang adil tanpa mengira menang-kalah. Yang penting adalah mencari keputusan yang adil dan terbaik. Dialong sebagaimana yang dicadangkan oleh Mufti Perlis itu semestinya tidak akan menghasilkan keputusan yang terbaik dalam perkara ini. Ia tidak akan mengubah apa-apa. Kedua pihak akan mempertahankan pendirian masing-masing kerana takut kalah.

[Saya selalu berkata saya menulis bukan untuk mencari makan, maka saya mesti mempertahankan pendapat saya dalam sesuatu perkara. Saya menulis hanya sekadar memberi pendapat saya yang Ikhlas dalam sesuatu perkara untuk dibaca dan difikirkan oleh mereka yang berminat. Saya juga selalu berkata bahawa pandangan kita dalam sesuatu perkara bergantung kepada fakta yang kita tahu mengenainya pada masa itu. Dalam hal ini juga demikian.

Satu fakta yang saya tidak tahu dalam hal ini semasa saya menulis rencana ini beberapa hari lepas ialah bahawa tafsiran perkataan “Ahli Sunah Waljamaah” telah pun dijadikan peruntukan undang-undang di beberapa negeri sebelum ini. Setelah mengetahuinya dan membuat kajian setakat yang mampu oleh saya, saya dapati saya perlu menulis semula bahagian ini.

Sebelum pergi ke situ rasanya eloklah saya sebut bahawa dalam peruntukan mengenai “Agama Negeri” pun ada negeri yang menyebut perkataan “Ahli Sunah Waljamaah” dan ada yang tidak.

Kelantan, Perkara 5, Bahagian Yang Pertama kepada Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan memperuntukkan:

“5. Adalah agama Negeri itu hendaklah agama Islam sebagaimana yang dahulu-dahulu dipegang dan dijalankan di dalam Negeri:”

Selangor, Undang-Undang Tubuh Kerajajaan Negeri Selangor 1959 memperuntukkan:

“Agama  Negeri

XLVI: “Agama Islam sebagaimana yang dianuti dan diamalkan dalam Negeri ini hingga  kini  hendaklah  menjadi  agama  Negeri:”

Kedah, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah memperuntukkan:

“Agama Negeri

33A. Maka agama Negeri ini hendaklah agama Islam Ahli Sunnah Waljamaah seperti yang dipegang dan diamalkan di dalam Negeri ini sehingga sekarang ini:”

Perlis, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis memperuntukkan:

“ Agama Negeri

  1. (1) Agama bagi Negeri ialah agama Islam Ahli Sunnah Wal Jama’ah seperti telah diamalkan di dalam Negeri.”

Mengenai tafsiran Ahli Sunah Waljamaah seperti yang dicadang dalam RUU Mufti itu, hanya Kelantan yang memasukkannya dalam Undang-Undang Perlembagaan Kerajaan Kelantan di Bahgian Yang Kedua, Perkara 4 untuk tujuan kelayakan menjadi Raja, Bakal-Bakal Raja dan Waris-Waris. Ertinya, tafsiran itu hanya terpakai bagi tujuan itu sahaja.

Di Sabah, ia dimasukkan ke dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995 melalui pindaan tahun 2019 yang bererti ia hanya terpakai bagi enakmen tersebut. Tetapi saya tidak dapat menemui peruntukan dalam enakmen itu yang mempunyai perkataan “Ahli Sunah Waljamaah” untuk dipakai tafsiran itu kepadanya.

Di Melaka, tafsiran itu dimasukkan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) melalui Pindaan 2021 di dalam tafsiran perkataan “Hukum Syarak” yang di bahagi kepada dua bahagian iaitu akidah dan Syariah. Tafsiran itu terpakai kepada perkataan “Hukum Syarak” yang digunakan dalam enakmen itu.

Di Johor, peruntukan serupa dengan Melaka dimasukkan melalui Seksyen 2 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) (Pindaan) 2014. Maka, Tafsiran itu terpakai kepada perkataan “Hukum Syarak” yang digunakan dalam enakmen itu.

Belum ada sebuah negeri pun yang menjadikannya undang-undang khusus untuk dipakai sebagai kelayakan pelantikan Mufti dan Timbalan Mufti kerana belum ada negeri yang telah membuat undang-undang khas mengenai institusi Mufti seperti yang dicadangkan di Wilayah Persekutuan ini.

Tidak boleh dinafikan bahawa orang Melayu menerima Islam Ahli Sunah Waljamaah sejak turun temurun; bahawa Raja-Raja Melayu memegang prinsip Ahli Sunah Waljamaah; bahawa agama negeri-negeri Melayu adalah Islam Ahli Sunah Waljamaah dan bahawa, pada amalannya, sama ada disebut dalam undang-undang atau tidak, hampir kesemua negeri-negeri itu, mengikut pegangan yang bersumberkan daripada  aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah berkenaan dengan akidah dan Mazhab Shafie sebagai ikutan utama berhubung dengan Syariah.

Di kebelakangan ini pihak yang bertanggungjawab mengenai agama Islam di negeri-negeri itu merasakan bahawa terdapat ancaman kepada kedudukan itu oleh pihak yang mahu mengembangkan kepercayaan mereka. Mereka berpendapat bahawa ancaman itu perlu di halang.

Orang paling utama dalam sesebuah negeri, selepas Raja, dalam menentang ancaman ini adalah Mufti, kerana Mufti adalah orang yang paling berpengaruh dalam menasihati Raja dan kerajaan mengenai agama Islam, yang bertanggungjawab mengeluarkan fatwa mengenai akidah dan hukum Syarak.

Maka tidak hairanlah jika kerajaan berpendapat bahawa seorang yang hendak dilantik menjadi Mufti mestilah seorang yang mempunayi pegangan seperti yang disebut itu.

Bagaimanakah hendak memastikan orang demikianlah yang akan menduduki jawatan itu? Cara paling berkesan adalah mengadakan satu undang-undang, menyusun semula dan memperkemaskan institusi Mufti dan mensyaratkan orang yang dilantik menjadi Mufti dan Timbalan Mufti berpegang dengan Ahli Sunah Waljamaah seperti yang disebut dalam RUU itu.

Dipandang dari segi itu, tidak ada sebab mengapa patut ada  bantahan terhadapnya. Syarat itu bukanlah perkara baru. Tanpa undang-undang pun, orang seperti itulah yang dilantik selama ini di negeri-negeri itu dan orang seperti Dr. Mazalah yang dilantik menjadi Mufti di negeri Perlis. Biarlah negeri-negeri yang berpendapat syarat itu perlu diperundangkan sekarang melakukannya dan negeri yang tidak mahu berbuat demikian tidak melakukannya.

Proses memperundangkan cadangan ini bolehlah diteruskan tanpa RU

U itu dirujuk kepada Majlis Raja-Raja.][i]

 

20 Oktober 2024

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

[i] Dipinda pada

22 Oktober 2024

 

 

.

1 visits