ANALISIS KEPUTUSAN MJFK MENGENAI ZAKAT SYARIKAT

ANALISIS KEPUTUSAN  MUZAKARAH JAWATANKUASA FATWA KEBANGSAAN MENGENAI ZAKAT KE ATAS SYARIKAT

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Tujuan rencana ini adalah untuk melihat bagaimana Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MJFK) menangani isu entiti undang-undang berasingan dalam keputusan-keputusannya. Dalam rencana-rencana saya sebelum ini, dalam melihat isu itu, saya  telah membincangkan alasan-alasan yang diberi oleh ahli-ahli akademik bagi menyokong keputusan-keputusan MJFK dengan merujuk kepada prinsip berkenaan. Menelitinya semula, usaha mereka itu lebih banyak menimbulkan masalah daripada membantu menyelesaikannya.

Sekarang saya cuma meneliti isu itu daripada keputusan-keputusan MJFK untuk melihat sama ada MJFK mengambil kira prinsip itu, jika ya, bagaimana ia  menanganinya.

Masalah yang saya hadapi ialah untuk mendapatkan keputusan-keputusan itu dan dalam bentuk yang lengkap, yang mengandungi perbincangan, keputusan dan alasan-alasannya. Keputusan-keputusan yang terkandung dalam Kompilasi Pandangan Hukum MJFK hanya mengandungi keputusan-keputusannya sahaja. Cuma ada beberapa yang saya dapati dari Himpunan Keputusan MJFK yang lebih lengkap. Dari dua sumber itu, saya cuma menemui pandangan hukum/keputusan. mengenai zakat syarikat sehingga 2012 sahaja.

Rencana ini hendaklah dibaca bersama-sama “Zakat Wajib Ke Atas Manusia, Bukan Syarikat.” (20 08 2024)

Analisis ini tertumpu kepada syarikat yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965/2016 dan perbadanan yang ditubuhkan di bawah undang-undang tertentu seperti Tabung Haji dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), kesemuanya akan dirujukkan  dengan satu perkataan “syarikat”.

Sebuah syarikat yang ditubuhkan di bawah undang-undang diiktiraf oleh undang-undang sebagai mempunyai entiti undang-undang yang berasingan daripada pemegang-pemegang sahamnya. Prinsip ini telah diputuskan oleh  penghakiman sebulat suara House of Lords di England dalam kes Salomon lwn A. Salomon & Co. Ltd. (1897) AC 22). Ia telah dijadikan undang-undang di Malaysia melalui Akta Syarikat 1965/2016.

Seksyen 20 dan 21 Akta tersebut memperuntukkan:

“Entiti undang-undang berasingan

  1. Sesuatu syarikat yang diperbadankan di bawah Akta ini ialah suatu pertubuhan perbadanan dan hendaklah—
  • mempunyai entiti undang-undang yang berasingan daripada ahli-ahlinya; dan
  1. (1) Sesuatu syarikat hendaklah berupaya untuk menjalankan semua fungsi suatu

pertubuhan perbadanan dan mempunyai kapasiti penuh untuk menjalankan atau menjalankan apa-apa perniagaan atau aktiviti termasuk—

  • untuk mendakwa dan didakwa;
  • untuk memperoleh, memiliki, memegang, membangunkan atau melupuskan apa-apa harta; dan
  • untuk melakukan apa-apa perbuatan yang mungkin dilakukannya atau untuk membuat transaksi.

(2) Sesuatu syarikat hendaklah mempunyai hak, kuasa dan keistimewaan penuh bagi maksud yang disebut dalam subseksyen (1).”[i]

Perlu disebut di sini bahawa sifat dan kuasa syarikat ini adalah berbeza daripada full partnership yang tidak mempunyai entiti undang-undang yang berasingan daripada ahli-ahlinya dan tidak mempunyai fungsi seperti yang disebut dalam seksyen 21 Akta Syarikat 2016.

Soalnya adakah MJFK mengambil kira prinsip itu dalam membuat keputusan-keputusannya. Jika ia mengambil kira, bagaimanakah ia dilakukan dan sama ada ia memberi kesan kepada keputusannya.

  1. PEMBAYARAN ZAKAT OLEH TABUNG HAJI

 Keputusan (3 Mei 1979).

 Lembaga Urusan dan Tabung Haji adalah diwajibkan membayar zakat bagi pihak penyimpan-penyimpan dari wang simpanannya, dari hasil pelaburan dan dari harta yang diperniagakan serta segala keuntungan daripadanya…

Ulasan:

Pertama, isu entiti undang-undang berasingan syarikat langsung tidak disebut. Nampaknya, ia tidak dibangkitkan dan dibincangkan langsung.

Kedua, mengikut construction ayat berkenaan, zakat yang wajib dibayar oleh Tabung Haji itu adalah zakat penyimpan-penyimpan. Tabun Haji diwajibkan membayar bagi pihak mereka.

  1. ZAKAT WANG KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA

 Keputusan (16 – 17 Februari 1982):

MJFK yang bersidang pada 16-17 November 1982 telah membincangkan Zakat Wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Wang daripada KWSP bagi pekerja-pekerja Islam wajib dikeluarkan zakat bila cukup haulnya iaitu setahun setelah penerimaannya berdasarkan Mazhab Shafie.

 Ulasan

 Keputusan ini tidak menyebut siapa yang wajib  mengeluarkan zakat itu, iaitu pekerja atau KWSP. Tetapi satu ayat yang merupakan keputusan itu memberi gambaran KWSP yang kenaamengeluarkannya, sama seperti Tabung Haji (No. 1) dan Koperasi Shamelin (No. 3).

  1. ZAKAT KOPERASI SHAMELIN DAN SEUMPAMANYA

 Keputusan (1-2 Februari 1985):

Muzakarah telah memutuskan bahawa koperasi wajib mengeluarkan zakat bagi pihak ahli-ahlinya.

