ZAKAT WAJIB KE ATAS MANUSIA, BUKAN SYARIKAT

 ZAKAT WAJIB KE ATAS MANUSIA, BUKAN SYARIKAT

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad[1]

(Untuk mereka yang sanggup membaca dan berani befikir.)

 

(Saya tahu bahawa mengenai isu sama ada syarikat wajib membayar zakat mengikut Syariah, berkemungkinan saya berdiri keseorangan berhadapan dengan semua ulama besar Islam dan ahli akademik Syariah di dunia ini. Tetapi, kita berbincang mengenai alasan kepada pendapat itu, yang dalam hal ini, termasuk bukan sahaja Syariah tetapi juga  common law dan statut yang mungkin bukan bidang kepakaran mereka. Selain dari itu, dalam memutuskan fatwa, seperti memutuskan kes, dapatan fakta yang betul adalah sama pentingnya dengan dapatan undang-undang yang betul. Ia tidak berakhir di situ. Ia juga memerlukan pengenaan undang-undang yang betul kepada fakta yang betul. Mengambil kira faktor-faktor ini, mungkin saya  boleh dimaafkan kerana memberi pendapat saya berdasarkan hujah-hujah saya dalam isu ini.

 Terdapat satu lagi sebab mengapa saya mengatakan fatwa adalah seperti penghakiman. Suatu penghakiman, seperti satu fatwa, bukanlah penghakiman yang baik semata-mata kerana ia disukai oleh kebanyakan orang atau ia menjadikan hakim itu popular. Penghakiman yang baik adalah satu yang merupakan hasil hujah yang logik dan alasan yang sah (valid) berdasarkan fakta dan undang-undang, tanpa mengira apa akibatnya. Sekurang-kurangnya, itulah yang saya percaya dan amalkan sebagai seorang hakim.

 Saya pasti kebanyakan pembaca pernah mendengar fatwa dan pendapat bahawa syarikat wajib membayar zakat, tetapi tidak ramai yang membaca dan memikirkan secara mendalam alasannya.

 Maka, apabila membaca rencana ini, saya harap pembaca akan menumpukan perhatian kepada hujah-hujah menyokong dan menentang dalam setiap perkara, sama ada ia sah dan logik dan membuat pertimbangan mereka sendiri mengenai isu berkenaan.

 Isu sama ada syarikat wajib membayar zakat mengikut Syariah adalah universal. Dalam konteks Malaysia, terdapat satu aspek lagi, iaitu aspek perundangan. Saya percaya bahawa sangat sedikit pembaca, jika ada sekalipun, yang pernah melihat hujah-hujah yang saya kemukakan di sini mengenai peruntukan Perlembagaan dan undang-undang mengenai isu ini dan kesannya, yang, sepanjang pengetahuan saya, tidak ada sesiapa yang pernah membincangkannya.

 Dalam rencana ini “zakat” bermaksud zakat wajib, salah satu daripada Rukun Islam, bukan pemberian sukarela atau sedekah.)

Kali pertama saya menyentuh isu kewajipan syarikat membayar zakat adalah dalam tahun 1980-an di satu seminar yang diadakan di Kuala Lumpur. Saya mengatakan bahawa syarikat bukan seorang Islam. Ia mempunyai personaliti undang-undang berasingan (separate legal personality) daripada pemegang-pemegang sahamnya. Oleh itu ia tidak wajib membayar zakat. Di waktu rehat, seorang peserta berkata kepada saya, “Di belakang setiap syarikat, ada orang.”

Dalam tahun 2012, saya menulis satu rencana bertajukObligation of companies to pay zakat: issues arising from effects of separate legal entity”.  Tujuan saya adalah untuk mengulas asas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah) membuat keputusan dan Jawatankuasa Fatwa Selangor mengeluarkan fatwa bahawa syarikat wajib membayar zakat dan satu kertas kajian yang ditulis oleh lima orang ahli akademik Syariah (kesemuanya Ph.D dan tiga daripadanya profesor) dan kertas-kertas kerja di dua persidangan yang memberi pendapat yang sama dengannya.

