PP lwn. ABDUL RAHIM KALANDARI MUSTAN
PP lwn. ABDUL RAHIM KALANDARI MUSTAN
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMAD H
KES JENAYAH NO: 45-3-97
23 SEPTEMBER 1997
[1998] 5 CLJ 566
UNDANG-UNDANG JENAYAH: Akta Dadah Berbahaya 1952 – Seksyen 37 &39B- Dadah berbahaya – Mengedar ganja – Pembuktian – Samada tertuduh mempunyai kawalan ekslusif – Samada mempunyai jagaan dan kawalan terhadap beg yang mengandungi ganja – Samada dadah disorok dengan pengetahuan tertuduh – Anggapan statutori – Akta Dadah Berbahaya 1952, ss. 37(b), (d), (da), (g),39B(2)
KETERANGAN: Pernyataan – Kebolehterimaan – Mengedar dadah berbahaya – Pernyataan lisan tertuduh – Tiada amaran diberi ketika pernyataan dibuat – Samada boleh diterima sebagai keterangan – Samada pernyataan diberi sebelum tertuduh ditangkap – Tangkapan – Bilakah sesuatu tangkapan dibuat – Samada tangkapan berlaku apabila sahaja kebebasan disekat – Akta Dadah Berbahaya 1952, ss. 37,39B(2)
Tertuduh dituduh mengedar 39105 gram ganja di bawah s. 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Keterangan pendakwaaan menunjukkan bahawa ketika serbuan dibuat oleh polis di rumah yang dihuni tertuduh, suatu percakapan telah berlaku di antara Cif Inspektor Teoh (‘PW4’) dan tertuduh, di mana PW4 telah bertanya “Di mana kamu simpan dadah?” dan tertuduh menjawab “di tingkat atas”. Tertuduh kemudian telah membawa polis ke tingkat atas rumah, dan di situ, tertuduh menunjuk kepada dua beg plastik yang mengandungi ganja berkenaan. Fakta juga menunjukkan bahawa selain tertuduh dan seorang teman wanitanya, rumah berkenaan tidak dihuni oleh lain-lain orang, dan tertuduh juga mempunyai kunci kepada rumah tersebut. Tertuduh mengemukakan pembelaan bahawa terdapat tiga orang lain yang mempunyai kunci kepada rumah tersebut, yang kadang-kadang bermalam di situ. Orang-orang yang dikatakan itu, bagaimanapun, tidak dikemukakan oleh tertuduh sebagai saksi. Tertuduh juga menyatakan bahawa apabila beliau ditanya “Di mana barang disimpan” beliau menjawab “Saya tidak tahu”, dan menyangkal telah menunjukkan kepada polis almari solek di mana dadah berkenaan dijumpai. Berdasarkan keterangan-keterangan diatas, di hadapan yang arif hakim, telah berbangkit isu (i) samada pada masa tertuduh menjawab soalan PW4, ianya telah ditangkap; (ii) samada jawapannya itu boleh diterima sebagai keterangan; (iii) samada tertuduh patut dipanggil membela diri, dan jika begitu, samada pembelaannya membangkitkan apa-apa keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Diputuskan:
[1] Samada sesuatu tangkapan itu telah berlaku ataupun tidak bergantung kepada fakta-fakta dan keadaan kes. Tidak semestinya perkataanperkataan ‘awak ditangkap’ harus disebut ataupun bahawa seseorang itu harus digari. Hakikat bahawa seseorang itu akan dihalang daripada beredar dari tempat itu juga tidak semestinya bermakna bahawa dia telah ditangkap.
[1a] Dalam kes ini, apa yang telah berlaku dahulu adalah bahawa polis telah masuk ke dalam rumah, telah memeriksa kad pengenalan tertuduh dan menyimpan alat penimbang dan bungkusan-bungkusan plastik kosong dan hanya setelah dadah itu ditemui, barulah tertuduh digari. Maka penangkapan hanya dilakukan semasa tertuduh digari. Oleh kerana jawapan tertuduh itu dibuat sebelum dia ditangkap maka tidak perlu amaran diberi.
[2] Mengikut kes Bahruni Ismail V. Pendakwa Raya [1997] 3 CLJ 267mahkamah harus melihat tarikh sesuatu kes itu didaftarkan untuk menentukan samada Akta Kanun Prosedur Jenayah (Pindaan) 1997 terpakai atau tidak. Kes itu didaftarkan pada 17 Januari 1997 manakala Akta (Pindaan) hanya terpakai pada ataupun selepas 31 Januari 1997. Dengan yang demikian, beban bukti yang patut dipakai di akhir kes pendakwaan adalah melampaui keraguan yang munasabah seperti yang diputuskan dalam kes Arulpragasan Sandaraju V. Public Prosecutor [1996] 4 CLJ 597
[3] Menimbang semua keterangan kes pendakwaan, mahkamah berpuashati melampaui keraguan yang munasabah bahawa tertuduh mempunyai kawalan esklufsif ke atas rumah yang dihuninya, dan beliau juga mempunyai jagaan dan kawalan kedua-dua beg yang mengandungi dadah, yang bermakna anggapan s. 37(d) berbangkit. Juga tiada keraguan bahawa daun-daun kering tersebut adalah cannabis seperti yang ditakrif oleh Akta yang beratnya ialah 39,105 gram, yang bermakna bahawa anggapan s. 37(da) adalah terpakai. Berdasarkan fakta, anggapan di bawah s. 37(b) dan 37(g) juga berbangkit. Pendakwaan dengan itu telah berjaya membuktikan melampaui keraguan yang munasabah pertuduhan terhadap tertuduh.
[4] Pembelaan yang dibangkitkan tertuduh gagal membangkitkan apa-apa keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Pembelaannya juga gagal menyangkal anggapan-anggapan yang berbangkit atas imbangan kemungkinan.
[Tertuduh disabitkan dan dihukum mati.]
