KUASA PENGAMPUNAN: SATU CADANGAN
KUASA PENGAMPUNAN: SATU CADANGAN
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad
Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, setakat yang ia berkenaan dengan rencana ini, memperuntukkan:
“Kuasa Pengampunan dsb.
- (1) Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan lain yang dilakukan di dalam Negerinya.
(2). ….
(3). …
(4) Kuasa yang disebut dalam Perkara ini
(a) adalah, setakat yang kuasa itu boleh dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong, antara fungsi yang peruntukan berkenaan dengannya boleh dibuat oleh undang-undang persekutuan di bawah Fasal (3) Perkara 40;
(b) hendaklah, setakat yang kuasa itu boleh dijalankan oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri, pengampunan dijalankan mengikut nasihat Lembaga yang ditubuhkan bagi Negeri itu mengikut Fasal (5).
(5) Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi setiap Negeri hendaklah terdiri daripada Peguam Negara Persekutuan, Ketua Menteri Negeri itu dan tidak lebih daripada tiga orang anggota lain…
(6). …
(7). …
(8) Lembaga Pengampunan hendaklah bermesyuarat dengan kehadiran Raja atau Yang di-Pertua Negeri dan Raja atau Yang di-Pertua Negeri itu hendaklah mempengerusikan mesyuarat itu.
(9) Sebelum memberikan nasihatnya mengenai apa-apa perkara, Lembaga Pengampunan hendaklah menimbangkan apa-apa pendapat bertulis yang mungkin telah dikemukakan oleh Peguam Negara mengenai perkara itu.
(10). …
(11) Bagi maksud Perkara ini, maka hendaklah ditubuhkan Lembaga Pengampunan tunggal bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan peruntukan Fasal (5), (6), (7), (8) dan (9) hendaklah terpakai mutatis mutandis bagi Lembaga Pengampunan di bawah Fasal ini …..”
Fasal (3) Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan:
“(3) Undang-undang persekutuan boleh membuat peruntukan bagi menghendaki Yang di-Pertuan Agong bertindak selepas berunding dengan atau atas syor mana-mana orang atau kumpulan orang selain Jemaah Menteri pada menjalankan mana-mana fungsinya selain—
(a) fungsi yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya;
(b) fungsi yang berkenaan dengan penjalanannya peruntukan ada dibuat dalam mana-mana Perkara lain.”
Peruntukan-peruntukan yang saya perturunkan ini bolehlah diringkaskan seperti berikut. Dalam berbuat demikian, untuk mengelak kekeliruan, saya hanya akan menumpukan kepada YDP Agong.
- YDP Agong berkuasa memberi ampun berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan.
- Kuasa itu adalah setakat yang boleh dibuat undang-undang persekutuan di bawah Fasal (3) Perkara 40. Ia tidak termasuk fungsi yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya. Oleh itu, tidaklah boleh dihujahkan bahawa kuasa pengampunan boleh dijalankan menurut budi bicaranya.. Fasal (3) Perkara 40 membolehkan YDP Agong bertindak selepas berunding dengan atau atas syor mana-mana orang atau kumpulan orang selain Jemaah Menteri. Maka ditubuhkanlah Lembaga Pengampunan bagi menasihati Baginda. Adakah Baginda sebahagian daripada Lembaga Pengampunan? Fasal (5), antara lain, mengatakan Lembaga Pengampunan hendaklah terdiri daripada Peguam Negara Persekutuan, Ketua Menteri Negeri itu dan tidak lebih daripada tiga orang anggota lain. YDP Agong tidak disebut. Fasal (8) mengatakan, Lembaga Pengampunan hendaklah bermesyuarat dengan kehadiran YDP Agong yang hendaklah mempengerusikan mesyuarat itu. Ertinya, Baginda hanya mempengrusikan mesyuarat itu, bukan bersama-sama anggota lain membuat keputusan Lembaga itu. Fasal (9) juga menunjukkan pengasingan Baginda dan Lembaga Pengampunan. Adalah jelas Baginda bukan sebahagian daripada Lembaga Pengampunan.
- Mestikah Baginda menuruti nasihat Lembaga Pengampunan? Fasal (9) menyebut “Sebelum memberikan nasihatnya…” Perhatikan, di mana Baginda dikehendaki menuruti nasihat Perdana Menteri seperti dalam pelantikan Hakim, Perlembabaan menggunakan kata-kata “the Yang di-Pertuan Agong, acting on the advice of the Prime Minister,” (Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri,)
Kesimpulannya, kuasa memberi pengampunan bukanlah satu kuasa yang boleh dilakukan mengikut budi bicara YDP Agong. Baginda perlu medengar nasihat Lembaga Pengampunan. Tetapi, Baginda tidak dikehendaki menurutinya. Kesan akhirnya mungkin sama, tetapi aturcaranya berlainan, dan mesti dikuti.