Selepas itu saya telah menulis beberapa rencana, antaranya melihat isu itu dari segi Perlembagaan dan undang-undang. Maka, saya fikir eloklah saya kumpulkan kesemua hujah kedua belah pihak mengenai isu ini supaya ia lebih mudah diikuti oleh pembaca dan membuat keputusan sendiri.

Perbincangan ini tertumpu kepada syarikat yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 dan perbadanan yang ditubuhkan di bawah undang-undang tertentu seperti Tabung Haji dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), kesemuanya akan dirujukkan  dengan satu perkataan “syarikat”.

Sebuah syarikat yang ditubuhkan di bawah undang-undang diiktiraf oleh undang-undang sebagai mempunyai personaliti undang-undang yang berasingan daripada pemegang-pemegang sahamnya. Prinsip ini telah diputuskan oleh  penghakiman sebulat suara House of Lords di England dalam kes Salomon lwn A. Salomon & Co. Ltd. (1897) AC 22). Ia telah dijadikan undang-undang di Malaysia melalui Akta Syarikat 2016.

Seksyen 20 dan 21 Akta tersebut memperuntukkan:

“20. Sesuatu syarikat yang diperbadankan di bawah Akta ini ialah suatu pertubuhan perbadanan dan hendaklah—

  • mempunyai keperibadian undang-undang yang berasingan daripada ahli-ahlinya; dan
  1. (1) Sesuatu syarikat hendaklah berupaya untuk menjalankan semua fungsi suatu

pertubuhan perbadanan dan mempunyai kapasiti penuh untuk menjalankan atau menjalankan apa-apa perniagaan atau aktiviti termasuk—

  • untuk mendakwa dan didakwa;
  • untuk memperoleh, memiliki, memegang, membangunkan atau melupuskan apa-apa harta; dan
  • untuk melakukan apa-apa perbuatan yang mungkin dilakukannya atau untuk membuat transaksi.”

(2) Sesuatu syarikat hendaklah mempunyai hak, kuasa dan keistimewaan penuh bagi maksud yang disebut dalam subseksyen (1).”[i]

Syarikat berbaza daripada sole proprietorship dan partnership yang prinsip identiti perundangan berasingan tidak terpakai kepadanya.

Syarak hanya mewajibkan “orang yang beriman” membayar zakat.

Jawatankuasa Muzakarah dan Jawatankuasa Fatwa Selangor bersandar kepada ayat 267 Surah Al-Baqarah berkenaan kewajiban berzakat, yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu…”

Untuk menjadikan syarikat “seorang yang beriman”, mereka melihat kepada pemegang-pemegang sahamnya, sama ada pemegang-pemegang saham itu beragama Islam. Jika pemegang-pemegang saham itu beragama Islam, maka mereka akan mengaitkan (attribute) agama pemegang-pemegang saham itu kepada syarikat itu dan jadilah ia “seorang yang beriman”.

Sekiranya sebahagian daripada pemegang saham sahaja yang beragama Islam, hanya bahagian keuntungan milik pemegang saham Islam sahaja yang dikenakan zakat

Ahli-ahli akademik Syariah itu mengemukakan satu hujah lagi bahawa syarikat wajib membayar zakat. Mereka memetik pendapat Sheikh Taqi Osmani, seorang ulama Pakistan, yang mengatakan dalam Syariah juga ada prinsip personaliti undang-undang berasingan. Misalannya adalah masjid, baitul mal dan khultah. Kemudian, mereka membuat keputusan seperti berikut: oleh sebab Syariah mengiktiraf personaliti undang-undang berasingan, oleh sebab syarikat mempunyai personaliti undang-undang berasingan, maka syarikat juga wajib membayar zakat.

Di kebelakangan ini, ada ahli-ahli akademik Syariah yang menggunakan prinsip “lifting or piercing of corporate veil” (menyingkap atau menembusi tirai korporat) bagi menjadikan syarikat seorang Islam. Dengan menyingkap tirai korporat sebuah syarikat akan nampaklah agama pemegang-pemegang sahamnya. Jika mereka beragama Islam, mereka akan mengaitkan agama pemegang-pemegang saham itu kepada syarikat itu dan jadilah ia seorang Islam.

Untuk memudahkan pembaca mengikuti hujah kedua belah pihak, biarlah saya berikan hujah-hujah saya  terhadap hujah-hujah pihak sebelah lagi itu setakat yang saya telah perturunkan di atas.