Kes yang dirujuk:
Arulpragasan Sandaraju v. PP [1997] 1 CLJ 686 (diikut)
Bahruni Ismail v. PP [1997] 3 CLJ 267 (diikut)
Jayaraman & Ors. V. Public Prosecutor [1979] 1 LNS 36
KJ Barlow v. PP [1986] 2 MLJ 104 (dirujuk)
Saaban & Ors v. PP [1982] 2 MLJ 219 (dirujuk)
Sambu V. Rex [1946] 1 LNS 30
PP v. Johari Abdul Kadir [1987] 2 CLJ 66 (dirujuk)
PP v. Lee Hoay Choon Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Perbicaraan Jenayah No: 47(58)-13-88 (dirujuk)
PP v. Lim Kin Ann [1988] 1 MLJ 401 (dirujuk)
PP v. Rohani Ahmad & Ors [1997] 2 CLJ 448 (dirujuk)
PP v. Rosyatimah Neza [1989] 1 MLJ 360 (dirujuk)
PP v. Salleh Saad [1983] 2 MLJ 164 (dirujuk)
PP v. Tan Chye Joo & Anor [1989] 2 MLJ 253 (dirujuk)
PP v. Tan Seow Chuan [1985] 1 MLJ 318 (dirujuk)
PP v. Omar Daud & Anor [Penang Criminal Trial No: 48-3-84] (dirujuk)
Other source(s) referred to:
Dangerous Drugs Act 1952, ss. 37A,37(b), (d), (da), (g),39B(2)
Interpretation Acts 1948 & 1967, s. 19
Counsel:
Bagi pihak pendakwaraya – Yaacob Md Sam TPR
Bagi pihak tertuduh – Ranjit Singh; T/n R Rajasingam & CoDilaporkan oleh WA Sharif
PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamad H:
Pertuduhan terhadap tertuduh adalah seperti berikut:
Bahawa kamu pada 4 haribulan Julai, 1996 Jam lebih kurang 8.15 pagi di rumah No. 6, Tingkat Mas, Green Lane, dalam Daerah Timur Laut, dalam Negeri Pulau Pinang didapati ada mengedar dadah berbahaya iaitu Ganja seberat 39105 gram dan kamu telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Untuk memberi gambaran yang lengkap mengenai kes pendakwaan saya akan perturunkan secara ringkas keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan seperti yang saya terima di akhir kes pendakwaan terlebih dahulu. Saya akan bincang persoalan-persoalan tertentu di bawah tajuk-tajuk yang khusus selepas itu.
Pada 4 Julai 1996 lebih kurang jam 8.15 pagi Cif Inspector Teoh (PW4) mengetuai satu pasukan polis membuat serbuan di No. 6, Tingkat Mas, Green Lane, Pulau Pinang. Beliau membahagikan anggota-anggotanya kepada dua pasukan. Satu pasukan mengawal di bahagian belakang rumah. Satu pasukan lagi, yang diketuai oleh PW4 sendiri, memanjat pintu pagar dan masuk ke kawasan rumah itu dari bahagian hadapan. Pintu gril dan pintu papan hadapan rumah itu didapati berkunci. PW4 mengetuk pintu itu. Pintu dibuka oleh tertuduh yang hanya memakai tuala. PW4 memperkenalkan diri sebagai polis. Atas arahan PW4, tertuduh membuka pintu rumah itu. Masa itu beliau nampak seorang perempuan (PW6) lari ke arah bilik mandi. PW7 mengekori PW6 dan membawanya ke ruang tamu. PW4 memeriksa kad pengenalan tertuduh dan passpot Indonesia kepunyaan PW6. PW4 membuat pemeriksaan di bahagian dapor di tingkat bawah rumah itu. Beliau menemui satu alat penimbang jenis Kwonnie dan satu bungkusan plastik yang mengandungi dua gulung tape pelekat dan satu bungkusan yang mengandungi plastik-plastik kosong berbagai saiz. Barang-barang itu dijumpai di dalam kabinet di bahagian dapor. Selepas itu PW4 bertanya tertuduh “dimana kamu simpan dadah?” tertuduh menjawab “Di tingkat atas”.
PW4 mengarahkan tertuduh membawa pasukan polis ke tingkat atas. Mereka semua, termasuk PW6, naik ke tingkat atas. Tertuduh membawa mereka ke bilik hadapan di tingkat atas rumah itu (bilik No. 1). Pintu bilik itu terbuka sedikit dan kuncinya tergantung dilubang kunci. Di dalam bilik itu tertuduh tunjuk ke arah almari solek dan almari dinding. (Almari solek itu terletak di hadapan almari dinding). Atas arahan PW4, PW7 menolak almari solek itu. Selepas itu PW4 membuka pintu almari dinding yang tertutup itu. Terdapat dua beg plastik berjalor yang di dalamnya mengandungi daun-daun ganja yang menjadi perkara (subject) pertuduhan ini. Selepas itu tertuduh dan PW6 digari. Selepas pegawai penyiasat (PW11) pergi ke rumah itu dan selesai membuat siasatan dan mengambil gambar, tentuduh, PW6, dua beg mengandungi ganja itu dan barang-barang lain yang dirampas dibawa balik ke balai polis.
Beberapa perkara perlu dibincang dengan lebih mendalam. Pertama, mengenai percakapan antara PW4 dan tertuduh.
Mengikut PW4, selepas beliau menemui alat penimbang dan bungkusan plastik kosong di dapur beliau bertanya tertuduh “Di mana kamu simpan dadah?”. Satu perbicaraan dalam perbicaraan diadakan untuk memutuskan sama ada jawapan yang diberi oleh tertuduh boleh diterima sebagai keterangan atau tidak. Hanya setelah saya memutuskan jawapan itu boleh diterima barulah saya membenarkan jawapan itu disebut dalam keterangan.
Mengenai soalan PW4 dahulu. PW4 berkata beliau bertanya tertuduh “Di mana kamu simpan dadah?” L/Kpl Saari (EW2 yang juga PW3) berkata dia mendengar PW4 (yang juga EW1) bertanya OKT “Dimana awak simpan dadah?”. EW3 (yang juga PW7) berkata dia mendengar PW4 (yang juga EW1) bertanya tertuduh “Dimana kamu simpan dadah?”