Sebelum kes Dato’ Seri Najib, tidak pernah timbul masalah. Ini kerana, sehingga tahun 1980-an, pengampunan biasanya dilakukan apabila ada sesuatu hari perayaan seperti pertabalan Sultan. Biasanya, banduan-banduan yang telah menjalani sebahagian besar hukumannya dan akan diampun bakinya. Kriterianya jelas dan sama untuk semua. Tidak ada VIP. Tidak ada ruang untuk perbezaan. Raja dan Lembaga Pengampunan sekata.
Sampai kepada kes Dato’ Harun Idris dan Dato’ Mokhtar Hashim, dua VIP pertama pun tiada masalah. Mereka talah menjalani sebahagian besar daripada hukuman mereka. Menggunakan kriteria biasa, Raja dan ahli-ahli lembaga juga sekata.
Sampai kepada kes Dato’ Seri Najib. Segala-galanya berlainan. Beliau adalah bekas Perdana Menteri, anak kepada bekas Perdana Menteri. Beliau dan ayahandanya adalah kontemporari dua beranak Sultan dan YDP Agong. Mereka datang dari Negeri yang sama. Malah, YDP Agong yang mempengerusikan Lembaga Pengampunan yang mendengar permohonan Dato’ Seri Najib adalah anakanda kepada YDP Agong ayahanda Baginda.
Maka, tidak hairanlah jika semasa kes sedang berjalan pun sudah kedengaran cakap-cakap mengenai pengampunan. Walau bagaimanapun, setelah beliau didapati bersalah dan dihukum, permohonan dibuat,
Maka, berlakulah apa yang tidak pernah berlaku dalam sejarah pengampunan yang saya telah bincang dalam “Kenyataan Pengampunan DS Najib: Kesilapan Demi Kesilapan Berlaku” (11 Februari 2024).
Terdapat dua dokumen yang melaporkan keputusan mesyuarat Lembaga Pengampunan itu. Dokumen pertama adalahn Kenyataan Media bertarikh 2 Februari 2024 yang dikeluarkan oleh Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri yang, antara lain, mengatakan:
“Setelah menimbangkan pendapat dan nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan … telah memutuskan hukuman ke atas YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib … diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar…..”
Daripada perenggan ini dapat difahamkan bahawa keputusan mengurangkan hukuman dan denda kepada Dato’ Seri Najib itu adalah keputusan lembaga itu yang dipengerusikan oleh YDP Agong, yang bererti ahli-ahli lembaga itu dan YDP Agong bersetuju dengannya.
Dokumen kedua ditandatangani oleh Dr. Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan). Dikembarkan kepada dokumen itu adalah satu muka surat berasingan tidak bernombor dan tidak bertarikh. Ia bertajuk Perintah Pembebasan Awal dan mengandungi cop mohor YDP Agong dan tandatangan Baginda.
Satu bahagian dokumen kedua yang ditandatangani oleh Dr. Zaliha Mustafa, antara lain, mengatakan:
“Lembaga Pengampunan….pada 29 Januari 2024 menimbang hukuman banduan telah menasihatkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya banduan Dato’ Sri Mohd Najib… meneruskan baki hukuman.”
Ia diikuti selepas itu, di muka surat yang sama, dengan:
“Bahawasanya iaitu adalah munasabah, pada hemat beta, belas kasihan patut diberi kepada Dato’ Sri Mohd Najib… . Maka oleh yang demikian beta …, pada menjalankan kuasa yang terletak pada beta… dengan ini memerintahkan bahawa Dato’ Sri Mohd Najib… dibebaskan pada tarikh pembebasan awal pada 23 Ogos 2028 dan denda dikurangkan kepada RM50,000,000.00…. telah menurunkan tandatangan dan cop mohor beta pada 29 Januari 2024.”
Dokumen itu diakhiri dengan perkataan “Dengan Titah Perintah Baginda” diikuti dengan tandatangan Dr. Zaliha Mustafa.
Saya tidak bercadang untuk mengulangi perbincangan dua dokumen itu di sini. Pembaca yang berminat mengetahui dengan lebih mendalam bolehlah merujuk kepada rencana tersebut.
Untuk tujuan rencana ini memadailah ditekankan perbezaan yang sangat material dalam dokumen-dokumen itu. Mengikut dokumen pertama keputusan mengurangkan hukuman dan denda kepada Dato’ Seri Najib itu adalah keputusan lembaga itu yang dipengerusikan oleh YDP Agong.
Menurut dokumen kedua, Lembaga Pengampunan telah menasihatkan YDP Agong supaya Dato’ Seri Najib meneruskan baki hukuman. Tetapi, pada hemat Baginda, adalah munasabah belas kasihan patut diberi kepada Dato’ Seri Najib, maka Baginda memerintahkan bahawa Dato’ Seri Najib dibebaskan pada tarikh pembebasan awal dan denda dikurangkan. Ertinya, keputusan Lembaga Pengampunan itu tidak termasuk keputusan Baginda; Baginda tidak menuruti nasihat Lembaga Pengampunan dan keputusan Baginda mengurangkan hukuman penjara dan denda itu adalah keputusan Baginda sendiri.
