PERBINCANGAN YANG DI-PERTUAN AGONG DENGAN PEMIMPIN POLITIK, PERBINCANGAN KHAS BERSAMA RAJA-RAJA MELAYU, PENUBUHAN MAGERAN DAN PELANTIKAN PERDANA MENTERI OLEH MAJLIS RAJA-RAJA

PERBINCANGAN YANG DI-PERTUAN AGONG DENGAN PEMIMPIN POLITIK, PERBINCANGAN KHAS BERSAMA RAJA-RAJA MELAYU, PENUBUHAN MAGERAN DAN PELANTIKAN PERDANA MENTERI OLEH MAJLIS RAJA-RAJA

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

Dan

Prof. Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz

 

Dalam masa dua minggu ini, sekurang-kurangnya empat perkara penting telah berlaku berkaitan dengan politik negara.

Pertama, Yang di-Pertuan Agong telah perkenan menghadap pemimpin parti-parti politik dan para pakar agensi kerajaan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu.

Kedua, Tun Dr. Mahathir mencadangkan penubuhan agensi seumpama Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).

Ketiga, Tengku Razaleigh mencadangkan Majlis Raja-Raja melantik Perdana Menteri baharu.

Keempat, keputusan atau titah yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja.

Mengenai yang pertama, oleh kerana kami tidak tahu tentang isi atau isu perbincangan yang sebenar, kami tidak akan membuat apa-apa komen mengenainya melainkan memperingatkan beberapa perkara yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan (Perlembagaan) secara umum.

Pertama, negara kita mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Prinsip utama dalam sistem yang diamalkan secara serentak ini, melainkan dalam perkara-perkara yang dikecualikan oleh Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat Perdana Menteri dan Kabinet (termasuk Menteri-Menteri) – Perkara 40(1) & (2) Perlembagaan. Nasihat tersebut mestilah diikuti (Perkara 40(1A)). Melanggar peruntukan itu mungkin akan menyebabkan Peguam Negara tidak dapat membela sekiranya sesuatu cabaran terhadap keputusan atau tindakan Yang di-Pertuan Agong dibawa ke hadapan mahkamah dan mungkin keputusan atau tindakan itu diisytiharkan tak sah.

Kedua, penasihat undang-undang kepada Yang di-Pertuan Agong adalah Peguam Negara. Ini diperuntukkan dalam Perkara 145(2) Perlembagaan. Jika Yang di-Pertuan Agong membelakangkan nasihat Peguam Negara, dan sekiranya berlaku cabaran terhadap sesuatu keputusan atau tindakan Yang di-Pertuan Agong di mahkamah, Peguam Negara sukar untuk mengambil tanggungjawab pembelaan. Kami berpendapat orang-orang lain yang memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong, sekiranya ada, sukar untuk dijamin locus standi bagi mencelah atau membela dalam sesuatu prosiding di mahkamah.

Sebagai Raja Berperlembagaan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima nasihat Perdana Menteri, kabinet dan Peguam Negara dalam urusan rasmi yang tidak bersifat tindakan atas budi bicara baginda seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan. Mungkin nasihat itu tidak disenangi oleh Baginda, tetapi selagi ia bukan mengenai perkara yang Baginda mempunyai budi bicara, Baginda kenalah menerimanya dengan mengambil kira peranan baginda untuk mendapatkan maklumat secukupnya sebagaimana dibenarkan dalam Perkara 40(1) Perlembagaan.

Tindakan yang berbangkit daripada nasihat-nasihat itu juga mungkin tidak disukai oleh pemimpin-pemimpin parti politik pembangkang (atau yang dalam Kerajaan), pemimpin-pemimpin persatuan NGO atau orang ramai, tetapi yang bertanggungjawab terhadapnya adalah Kerajaan. Pihak-pihak ini tidak boleh mengharapkan, apatah lagi cuba menyebabkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu tidak mengikut nasihat Perdana Menteri, Kabinet atau Peguam Negara. Remedy mereka adalah di peti undi. Mereka boleh mengkritik Kerajaan dan parti memerintah sekuat-kuatnya, tetapi bukan mengkritik Yang di-Pertuan Agong kerana bertindak atas nasihat Perdana Menteri atau Kabinet atau Peguam Negara. Itulah sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang diamalkan.