Mengenai ayat 267 Surah Al-Baqarah itu, saya berpendapat ia ditujukan kepada manusia yang boleh beriman (Islam) dan menolak keimanan (kafir). Hanya manusia yang boleh beriman dan menjadi Islam yang wajib melaksanakan rukun-rukun Islam, zakat adalah salah satu daripadanya. Mahkamah atau Parlimen tidak berkuasa mencipta manusia yang boleh beriman. Hanya  Allah Ta’ala yang boleh melakukannya.

Bagaimana ayat tersebut hendak dikatakan ditujukan juga kepada selain daripada manusia seperti sekeping kertas, bangunan, kandang kambing atau pun robot? Bagaimana mereka hendak beriman atau menolak keimanan? Al-Quran ditujukan kepada manusia, Rasul-Rasul hanya dihantar kepada manusia.

Jika ayat itu ditujukan juga kepada bukan-manusia, mengapa hanya zakat yang diwajibkan ke atas mereka, itu pun hanya ke atas syarikat sahaja? Mengapa Rukun-Rukun Islam yang lain tidak turut dikenakan ke atas syarikat jika ia seorang Islam?

Mengaitkan agama pemegang-pemegang saham kepada syarikat adalah tidak wajar. Syarikat tidak boleh beragama. Bagaimana agama hendak dikaitkan kepadanya? Syarikat bukan manusia, bagaimana agama manusia hendak dikaitkan kepadanya? Juga, ia bercanggah dengan prinsip personaliti undang-undang berasingan itu sendiri.

Penggunaan prinsip “menyingkap atau menebuk tirai korporat” tidak sesuai di sini kerana, pertama, hanya mahkamah yang berkuasa berbuat demikian dalam kes yang sesuai, bukan sesiapa sahaja.

Kedua, mengikut prinsip itu, tirai yang disingkap atau ditembusi adalah tirai syarikat, bukan tirai pemegang-pemegang saham. Di sini mereka menyingkap tirai pemegang-pemegang saham untuk melihat agama mereka untuk  dikaitkan kepada syarikat. Apa yang mereka lakukan itu adalah terbalik.

Ketiga, prinsip itu hanya boleh dilakukan berdasarkan “(i) the concealment principle” (prinsip penyembunyian) dan “(ii) the evasion principle” (prinsip pengelakan). Prinsip itu tidak kena mengena langsung kepada fakta kes ini. – Lihat Ong Leong Chiou  & Anor v Keller (M) Sdn & Ors. (2021) 4 CLJ 821 M.P. Untuk tujuan rencana ini, memadailah dipetik sebahagian daripada satu ayat berikut:

“… jika personaliti undang-undang berasingan syarikat disalahgunakan untuk tujuan salah laku, adalah wajar bagi mahkamah untuk mengabaikan personaliti korporat syarikat itu.“ – Per Nallini Pathmanathan FCJ menyampaikan penghakiman mahkamah.[ii] (Terjemahan saya)

Prinsip itu dicipta oleh mahkamah bagi meletakkan tanggungjawab kepada alter-ego, pengarah dan pemegang saham dan lain-lain yang menyalahgunakan personaliti undang-undang berasingan syarikat untuk tujuan salah laku, bukan sebaliknya.

Hujah bahawa oleh sebab Syariah mengiktiraf personaliti undang-undang berasingan, oleh sebab syarikat mempunyai personaliti undang-undang berasingan, maka syarikat wajib membayar zakat adalah non-sequeter (kesimpulan atau pernyataan yang tidak mengikut logik daripada hujah atau pernyataan sebelumnya). Masjid, baitul mal dan qultah bukanlah personaliti undang-undang berasingan  mengikut prinsip Salomon v. A. Salomon & Co. Ltd. Apakah kuasa perundangan syarikat seperti yang saya telah sebut lebih awal itu yang ada pada masjid, baitul mal dan qultah?