Ulasan:

 Keputusan ini sama seperti Zakat Wang KWSP. Tiada alasan diberi. Masalah seperti dalam Zakat Wang KWSP juga perlu dijelaskan.

  1. HUKUM ZAKAT KE ATAS SYARIKAT

 Keputusan (9 Disember 1992)

 Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-3, yang bersidang pada 9 Disember 1992 di Kuala Lumpur telah membincangkan tentang Hukum Zakat Ke Atas Syarikat. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Syarikat perniagaan diwajibkan zakat apabila mencukupi syarat-syarat seperti berikut:

  1. perniagaan yang dimiliki oleh orang Islam,
  2. perniagaan yang dimiliki oleh orang Islam yang merdeka,
  3. sempurna milik,
  4. cukup nisab,
  5. cukup haul (genap setahun qamariah atau 354.3 hari),
  6. kadar zakat ke atas syarikat tersebut adalah 2.5 %, dan
  7. syarikat yang dimiliki bersama antara orang Islam dan bukan Islam, maka wajib ke atas jumlah saham yang dimiliki oleh orang Islam sahaja berdasarkan pendapatan bersih yang diperolehi.

Latar Belakang

 Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Penyelarasan Zakat dan Cukai Pendapatan, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri pada 7 Mac 1989 telah memutuskan supaya Bahagian Hal Ehwal Islam menyediakan kertas kerja bertajuk Zakat Ke Atas Syarikat untuk dikemukakan kepada MJFK untuk mendapatkan keputusan tentang hukum dan kadar zakat.

Keputusan ini diperlukan oleh Jabatan Hasil Dalam Negeri (JHDN) bagi membolehkan jabatan tersebut memberi rebat cukai pendapatan dari jumlah5wang yang dibayar oleh syarikat-syarikat berkenaan kepada Majlis atau Jabatan Agama Islam Negeri seperti mana yang diberikan kepada orang perseorangan yang telah membayar zakat. Ini adalah untuk mengelakkan syarikat yang telah membayar zakat daripada terpaksa membayar cukai pendapatan (syarikat berkenaan terpaksa membayar dua kali iaitu zakat dan cukai pendapatan).

Hujah Dan Dalil

 Penubuhan syarikat di negara ini tertakluk di bawah Akta Syarikat 1965. Jenis-jenis syarikat yang ditubuhkan di bawah Akta ini terbahagi kepada tiga iaitu:

  1. syarikat berhad menurut saham,
  2. syarikat tidak berhad, dan
  3. syarikat menurut jaminan.

Para ulama telah sepakat bahawa syarikat-syarikat perniagaan wajib mengeluarkan zakat apabila mencukupi syarat-syarat wajib zakat perniagaan seperti berikut:

  1. Perniagaan yang dimiliki oleh orang Islam,
  2. Perniagaan yang dimiliki oleh orang Islam yang merdeka,
  3. Sempurna milik,
  4. Cukup nisab, dan
  5. Cukup haul (setahun qamariah 354.3 hari).

Pendapat tersebut adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 267. Maksudnya:

“Wahai orang yang beriman! belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu…”

 Para ulama mentafsirkan perkataan kasabtum dengan erti berbagai usaha halal yang dilakukan oleh manusia sama ada usaha perniagaan, perindustrian, pertanian dan sebagainya, sama ada usaha itu dilakukan secara berseorangan atau syarikat. Dalam sebuah Hadis Rasulullah SAW bersabda. Maksudnya:

“…tidak terhimpun antara yang terpisah dan tidak terpisah antara yang terhimpun kerana takut bersedekah (zakat), dan orang-orang yang menternak binatangnya hendaklah berdamai antara keduanya dengan berdasarkan persamaan…”

Berdasarkan hadis ini dapat disimpulkan bahawa beberapa individu yang berada dalam satu syarikat atau perkumpulan maka dianggap satu tanpa dipisah-pisahkan antara satu sama lain.

Apabila sebuah syarikat ditubuhkan dengan niat untuk menjalankan perniagaan sama ada syarikat perkhidmatan, syarikat guaman, perhotelan, runding cara, perubatan, rekreasi, cari gali dan sebagainya, maka syarikat tersebut dianggap syarikat perniagaan yang dikenakan zakat perniagaan. Kadar zakat yang dikenakan adalah sebanyak 2.5% daripada pendapatan bersih.

Oleh itu, menjadi kewajipan syarikat perniagaan mengeluarkan zakat bagi pihak pemiliknya dan sekiranya syarikat tersebut tidak mengeluarkan zakat, maka pemiliknya hendaklah mengeluarkan zakat secara persendirian. Syarikat perkongsian antara orang Islam dan bukan Islam, maka zakat hanya dikeluarkan berdasarkan saham milik orang Islam sahaja.”

Ulasan

Pertama, ini adalah keputusan MJFK yang paling penting mengenai zakat ke atas Syarikat. Satu kertas kerja telah dibuat atas permintaan LHDN untuk membolehkannya membayar rebat cukai bagi bayaran zakat yang dibuat oleh syarikat seperti yang dibayar kepada individu.

Nampaknya LHDN sedar bahawa undang-undang membenarkan rebat diberi kepada individu dan tidak kepada syarikat. Sekarang syarikat membayar zakat penyimpan/pemegang saham  dan memohon LHDN membayar rebat kepadanya. LHDN tidak tahu ia dibenarkan oleh undang-undang untuk membayar rebat itu kepada syarikat dan bertanya MJFK syarikat wajib membayar zakat atau tidak. Maka, Bahagian Hal Ehwal Islam ditugaskan untuk membuat kerta kerja bagi mendapat keputusan (pandangan) MJFK mengenainya.