Semua saksi-saksi pendakwaan mengakui bahawa soalan itu (dan juga jawapan tertuduh) tidak dicatat oleh mereka.
Jeni Irda, wanita Indonesia yang ada bersama OKT semasa serbuan itu (EW4 yang juga PW6) dalam keterangan awalnya dalam perbicaraan-dalamperbicaraan berkata: “Saya dengar OKT berkata kepada polis. Dia berkata itu di bawah. Lepas dia berkata itu kami naik ke atas. Semasa dia berkata itu di hall itulah”. Dia tidak sebut apa soalan dan jawapan itu. Dalam pemeriksaan balas, antara lain, katanya: “Di bahagian bawah ada perbualan antara polis dengan OKT. Sekejap sahaja. Saya tak tahu polis kata kalau OKT kerjasama, tak ada apa-apa”. Mengikut EW1 (juga PW4), EW4 (juga PW6) berada disitu semasa beliau bertanya kepada tertuduh soalan itu. L/Kpl Saani (EW2), semasa disoal balas juga berkata bahawa (EW4) Jeni ada bersama-sama tertuduh semasa soalan itu ditanya. D/L/Kpl Adlan (EW3), semasa disoal balas berkata Jeni (EW4) ada bersama tetapi dia tidak tahu Jeni dengar atau tidak perbualan itu.
Dalam penghakiman saya, fakta bahawa Jeni (EW4) tidak menyebut apakah soalan EW1 (juga PW4) dan jawapan tertuduh itu tidaklah meragukan tentang berlakunya soalan dan jawapan itu. Dalam keadaan masa itu, di mana dia seorang wanita Indonesia, tak berpakaian, bersama seorang lelaki bukan suami atau muhrimnya dalam sebuah rumah di awal pagi, didatangi oleh sepasukan polis, semestinya dalam keadaan gugup dia tidak dapat mendengar atau mengingati setiap percakapan yang berlaku dengan tiba-tiba itu. Juga, memanglah anggota-anggota polis yang memberi keterangan (selain daripada EW1 (juga PW4) nampaknya mengambil jalan selamat semasa memberi keterangan, mereka ingat soalan dan jawapan berkenaan tetapi tidak ingat yang lain. Tetapi, menimbang keseluruhan keterangan mereka, bersama-sama keterangan EW1 (juga PW4), saya tidak merasa ragu-ragu bahawa soalan dan jawapan seperti itu ada berlaku. Adalah tidak munasabah hendak dikatakan bahawa EW1 (juga PW4) sengaja mengada-adakannya untuk menguatkan kes pendakwaan. Jika beliau hendak berbuat demikian lebih baik beliau menulis soalan dan jawapan itu, malah lebih baik dikatakan amaran diberi sebelum itu. Tetapi, sebaliknya beliau mengakui beliau tidak mencatat di mana-mana dan bahawa tidak ada amaran diberi sebelum soalan itu ditanya.
Kesimpulannya saya berpuas hati melampaui keraguan yang munasabah bahawa ada soalan dan jawapan seperti itu berlaku. Tentang perkataan sebenar soalan itu, terdapat sedikit perbezaan di antara saksi-saksi pendakwaan ia itu” Di mana kamu simpan dadah?” dengan “Di mana awak simpan dadah?” Perbezaan antara “kamu” dengan “awak” itu amat remeh, kedua-duanya mempunyai makna yang sama dan tidaklah meragukan tentang kewujudan soalan itu.
Mengenai jawapan tertuduh pula, selepas perbicaraan-dalam-perbicaraan dan mendengar hujah kedua-dua belah pihak, saya menerima jawapan itu di bawah s. 37A Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pihak pendakwaan mengakui bahawa amaran tidak diberi. Tetapi, Encik Yaacob Sam, timbalan pendakwa raya, menghujahkan bahawa kenyataan itu dibuat sebelum tertuduh ditangkap. Oleh itu amaran tidak perlu diberi. Maka, terpaksalah diputuskan sama ada pada masa tertuduh menjawab soalan PW4 itu tertuduh telah ditangkap atau belum.
Faktanya telah saya perturunkan tadi.
Dalam kes Pendakwa Raya v. Lee Hoay Choon, saya telah membincang persoalan ini dengan panjang lebar dengan harapan Mahkamah Agung (pada masa itu) akan memberi pandangan mengenainya untuk menjadi panduan yang lebih jelas. Malangnya walaupun penghakiman itu disahkan oleh mahkamah tertinggi itu tiada penghakiman bertulis diberi. Jadi kita masih tidak jelas tentang kedudukan sebenar undang-undang mengenai perkara ini. Oleh itu saya mengambil kesempatan ini untuk mengulangi perbincangan persoalan itu sekali lagi dengan harapan, kali ini, kita akan mendapat pandangan yang lebih sahih daripada mahkamah yang lebih tinggi.
Meneliti penghakiman-penghakiman mahkamah-mahkamah di Malaysia, nampaknya terdapat dua aliran mengenai persoalan sama ada seseorang itu telah ditangkap atau belum. Satu aliran mengatakan bahawa penangkapan yang dimaksudkan oleh s. 37A Akta Dadah Berbahaya 1952(dan juga di bawah seksyen Kanun Acara Jenayah) ialah “penangkapan sebenar” (“actual arrest”). Satu aliran lagi mengatakan tangkapan konstruktif (“constructive arrest”) adalah memadai.
Dalam kes Public Prosecutor V. Johar [1964] 1 LNS 141Syed Agil Barakbah memutuskan bahawa:
the words “after his arrest” appearing in section 37A(1)… mean after actual arrest and not constructive arrest.
Dalam kes Public Prosecutor v. Lim Kin Ann [1988] 1 MLJ 401 L.C. Vohrah H, menolak hujah:
that the occupants of the room (termasuk tertuduh dalam kes itu) would have been prevented from leaving the room if they had attempted to do so and their submission amounted to their having been in custody and therefore under arrest
dan bersetuju dengan pandangan Syed Agil Barakbah H, dalam kes Public Prosecutor v. Salleh bin Saad [1983] 2 MLJ 401.