Khultah adalah cara mengira zakat daripada harta kepunyaan lebih daripada seorang orang Islam yang bercampur. Misalnya, dua orang Islam berpakat menternak kambing, seorang menyumbang 60 ekor dan seorang lagi 40 ekor. Lepas satu tahun mereka tidak mengetahui kambing siapa yang beranak dan berapa ekor. Maka zakat dikira atas nilai kesemua kambing itu dan zakat mereka dibahagikan mengikut kaedah 60% dan 40%. Zakat itu adalah zakat dua orang manusia yang beriman itu, bukan zakat kandang kambing itu. Soal personaliti undang-undang berasingan syarikat seperti yang diputuskan dalam kes Salomon v. A. Salomon & Co. Ltd. itu tidak berbangkit langsung.

Khultah bukanlah satu personaliti undang-undang berasingan. Prinsip khultah tidak boleh digunakan bagi mengenakan kewajipan membayar zakat kepada syarikat.

Prinsip personaliti undang-undang berasingan itu adalah prinsip common law yang baru hanya dicipta 127 tahun dahulu. Hanya sekarang barulah ahli-ahli akademik Syariah yang menguasai Bahasa Inggeris dan membaca mengenainya, mencari sama ada prinsip yang sama terdapat dalam Syariah. Sila maklumkan saya jika ulama-ulama Syariah telah menggunakan istilah tersebut sebelum kes Salomon v. A. Salomon & Co. Ltd diputuskan atau sebelum Perang Dunia Kedua. Jika ada prinsip itu dalam Syariah sekalipun, adakah ia serupa dengan prinsip common law itu? Seterusnya, jika ada dan serupa pun, ia tidak menjadikan syarikat wajib membayar zakat, malah sebaliknya.

Para ulama dan ahli-ahli akademik Syariah itu terperangkap dalam hujah mereka apabila mereka mengatakan Syariah mengiktiraf prinsip personaliti undang-undang berasingan dan kemudian menggunakan prinsip menyingkap atau menembusi tirai korporat untuk mengaitkan agama pemegang saham kepada syarikat. Dalam berbuat demikian pun, mereka menggunakan cara yang salah: mereka menyingkap atau menembusi tirai yang salah.

Saya tiada masalah jika mereka berkata bahawa Syariah mengiktiraf prinsip personaliti undang-undang berasingan setakat yang ditetapkan oleh undang-undang. Ia tidak termasuk kewajipan agama. Orang Islam boleh menubuhkan syarikat mengikut undang-undang. Ia mempunyai semua kuasa yang diberi oleh undang-undang. Kewajipan agama adalah kewajipan peribadi mereka yang ditetapkan oleh Allah ke atas mereka. Ia tidak boleh  dipindahkan  kepada orang lain atau syarikat. Undang-undang yang memberi kuasa menubuhkan syarikat juga tidak memberi agama kepada syarikat atau meletakkan kewajipan agama kepadanya kerana ia tidak boleh beragama. Maka, kewajipan membayar zakat, sebagai satu kewajipan agama kekal dengan mereka, bukan berpindah kepada syarikat. Saya tidak tahu sama ada pendirian begini menyalahi Syariah atau tidak.

Saya juga tiada masalah jika mereka berkata bahawa Syariah tidak mengiktiraf prinsip personaliti undang-undang berasingan sama sekali. Oleh itu, syarikat tidak diwajibkan membayar zakat, sama ada zakatnya sendiri atau zakat pemegang sahamnya. Tetapi, jika mereka berkata begini, orang Islam langsung tidak boleh berniaga melalui syarikat. Mereka akan terhad kepada sole proprietorship dan perkongsian.

Pendapat bahawa sekiranya sebahagian daripada pemegang saham sahaja yang beragama Islam, hanya bahagian keuntungan milik pemegang saham Islam sahaja yang dikenakan zakat tidak terlepas daripada masalah. Pertama, bukan semua pemegang saham adalah manusia. Pemegang saham yang besar-besar adalah syarikat lain. Malah, pemegang saham syarikat tersebut juga mungkin syarikat-syarikat lain dan ia mungkin berterusan beberapa lapisan. Bagaimanakah kita hendak  menentukan bahagian kepunyaan pemegang saham Islam?

Kedua, keuntungan adalah milik syarikat. Sehingga dividen diisytiharkan, kita tidak tahu berapa bahagian pemegang saham Islam dan bukan Islam.

Terdapat satu lagi pendapat yang diberi oleh seorang ahli akademik Syariah: syarikat tidak diwajibkan membayar zakat pemegang sahamnya tetapi jika ia memperolehi keuntungan sendiri, syarikat itu perlu membayar zakat ke atasnya.