Kedua, adalah jelas bahawa LHDN telah tersilap meminta pendapat itu daripada  MJFK dan Jawatankuasa Kerja Penyelarasan Zakat dan Cukai Pendapatan, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri telah tersilap mengarahkan Bahagian Hal Ehwal Islam untuk membuat kertas kerja ini. Kuasa memberi rebat cukai kepada individu bukan diberi kepada LHDN oleh MJFK atau Hukum Syarak. Ia diberi oleh undang-undang, Akta Hasil Dalam Negeri 1967. Jika MJFK memberi pandangan bahawa syarikat wajib membayar zakat sekalipun, ia tidak memberi kuasa kepada LHDN untuk memberi rebat kepada syarikat. Yang boleh memberi kuasa itu kepada LHDN adalah satu peruntukan di dalam Akta Hasil Dalam Negeri 1967. Sebab itulah peruntukan membolehkan rebat diadakan dalam akta itu. Seksyen 6A memperuntukkan:

“6A. (1) Tertakluk kepada seksyen ini, cukai pendapatan.…setiap individu pemastautin…hendaklah diberi rebat…. mengikut subseksyen….(3)….”[ii].- (Terjemahan saya.)

 “individul” ditakrifkan dalam seksyen 2 seperti berikut:

‘“individual” means a natural person;” (““individu” ertinya manusia.” – Terjemahan saya.)

 Seksyen 6A (3) memperuntukkan:,

“(3) Rebat hendaklah diberikan… bagi apa-apa zakat, fitrah atau apa-apa bayaran yuran agama Islam lain yang diwajibkan…”[iii] (Terjemahan saya.)

 Pindaan undang-undang perlu dibuat oleh Parlimen, bukan pandangan hukum oleh   MJFK. Tajuk kertas kerja itu juga tidak berkenaan. Biar apa pun jawapan kepadanya tidak memberi kuasa kepada LHDN memberi rebat kepada syarikat.

Ketiga, ini adalah kali pertama dalam membuat keputusannya mengenai zakat ke atas Syarikat MJFK (sebenarnya pegawai-pegawai yang menulis kertas kerja muzakarah  itu dan menggubal keputusannya) merujuk kepada Akta Syarikat 1965 itu pun hanya sekadar menyebut jenis-jenis syarikat yang boleh ditubuh di bawahnya dan terus mengatakan:

“Para ulama telah sepakat bahawa syarikat-syarikat perniagaan wajib mengeluarkan zakat,,,, (lihat di atas).

Keempat, keputusan itu langsung tidak menyebut mengenai prinsip entiti undang-undang berasingan atau perbezaan di antara perniagaan secara perkongsian dan syarikat. Jika cukup syaratnya, tidak kira apa bentuk perniagaannya, orang Islam wajib bayar zakat daripada perniagaan itu.

Jika ia berhenti setakat itu, saya tiada masalah. Ertinya MJFK tidak melihat kepada bentuk organisasi perniagaan itu, ia hanya melihat kepada orang itu, dia orang Islam atau tidak. Jika dia orang Islam, maka dia kena bayar zakat ke atas keuntungan daripada perniagaannya tidak kira apa bentuk organisasi itu. Tidak ada masalah dalam menentukan jumlah keuntungan seseorang. Khultah pun tidak perlu. Tetapi, zakat itu adalah zakat orang itu dan yang wajib membayarnya adalah dia, bukan organisasi itu kerana organisasi itu bukanlah entiti undang undang yang berlainan.

Kelima, masalahnya ialah apabila ia seterusnya mengatakan bahawa Syarikat yang ditubuh di bawan Akta Syarikat 1965/2016 itu diwajibkan membayar zakat. Ini meletakkan kewajipan itu ke atas syarikat itu dan bukan lagi ke atas orang-orang yang berniaga melalui syarikat itu. Ini menimbulkan gambaran bahawa syarikat itu adalah satu entiti undang-undang yang berlainan dan soalan sama ada syarikat itu seorang Islam dan Rukun Islam wajib ke atasnya.

Keenam, untuk mengislamkan syarikat itu, diletakkan syarat “perniagaan yang dimiliki oleh orang Islam”. Jika perniagaan dimiliki oleh orang Islam, maka orang itulah yang wajib membayar zakatnya sendiri, bukan syarikat. Jika, apa yang dimaksudkan di sini, seperti mana kerapkali disebut, iaitu pemegang sahamnya orang Islam, ia menimbulkan pula isu bagaimana agama manusia boleh dikenakan kepada syarikat yang bukan makhluk Allah yang boleh beriman dan menolak iman.

Ketujuh, dikatakan pula “menjadi kewajipan syarikat perniagaan mengeluarkan zakat bagi pihak pemiliknya.” Saya percaya perkataan “pemiliknya” adalah sama dengan perkataan “pemegang sahamnya”. Ini seolah-olah mengakui MJFK mengiktirafkan prinsip entiti undang-undang berasingan dan syarikat wajib membayar zakat  pemegang sahamnya.

Kelapan, petikan ayat 267 surah Al-Baqarah itu menunjukkan yang wajib membayar zakat adalah orang yang beriman, bukan  satu entiti undang-undang yang tidak boleh beriman atau menolak iman. Mengenai ayat ini, MJFK sendiri mengatakan “para ulama mentafsirkan perkataan kasabtum dengan erti berbagai usaha.…yang dilakukan oleh manusia sama ada…. secara berseorangan atau syarikat.”

Yang melakukan perniagaan adalah manusia, syarikat adalah salah satu caranya. Maka, yang wajib bayar zakat adalah manusia itu, bukan cara usaha  itu. Dari mana datangnya cara (syarikat) itu yang wajib membayar zakat. Saya percaya para ulama  itu membuat tafsiran sebelum House of Lords, England memutuskan kes Salomon lwn A. Salomon & Co. Ltd. dalam tahun 1897, atau tanpa mengetahui adanya prinsip entiti undang-undang berasingan atau syarikat berhad seperti yang ada sekarang. Yang mereka tahu adalah perkongsian (partnership) di mana prinsip itu tidak terpakai.

