MAJLIS KONVOKESYEN UNIVERSITI TENAGA NASIONAL KE-14
UCAPAN BALAS PENERIMAAN IJAZAH KEHORMAT DOKTOR PENGURUSAN
MAJLIS KONVOKESYEN UNIVERSITI TENAGA NASIONAL KE-14
Oleh
Tun Abdul Hamid Bin Haji Mohamad
Dewan Seri Sarjana, UNITEN, 15 Oktober 2011
Saya dilahirkan menangis, sama seperti tuan-tuan dan puan-puan. Ertinya saya dikurniakan suara oleh Allah s.w.t. Tetapi, berlainan daripada tuan-tuan dan puan-puan, akibat tiga pembedahan dalam masa satu bulan, genap setahun lepas, bukan sahaja saya tidak boleh makan, tidak boleh minum, tidak boleh bangun, malah saya juga tidak boleh bercakap kerana kehilangan suara. Pada masa itu saya fikir, jika saya boleh bangun semula pun, zaman memberi ucapan, kuliah umum, pembentangan kertas kerja dan sebagainya sudahlah berakhir bagi saya. Walau pun saya sedih, tetapi jika itulah kehendak Allah s.w.t., saya terima dengan redha. Tetapi satu perkara saya pohon daripada Allah s.w.t.: berilah saya dengar suara saya membaca Al-Qur’an semula. Di luar dugaan para doktor, selepas enam bulan, suara saya mula keluar semula, membolehkan saya mendengar saya membaca Al-Qur’an semula, terutama sekali dalam bulan Ramadan yang lalu dan membolehkan saya membuat ucapan ini, hari ini. Alhamdulillah.
Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Uniten kerana teringat untuk memberi penganugerahan ini kepada saya, apatah lagi selepas saya besara dan selepas saya pulih daripada sakit. Ini mengesahkan kepercayaan saya bahawa penilaian muktamad terhadap kerjaya seseorang akan dibuat oleh orang ramai selepas dia bersara. Kedua, mungkin ini adalah satu ganjaran di dunia ini kepada saya, setelah saya mengharungi dugaan yang begitu teruk.
Oleh sebab saya tidak diberi tajuk untuk bercucap dalam majlis ini, maka saya akan bercakap mengenai pengalaman hidup saya. Saya berada di penghujung jalan. Biarlah saya ceritakan pengalaman saya, terutama sekali kepada graduan-graduan yang akan memulakan perjalanan hidup mereka. Mungkin ada iktibar yang boleh diambil daripadanya.
Apa yang saya sebut di permulaan ucapan saya tadi adalah satu misalan pengalaman hidup saya, yang terbaharu. Banyak pengajaran yang saya perolehi daripadanya. Saya hanya akan menyebut satu sahaja. Siapa di antara hadirin yang ada dalam dewan ini yang pernah berkata “Alhamdulillah” apabila dia mengiring ke kiri atau ke kanan semasa dia berbaring? Saya juga tidak pernah berbuat demikian. Tetapi, setelah saya terpaksa berbaring melentang selama empat bulan, merasai betapa lenguh dan sakitnya belakang, apabila saya dapat mengiring semula, perkataan pertama yang terbit di hati saya (pada masa itu saya tidak boleh bercakap) ialah “Alhamdulillah”. Maka saya sedar betapa besarnya nikmat mengiring yang saya tidak pernah ambil kisah sebelumnya.
Saya akan sebutkan beberapa peristiwa lagi yang berlaku dalam hidup saya.
Semasa saya dalam darjah tiga di sekolah Melayu, semasa membuat gasing, saya tertetak jari telunjuk kanan saya hinggga putus. Saya hanya dirawat disebuah dispesari. Saya tidak pergi ke sekolah selama dua minggu. Selepas itu saya pergi semula. Oleh sebab saya tidak boleh menulis dengan tangan kanan, saya belajar menulis dengan tangan kiri, mengambil peperiksaan menulis dan melukis dengan tangan kiri. Peristiwa itu banyak mempengaruhi hidup saya: jangan putus asa, jika tidak boleh berbuat satu perkara dengan satu cara, cuba cara lain.
Kemudian saya masuk ke sekolah Inggeris. Setiap hari, untuk ke sekolah, saya terpaksa mengayuh basikal sejauh dua batu, menaiki bas sejauh 11 batu, berjalan kaki sejauh satu batu, menyeberang sungai Perai dengan sampan, dan berjalan sesuku batu lagi. Semasa saya berucap di Universiti Syracuse, USA, dalam tahun 2005, Prof Ralph Ketcham yang memperkenalkan saya, semasa membaja c.v. saya berkata, “It sounds like Lincoln”.