Dalam kes Public Prosecutor v. Tan Chye Joo & Anor [1989] 2 MLJ 253, Wan Adnan memutuskan:
although PW4 said that the first accused was not free to go as he liked during the search, that did not mean that he had been arrested.
Dalam kes Barlow v. Public Prosecutor [1986] 2 MLJ 104 Mahkamah Agung memutuskan bahawa pernyataan yang dibuat oleh tertuduh dalam kes itu kepada ASP Shahriman boleh diterima kerana tertuduh itu belum ditangkap lagi walaupun sebelum itu ASP Shahriman telah mendekati mereka di checkin counter, memperkenalkan dirinya, meminta paspot tertuduh, memintanya mengambil semula begnya dan mengikutnya ke bilik pemeriksaan di tingkat mezanin bangunan lapangan terbang berkenaan.
Dalam kes Public Prosecutor v. Omar bin Daud and Anor (Penang Criminal Trial No. 48-3-84) pernyataan lisan yang dibuat oleh A1 tanpa amaran diberi diterima sebagai keterangan kerana, seperti yang diputuskan oleh Edgar Joseph Jr. H, A1 belum ditangkap walaupun pernyataan itu dibuat oleh A1 dan kesemua penghuni rumah itu telah dihimpun di dewan rumah itu semasa pemeriksaan di dalam rumah itu dibuat, walaupun pernyataan itu dibuat selepas dadah ditemui., walaupun pegawai polis berkenaan mengaku bahawa Jika A2 cuba lari atau pergi dari situ, pihak polis akan menahannya dan pegawai polis itu mempunyai masa untuk memberi amaran kepada A1 jika dia hendak memberinya.
Sebaliknya, dalam kes Public Prosecutor v. Tan Seow Chuan [1985] 1 MLJ 318, bertindak atas maklumat yang diterima sepasukan polis diketuai oleh PW1 pergi ke sebuah rumah. Di bahagian dewan rumah itu PW1 menemui seorang lelaki Cina. PW1 memperkenalkan dirinya dan bertanya nama lelaki Cina itu, dan diberi. Selepas itu berlaku percakapan yang, diputuskan oleh Peh Swee Chin H, tidak boleh diterima. Selepas itu baru pemeriksaan dibuat. Dalam penghakimannya hakim yang arif itu berkata:
The accused in my view was under arrest as soon as PW1 showed his authority card to the accused who told PW1 his name, on being so asked because the raid was consequent on the report of a seizable offence. i.e. drug trafficking and PW2, (D/Cpt. Latif), who was with PW1 at the time in the hall, was asked by PW1 to guard the accused. Although there were no such popular and usual signs of handcuffs or words of arrest, nonetheless there would be no doubt, that his personal liberty was from that moment restrained, therefore he was under arrest from that moment, and such restraint of personal liberty can be implied from surrounding circumstances.
Nampaknya hakim yang arif itu berpendapat asalkan kebebasan seseorang itu disekat, seseorang itu telah ditangkap. Pada pandangan saya ini bercanggah dengan kes-kes lain yang saya rujuk sebelum ini.
Dalam kes Public Prosecutor v. Rosyatimah bt Neza [1989] 1 MLJ 360, sekali lagi hakim yang sama memberi keputusan yang serupa. Di ms 363, hakim yang arif itu berkata:
On the other hand, it has been held and it is also my view that a person is under arrest already if he is in a state of being watched or guarded to prevent his escape: see Sambu v. Res and Tan Shu En v. PP; or from the circumstances, it can be implied that his personal liberty has been restrained: see PP v. Tan Seow Chuan.
Pandangan yang sama juga diberi oleh Lim Beng Choon, H, dalam kes Public Prosecutor v. Johari bin Abdul Kadir [1987] 2 CLJ 66
Rujukan patut juga dibuat kepada kes Shaaban & Ors. V. Chong Fook Kam & Anor. [1969] 1 LNS 170. Lord Devlin, menyampaikan keputusan jawatankuasa privy mengatakan, pada m/s 220:
An arrest occurs when a police officer states in terms that he is arresting or when he uses force to restrain the individual concerned.
It occurs also when by words or conduct he makes it clear that he will, if necessary, use force to prevent the individual from going where he may want to go.
Dalam kes Jayaraman & Ors. V. Public Prosecutor [1979] 1 LNS 36Mahkamah Persekutuan, setelah meneliti fakta kes itu dan memberi perhatian kepada apa yang dikatakan oleh Lord Devlin dalam kes Shaaban & Ors. V. Chong Fook Kam & Anor. [1969] 1 LNS 170memutuskan:
In our judgment the answer to this question depends on the facts of each individual case, but on the facts herein it cannot be said that the applicants had been arrested by the corporal when he told them to wait and not to leave the temple, for he had merely stopped them to make enquiries into the attack on the temple.
Perlu diambil perhatian bahawa dalam kes itu:
The corporal did not in terms state that he was arresting the applicants or use force to restrain them, nor did he make clear by words or conduct that he would, if necessary, use force to prevent the applicants from going where they might have wanted to go.
walaupun Kopral itu “told them not to leave the place”.
Kes Sambu V. Rex [1946] 1 LNS 30yang diikuti oleh Peh Swee Chin H, dalam Public Prosecutor v. Rosyatimah bt Neza [1989] 1 MLJ 360 adalah juga berkenaan.
Kes-kes ini tidak dapat di “reconciled”. Walau bagaimanapun saya berpendapat bahawa penggunaan kata-kata “actual arrest” dan “constructive arrest” adalah “unfortunate”. Undang-undang cuma menyebut “arrest” (tangkapan). Apa yang jelas ialah sama ada tangkapan telah berlaku atau tidak terletak kepada keadaan sesuatu kes. Perkataan “awak ditangkap” atau yang serupa dengannya dan seseorang itu digari bukanlah satu kemestian. Hakikat bahawa seorang itu akan dihalang daripada beredar dari tempat itu juga tidak semestinya bererti dia telah ditangkap. Mengatakan sebaliknya adalah keterlaluan. Ia bererti setiap kali seorang pegawai polis menahan seseorang untuk meminta kad pengenalannya orang itu telah ditangkap kerana dalam keadaan seperti itu pun tentu sekali pegawai polis itu akan menghalang orang itu daripada pergi dari situ tanpa memperdulikan permintaannya.