Selepas itu timbul pula kisah sekeping surat tambahan yang mengandungi perintah tambahan bahawa Baginda mengarahkan Dato’ Seri Najib menjalani hukuman penjara di rumah yang dinafikan oleh Kerajaan tetapi dikatakan ada oleh Mahkamah Rayuan.
Paling kurang, semua ini telah memberi kesan negatif kepada integriti semua pihak yang terlibat. Ia tidak sepatutnya berlaku dan tidak patut berulang. Maka, untuk mengelaknya berulang, saya mencadang satu pindaan dibuat kepada Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan supaya:
- YDP Agong adalah sebahagian daripada Lembaga Pengampunan, iaitu Pengerusinya.
- Untuk sesuatu keputusan menjadi sah dan berkuatkuasa, keputusan Lembaga Pengampunan itu hendaklah keputusan majoriti, termasuk YDP Agong. Keputusan sebulat suara ahli-ahli lembaga pun jika ia tidak termasuk YDP Agong tidak menjadi satu keputusan yang sah dan berkuatkuasa. Sebaliknya, suatu keputusan yang mengandungi persetujuan YDP Agong pun, jika bukan keputusan majoriti, bukanlah keputusan Lembaga Pengampunan itu yang sah dan berkuatkuasa.
- Semua keputuan Lembaga Penasihat hendaklah dibuat di dalam mesyuarat itu, dicatatkan dalam minit mesyuarat dan adalah muktamad.
- YDP Agong akan memerintahkan keputusan Lembaga Pengampunan yang sah dan berkuatkuasa itu dilaksanakan tanpa sebarang pindaan, tambahan atau pengurangan.
Sekarang kita akan bincangkan kelebihan dan kekurangan cadangan ini.
Kelebihannya ialah:
- Keputusan Lembaga Pengampunan yang sah dan berkuatkuasa adalah keputusan majoriti ahli-ahli lembaga itu termasuk YDP Agong. Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat dan muktamad. Keputusan itulah yang akan dilaksanakan. Hal seperti yang berlaku dalam kes Dato’ Seri Najib tidak boleh berulang.
- Kedudukan keputusan YDP Agong terpelihara. Sesuatu keputusan lembaga itu, walau pun sebulat suara, tidak memberi apa-apa kesan melainkan termasuk persetujuan YDP Agong.
- Sebaliknya kita juga memberi makna kepada pendapat ahli-ahli. Dengan pindaan ini, mesti ada undi mereka dalam sesuatu keputusan yang akan menjadi keputusan yang sah dan berkuatkuasa. YDP Agong tidak boleh dengan sendirinya memberi pengampunan tanpa menghiraukan pandangan lembaga. Dalam kata-kata lain, ia lebih democratic.
Sekarang kita lihat pula kekurangan cadangan ini:
- Mereka yang mahukan pengampunan menjadi budi bicara YDP Agong semata-mata semestinya tidak suka melihat budibicara itu disyaratkan. Tetapi, kita mesti ingat bahawa dunia semakin menolak Raja Mutlak (Absolute Monarchy). Kita sendiri telah memilih Raja Berperlembagaan (Constitutional Monarchy). Namun demikian, di waktu kebelakangan ini, keadaan agak merisaukan. Lihat “Raja Berperlembagaan: Perkembangan Yang Merisaukan”. Rata-rata rakyat sedang memerhati apa yang berlaku dan merungut di belakang. Mereka hanya tolerate. Tetapi toleration ada hadnya. Kita tidak mahu ia meletup. Sebab itu kita perlu baiki keadaan, di mana boleh.
Seperti dalam kes Dato’ Seri Najib ini, misalnya, ia mengikut perasan “belas kasihan” Baginda semata-mata. Adakah seorang yang tidak dikenali Baginda akan menerima belas kasihan sama seperti Dato’ Seri Najib? Alasan yang diberi semata-mata perasaan Baginda. Ia sepatutnya apa yang telah dilakukan oleh banduan itu sebelum dan selepas dia dihukum serta keadaannya yang melayakkannya menerima pengampunan. Kita juga tidak mahu melihat YDP Agong diperalatkan oleh pemimpin-pemimpin politik yang korup untuk terus atau kembali berkuasa. Lihat “Patutkah Dato’ Seri Najib diberi Pengampunan?” (07 09 2022)
Untuk menambahbaikkan cadangan ini, saya cadangkan:
- Bilangan anggota ditambah lagi seorang supaya, termasuk YDP Agong, akan menjadi angka ganjil, tujuh orang. Ini akan memudahkan lembaga itu memperolehi keputusan majoriti.
- Lembaga dikehendaki memberi alasan kepada setiap keputusan sah dan berkuatkuasa supaya keputusannya lebih rasional dan telus. Lihat “Pengampunan Dato’ Seri Najib: Lembaga Pengampunan Patut Beri Alasan “ (04 02 2024)
Sebenarnya, tidak ada politik dalam cadangan ini. Ia adalah untuk kebaikan semua dan negara. Semua parti patut menyokongnya.
,Walau bagaimanapun, ini hanyalah pendapat saya. Jika ada hujah yang lebih baik, saya juga akan bersetuju dengannya.
05 Mac 2025
https://tunabdulhamid.me