Pegawai-pegawai yang menyediakan kertas kerja itu dan ahli-ahli MJFK tentu tahu  syarikat-syarikat seperti yang ada sekarang tetapi kita tidak tahu sama ada mereka tahu atau sedalam mana mereka tahu prinsip entiti undang-undang berasingan itu. Laporan keputusan MJFK tidak menyebutnya langsung. Cara keputusan itu ditulis menunjukkan MJFK langsung tidak mengambil kira perbezaan di antara syarikat dan perkongsian dan tidak langsung mengambil kira kesan prinsip itu kepada keputusan mereka. Intipati keputusan itu ialah “Apabila sebuah syarikat ditubuhkan dengan niat untuk menjalankan perniagaan …. maka syarikat tersebut dianggap syarikat perniagaan yang dikenakan zakat perniagaan.

 Oleh itu, menjadi kewajipan syarikat perniagaan mengeluarkan zakat bagi pihak pemiliknya dan sekiranya syarikat tersebut tidak mengeluarkan zakat, maka pemiliknya hendaklah mengeluarkan zakat secara persendirian.”

 Ia bererti orang-orang yang memiliki syarikat itu (ahli-ahli MJFK berfikir ia seperti satu perkongsian) dan syarikat itu adalah satu. Yang mengelirukan ialah apabila keputusan itu berkata…. “maka syarikat tersebut dianggap syarikat perniagaan yang dikenakan zakat perniagaan.” Ini memberi gambaran bahawa syarikat tersebut wajib membayar zakat perniagaannya. Tetapi ayat tersebut diikuti dengan ayat “Oleh itu, menjadi kewajipan syarikat perniagaan mengeluarkan zakat bagi pihak pemiliknya…” yang memberi erti bahawa yang menjalankan perniagaan itu ialah orang-orang itu, yang wajib membayar zakat ialah orang-orang itu, tetepi, syarikat pula wajib membayar zakat itu bagi pihak mereka. Itulah yang mengelirukan.

Adalah jelas daripada keputusan itu bahawa MJFK treat perkongsian dan syarikat yang ditubuh di bawah Akta Syarikat1965/2016 sebagai sama sahaja.

 ZAKAT KE ATAS SYARIKAT YANG DIMILIKI OLEH BERBAGAI JENIS PEMEGANG SAHAM YANG BERCAMPUR MUSLIM DAN NON-MUSLIM

 Keputusan (10 Mei 2001):

 MJFK yang bersidang pada 10 Mei 2001 telah membincangkan Zakat Ke Atas Syarikat Yang Dimiliki Oleh Berbagai Jenis Pemegang Saham Yang Bercampur Muslim Dan Non-Muslim. Muzakarah telah memutuskan bahawa syarikat yang bercampur antara pemegang saham Muslim dan non-Muslim, dikenakan zakat bahagian Muslim sahaja.

Ulasan

 Keputusan ini sama seperti Zakat Ke Atas Syarikat.(No. 5).

  1. HUKUM ZAKAT TERHADAP FIRMA-FIRMA SYARIKAT KONSULTAN

 Keputusan (10 Mei 2001)

 MJFK yang bersidang pada 10 Mei 2001 telah membincangkan Hukum Zakat Terhadap Firma-Firma Syarikat Konsultan.

Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Wajib zakat ke atas firma-firma dan syarikat konsultan, jika dimiliki bersama antara orang Islam dengan bukan Islam. Hak orang Islam sahaja yang kena zakat dan tidak ke atas milik bukan Islam.

Ulasan

Keputusan ini sama seperti No. 4 dan 5. Ia menekankan semula syarat pemilikan orang Islam.

  1. ZAKAT SYARIKAT/ANAK SYARIKAT YANG DIMILIKI OLEH PERBADANAN NASIONAL BERHAD (PNB).

Keputusan (16 Ogos 2001):

 MJFK yang bersidang pada 16 Ogos 2001 telah membincangkan zakat syarikat/anak syarikat yang dimiliki oleh PNB. MJFK telah memutuskan bahawa PNB memiliki anak-anak syarikat yang tidak disatukan. Masa kini anak syarikat milik PNB tidak dikenakan zakat tetapi zakat hanya dikenakan pada pelaburan perseorangan dan pemegang saham sahaja.

Oleh itu menjadi tanggungjawab PNB memberikan kesedaran kepada pelabur perseorangan supaya membayar zakat untuk mereka. PNB juga dikehendaki memberi peringatan kepada pemegang saham supaya membayar zakat.

Ulasan

 Siapa yang tidak mengenakan zakat ke atas anak-anak syarikat itu tetapi mengenakan zakat ke atas pelaburan perseorangan dan pemegang saham sahaja? Adakah pihak pengurusan sendiri yang memohon untuk mendapat keputusan MJFK sama ada anak-anak syarikat itu wajib membayar zakatnya sendiri atau zakat ke atas pelaburan perseorangan dan pemegang sahamnya?

Nampaknya, keputusan yang diberi itu hanya merupakan nasihat kepada anak-anak syarikat itu untuk menasihatkan pemegang saham masing-masing. Sebenarnya, setiap anak syarikat itu adalah sebuah syarikat yang berasingan. Keputusan mengenai zakat ke atas syarikat (dalam No. 4) adalah terpakai dan patut dikenakan kepada anak-anak syarikat itu supaya selaras.

  1. ZAKAT KE ATAS BANK-BANK DAN SYARIKAT-SYARIKAT PERNIAGAAN YANG BERLANDASKAN SYARIAH YANG SYARIKAT INDUKNYA DIMILIKI OLEH ORANG BUKAN ISLAM

Keputusan (16 Ogos 2001):

 MJFK yang bersidang pada 16 Ogos 2001 telah membincangkan Zakat Ke Atas Bank-Bank dan Syarikat-Syarikat Perniagaan Yang Berlandaskan Syariah Yang Syarikat Induknya DiMiliki Oleh Orang Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa semua perbankan Islam yang menjalankan pengurusan perniagaan berlandaskan Syarak wajib mengeluarkan zakat begitu juga semua kaunter yang menjalankan perniagaan berlandaskan syarak yang induknya bukan Islam.

