CAMPUR TANGAN POLITIK DALAM PENYIASATAN, PENDAKWAAN DAN PENGHAKIMAN

CAMPUR TANGAN POLITIK DALAM PENYIASATAN, PENDAKWAAN DAN PENGHAKIMAN

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Dulu, apabila seseorang itu ditangkap atau dituduh kerana sesuatu kesalahan, misalnya mencuri, adik beradiknya mengatakan dia dianiaya. Sekarang, apabila seorang pemimpin politik dihadapkan ke mahkamah kerana berpuluh-puluh kesalahan yang melibatkan berjuta-juta, malah berbilion Ringgit dia dan penyokongnya mengatakan dia adalah mangsa pendakwaan terpilih (selective prosecution) oleh musuh politiknya

Dalam misalan pertama, ia merupakan satu percubaan untuk menunjukkan saudara mara mereka tidak bersalah tetapi ada orang yang sakit hati terhadapnya dan mengada-adakan pertuduhan itu. Mereka tidak faham mengenai pembahagian kuasa dalam penyiasatan, pendakwaan dan penghakiman dan, lebih penting lagi, bagaimana ia dilaksanakan. Mereka menyalahkan Polis.

Dalam misalan kedua, orang-orang yang terlibat terdiri daripada pemimpin-pemimpin politik, malah pemimpin-pemimpin (atau bekas-bekas pemimpin) kerajaan. Mereka mengetahui mengenai pembahagian kuasa itu, tetapi mereka percaya bahawa pemimpin-pemimpin politik, apabila berkuasa, boleh mengarahkan jabatan-jabatan berkenaan melakukan apa yang dikehendaki mereka. Ini termasuklah untuk mendakwa atau tidak mendakwa musuh politik mereka atau untuk tidak meneruskan pendakwaan, malah mendapatkan pengampunan terhadap diri mereka atau pemimpin-pemimpin parti mereka.

Bagi pekerja-pekerja pemimpin-pemimpin itu, sama ada mereka tahu atau tidak, mereka perlu membela majikan mereka.

Bagi penyokong-penyokong mereka pula, di peringkat atas, ada yang tahu hal sebenar tetapi terhutang budi kepada pemimpin-pemimpin itu atau kepentingan diri memerlukan mereka terus memberi sokongan kepada pemimpin-pemimpin itu. Maka, mereka pun menyokong alasan yang diberi itu atau, paling kurang, tidak bersuara mengenainya.

Di peringkat lebih bawah, ada yang percaya bulat-bulat apa yang dikatakan oleh pemimpin-pemimpin mereka itu dan pekerja-pekerja mereka. Tidak kurang yang terus memberi sokongan kerana mengharapkan sesuatu yang bersifat material.

Kita boleh memaafkan kenaifan kumpulan pertama kerana mereka tidak memahami sistem perundangan dan kehakiman. Tetapi, lainlah pula dengan kumpulan kedua, terutama sekali peringkat atas. Mereka tahu peranan ketiga-tiga jabatan itu. Tetapi, manakala mereka, setakat yang saya tahu, tidak berani mengarah hakim-hakim atau mempengaruhi mereka secara terus untuk membuat sesuatu keputusan sepertimana yang mereka mahu, mereka nampak seolah-olah berpendapat bahawa pemimpin-pemimpin politik boleh berbuat demikian mengenai penyiasatan dan pendakwaan apabila mereka berkuasa.

Dalam kata-kata lain, mereka beranggapan bahawa Perdana Menteri, khususnya, boleh mengarah atau mempengaruhi penyiasat (Polis dan SPRM) untuk menyiasat atau tidak menyiasat sesuatu kes terhadap seseorang dan mengarah atau mempengaruhi Pendakwa Raya membuat atau tidak membuat pertuduhan terhadap seseorang atau, untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap seseorang.

Eloklah disebut terlebih dahulu peranan ketiga-tiga jabatan itu.

Kita mulakan dengan penyiasatan. Dalam perbincangan ini kita tumpukan kepada kesalahan rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa. Tanpa menyebut secara detail, apabila mendapat maklumat, tidak semestinya melalui laporan polis, Polis atau SPRM hendaklah memulakan siasatan. Tidak ada salahnya bagi seorang Perdana Menteri meminta pihak Polis atau SPRM memulakan siasatan terhadap musuh politiknya, dan sebaliknya. Tetapi, pihak yang melakukannya mestilah menjalankan tugasnya mengikut undang-undang. Mereka dikehendaki mencari dan mengumpulkan keterangan, bukan mengada-adakan keterangan yang tidak ada kerana ditekan atau untuk mengambil hati Perdana Menteri. Perdana Menteri tidak sekali-kali boleh mengarahkan Polis atau SPRM untuk mengada-adakan keterangan bagi mengenakan (to fix) musuh politiknya.