Dalam kes ini apa yang berlaku sebelum percakapan itu ialah bahawa polis masuk ke dalam rumah, periksa kad pengenalan tertuduh, memeriksa dan menjumpai alat penimbang dan bungkusan-bungkusan plastik kosong berbagai saiz. Dadah yang semestinya menjadi bahan yang dicari belum ditemui. Ertinya asas untuk membuat penangkapan pun belum ada. Seterusnya, hanya setelah dadah itu ditemui barulah tertuduh digari.
Dalam keadaan ini, penghakiman saya ialah bahawa penangkapan hanya dilakukan semasa tertuduh digari. Jadi, jawapan tertuduh itu dibuat sebelum dia ditangkap. Oleh itu amaran tidaklah perlu diberi.
Soalan seterusnya ialah sama ada tertuduh patut dipanggil membela diri. Dalam hal, soalan pertama ialah, apakah beban bukti yang patut dipakai?
Setelah sekian lama berbalah, akhirnya pada 27 Julai 1996 Mahkamah Persekutuan dengan majoriti 4:3 memutuskan bahawa beban pembuktian yang patut dipakai di akhir kes pendakwaan ialah melampaui keraguan munasabah (beyond reasonable doubt) Arulpragasan a/l Sandaraju v. Public Prosecutor [1997] 1 CLJ 686. Ini disusuli oleh Akta Kanun Prosedur Jenayah (Pindaan) 1997 (Akta A 979). Ia diwartakan pada 30 Januari 1997 dan, mengikut s. 19 Akta Tafsiran 1967, mula berkuatkuasa pada 31 Januari 1997.
Dalam kes Pendakwa Raya v. Rohani bte Ahmad dan lain-lain [1997] 2 CLJ 448 saya memberi pandangan bahawa pindaan itu tidak terpakai kepada keskes yang telah didaftarkan sebelum pindaan itu berkuatkuasa, walaupun perbicaraan dijalankan selepas tarikh itu. (Dalam penghakiman itu saya tersilap menyebut tarikh Warta itu sebagai 31 Januari 1997 dan oleh itu tarikh ia mula berkuatkuasa ialah 1 Februari 1997. Yang sebenarnya ialah tarikh Warta 30 Januari 1997 dan tarikh mula berkuatkuasa 31 Januari 1997).
Pada 17 Februari 1997 Mahkamah Persekutuan mengeluarkan penghakiman kes Bahruni bin Ismail v. Pendakwa Raya [1997] 2 MLJ 265. Dalam penghakiman itu, Mahkamah tertinggi Malaysia itu, antara lain, berkata:
While we appreciate that s. 180 of the CPChas now been amended to provide for a prima facie standard of proof at the close of the case for the prosecution, it cannot be gainsaid that that amendment has no retrospective effect. There is nothing in the amendment itself to even suggest this. Therefore, it is never in doubt that Parliament in its wisdom has not made it retrospective. Both the learned DPP and the learned counsel for the appellant conceded this. Therefore, the amendment having been gazetted on 30 January 1997 would for all practical purposes come into effect only on 31 January 1997. Thus, the amendment would only be applicable to cases filed after that date and not to cases before that date and this would include decided cases pending appeal.
In all cases before 31 January 1997, the beyond a reasonable doubt standard of proof must of necessity apply as all along there can be only one interpretation of s. 180 of the CPC,and that is as decided by the majority decision in Arulpragasan a/l Sundaraju v. Public Prosecutor [1997] 1 CLJ 686.
Jadi, mengikut penghakiman itu, mahkamah kenalah melihat tarikh sesuatu kes itu didaftarkan untuk menentukan sama ada pindaan itu terpakai kepadanya atau tidak.
Mengikut rekod, kes ini didaftarkan pada 17 Januari 1997, ia itu sebelum pindaan itu berkuatkuasa. Oleh itu, mengikut penghakiman Mahkamah Persekutuan itu, pindaan itu tidak terpakai. Maka beban bukti yang patut dipakai, di akhir kes pendakwaan ialah “melampaui keraguan yang munasabah” seperti yang diputuskan dalam kes Arulpragasan a/l Sandaraju v. Public Prosecutor [1997] 1 CLJ 686. Itulah beban bukti yang saya pakai di peringkat itu dalam kes ini.
Sekarang eloklah kita teliti sama ada pihak pendakwaan di akhir kesnya, telah berjaya membuktikan pertuduhan ini melampaui keraguan yang munasabah.
Saya telah memperturunkan keterangan mengenai apa yang berlaku pada hari serbuan dibuat. Saya tidak akan mengulanginya. Sekarang saya akan perturunkan dengan ringkas keterangan lain yang berkenaan.
Rumah No. 6 Tingkat Mas (rumah tersebut) itu adalah kepunyaan PW8.. PW8 menyewanya kepada tertuduh mulai bulan November 1995. Tiap-tiap bulan tertuduh membayar sewanya sebanyak RM800 sebulan. PW8 memberi kunci rumah itu kepada tertuduh, tetapi PW8 menyimpan satu kunci gate dan pintu hadapan. Kunci bilik atas tidak diberi kepada tertuduh kerana pada masa disewa bilik atas tidak berkunci. Semenjak disewa dia tidak masuk ke rumah itu walau sekali pun. Sebelum disewa dia memeriksa almari dinding yang kosong. Keterangan saksi-saksi ini saya terima.
Anak PW8, PW9, juga memberi keterangan mengenai penyewaan dan keadaan rumah itu. Tidaklah perlu saya memperturunkannya. Keterangan seorang saksi lagi, PW10, telah dicabar (impeached) dan saya membatalkan keseluruhannya.
