PENGAMPUNAN DAN PEMBATALAN KEHILANGAN KELAYAKAN UNTUK MENJADI AHLI PARLIMEN (DISEMAK SEMULA)

PENGAMPUNAN DAN PEMBATALAN KEHILANGAN KELAYAKAN UNTUK MENJADI AHLI PARLIMEN
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Perkara 42(1) Perlembagaan, antara lain, memperuntukkan:

42. (1) Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan …yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan…”.

Dalam Bahasa Inggeris, bahasa rasmi Perlembagaan, kata-kata ampun, tunda hukum dan lega hukum itu adalah “pardons, reprieves and respites”.

Perkara 42 hanya menyebut mengenai “ampun”. Ia tidak menyebut mengenai “pengampunan bebas” atau “pengampunan penuh”. Bahkan ia tidak mentafsirkan perkataan “ampun”, sama ada ia memansuhkan sabitan dan hukuman, atau tidak.

Sebenarnya, bagi tujuan membolehkan seseorang pesalah itu bertanding dalam pilihan raya, soal sama ada pengampunan itu memansuhkan sabitan dan hukuman atau hanya sekadar memaafkan kesalahannya dan memaafkannnya daripada menjalaji hukumannya, tidak penting. Yang penting ialah sama ada dia diberi “pengampunan bebas” atau tidak. Jika diberi, dia tidak hilang kelayakan (Perkara 48(1)(e)). Jika tidak, sama ada kehilangan kelayakannya dibatalkan atau tidak. Jika dibatalkan, dia juga tidak hilang kelayakannya (Perkara 48(3)).

Yang mengaitkan Perkata 42 dengan Perkara 48 adalah Perkara 48 (1) (e). Perkara 48, setakat yang berkenaan dengan perbincangan kita sekarang, memperuntukkan:

48. (1) Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, seseorang hilang kelayakan untuk menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen jika—
…..

(e). dia telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Wilayah-wilayah Persekutuan …. dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan bebas; atau
……….

(3) Kehilangan kelayakan seseorang di bawah perenggan…. (e) Fasal (1) boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong…”

Perkara 48(1)(e) menyatakan apa yang menyebabkan seseorang itu hilang kelayakannya. Ia juga menyatakan pengecualiannya, iaitu jika orang itu mendapat pengampunan bebas. Memandangkan makna perkataan “pengampunan bebas” tidak ditakrifkan dalam Perkara 42 atau 48, terserahlah kepada mahkamah untuk mentakrifkannya.

Walau bagaimanapun, jika Lembaga Pardon bermaksud memberikan pengampunan kepada pesalah dengan tujuan untuk membolehkannya bertanding dalam pilihan raya parlimen, adalah lebih baik untuk menggunakan istilah “pengampunan bebas”. Itu jelas mengecualikannya dari kehilangan kelayakan akibat peruntkan Perkara 48(1)(e).

Kesan kedua-dua peruntukan itu, apabila dibaca bersaama, ialah:

1. Seseorang itu hilang kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen jika dia telah disabitkan atas suatu kesalahan dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit. (Perkara 48(1)(e)).

2. Jika dia mendapat pengampunan bebas, dia tidak hilang kelayakan itu. (Pekara 48(1)(e)).

3. Jika dia tidak mendapat pengampunan bebas, kehilangan kelayakan itu boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong. (Perkara 48(3)).

Oleh itu, seseorang yang hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen di bawah Perkara 48(1)(e) yang tidak memperolehi pengampunan bebas boleh memohon supaya kehilangan kelayakannya dibatalkan (Perkata 48(3)).

Jika kehilangan kelayakannya dibatalkan menurut Perkara 48(3), walaupun dia tidak mendapat pengampunan bebas di bawah Perkara 42, dia layak bertanding dalam pilihan raya dari penjara dan menjadi ahli Parlimen. Malah, dia juga boleh menjadi Perdana Menteri jika partinya menang majoriti kerusi Parlimen!

Di bawah Perkara 42, pengampunan diberikan atas nasihat Lembaga Pengampunan. Adakah Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak atas nasihat Lembaga Pengampunan untuk membatalkan kehilangan kelayakan di bawah Perkara 48 (1) (e)?

Lembaga Pengampunan ditubuhkan di bawah Perkara 42 untuk maksud Perkara itu sahaja. Perkara 42 atau 48 tidak menyebut bahawa ia terpakai bagi Perkara 48. Lagi pula, pembatalan kehilangan kelayakan bukanlah pengampunan di bawah Perkara 42. Oleh itu, saya berpendapat bahawa dalam membatalkan kehilangan kelayakan, Yang di-Pertuan Agong tidak dikehendaki bertindak atas nasihat Lembaga Pengampunan. Sama ada baginda perlu bertindak atas nasihat Perdana Menteri adalah satu perkara lain.

Bagaimana jika “pengampunan penuh” diberikan menurut Perkara 42? Setakat yang dapat saya kesan, istilah “pengampunan penuh” tidak disebut di mana-mana dalam Perlembagaan. Adakah ia sama dengan “pengampunan bebas”? Sekali lagi, itu adalah perkara yang perlu diputuskan oleh mahkamah.

Dalam usaha untuk menentukan makna istilah-istilah itu, saya tidak fikir bahawa ia hanyalah sekadar mencari makna perkataan “penuh” dan “bebas” dalam kamus. Apa yang lebih penting ialah untuk meneliti sama ada Lembaga Pengampunan menumpukan fikirannya kepada isu membenarkan pesalah itu bertanding dalam pilihan raya parlimen seperti yang disebut dalam Perkara 48(1)(e) itu.

Sekiranya jawapannya “ya”, maka adalah lebih kuat untuk menghujahkan bahawa Lembaga Pengampunan bermaksud “pengampunan bebas” tetapi disebabkan kesilapan manusia, ia dicatat sebagai “pengampunan penuh”. Bukti terbaik adalah rakaman suara mesyuarat. Dalam era keterbukaan ini, saya percaya ia bukanlah permintaan yang keterleluan.

Bagaimana jika pesalah itu sendiri yang memohon “pengampunan penuh” dan Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Lembaga Pengampunan, “membenarkannya”? Dalam kata-kata lain, dia diberi apa yang dia minta. Mengapa, selepas itu dia hendak berkata
dia sepatutnya diberi benda lain? Biarlah mahkamah menentukannya, asalkan keputusan dibuat tanpa mengambil kira dia calon parti kerajaan semasa atau pembangkang.

11 10 2018

http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me
[email protected]

Read 200 times