Ulasan

Saya hanya memperolehi keputusannya sahaja. Oleh itu saya tidak tahu atas hujah dan dalil apakah keputusan itu dibuat.

Nampaknya hanya satu faktor yang dipertimbangkan iaitu asalkan bank-bank dan kaunter-kaunter itu menjalankan pengurusan perniagaan berlandaskan Syariah, maka wajiblah ia mengeluarkan zakat.

Ambil perhatian bahawa semua syarat yang ditetapkan dalam keputusan mengenai Zakat Ke Atas Syarikat (No. 4) tidak dikenakan walaupun institusi-institusi itu juga adalah syarikat. Ertinya, syarat pemegang sahamnya orang Islam tidak diperlukan lagi.

Jika hanya faktor pengurusan perniagaan berlandaskan Syarak, yang bererti perniagaannya patuh Syariah sahaja yang menjadi pertimbangan, maka syarat yang ditetapkan sebelum ini sudah tidak berkenaan lagi. Maka, asalkan syarikat itu menjalankan perniagaan patuh Syariah, maka wajiblah ia mengeluarkan zakat, tidak kiralah apa perniagaannya.

Keputusan ini juga bererti zakat yang perlu dibayar itu adalah zakat syarikat itu sendiri, bukan zakat pemegang-pemegang sahamnya seperti yang diputuskan sebelum ini. Lagi pula, jika syarat pemegang-pemegang sahamnya orang Islam pun sudah tidak dikehendaki lagi, maka tiada lagi zakat pemegang-pemegang saham yang perlu dibayar oleh syarikat bagi pihak mereka. Ia juga bererti syarikat yang dipunyai oleh orang bukan Islam juga dikenakan zakat?

Ini bererti semua keputusan sebelum ini sudah tidak terpakai lagi (overruled). Yang tinggal hanya satu soalan untuk dipertimbangkan: perniagaannya patuh Syariah atau tidak.

Adakah keputusan ini hanya terpakai bepada bank-bank dan kaunter-kaunter yang menjalankan pengurusan perniagaan berlandaskan Syariah. Jika ya, atas asas apa? Apakah yang membezakan syarikat-syarikat perniagaan kewangan dengan syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan-perniagaan lain dalam isu kewajipan membayar zakat?

 Zakat Ke Atas Syarikat

  1. ZAKAT KE ATAS SYARIKAT YANG DIMILIKI OLEH TABUNG HAJI

 Keputusan (29 Julai 2003):

 MJFK yang bersidang pada 29 Julai 2003 telah membincangkan Zakat Ke Atas Syarikat Yang Dimiliki Oleh Tabung Haji. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Anak-anak syarikat Tabung Haji wajib membayar zakat masing-masing. Dalam membuat perkiraan zakat, dividen yang diisytiharkan oleh anak-anak syarikat dan dibayarkan kepada syarikat induk hendaklah ditolak. Zakat ini hendaklah dibayar berdasarkan modal asal dan keuntungan sekiranya ada.

Ulasan

 Nampaknya, anak-anak syarikat ini dipunyai sepenuhnya oleh Tabgun Haji. Maka anak-anak syarikat itu diwajibkan membayar zakatnya sendiri, bukan zakat pemegang sahamnya. Maka, syarat yang diletakkan dalam keputusan No. 4, 5 dan 6 tidak terpakai lagi. Atau adakah ini suatu pengecualian kepada anak-anak Syarikat Tabung Haji kerana penyimpan/pemegang sahamnya semuanya orang Islam? Ertinya mereka menyingkap tirai syarikat dua kali? Atau, adakah keputusan ini menurut No. 8 yang hanya melihat sama ada perniagaannya berlandaskan Syariah atau tidak.

Zakat

  1. ZAKAT ANGKATAN KOPERASI KEBANGSAAN ALAYSIA (ANGKASA).

 Keputusan (23 Oktober 2003)

 MJFK yang bersidang pada 23 Oktober 2003 telah membincangkan Zakat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA). Muzakarah telah memutuskan bahawa:

ANGKASA wajib mengeluarkan zakat setelah ditolak semua perbelanjaan perkhidmatan, pengurusan dan cukai pendapatan kiranya cukup haul dan nisab dengan kadar 2.5%.

  1. Zakat hendaklah dibayar berdasarkan kepada pendapatan dan keuntungan daripada aktiviti perniagaan yang dijalankan apabila mendapat pertumbuhan, perkembangan dan pembesaran berbanding nilai dan modal.

Latar Belakang

ANGKASA merupakan sebuah koperasi apex yang menggabungkan semua jenis koperasi asas, menengah dan atasan di seluruh negara. ANGKASA diiktiraf oleh kerajaan sebagai badan yang mewakili Pergerakan Koperasi Malaysia pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ia didaftarkan di bawah Akta Koperasi 1993 dan diiktiraf oleh kerajaan di bawah seksyen 57 (semakan saya menunjukkan seksyen 57 tidak berkenaan; mungkin seksyen 7) akta yang sama. Keanggotaannya terdiri daripada koperasi-koperasi, bukan orang perseorangan dan tidak ada modal dan tidak menjalankan apa-apa perniagaan berdasarkan pengeluaran produk. Tujuan asal ia ditubuhkan adalah untuk:

1. menyatukan pergerakan koperasi tanah air supaya boleh bercakap sebagai satu suara,

2. mengembangkan konsep dan prinsip berkoperasi menerusi Pendidikan dan sebagainya, dan

3. mengadakan perkhidmatan dan kemudahan yang diperlukan oleh koperasi ahli ANGKASA setakat kemampuannya.