Saya tidak mempunyai masalah dengan separuh pertama pendapat itu. Itulah yang saya katakan selama ini. Tetapi, saya ada masalah bila kita katakan jika syarikat membuat keuntungan sendiri, ia hendaklah membayar zakat ke atasnya. Kerana, apabila kita berkata demikian, bermakna kita menerima bahawa syarikat mempunyai kewajipan agama. Kita kembali kepada masalah di permulaan: adakah syarikat itu seorang Islam?

Syarikat membayar zakat bagi pihak pemegang sahamnya

Untuk mengelak hujah syarikat bukan seorang Islam, oleh itu tidak wajib membayar zakat, dikatakan bahawa syarikat itu membayar zakat bagi pihak pemegang sahamnya? Ingat kembali apa yang dikatakan oleh peserta persidangan itu kepada saya 50 tahun dahulu.

Hujah saya bahawa syarikat tidak wajib membayar zakat orang lain ialah, pertama,  jika syarikat tidak wajib membayar zakatnya sendiri, bagaimana ia wajib membayar zakat orang lain? Seorang bapa yang wajib membayar zakatnya sendiri pun tidak diwajibkan membayar zakat anaknya. Rukun Islam adalah wajib ke atas individu Islam untuk melaksanakan untuk dirinya sendiri, bukan ke atasnya untuk melaksanakannya untuk orang lain

Kedua, mengenai zakat dividen, pemegang-pemegang saham itu hanya wajib membayar zakat mereka setelah mereka menerima dividen yang diisytiharkan dan cukup jumlahnya dan tempohnya. Sebelum mereka menerimanya, mereka belum wajib membayar zakat ke atas dividen itu. Jika mereka sendiri belum wajib membayar zakat mereka sendiri, bagaimana syarikat itu wajib membayar zakat mereka? Boleh jadi bagi tahun berkenaan dividen tidak diisytiharkan langsung. Ertinya, tidak ada zakat ke atas dividen pada tahun itu. Apa yang hendak dibayar oleh syarikat?

Ketiga, sehingga dividen diisytihar dan dibayar kepada pemegang-pemegang  saham, bagaimana syarikat itu tahu berapakah dividen setiap seorang pemegang saham itu? Jika tidak, bagaimana zakat mereka dikira?

Syarikat membayar zakat pemegang-pemegang saham dengan wang syarikat sendiri. Tidakkah ini serupa dengan menggunakan wang syarikat untuk membayar hutang pemegang-pemegang saham? Adakah ini dibenarkan?

Saham syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia didagangkan setiap hari dan kerap bertukar tangan. Bagaimanakah haul dan peratusan pemegang saham Muslim ditentukan?

Kewajiban syarikat membayar zakat mengikut Perlembagaan dan undang-undang.

Kita mula dengan Perlembagaan. Senarai I, Senarai Persekutuan, Perenggan 8(c) meletakkan syarikat di bawah bidang kuasa Persekutuan untuk membuat undang-undang. Perenggan 1, Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan meletakkan zakat di bawah bidang kuasa Negeri membuat undang-undang. Perenggan itu juga meletakkan pewujudan dan penghukuman  kesalahan  yang  dilakukan  oleh  orang Islam yang  menganut  agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan” di bawah bidang kuasa Negeri. Kedua-dua Persekutuan dan Negeri tidak boleh membuat undang-undang yang terletak di bawah bidang kuasa yang lainnya.

Perenggan itu juga membolehkan Negeri membuat undang-undang mewujudkan mahkamah syariah yang mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang-orang-orang yang menganut agama Islam.

Kesannya Persekutuan tidak boleh membuat undang-undang untuk mewajibkan syarikat membayar zakat kerana zakat terletak di bawah bidang kuasa Negari. Negeri tidak boleh membuat undang-undang untuk mewajibkan syarikat membayar zakat kerana syarikat terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan. Sebab itulah tidak ada undang-undang, Persekutuan atau Negeri, yang mewajibkan syarikat membayar zakat.  Juga, tidak ada undang-undang yang menjadikan kesalahan yang boleh dihukum jika syarikat tidak membayar zakat. Jika ada pun, kesalahan itu tidak boleh dilaksanakan terhadap syarikat kerana mahkamah syariah tidak mempunyai bidang kuasa ke atas syarikat kerana syarikat bukan “seorang yang menganut agama Islam.”