Jeni Irda (PW6) adalah seorang pendatang Indonesia yang bekerja disebuah kilang. Dia adalah rakan wanita tertuduh. Pada 3 Julai 1996 tertuduh membawanya ke rumah tersebut lebih kurang pukul 10 malam. Dia berkenalan dengan tertuduh lebih kurang dua bulan sebelum itu. Sebelum itu dia pernah pergi ke rumah itu sebanyak dua kali. Pada kedua-dua kali itu dia tidak naik ke tingkat atas dan tidak tidur disitu. Kali terakhir ini dia tidur disitu bersamasama tertuduh diruang tamu ditingkat bawah. Dia tidak naik ke tingkat atas juga.
Pada 4 Julai 1996, hari kejadian, lebih kurang pukul 8.15pagi pasukan polis yang diketuai oleh PW4 menyerbu rumah itu. Keterangan saksi ini saya terima.
Perlu disebut bahawa semasa serbuan dibuat tiada sesiapa lain yang berada di rumah itu. Tujuh resit pembayaran sewa yang ditemui semuanya atas nama tertuduh. Anak-anak kunci yang dirampas oleh PW4 dirumah tersebut boleh membuka pintu grill dan pintu kayu hadapan. Ini diuji oleh PW11 (pegawai penyiasat) pada 5 Julai 1996. PW11 juga turut merampas serangkai anak kunci di bahagian brek tangan kereta Proton Wira No. PCQ 2040 yang berada di hadapan rumah itu. Kereta itu didaftarkan atas nama Mydin Meera bt Kassim yang beralamat 1-1- Taman Tun Sardon, 11700 Glugor Pulau Pinang. Pada 10 Julai 1996, PW11 menguji kunci-kunci itu dan dapati kunci-kunci itu boleh membuka pintu pagar, grill dan pintu kayu hadapan.
Mengenai bilik di mana dadah ditemui kunci pintu itu tersangkut di pintu itu. Satu lagi dijumpai dalam laci almari solek bilik itu juga.
Ada satu bilik lagi di tingkat atas (bilik No. 2). Mengikut keterangan PW11, yang saya terima bilik itu kotor, penuh dengan sawang, ada sebuah kipas meja, satu kotak ubat nyamok kosong, tilam dan katil – gambar-gambarnya dikemukakan.
Pada 11 Julai 1996 PW11 mengambil dua anak kunci daripada PW9 (anak tuan rumah). Satu daripadanya boleh buka mangga pagar. Yang satu lagi tidak boleh buka pintu grill. PW9 juga menyerahkan satu anak kunci lagi yang diterima daripada emaknya. Anak kunci itu adalah untuk pintu kayu. Tetapi apabila dicuba ia tidak boleh membuka pintu kayu itu. Ini selaras dengan keterangan PW9 bahawa dia tidak pernah masuk ke dalam rumah itu semenjak ianya disewa kepada tertuduh. Dia pernah masuk ke kawasan luar rumah dengan membuka pintu pagar untuk mengambil surat. Ini juga selaras dengan keterangan PW8 (emak PW9 dan tuan rumah) bahawa dia tidak pernah masuk ke rumah itu semenjak dia menyewanya kepada tertuduh. Dalam kata-kata lain, kunci kedua yang ada pada PW8 (tuan rumah) sudah tidak boleh membuka pintu rumah itu. Andainya ialah ia telah ditukar. Sebaliknya kunci-kunci yang ditemui di rumah itu dan dalam kereta yang ada di rumah itu semasa serbuan boleh membuka pintu rumah itu.
Peguam tertuduh cuba membangkitkan keraguan tentang kemungkinan ada penghuni lain di rumah itu. Pertama, kerana adanya kipas angin, katil, tilam dan kotak ubat nyamok kosong dalam bilik kedua. Memandang kepada keadaan bilik itu saya berpendapat bahawa ianya tidak dihuni bagi tempoh yang agak lama. Kedua, kerana terdapat lebih dari satu berus gigi dan kotak sabun di bilik air di tingkat bawah. Saya juga tidak fikir dalam keadaan kes ini., timbul apa-apa keraguan mengenai ujudnya penghuni-penghuni lain.
Satu nama telah disebut oleh tertuduh dalam percakapan hematnya, iaitu Nasir. Ini diakui oleh PW11. Usaha mengesan Nasir, jika ada, tidak berjaya, antaranya kerana kekurangan maklumat yang diberi oleh tertuduh.
Menimbang semua keterangan kes pendakwaan, saya berpuashati melampaui keraguan yang munasabah bahawa tertuduh mempunyai kawalan eksklusif ke atas rumah itu pada masa berkenaan. Dalam keadaan kes ini saya berpuashati melampaui keraguan yang munasabah bahawa tertuduh mempunyai jagaan dan kawalan (“custody and control”) kedua-dua beg yang mengandungi dadah itu dan oleh itu anggapan (d) s. 37 Akta Dadah Berbahaya1992 berbangkit.
Tidak terdapat sedikit keraguan pun bahawa daun-daun kering yang ditemui itu adalah cannabis seperti yang ditakrifkan oleh Akta itu dan beratnya ialah 39,105 gram. Oleh itu anggapan di bawah perenggan (da) terpakai.
Melihat dari satu segi lagi, tertuduh mempunyai “care and management” premis tersebut dan, oleh itu, adalah penghuni (occupier) premis itu – s. 37(b).Oleh sebab dadah berbahaya itu ditemui tersorok (concealed) dalam premis itu, dadah itu adalah disorok dengan pengetahuan penghuni itu – s. 37(g).Memanglah ini cuma membangkitkan anggapan mengenai pengetahuan, yang menguatkan lagi keterangan mengenai pengetahuan yang boleh diandaikan daripada jawapan tertuduh kepada soalan PW4 dan bahawa dia menunjuk ke arah almari dinding itu. Tetapi, seperti yang saya telah sebutkan, berdasarkan keseluruhan keterangan dalam kes ini, setakat ini, saya berpuashati melampaui keraguan yang munasabah bahawa tertuduh mempunyai kawalan dan jagaan beg-beg itu yang membangkitkan anggapan milikan (possession) terhadapnya.