Sebagai badan apex, ANGKASA tidak mengenakan apa-apa bayaran atau fee kepada koperasi yang menjadi ahli kecuali bayaran masuk. Kewangan ANGKASA diperoleh daripada:

  1. peruntukan daripada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi (KWAPK),
  2. bayaran perkhidmatan yang dikenakan kepada koperasi yang menggunakan  kemudahan potongan gaji Biro Perkhidmatan ANGKASA (BPA), dan
  3. skim Amanah Saham yang ditubuhkan oleh ANGKASA.

Sebahagian wang yang diperoleh digunakan untuk program latihan termasuk mengadakan bengkel, seminar dan belanja perwakilan ANGKASA menghadiri majlis atau mesyuarat sama ada peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Manakala lebihan wang tersebut dibawa ke tahun hadapan.

Persoalan yang timbul ialah adakah ANGKASA perlu mengeluarkan zakat daripada keuntungan yang diperoleh menerusi operasi perniagaan tidak langsung (tanpa produk), pendapatan dan laba daripada sektor pelaburan yang diceburi? Apakah ANGKASA memenuhi kriteria syakhsiah maknawiyyah atau i’tibariyyah dan dikategorikan mukalaf sebagai individu Muslim?

Hujah Dan Dalil

 Memandangkan ANGKASA mempunyai pendapatan sendiri walaupun tiada pegangan saham atau kepentingan individu di dalamnya, ANGKASA sendiri boleh diiktiraf sebagai sebuah syarikat Muslim dan ia boleh dianggap sebagai syakhsiah maknawiyyah atau i’tibariyyah dalam penentuan zakat.

Al-Quran menjelaskan bahawa zakat wajib dikeluarkan pada emas dan perak, tanaman dan buah-buahan, harta perniagaan dan harta tersimpan dari perut bumi. Manakala selain yang tersebut, kewajipan berzakat disandarkan kepada dalil umum daripada kalimah “amwal” yang bermaksud “harta” sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Taubah:

Maksudnya:

Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyusucikan mereka (dari akhlak yang buruk). – Al-Quran, Surah al-Taubah 9:103.

Justeru, ANGKASA sebagai syakhsiah i’tibariah wajib mengeluarkan zakat daripada keuntungan bersih kegiatan perniagaannya itu sebanyak 2.5% sebagai zakat perniagaan.

Kewajaran Pembayaran Zakat Oleh ANGKASA

 Terdapat beberapa kewajaran yang menuntut ANGKASA perlu mengeluarkan zakat. Antara lainnya adalah seperti berikut:

  1. Menjalankan Aktiviti Perniagaan ANGKASA merupakan badan koperasi dan bukan syarikat perniagaan. ANGKASA menyatakan tidak menjalankan apa-apa perniagaan dengan maksud koperasi tidak menjalankan aktiviti perniagaan yang melibatkan pengeluaran sesuatu jualan. Penglibatan ANGKASA dalam aktiviti perniagaan adalah secara tidak langsung seperti pendapatan daripada Bayaran Perkidmatan Potongan Gaji (BPA), sumbangan daripada koperasi-koperasi yang berada di bawahnya dan wang pelaburan dalam skim Tabungan Amanah Saham Angkasa dan dalam bank-bank.
  2. Mempunyai Punca Pendapatan. ANGKASA adalah ditadbir mengikut konsep koperasi dan tidak bergiat dalam kegiatan perniagaan pengeluaran produk seperti koperasi-koperasi lain. ANGKASA yang didaftarkan di bawah Akta Koperasi 1993 adalah sebuah koperasi yang turut mempunyai punca pendapatan melalui pelbagai sumber seperti pulangan bank, penjualan, sewaan dan pelaburan serta lain-lain pembayaran.
  3. Koperasi Sebagai Sebuah Syarikat. Berdasarkan konsep dan aktiviti ANGKASA, badan koperasi ini juga boleh dikategorikan sebagai syarikat iaitu penyertaan secara bersama dalam bentuk aktiviti yang dipersetujui. Dalam Islam ia mungkin boleh dikategorikan sebagai syarikat inan. Syarikat inan ialah perkongsian keuntungan tanpa ditentukan jumlah modal. Menurut Wahbah al-Zuhaily konsep perkonsian sebelah pihak menjalankan aktiviti (al-amil) dan sebelah pihak pencarum (rab al-mal/al-malik) ialah dikenali sebagai muamalat sebuah syarikat mudharabah. – Zuhayli, Wahbah, Fiqh al-Islami wa adillatuhu, Dar al-fikr al-muasir, Beirut, Lubnan, 1991, jid.3, hlm.1878.

Berdasarkan fakta-fakta tersebut, operasi dan konsep perniagaan yang dijalankan oleh ANGKASA sebenarnya memenuhi kriteria sebagai sebuah badan yang mempunyai keuntungan dan pendapatan sama seperti sebuah syarikat. Oleh itu, amat wajar ANGKASA dikategorikan sebagai syakhsiahal-maknawiyyah atau syaksiyyah iktibariyyah (dianggap sebagai seorang individu) yang perlu dikenakan zakat. Keupayaan secara kolektif oleh individu-individu yang mentadbir ANGKASA menjadikan badan koperasi ini mempunyai ciri-ciri mukalaf sama seperti mukallaf al-fardiyyah yang secara umumnya wajib membayar zakat.

Ulasan

 Berlainan dari syarikat, ANGKASA tidak mempunyai pemegang saham; keanggotaannya terdiri daripada koperasi-koperasi, bukan orang perseorangan; ia tidak ada modal dan tidak menjalankan apa-apa perniagaan berdasarkan pengeluaran produk. Tetapi, dalam membuat keputusannya, ANGKASA adalah dianggap sebagai syarikat atas alasan yang diberi dalam perenggan (c).