Maka, syarikat tidak boleh berkata ia membayar zakat, dirinya atau bagi pihak pemegang sahamnya, kerana dikehendaki oleh undang-undang. Saya juga tidak fikir ada syarikat yang Memorandum of Associationnya memberi kuasa kepadanya membayar zakat. Jika ada pun ia boleh di cabar sebagai menyalahi undang-undang.

Mari kita lihat peruntukan undang-undang Negeri mengenai zakat. Saya ambil enakmen Negeri Selangor sebagai contoh.

Seksyen 86 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan:

“86. Majlis hendaklah berkuasa memungut zakat dan fitrah daripada setiap orang Islam yang kena dibayar di dalam Negeri Selangor mengikut Hukum Syarak bagi pihak Duli Yang Maha Mulia Sultan.”

Ambil perhatian perkataan “berkuasa memungut zakat… daripada setiap orang Islam…” Seksyen 2 mentafsirkan “orang Islam” sepeti berikut:

““orang Islam” ertinya—

  • seseorang yang menganut agama Islam;
  • seseorang yang salah seorang atau kedua-dua ibu bapanya, pada masa kelahiran orang itu, ialah orang Islam;
  • seseorang yang dibesarkan atas asas bahawa dia orang Islam;
  • seseorang yang lazimnya dikenali sebagai orang Islam;
  • seseorang yang telah memeluk agama Islam mengikut seksyen 108; atau
  • seseorang yang ditunjukkan telah menyatakan dalam hal keadaan apabila dia terikat di sisi undang-undang untuk menyatakan yang benar, bahawa dia ialah orang Islam, sama ada pernyataan itu secara lisan atau bertulis;”

Ambil perhatian bahawa dalam semua subseksyen itu, perkataan “orang” hanya boleh bermakna manusia. Ia tidak boleh dipakai kepada syarikat. Ia tidak boleh dipakai kepada apa-apa lain lagi kerana:

Pertama, hanya manusia boleh menjadi seorang Islam atau bukan Islam, beriman atau tidak beriman;

Kedua, zakat, salah satu daripada Rukun Islam, adalah satu kewajipan ke atas orang Islam (yang semestinyalah manusia);

Ketiga, undang-undang Islam, perkara enakmen yang digubal menurut Senarai II (Senarai Negeri) itu hanya terpakai kepada orang Islam (yang semestinyalah manusia).

Keempat, seksyen 21 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Enakmen No. 9 Tahun 1995) menjadikannya satu kesalahan kerana tidak membayar zakat dan fitrah:

“Mana-mana orang yang bertanggungjawab membayar zakat atau fitrah tetapi –

  • enggan atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah itu;atau
  • enggan atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah itu melalui amil yang dilantik, atau mana-mana pihak lain yang diberi kuasa, oleh Majlis untuk memungut zakat atau fitrah,” …

Peruntukan ini juga hanya terpakai kepada manusia kerana hanya manusia yang berupaya “enggan atau dengan sengaja gagal membayar zakat.”

Kelima, seksyen 37 enakmen yang sama juga menjadikannya satu kesalahan bagi mana-mana orang yang mengutip zakat tanpa kebenaran.

Peruntukan ini juga hanya terpakai kepada manusia yang beragama Islam atas sebab-sebab yang telah saya berikan dalam membincangkan seksyen 86 Enakmen 1 Tahun 2003 di atas.

Kewajipan syarikat membayar zakat oleh fatwa.

Sekarang, mari kita lihat fatwa. Jawatankuasa Fatwa Selangor telah mengeluarkan fatwa mengenai kewajipan syarikat membayar zakat. Saya katakan jika ia diwartakan pun, ia tidak mempunyai kesan undang-undang ke atas syarikat kerana:

Pertama, fatwa itu hanya mengikat individu Muslim. Seksyen 49 (1) memperuntukkan:

“49. (1) Apabila disiarkan dalam Warta, sesuatu fatwa hendaklah mengikat tiap-tiap orang Islam yang berada di Negeri Selangor sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi kewajipannya di sisi agama Islam untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu, melainkan jika dia dibenarkan oleh Hukum Syarak untuk tidak mengikut fatwa itu dalam perkara-perkara amalan peribadi.”