Dalam keadaan ini saya berpuashati bahawa pendakwaan telah berjaya membuktikan melampaui keraguan yang munasabah pertuduhan terhadap tertuduh. Maka saya memanggilnya membela diri.
Setelah diberi pilihan, tertuduh memilih untuk memberi keterangan bersumpah.
Mengikut tertuduh dia bekerja membantu ibunya menjual nasi di kantin Universiti Sains Malaysia dan di sebelah petang dia membantu Pakciknya mencuci kereta. Dia sudah berumah tangga dan mempunyai seorang anak berumur tiga tahun. Dia tinggal di Flat Taman Tun Sardon bersama-sama ibunya, adiknya, abang sepupunya dan anak dan isterinya. Dia menyewa rumah tersebut (tempat kejadian) mulai bulan November 1995. Semasa menyewa semua kunci-kunci diberi kepadanya, melainkan kunci bilik atas (bilik No. 1) yang tergantung di situ. Dia menukar kunci pintu grill dan pintu papan hadapan. Dia menukarnya lebih kurang lima bulan selepas mula menyewa, kerana mungkin salah seorang pembantunya di kantin USM mempunyai satu set. Pekerja itu telah dipecat olehnya. Dia biasa pinjamkan kunci kepada pekerja-pekerja lain untuk mandi dan tukar pakaian di rumah tersebut. Dia tidak tahu sama ada mereka pernah bermalam di rumah tersebut. Tertuduh memberi tiga nama “pekerja-pekerja” itu. Mereka bertiga ini mempunyai kunci yang mereka buat sendiri sebab mereka banyak guna rumah itu untuk mandi dan tukar pakaian.
Ada tiga orang lagi yang mempunyai kunci rumah itu, ia itu Nasir, Megat dan Johari. Mereka bertiga ini membantunya menyewa rumah tersebut. Bulan pertama tertuduh bayar sewa. Di penghujung bulan pertama Nasir menyatakan hasratnya untuk membayar semua sewa. Bulan kedua tertuduh bayar lebih kurang RM300. Kadang-kadang tertuduh dibantu oleh Megat dan Johari membayar sewa.
Pada mulanya pekerja-pekerja di kantin USM dan tempat cuci kereta menggunakan flat Taman Tun Sardon untuk mandi dan tukar pakaian. Kadangkadang mereka bermalam di ruang tamu di flat itu. Oleh sebab mereka menyebabkan gangguan kepada keluarganya, maka tertuduh dan keluarganya mengambil keputusan untuk menyewa rumah tersebut.
Tertuduh kenal Nasir dua tahun sebelum ditangkap. Mula-mula Nasir bekerja sebagai budak pejabat di Maybank, Jelutong. Selepas dibuang kerja, Nasir berniaga di pasar malam, menjual pakaian, buah-buahan dan mainan kanakkanak.
Tertuduh sendiri kadang-kadang bermalam di rumah tersebut. Kawan-kawan dan pekerja-pekerja itu juga kadang-kadang bermalam di rumah tersebut kerana ada masalah dirumah. Mereka juga ada membawa teman wanita ke rumah tersebut.
Nasir pula menyewa rumah itu untuk menyimpan barang-barang pasar malamnya. Kadang-kadang Nasir juga membawa teman wanitanya dan bermalam di sana. Nasir, Megat dan Johari mempunyai kunci rumah tersebut. Pekerja-pekerja Nasir juga selalu pergi mandi dan menukar pakaian di rumah tersebut. Semua ruangan atas disewa oleh Nasir. Tertuduh tidak menggunakan bahagian atas rumah itu.
Semasa Nasir masuk ke rumah itu tertuduh meminta satu tilam daripada Nasir untuk disimpan di bawah tangga di tingkat bawah untuk kegunaannya dan rakan-rakannya.
Tertuduh tidak pasti bilik mana yang digunakan oleh Nasir di tingkat atas. Kadang-kadang dia lihat ada tilam bujang di bilik No. 1 bersama-sama barangbarang pasar malam seperti bungkusan pakaian dan kotak buah-buahan. Bilik No. 2 untuk pekerja-pekerja Nasir. Kipas angin di tingkat atas diambil oleh tertuduh dari rumahnya dan dipinjamkan kepada Nasir untuk digunakan oleh pekerja-pekerjanya.
Megat bekerja di hotel Pelangi di Langkawi. Dia berasal dari Jelutong (Pulau Pinang). Bila dia balik bercuti, dia bermalam di rumah tersebut. Dia juga menggunakan tilam di bawah tangga itu dan tidur di ruang tamu.
Johari berasal dari Taman Tun Sardon (Pulau Pinang). Dia juga kadang-kadang bermalam di rumah tersebut, di ruang tamu.
Tertuduh berkata dia tiada kunci bilik atas. Nasir yang ada. Mengenai barangbarang yang dirampas di tingkat bawah tertuduh mengatakan cuma sehelai tuala kepunyaannya.
Mengikut tertuduh dua hari sebelum dia ditangkap Nasir memberitahunya bahawa dia (Nasir) hendak pindah ke kawasan Butterworth.
Antara pakaian yang ditemui, tertuduh mengatakan cuma jeket (P55) sahaja kepunyaannya. Katanya, dia ada melihat Nasir dan pekerja-pekerjanya memindah kotak-kotak buah-buahan, beg-beg, kampit-kampit plastik, tilam dan barang-barang lain dari rumah tersebut. Tidak disebut bila.
Mengikutnya sehari sebelum dia ditangkap dia nampak Nasir membawa keluar pakaian dan beg perjalanan. Mengikutnya Nasir kata barang-barang lain akan dikeluarkannya 4 – 5 hari lagi. Nasir beri dua set kunci kepadanya yang diletaknya dalam kereta PCQ 2040 kepunyaan ibunya itu.
Ceritanya mengenai pemergiannya ke rumah itu bersama-sama PW6 sehingga kedatangan polis pagi esoknya serupa dengan keterangan PW6.
