UCAPAN DI MAJLIS PELANCARAN BUKU “THE TRUTH SHALL PREVAIL”

UCAPAN DI MAJLIS PELANCARAN BUKU “THE TRUTH SHALL PREVAIL” OLEH TUN ARIFFIN ZAKARIA, KETUA HAKIM NEGARA
13 Mei 2016
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 

(Thinking that today’s proceedings will be in Malay, I wrote my speech in Malay. But, when I was told, yesterday, that it would be in English, I tried to translate it, but I found that even the first sentence was not translatable. Of course, I can change the words into English, but the soul is missing. So, I decided to read my speech in Malay. Forgive me for being different.)

Berada di penghujung jalan, memandang ke belakang, apa yang kelihatan hanyalah suratan takdir. Tidak ada alasan lain yang boleh diberi. Segala-galanya berlaku mengikut susunanNya yang rapi. Tiada manusia boleh memikirkannya, apatah lagi merancangnya dan menyebabkannya berlaku, mahu pun menggagalkannya. Apa yang kita manusia boleh lakukan hanyalah melaksanakan apa yang telah ditetapkan kepada kita, sehabis baik yang kita boleh lakukan, dengan jujur. Sebagai ganjaran, kita akan menerima apa yang kita layak terima, sejajar dengan sumbangan kita. Itu adalah Sunnah Allah.

Hari ini, seperti berulang kali ia berlaku dalam hidup saya, saya menyaksikan satu lagi suratan takdir yang tersusun rapi. Kali pertama saya menulis ucapan saya, naik ke pentas dan berucap 56 tahun dahulu, ia adalah dalam Pertandingan Syarahan Minggu Bahasa Kebangsaan tahun 1960 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya menang, menang dan menang hingga ke peringkat kebangsaan di mana saya mendapat nombor tiga. Dua tahun kemudian, saya masuk lagi dan menang, menang dan menang sehingga menjadi Johan Kebangsaan Bahagian Penuntut Melayu Lelaki.

Dengan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menunjukkan hala tuju masa depan hudup saya. Ia telah menemukan saya dengan bakat saya. (Ia juga telah menemukan saya dengan isteri saya, wakil Negeri Melaka yang menjadi Johan Kebangsaan Bahagian Penuntut Bukan Melayu Perempuan). Semenjak itu, sepanjang perjalanan hidup saya, dari seorang murid sekolah sehingga mantan Ketua Hakim Negara, dari boleh berlari sehingga tidak boleh berdiri, walaupun setelah kehilangan suara sebanyak dua kali dan bercakap dengan sebelah pita suara sahaja yang berfungsi, saya terus berucap dan berucap. Itulah pemberian Dewan Bahasa dan Pustaka kepada saya, dengan kehendak Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Hari ini, adalah giliran saya, sebagai tanda berterima kasih, untuk memberi balik kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, hasil pelaborannya 56 tahun dahulu itu. Hari ini, saya menyerahkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka semua ucapan-ucapan saya itu, untuk dibukukan dan dimanfaatkan oleh anak cucu kita dan, dengan izin Allah Subhanahu wa Ta’ala, untuk menjadi amal jariah saya. Itulah suratan takdir yang saya maksukan.

Sebenarnya, hari ini, ada satu lagi suratan takdir yang berlaku. Saya menghabiskan hampir 40 tahun daripada umur saya di, atau di persekitaran, mahkamah. Saya melapor diri untuk berkerja pada hari pertama di mahkamah dan saya bersara di mahkamah. Kebanyakan ucapan-ucapan saya ditulis di mahkamah, banyak juga yang ditulis dalam bangunan ini. Maka sesuailah ia dilancarkan di bangunan ini oleh Ketua Hakim Negara sendiri. Terima kasih, Tun.

Buku ini adalah buku kedua daripada empat buah buku saya yang telah atau akan diterbitkan dalam masa terdekat. Yang pertama, sebuah memoir bertajuk “I Will Never Beg” telah diterbitkan oleh Malaysian Current Law Journal dan dilancarkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 26 April lalu. Yang kedua, adalah naskah Bahasa Melayunya bertajuk “Saya Tidak Akan Melutut” yang sedang dalam urusan percetakan, juga oleh Malaysian Current Law Journal. Yang ketiga, “The Truth Shall Prevail” yang dilancarkan hari ini. Ia mengandungi koleksi ucapan, kertas kerja, kuliah dan artikel saya yang ditulis dalam bahasa Inggeris semenjak tahun 1973 hingga sekarang. Yang keempat, ialah koleksi ucapan, kertas kerja, kuliah dan artikel saya yang ditulis dalam Bahasa Melayu yang diberi tajuk “Buat Kerja”. Ini juga akan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAA Tun Ariffin Zakaria, yang bukan sahaja akan melancarkan buku ini, malah telah juga sudi membenarkan kami menumpang majlis ini untuk tujuan pelancaran buku ini. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka di atas segala usaha dan perbelanjaannya untuk menerbitkan buku ini. Saya juga berterima kasih kepada Institut Islam Hadhari di atas inisiatifnya untuk mendapatkan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menerbitkan buku ini.

(Lastly, I am appealing to all readers of my books, if you find one statement which is factually wrong, please let me know. I will correct it or withdraw it. But, it has to be factually wrong, not just because you don’t like to hear it, even though it is true.)

Sekian, Terima kasih.

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

Read 246 times