Kedua, fatwa tidak boleh dikuatkuasakan terhadap syarikat kerana enakmen itu dibuat menurut Senarai Negeri yang memberikan bidang kuasa kepada Negeri berkenaan dengan “pewujudan dan penghukuman  kesalahan  yang  dilakukan  oleh  orang yang  menganut  agama Islam….” Syarikat bukanlah orang yang “menganut agama Islam.”

Ketiga, seksyen 21 Enakmen No. 9 Tahun 1995 hanya terpakai kepada individu Islam.

Keempat, Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa ke atas orang Islam.

Perhatikan, pertama, bahawa subseksyen itu menggunakan perkataan “orang Islam” yang kita telah bincangkan dengan panjang lebar yang bermaksud manusia. Kedua, konteks peruntukan itu jelas mengenai manusia.

Perlu diingat bahawa peruntukan seksyen 86, 2 dan 49 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dan seksyen 21 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 telah digubal sedemikian kerana Senarai II, Senarai Negeri, memberi kuasa kepada Negeri untuk membuat undang-undang bagi “pewujudan dan penghukuman  kesalahan  yang  dilakukan  oleh  orang yang  menganut  agama Islam….”.

Rebat cukai

Setelah membayar cukai pemegang-pemegang sahamnya, syarikat memohon rebat zakat daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan LHDN membayarkannya. Adakah ini dibenarkan oleh undang-undang?

Mari kita lihat undang-undang berkenaan.  Seksyen 6A(1) Akta Cukai Pendapatan 1967  memperuntukkan:

“6A. (1) Tertakluk kepada seksyen ini, cukai pendapatan.…setiap individu pemastautin…hendaklah diberi rebat…. mengikut subseksyen….(3)….”[iii].- (Terjemahan saya.)

“individual” ditakrifkan dalam seksyen 2 seperti berikut:

‘“individual” means a natural person;” (““individu” ertinya manusia.” – Terjemahan saya.)

Seksyen 6A (3) memperuntukkan:

“(3) Rebat hendaklah diberikan… bagi apa-apa zakat, fitrah atau apa-apa bayaran yuran agama Islam lain yang diwajibkan…”[iv] (Terjemahan saya.)

Membaca tiga peruntukan ini bersama, ia bererti rebat zakat hanya boleh diberi kepada manusia, bukan syarikat kerana manusialah yang wajib membayar zakat, bukan syarikat.

Soalnya, bagaimana dengan berjuta-juta Ringgit yang telah dibayar kepada syarikat-syarikat sebagai rebat zakat?

Kesimpulan

Zakat adalah salah satu daripada Rukun Islam yang diwajibkan ke atas orang-orang (manusia) yang beriman (Islam). Hanya manusia  boleh beriman. Syarikat adalah perbadanan yang ditubuhkan mengikut undang-undang yang dibuat oleh Parlimen. Parlimen tidak berkuasa membuat makhluk yang boleh beriman. Hanya Allah Ta’ala yang berkuasa melakukannya. Oleh itu, syarikat tidak boleh beriman atau menolak keimanan. Ia tidak ada agama, Islam pun tidak dan kafir pun tidak. Oleh itu Rukum Islam tidak terpakai kepadanya. Lagi pula mengapa hanya satu daripadanya?

Dalam usaha menjadikan syarikat seorang yang beriman, ahli-ahli akademik Syariah itu mengaitkan agama pemegang saham syarikat itu kepada syarikat. Bagaimana kewajipan agama manusia boleh dikaitkan (attributed) kepada bukan-manusia? Ia melanggar prinsip syarikat mempunyai personaliti undang-undang yang berasingan daripada pemegang sahamnya. Tambahan lagi, bukan semua pemegang saham itu manusia. Pemegang saham yang besar-besar adalah syarikat-syarikat juga.

Hujah, oleh sebab dalam Syariah ada prinsip personaliti undang-undang berasingan, oleh sebab syarikat mempunyai personaliti undang-undang berasingan, maka syarikat wajib membayar zakat adalah non-sequitur.