Saya masuk ke University of Singapura untuk belajar undang-undang. Terdapat 180 orang pelajar dalam tahun pertama. Kami mendapat tahu bahawa setiap tahun hanya satu pertiga daripada jumlah itu yang akan lulus atau diluluskan untuk naik ke tahun dua. Melainkan berapa orang yang akan dibenarkan mengulang semula tahun pertama, yang lainnya akan terpaksa keluar dari universiti. Bayangkan bagaimana saya, seorang budak kampung akan bertanding dengan pelajar-pelajar lain. Alhamdulillah, dengan berkat ketekunan, saya termasuk dalam kumpulan 54 orang pelajar yang lulus tahun pertama pada tahun itu dan antara 38 orang yang mendapat ijazah dalam masa empat tahun.
Di ringkaskan cerita, saya tidak bercita-cita untuk menjadi Ketua Hakim Negara. Malah saya telah bersedia untuk bersara sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan. Tetapi, apabila Allah s.w.t. menghendaki sesuatu perkara itu berlaku, biar betapa besar halangannya sekalipun, ia tetap akan berlaku.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Saya membuat beberapa kesimpulan daripada pengalaman hidup saya. (Senarai ini tidak exhustive dan saya hanya akan menyebut dengan ringkas sahaja):
Pertama, segala-galanya bermula di sini (tunjuk ke jantung). Jika di sini betul, betullah landasannya, walaupun ia mungkin tergelincir dalam pelaksanaan. Jika di sini tidak betul, dari awal lagi ia sudah tidak betul.
Kedua, tidak ada jalan senang untuk senang. Rasul Allah s.a.w. pun, antara lain, terpaksa bertungkus lumus mengorek parit dan berperang, walau pun untuk menyibar ugama yang beliau diutus malakukannya.
Ketiga, dalam menjalankan tugas kita, kita hendaklah melakukan sehabis baik yang kita boleh lakukan dengan jujur dan berserahlah kepada Allah. Biasanya, di akhirnya, seseorang itu akan dibreri apa yang dia layak menerima.
Keempat, jangan tamak dan sayangilah harta benda yang diamanahkan Allah kepada kita, walau pun kecil dan murah.
Kelima, ingatlah bahawa penghormatan kena diperolehi, bukan diminta atau dituntut. (Respect has to be earned, not requested or demanded.)
Keenam, jauhilah daripada perkara-perkara syubhah, yang haram sudah nyata. Kerap kali orang cukup mengambil berat tentang perkara-perkara yang zahir, yang paling tinggi hanyalah sunat, tetapi tidak mengambil kisah perkara-pekara syubhah yang lebih mirip kepada haram.
Ketujuh, jauhilah daripada sifat ria’. Ria’ bukan hanya boleh berlaku kerana pangkat dan kekayaan. Ia juga boleh berlaku kerana ilmu pengetahuan, malah kerana janggut dan serban.
Kelapan, percayalah bahawa dalam hidup ini, akhirnya, kejujuran mengatasi segala-galanya. Percayalah bahawa dalam hidup ini, akhirnya, kebenaran akan terserlah juga. Dan percayalah, jika Allah s.w.t. menghendaki sesuatu itu berlaku, tiada sesiapa yang boleh menghalangnya. Demikian juga sebaliknya.
Kesembilan, janganlah hanya senentiasa memandang ke atas, kepada orang-orang yang berada di kedudukan yang lebih baik daripada kita. Sekali sekala pandanglah ke bawah kepada berjuta-juta orang lain yang kurang bernasib baik daripada kita. Malah, saya syorkan, semasa sihat, sekali sekala pergilah melawat ke hospital. Maka kita akan insaf betapa besarnya rahmat dan nikmat yang Tuhan berikan kepada kita.
Kesepuluh, jika Allah s.w.t. memberikan kita sesuatu, walaupun kecil, terimalah dengan syukur. Jika Allah s.w.t. tidak merestui usaha dan do’a kita, terimalah dengan redha. Mungkin ada hikmahnya. Mungkin kita tidak layak menerimanya. Jika kita hidup dalam kesyukuran dan keredhaan, kita tidak akan merasa kecewa. Jiwa kita akan tenang. Moga-moga, apabila tiba masanya, kita akan termasuk ke dalam golongan yang akan menerima seruan:
“Wahai jiwa yang tenang
Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas dan diredhai
Masuklah ke dalam kumpulan hamba-hambaKu yang berbahagia
Masuklah ke dalam syurgaKu.” (Al-Fajr 28 -31)
Selamat Berjaya. Terima kasih.