PUAN BLAIR, SULTAN AZLAN SHAH DAN SAYA

PUAN BLAIR, SULTAN AZLAN SHAH DAN SAYA

 

Banyak peristiwa berlaku sepanjang perhubungan saya dengan DYMM Almarhum Sultan Azlan Shah. Saya telah menceritakan sebahagian daripadanya dalam autobiografi saya “Saya Tidak Akan Melutut”.

Walau bagaimanapun, kerana buku itu ditulis dengan tergesa-gesa dan dalam keuzuran, saya terlupa sebahagian daripadanya. Hari ini, sepuluh tahun selepas saya menulis buku itu, setelah terbaring di atas katil selama lebih tujuh tahun, entah bagaimana, saya teringat kepada baginda.

Kami sedang makan malam di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada malam selepas Encik Tony Blair, bekas Perdana Menteri United Kingdom, menyampaikan Syarahan Sultan Azlan Shah ke-22, iaitu pada 2hb Ogos 2008. Saya adalah Ketua Hakim Negara ketika itu. Saya duduk di meja yang sama dengan Sultan, Encik Blair dan isterinya.

Tidak lama selepas kami semua duduk, Sultan, yang duduk bertentangan dengan saya membuat isyarat dengan mulutnya menunjuk ke arah Puan Blair yang duduk di sebelah saya dan berbisik kepada saya “Dia tak kenal. I was very angry with you.” Saya faham maksud baginda dan senyum.

Ia berlaku pada tahun 2006 dan ketika itu saya adalah Hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang dengan Ahmad Fairuz K.H.N. (mempengerusikan persidangan itu), Richard Malanjum H.B. (Sabah dan Sarawak), Alauddin H.M.P. dan Nik Hashim H.M.P. Kami mendengar permohonan oleh Cherie Booth Q.C. (Puan Blair, isteri kepada Perdana Menteri United Kingdom ketika itu). Beliau memohon untuk diterima masuk sebagai seorang peguam ad hoc untuk hadir sebagai peguam dalam dua rayuan Mahkamah Persekutuan, iaitu Metramac Corp. Sdn. Bhd. lwn Fawziah Holdings Sdn. Bhd.

Beliau telah terbang dari England ke sini untuk mendengar permohonan itu dihujahkan walaupun beliau tidak perlu hadir sendiri. Apabila permohonannya dipanggil, beliau masuk ke mahkamah. Peguamnya, Cyrus Das, membuat permohonan untuk mendapat kebenaran mahkamah supaya membenarkan Puan Blair duduk di Meja Peguam semasa permohonannya didengar. Biasanya, walaupun seseorang itu memohon untuk diterima sebagai peguambela dan peguamcara, dia tidak dibenarkan duduk di meja itu semasa permohonannya didengar. Alasannya adalah jelas: dia belum lagi diterima menjadi seorang peguam di sini.

Ahmad Fairuz bertanya kepada wakil Peguam Negara dan wakil Majlis Peguam yang mewakili Responden, sama ada mereka mempunyai sebarang bantahan. Kedua-duanya berkata “tidak”. Ketua Hakim Negara itu menoleh ke arah saya dan berbisik “Semua setuju…” yang bermaksud kami juga patutlah bersetuju.

Saya memandang kepada Cyrus Das, peguam Puan Blair dan berkata kepadanya, “Encik Cyrus Das, bukankah meja ini khas untuk orang yang telah diterima masuk sebagai peguam di Malaysia, Peguam Negara dan pegawai-pegawainya?” Beliau menjawab, “Yes, my Lord. Very well, my Lord.” yang bermaksud beliau tidak meneruskan dengan permohonan beliau supaya Puan Blair dibenarkan duduk di Meja Peguam itu. Maka, Puan Blair pun duduk di galeri awam sepanjang permohonannya didengar.

Keesokan harinya, akhbar melaporkan bahawa saya telah membantah Puan Blair duduk di Meja Peguam ketika beliau menghadiri Mahkamah Persekutuan. Akibatnya, beliau terpaksa duduk di galeri awam bersama-sama orang ramai yang lain. Sultan Azlan Shah pasti telah membacanya dan, dalam perkataannya sendiri, “sangat marah” kepada saya.