Sebenarnya, semua alasan itu tidak perlu jika mereka melihat seksyen 9 Akta Koperasi 1993 yang memperuntukkan:

 “Koperasi hendaklah menjadi pertubuhan perbadanan

  1. Pendaftaran sesuatu koperasi hendaklah menjadikannya suatu pertubuhan perbadanan dengan nama yang di bawahnya ia didaftarkan, yang kekal turuntemurun dan mempunyai meterai perbadanan, dan dengan kuasa untuk memegang segala jenis harta alih dan harta tak alih, membuat kontrak, memulakan dan membela guaman dan prosiding undang-undang yang lain dan membuat segala benda yang perlu bagi maksud yang baginya ia ditubuhkan.”

Pendek kata, ANGKASA adalah sebuah syarikat seperti yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965/2016.

Nampaknya, oleh sebab ANGKASA bukan seperti sebuah syarikat biasa maka terpaksalah dicari alasan-alasan lain untuk menjadikannya sebuah syarikat yang wajib membayar zakat. Maka, buat kali pertama kita temui terma-terma seperti syakhsiah al-maknawiyyah, syaksiyyah iktibariyyah (dianggap sebagai seorang individu) dan mukallaf al-fardiyyah yang, mengikut MJFK, secara umumnya wajib membayar zakat. Maka, diputuskanlah bahawa “memandangkan ANGKASA mempunyai pendapatan sendiri walaupun tiada pegangan saham atau kepentingan individu di dalamnya, ANGKASA sendiri boleh diiktiraf sebagai sebuah syarikat Muslim dan ia boleh dianggap sebagai syakhsiah maknawiyyah atau i’tibariyyah dalam penentuan zakat.”

Dengan itu syarat-syarat seperti pemegang sahamnya mesti orang Islam tidak dierlukan lagi. Malah, tanpa menerima prinsip entiti undang-undang yang berasingan, MJFK telah pergi lebih jauh dari itu. House of Lords, England dan Parlimen Malaysia hanya  mewujudkan entiti undang-undang berasingan yang diberi kuasa tertentu mengenai urusan di dunia, MJFK telah mewujudkan Muslim tiruan yang beragama Islam dan wajib melaksanakan Rukun Islam, tetapi satu sahaja. Adakah Muslim tiruan itu akan mati, dihidupkan semula, diadili dan akan masuk syurga atau neraka?

  1. ZAKAT KE ATAS PENDAPATAN FELDA DAN SYARIKAT-SYARIKATNYA

Keputusan (22-24 November 2005):

 MJFK yang bersidang pada 22-24 November 2005 telah membincangkan Zakat Ke Atas Pendapatan FELDA Dan Syarikat-Syarikatnya. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. FELDA wajib mengeluarkan zakat ke atas hasil pendapatannya dengan mengambilkira pendapatan anak-anak syarikat, sekiranya semua urusan ke atas pemilikan ekuiti dan akaun pendapatan anak-anak syarikat dikawal oleh FELDA sendiri.
  1. Walau bagaimanapun, sekiranya pendapatan anak-anak Syarikat FELDA diuruskan melalui akaun yang berasingan, maka anak-anak syarikat tersebut wajib mengeluarkan zakat pendapatannya secara berasingan.

Ulasan

Perhatikan bahawa tidak ada pemegang saham individu, cuma FELDA. Maka keputusan itu tidak menyebut ia perlu dibayar bagi pihak pemegang salam Islam. Keputusan itu seperti anak-anak syarikat itu wajib membayar zakatnya sendiri seperti seorang manusia Islam.

  1. HUKUM BAYARAN ZAKAT KWSP SEJURUS PENGELUARAN – SATU ALTERNATIF

Keputusan (25 – 27 Julai 2006)

MJFK yang bersidang pada 25-27 Julai 2006 telah membincangkan hukum ‘bayaran zakat KWSP sejurus pengeluaran-satu alternatif, telah memutuskan keputusan berikut:

  1. Mazhab Syafie menetapkan bahawa zakat harta wajib dikeluarkan apabila cukup nisab dan tempoh haulnya. Wang KWSP adalah harta simpanan. Wang KWSP apabila dikeluarkan adalah diwajibkan zakat apabila sempurna kedua-dua syarat iaitu cukup nisab dan haul yang ditetapkan. Walau bagaimanapun jumhur ulama berpandangan bahawa zakat harta boleh dikeluarkan lebih awal daripada waktu yang sepatutnya dengan syarat harta tersebut telah mencukupi nisabnya.
  1. Berdasarkan pandangan tersebut, Muzakarah memutuskan bahawa Keputusan Jawatankuasa Fatwa yang bersidang kali ke-5 pada 16-17 November 1982 dipinda seperti berikut:

Pencarum KWSP digalakkan mengeluarkan zakat sejurus menerima atau mengeluarkan wang KWSP tersebut jika cukup nisabnya tanpa menunggu haul setahun.

Ulasan

Perhatikan keputusan ini hanya bersifat nasihat kepada pencarum KWSP.

 Kesimpulan

 Dukacita, dalam membuat keputusan-keputusan yang begitu penting MJFK tidak mengemukakan hujah-hujah yang lebih mendalam. Alasan-alasan yang diberi hanya sekadar memetik satu dua ayat Al-Quran tanpa membincangnya dengan mendalam kesesuaian pemakaiannya kepada fakta di hadapan kita. Misalnya, Ayat 267, Surah Al-Baqarah yang menjadi sandaran utama mengenai kewajipan berzakat dipetik tanpa membincang kata-kata “Wahai orang yang beriman”, sama ada ia meliputi satu pertubuhan  bukan manusia yang tidak boleh beriman.

Demikian juga dengan pendapat-pendapat ulama terdahulu. Jika ada pendapat ulama-ulama yang terdahulu, tanpa membincang alasan-alasan keputusan itu, ia terus diikuti. Jika ada pendapat yang berbeza dalam sesuatu perkara, pandangan majoriti dipakai tanpa menganalisis alasan-alasannya dan alasan-alasan pandangan minoriti.