Kertas penyiasatan akan dikemukakan kepada Peguam Negara/Pendakwa Raya untuk mengkaji dan memutuskan sama ada pertuduhan akan dibuat atau tidak. Keputusan hendaklah dibuat semata-mata berdasarkan sama ada terdapat keterangan yang mencukupi. Pertimbangan politik tidak langsung berkenaan. Perdana Menteri juga tidak boleh mengarahkan Peguam Negara/Pendakwa Raya membuat keputusan seperti yang dikehendakinya. Ini termasuklah untuk tidak meneruskan pendakwaan kemudiannya.

Sampai di mahkamah, tiada sesiapa boleh campur tangan dalam perjalanan atau keputusan kes tersebut, melainkan Pendakwa Raya yang boleh tidak meneruskan pendakwaan. Ini pun hendaklah dilakukan semata-mata kerana ia tidak dapat meneruskan pendakwaan tersebut, misalnya kerana saksi yang amat penting sudah meninggal dunia, tertuduh sudah meninggal dunia atau sudah terlalu banyak sabitan dan hukuman diperolehi terhadapnya. Bahawa tertuduh dan partinya memenangi pilihan raya bukanlah alasan yang sesuai untuk berbuat demikian.

Maka, pemimpin-pemimpin politik, termasuk Perdana Menteri, tidak sepatutnya berfikir oleh kerana mereka berkuasa, mereka boleh berbuat apa sahaja termasuk perkara-perkara yang disebutkan di atas. Pemimpin-pemimpin yang tidak berkuasa, termasuk penyokong-penyokong mereka, tidak sepatutnya berfikir mereka boleh menggunakan tekanan politik untuk memaksa Perdana Menteri berbuat demikian. Mereka juga tidak sepatutnya berfikir jika mereka dan parti mereka memenangi pilihan raya umum, mereka juga boleh berbuat demikian.

Selanjutnya, janganlah cuba menggunakan Lembaga Pengampunan untuk mengampun. Memenangi pilihan raya bukanlah kelayakan mendapat pengampunan. Ini perlu difahami oleh semua.

Jika pihak Polis, SPRM dan Pendakwa Raya menjalankan tugas mereka dengan jujur menurut undang-undang (saya percaya mereka berbuat demikian, melainkan dapat ditunjukkan sebaliknya) pendakwaan terpilih tidak berlaku. Biar apa pun, jika ada orang yang melakukan kesalahan yang serupa tidak disiasat dan didakwa sekalipun, ia tidak bererti pendakwaan terhadap mereka itu salah di sisi undang-undang. Mereka juga boleh membuat laporan kepada Polis atau SPRM dan membangkitkannya dalam Parlimen.

Bagi pemimpin-pemimpin yang sedang menghadapi perbicaraan, bagi kesalahan yang sudah disabitkan, mereka sepatutnya meneruskan dengan rayuan hingga ke akhirnya. Bagi pertuduhan yang sedang dibicarakan, kemukakanlah keterangan, jika ada, yang boleh membantu Hakim membebaskannya. Ketahuilah, di sisi undang-undang, adalah lebih mudah bagi seorang Hakim membebaskan tertuduh daripada mensabitkannya. Jika mereka didapati bersalah juga oleh mahkamah tertinggi, mereka sepatutnya menerima keputusan itu. Mereka tidak sepatutnya mengecam sistem yang mereka pertahankan apabila tertuduh yang disabitkan adalah musuh politik mereka atau apabila mereka dibebaskan olehnya.

Apa yang disebut di sini adalah kedudukannya di sisi undang-undang yang sepatutnya berlaku atau dilakukan. Ini untuk membolehkan pembaca mengetahui kedudukan di sisi undang-undang dan memerhatikan jika ada sesiapa yang melanggarnya. Jika berlakulah sesuatu yang menyalahinya, pintu untuk mengambil tindakan terhadapnya adalah terbuka, antaranya, untuk membuat laporan Polis, membangkitkannya melalui media massa dan di Parlimen. Ingatlah dalam negara demokrasi kata putus terletak kepada pengundi. Tetapi pengundi juga tertakluk kepada undang-undang sehingga ia dipinda. Itu mereka boleh lakukan melalui wakil-wakil mereka di Parlimen yang juga tertakluk kepada undang-undang yang mereka buat sehingga ia dipinda semula atau dimansuhkan. Itulah sistemnya.

17 12 2021

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

Read 115 times