Bagi saya, Puan Blair bukan berada di mahkamah dalam lawatan rasmi atas kapasitinya sebagai isteri Perdana Menteri United Kingdom sebagai tetamu Ketua Hakim Negara. Dalam keadaan demikian, beliau mungkin dijemput duduk di atas pentas. (Saya pernah duduk di atas pentas di sebelah Hakim Besar Mahkamah Agung India semasa saya menjadi Ketua Hakim Negara dan melawat mahkamah itu.) Puan Blair berada di Mahkamah Persekutuan sebagai pemohon untuk diterima masuk sebagai peguam ad hoc di Malaysia. Beliau belum diterima masuk, oleh itu, tidak berpakaian sebagai seorang peguam. Bagaimana jika beliau dibenarkan duduk di Meja Peguam semasa permohonannya didengar dan permohonannya ditolak? Dalam keadaan itu, beliau perlu mengosongkan kerusinya dan berpindah ke galeri awam. Itu akan memalukannya. Adalah lebih terhormat baginya untuk berpindah dari galeri awam ke Meja Peguam daripada dari Meja Peguam ke galeri awam. Selain dari itu, ia akan nampak seperti mahkamah memberinya layanan istimewa semata-mata kerana beliau adalah isteri Perdana Menteri United Kingdom.

Saya yakin bahawa saya betul walaupun saya keseorangan dalam hal itu.

Beberapa hari kemudian, ketika saya menghadiri majlis makan malam Majlis Peguam, seorang lelaki keturunan India berjalan ke arah saya dari meja sebelah saya. Beliau menghampiri saya, mengangkat tangannya seperti memberi tabik dan berkata, “Sir, I am a lawyer from England. I salute you for placing Mrs. Blair at her proper place.”) Rakan peguam Malaysianya pasti telah memberitahunya mengenai peristiwa itu dan bahawa sayalah yang bertanggungjawab bagi Puan Blair duduk di galeri awam.

(Setelah mendengar hujah kedua belah pihak, kami menangguh permohonan itu untuk memberi penghakiman bertulis. Mahkamah kemudiannya memberi penghakiman bertulis sebulat suara menolak permohonan itu atas alasan walaupun mahkamah menerima bahawa Puan Blair mempunyai kepakaran mengenai isu-isu yang berbangkit dalam rayuan-rayuan bekenaan, peguam-peguam di Malaysia juga mempunyai kepakaran mengenai perkara yang sama.)

Biar apa pun, saya dimurka oleh Sultan Azlan Shah yang juga mantan Ketua Hakim Negara.

Sebenarnya, itu adalah kali kedua baginda “sangat marah” kepada saya. Kali pertama adalah kira-kira dua puluh tahun sebelumnya kerana, selepas saya berpindah dari Perak ke Kuala Lumpur, saya tidak menghadap baginda selama beberapa bulan. Baginda menelefon saya dan dengan marah berkata kepada saya “Dah besar. Tak ada jemputan di-Raja tak datang”, diikuti dengan “Come for lunch.” Saya pergi.

Baginda dan Raja Permaisuri sudah berada di meja santapan, hanya mereka berdua, ketika saya tiba. Apabila melihat saya datang, baginda mengalihkan kerusinya dari arah saya menghampiri mereka. Melihat baginda berpaling dari saya, saya berhenti berjalan dan berdiri di situ. Melihat tingkah laku saya, Raja Permaisuri memberi isyarat supaya saya terus mendekati mereka dan menunjukkan kerusi untuk saya duduk. Saya mengikut arahannya.

Kemudian Sultan berpaling kepada saya dan dengan marah berkata lagi sekali “Dah besar. Tak ada jemputan di-Raja tak datang”. Saya menjawab, “Ampun Tuanku, patik tidak datang kerana patik tidak suka berkeliaran di istana kerana patik tidak mahu orang menyangka patik mengharapkan favour daripada Tuanku. Selama ini, patik tidak pernah meminta apa-apa favour daripada Tuanku dan patik ingin mengekalkannya demikian, Tuanku. Jika Tuanku menghendaki patik menghadap, beritahulah kepada patik. Patik akan datang Tuanku.”

“Mana isteri kamu?”, baginda bertanya dengan keras.

“Kerja, Tuanku,” jawab saya.

“Bawa dia datang makan malam,” titahnya.

“Tuanku” jawab saya.

Jadi, kerana dimurka oleh baginda, saya dihukum dengan dua jamuan dengan baginda dan Raja Permaisuri, di istana.

Selepas peristiwa pertama itu, seorang ahli keluarga Sultan Azlan Shah memberi tahu isteri saya bahawa Raja Permaisuri berkata kepadanya “Encik Hamid itu very sincere.”

Berkenaan dengan peristiwa dengan Puan Blair, walaupun baginda “sangat marah” kepada saya, baginda masih menjemput saya untuk makan malam bersama-sama Encik Blair dan isterinya dan berjenaka mengenai peristiwa itu!

Tun Abdul Hamid Mohamad

16 11 2022

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

Read 24 times