 Biar apa pun, apakah kesimpulan yang boleh dibuat setakat ini?

Pertama, MJFK sekali pun tidak menyebut prinsip entiti undang-undang berasingan syarikat yang ditubuh di bawah Akta Syarikat 1965/2016. Rujukan kepada Akta itu hanya dibuat sekali, untuk menunjukkan jenis-jenis syarikat yang boleh ditubuh di bawah akta itu, itu pun hanya setakat menyebut namanya sahaja. Ertinya, MJFK tidak mengambil kira prinsip itu langsung dalam membuat keputusannya.  Ia melihat kepada orang dalam kumpulan itu, jika mereka Islam syarikat itu wajib membayar zakat, bagi pihak pemegang sahamnya. Jika sebahagian sahaja dimiliki oleh orang Islam, syarikat itu wajib membayar zakat untuk bahagian orang Islam sahaja.

Setakat itu pun sudah bermasalah. Bagaimana agama manusia yang boleh beriman dan beriman boleh dipadankan kepada bukan manusia yang tidak boleh beriman atau kufur? Jika ia wajib membayar zakat, mengapa zakat orang lain dan tidak zakatnya sendiri?

Pendirian itu kekal sehingga 16 Ogos 2001 apabila MJFK memutuskan bahawa bank-bank dan syarikat-syarikat perniagaan yang berlandaskan Syariah yang syarikat induknya dimiliki oleh orang bukan Islam, wajib membayar zakat. (No. 8) Syarat pemegang saham Islam sudah tidak dikehendaki lagi. Hanya satu syarat yang tinggal iaitu, perniagaannya berlandaskan Syariah.

Oleh sebab pemegang saham Islam tidak ada lagi, maka zakat mereka pun tidak ada lagi. Ini bererti syarikat itu diwajibkan membayar zakatnya sendiri, bukan bagi pihak pemegang saham Islam lagi. Ini bererti MJFK telah menerima prinsip entiti undang-undang berasingan. Adakah MJFK menyedarinya? Ini juga menimbulkan masalah atas asas apa perubahan itu dibuat?

Dua tahun kemudian (2003), MJFK membuat keputusan yang penting apabila ia mewajibkan ANGKASA membayar zakat keuntungan perniagaannya atas alasan ia mempunyai pendapatan sendiri (No.10). Kita lihat bagaimana dalam kes ini oleh sebab MJFK salah menganggap ANGKASA bukan sebuah syarikat, maka dicarilah alasan untuk mengatakan ia serupa dengan syarikat dan buat kali pertama kita temui terma-terma seperti syakhsiah al-maknawiyyah, syaksiyyah iktibariyyah dan mukallaf al-fardiyyah digunakan….”

Kita lihat juga kewajaran ANGKASA dikenakan zakat iaitu ia menjalankan aktiviti perniagaan, ia mempunyai punca pendapatan dan koperasi sebagai sebuah syarikat,

buat kali pertama, dijadikan alasan untuk mewajibkannya membayar zakat.

Kesemua ini membawa kepada kesimpulan, oleh itu, ANGKASA “boleh diiktiraf sebagai sebuah syarikat Muslim dan ia boleh dianggap sebagai syakhsiah maknawiyyah atau i’tibariyyah dalam penentuan zakat.”

Maka, kita dapat lihat perkembangannya daripada mewajibkan syarikat membayar zakat kerana pemegang salamnya orang Islam (1979) hingga kepada perniagaannya patuh Syariah (syarat-syarat lain tidak perlu lagi) (2001) hingga kepada penciptaan “syarikat Muslim” atau “Muslim tiruan” yang wajib membayar zakatnya sendiri (2003) tanpa menerima prinsip entiti undang-undang berasingan. Tetapi, sebenarnya, tanpa menyedarinya, MJFK telah pergi lebih jauh dan mencipta “syarikat Muslim” atau “Muslim tiruan”, menjadikannya seorang yang beriman dan mengenakannya kewajipan membayar zakat seperti manusia yang beriman pada tahun 2003, dalam tempoh 24 tahun.

Saya boleh terima Parlimen membuat undang-undang memberi kuasa keduniaan kepada syarikat dalam beberapa perkara tertentu. Saya memang menerima tanpa was-was barang sedikit pun kekuasaan dan kebijaksanaan Allah (S.W.T.) mencipta manusia yang boleh beriman dan meletakkan ke atas mereka kewajipan melaksanakan Rukun Islam, termasuk zakat. Tetapi, saya tidak boleh terima manusia, walaupun ulama, mencipta “syarikat Muslim” atau “Muslim tiruan”, menganggapnya seperti “orang yang beriman” dan mewajibkannya melaksanakan satu daripada Rukun Islam, iaitu zakat.

Melainkan dikemukakan hujah-hujah yang lebih meyakinkan, saya lebih selesa dengan pandangan bahawa zakat  adalah kewajipan agama ke atas manusia yang beriman, bukan ke atas syarikat yang tidak boleh beriman atau menolak iman. Wallahu  a‘lam.

14 September 2024

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

[i] Separate legal entity

  1. A company incorporated under this Act is a body corporate and

shall—

(a) have legal personality separate from that of its members; and…

 Companies have unlimited capacity

  1. (1) A company shall be capable of exercising all the functions of a body corporate and have the full capacity to carry on or undertake any business or activity including—

(a) to sue and be sued;

(b) to acquire, own, hold, develop or dispose of any property; and

(c) to do any act which it may do or to enter into transactions.

 (2) A company shall have the full rights, powers and privileges for the purposes mentioned in subsection (1).

 [ii] “6A. (1) Subject to this section, income tax.…of every individual resident…shall be rebated…. in accordance with subsections….(3)….”.

 [iii] “(3) A rebate shall be granted… for any zakat, fitrah or any other Islamic religious dues payment of which is obligatory…”

 

1 visits