Mengenai soal-jawab katanya mereka tanya “Dimana barang disimpan”. Dia jawab “saya tak tahu”. Selepas itu salah seorang anggota polis memukulnya dan bertanya “mana bilik Nasir”. Dia jawab “Di tingkat atas”.
Selepas itu polis, tertuduh dan Jeni naik ke atas. Dia tidak membawa polis naik ke atas. Di tingkat atas polis terus ke almari dinding dan tolak almari solek yang ada di hadapannya. Dia tidak tunjuk kepada polis bahagian yang hendak diperiksa.
Tertuduh mengatakan dia beritahu polis butir-butir peribadi mengenai Nasir. Dia juga beritahu polis Nasir tinggal di kawasan Jelutong. Dia ada bawa pasukan polis pergi cari Nasir di Jelutong, Air Itam dan Jalan Jones tetapi tidak berjumpa.
Akhir sekali tertuduh menafikan bahawa dia adalah pemilik dadah itu.
Tertuduh telah disoal-balas dengan panjang lebar. Saya tidak akan memperturunkan keterangannya itu. Satu perkara saya mesti sebut ialah semasa disoal-balas itu, apabila tertuduh merasa dia tersepit, dia mengatakan tidak faham atau minta soalan-soalan diulangkan, walaupun soalan-soalan itu jelas dan mudah. Ada kalanya dia mengubah ceritanya untuk mengelak dari tersepit.
Saya dapati keterangan tertuduh tidak munasabah untuk membangkitkan apaapa keraguan terhadap kes pendakwaan terutama sekali mengenai penyewaan rumah itu oleh tertuduh, kawalan dan jagaannya terhadap rumah itu dan dadah yang ditemui di dalamnya.
Mengenai penyewaan rumah tersebut. Kalau mengikut ceritanya, manakala dia dan keluarga berimpit di flat di Taman Tun Sardon bersama-sama beberapa orang lain, rumah tersebut yang selesa itu disewa olehnya untuk pekerja-pekerja kantin emaknya dan pekerja-pekerja cuci kereta pakciknya mandi, dan menukar pakaian. Nampaknya mereka mendapat layanan yang lebih istimewa daripada anak dan isterinya sendiri.
Mengikutnya kerjanya hanya menolong emaknya menjual nasi di kantin USM dan menolong pakciknya mencuci kereta. Saya tidak fikir dengan kerja itu dia mimpi menyewa rumah itu.
Tertuduh mengatakan rakan-rakannya, pakciknya, ibunya, kesemuanya menolongnya membayar sewa rumah itu. Ini satu lagi perkara yang tidak boleh diterima akal. Saya berpendapat cerita ini cuma diada-adakan untuk menyelah hujah pendakwaan bahawa dengan pendapatannya sebagai pembantu di kantin dan mencuci kereta tidak mampu menyewa rumah itu.
Juga, adalah amat aneh bahawa dia sebagai penyewa rumah itu cuma tidur diruang tamu, manakala Nasir dan pekerja-pekerjanya menggunakan kedua-dua bilik di tingkat atas.
Cerita mengenai Nasir juga tidak munasabah. Tak mungkin seorang peniaga pasar malam akan tinggal di tingkat atas rumah itu, setiap hari mengangkat naik dan turun kotak-kotak barangnya, manakala tertuduh yang menyewa rumah itu tidur diruang tamu. Juga kalaulah Nasir baru memindahkan barang-barang pasar malamnya, semestinya di bilik No. 1 akan ada kesan sampah atau kotak kosong.
Dalam penghakiman saya cerita mengenai Nasir itu hanyalah rekaan. Demikian juga mengenai rakan-rakan lain. Tidak mustahil ada rakan-rakannya kadangkadang pergi ke rumah itu. Rumah siapa pun ada dilawati oleh sahabat handai. Tetapi itu tidak menghilangkan kawalan seseorang terhadap rumahnya. Juga, tidak disebut barang sekali pun bahawa anak isterinya, ibunya saudara-maranya pernah pergi atau bermalam di rumah itu. Ini agak anih, melainkan jika seperti yang disarankan oleh pendakwaan tertuduh menyewa rumah itu untuk menyimpan dadah itu dan membawa teman wanitanya, fakta yang semestinya, dia tidak mahu ahli keluarganya tahu.
Bilangan set kunci yang ditemui di rumah itu dan dalam kereta proton emak tertuduh yang digunakan oleh tertuduh pada masa itu nampaknya mencukupi bilangan set yang biasa ada.
Ceritanya bahawa Nasir berpindah sehari sebelum tertuduh di tangkap, menyerah kunci kepadanya tetapi ada barang yang ditinggal (andainya ialah dadah itu) yang akan diambilnya kemudian juga tidak munasabah. Sebelum itu tertuduh mengatakan Nasir tidak membenarkannya naik ke tingkat atas. Jika Nasir wujud dan jika Nasir ada sesuatu rahsia di tingkat atas, mengapa dia harus meninggalkan pintu bilik atas itu tidak berkunci?
Pihak pembelaan cuba menyarankan bahawa pihak polis telah pun tahu di mana terletaknya dadah itu. Ini juga tidak munasabah kerana jika pihak polis telah tahu mengapa mereka perlu mencari di tingkat bawah di bahagian dapor terlebih dahulu? Juga terdapat soal-jawab antara PW4 dan tertuduh yang setelah mendengar keterangan tertuduh pun, saya tidak ragu-ragu tentang kebenarannya.
Keterangan tertuduh bahawa dia dipukul oleh polis juga tidak munasabah. Jeni (PW6) sendiri menafikannya.
Kesimpulannya saya dapati bahawa pembelaan telah tidak berjaya membangkitkan apa-apa keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Pembelaan juga tidak berjaya menyangkal anggapan-anggapan yang berbangkit atas imbangan kemungkinan. Maka saya dapati tertuduh bersalah seperti pertuduhan, mensabitkannya dan menjatuhkan hukuman mati mandatori.