Untuk mengelakkan masalah-masalah yang disebut itu, dikatakan bahawa syarikat membayar zakat pemegang sahamnya. Kita telah menunjukkan bahawa seorang yang wajib membayar zakatnya sendiri pun tidak diwajibkan membayar zakat orang lain, masakan pula satu personaliti undang-undang diwajibkan berbuat demikian. Sebab itulah undang-undang yang menghendaki pembayaran zakat dan hukuman kerana melanggarnya hanya ditujukan kepada manusia. Demikian jugalah apa yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Yang mengatakan syarikat wajib membayar zakat hanyalah fatwa. Perlu diingati bahawa keputusan Jawatankuasa Muzakarah tidak ada kuat kuasa undang-undang. Ia bukan jawatankuasa fatwa yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang.

Fatwa Jawatankuasa Fatwa Selangor juga tidak mengikat syarikat dan tidak boleh dikuat kuasakan terhadap syarikat. Ia hanya mengikat orang-orang yang menganut agama Islam. Atas asas apa syarikat membayar zakat?

Setelah membayar zakat, syarikat-syarikat itu meminta rebat cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan LHDN membayarnya. Akta Cukai Pendapatan 1967 hanya membenarkan rebat cukai bagi bayaran zakat diberi repada individual resident yang bererti natural person  iaitu manusia.  LHDN perlu berfikir dengan serius sama ada wang berjuta-juta Ringgit yang dibayar kepada syarikat-syarikat sebagai rebat cukai itu menurut undang-undang atau tidak.

Bermula dengan kesilapan meletakkan satu daripada Rukun Islam kepada bukan seorang Islam, kita telah melakukan berbagai-bagai kesilapan. Saya fikir kita perlu berundur ke titik permulaan: zakat adalah untuk orang yang beragama Islam. Kutiplah daripada mereka apa sahaja zakat dari apa juga sumber yang mereka diwajibkan oleh Syarak membayarnya. Cukai adalah untuk syarikat (dan juga manusia). Kutiplah daripada mereka apa sahaja cukai yang mereka perlu bayar mengikut undang-undang.

20 Ogos 2024

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

 

(NOTA:

Imam sebuah masjid di New York, warga negara Amerika Syarikat berketurunan Mesir yang kepadanya saya tunjukkan draf rencana ini, menceritakan kisah ini kepada saya. “Ini mengingatkan saya kepada kakak saya, yang bersama suaminya pernah memelihara seekor anjing. Suaminya pergi membeli-belah pada suatu hari dan pulang dengan sekotak keropok antara barangan runcit yang kakak saya perhatikan dibuat dengan lemak babi. Apabila dia menunjukkan perkara ini kepada suaminya, suaminya menjawab bahawa mereka boleh memberikannya kepada anjing mereka. “Macam mana awak boleh buat macam itu,” sampuk kakak saya, “dia anjing Islam!” Ini adalah jenaka yang popular dengan keluarga saya untuk beberapa lama.

Seperti yang anda nyatakan, kakak saya di sini mengenakan agamanya ke atas anjingnya.”)

[1]  Pengarang adalah mantan Ketua Hakim Negara Malaysia,

[i] Section 20 and 21of the Act provide:

 

“20. A company incorporated under this Act is a body corporate and shall—

  • have legal personality separate from that of its members; and”.

 

“21. (1) A company shall be capable of exercising all the functions of a body corporate and have the full capacity to carry on or undertake any business or activity including—

(a) to sue and be sued;

(b) to acquire, own, hold, develop or dispose of any property; and

(c) to do any act which it may do or to enter into transactions.

(2) A company shall have the full rights, powers and privileges for the purposes mentioned in subsection (1).”

 

[ii] “… if a company’s separate legal personality is being abused for the purpose of wrongdoing, the court is justified in disregarding the corporate personality of the company. “ – Per Nallini Pathmanathan FCJ delivering the judgment of the court.

 

[iii] “6A. (1) Subject to this section, income tax.…of every individual resident…shall be rebated…. in accordance with subsections….(3)….”.

 

[iv] “(3) A rebate shall be granted… for any zakat, fitrah or any other Islamic religious dues payment of which is obligatory…”

 

4 visits