Mengenai perkara kedua (Cadangan penubuhan MAGERAN), Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia itu mencadangkan penubuhan agensi seumpama MAGERAN, yang kemudiannya beliau namakan sebagai Majlis Pemulihan Negara, yang mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

  1. Ia bukanlah untuk menggantikan kerajaan sedia ada.
  2. Majlis itu mempunyai tugas-tugas khusus, iaitu mengurangkan kes (Covid-19) baharu sehingga terbentuknya imuniti kelompok di negara ini, serta menyelesaikan isu berkaitan seperti ekonomi, pendidikan (termasuk isu persekolahan), serta politik.3.Majlis Pemulihan Negara tidak akan diletakkan di bawah Kerajaan, sebaliknya melaporkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong.
  3. Parlimen akan bersidang dan tindakan Majlis akan dibentang kepada Parlimen. Percubaan untuk hapuskan Majlis Pemulihan Negara tidak akan diusahakan oleh Parlimen.
  4. Ahli-ahli Majlis akan terdiri dari pakar-pakar perubatan termasuk ahli psikiatri, pakar-pakar ekonomi yang tidak partisan dan berpengalaman di dalam membantu Negara mengatasi krisis, pakar pelaburan yang berpengalaman, penggerak sosial yang telah bukti keupayaan membantu rakyat ketika pandemik, tokoh-tokoh perundangan yang tidak partisan dan beberapa tokoh politik yang tidak bertindak mewakili parti.
  5. Keahlian tidak akan lebih daripada 20 anggota. Tidak ada politik dalam Majlis Pemulihan Negara.

Persoalan yang timbul ialah, apakah punca kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan MAGERAN itu? Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 tidak menyebut mengenai penubuhan MAGERAN. Justeru, kami berpendapat, untuk menubuhkan MAGERAN, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 perlulah ditamatkan dan digantikan dengan peruntukan yang baharu kerana Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 tidak menyatakan penubuhan Majlis seumpama itu. Atau, sebagai pilihan, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 perlulah dipinda.

Sebenarnya, MAGERAN yang dicadangkan itu bukanlah sama seperti MAGERAN 1969. Sebagai contoh, pertama, MAGERAN 1969 ditubuhkan semasa Kerajaan belum dilantik akibat tragedy 13 Mei tersebut berlaku sejurus selepas pilihan raya diadakan. MAGERAN pada 1969 berfungsi seumpama menggantikan Kerajaan. Proklamasi Darurat 2021 dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 tidak menggantikan Kerajaan yang sedia ada.

Seksyen 11, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 memperuntukkan:

“11. Bagi tempoh darurat berkuat kuasa –

(a) Perdana Menteri dan Jemaah Menteri yang wujud sebaik sebelum Proklamasi Darurat dikeluarkan pada 11 Januari 2021 yang telah diberikan kuasa eksekutif hendaklah terus menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan dan mana-mana orang yang telah diberi fungsi eksekutif oleh undang-undang, hendaklah terus menjalankan fungsi itu;”

Kedua, berlainan dengan Proklamasi Darurat 1969, seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 memperuntukkan:

(b) Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

Tugas-tugas khas yang diberikannya adalah luas, bukanlah sekadar mengurangkan serangan wabak Covic-19. Di mana letaknya sempadan bidang kuasa Kerajaan dan bidang kuasa MAGERAN?

Dari mana MAGERAN akan meperolehi dana untuk melaksanakan tugas-tugasnya?  Semestinya daripada Kerajaan. Katakanlah, Kerajaan, menuruti nasihat Peguam Negara bahawa penubuhan MAGERAN itu tidak sah, dan oleh itu, adalah salah bagi Kerajaan memberi dana untuk membiyai aktiviti MAGERAN dan, oleh itu, Kerajaan enggan  memberi dana kepada MAGERAN, bagaimana MAGERAN akan berfungsi?

Dikatakan, MAGERAN tidak akan diletakkan di bawah Kerajaan, sebaliknya melaporkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong. Apa akan dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas menerima laporan atau keputusan MAGERAN? Jika dana diperlukan, masalah yang disebut pada perenggan sebelum ini mungkin timbul.

Ia juga akan meletakkan semua kuasa eksekutif yang dijalankan oleh Perdana Menteri, Kabinet dan Menteri-Menteri, kepada Yang di-Pertuan Agong. Memandangkan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Kerajaan, Kabinet dan Menteri masih berfungsi, ia boleh menimbulkan persoalan bahawa akan wujud dua “Kerajaan” pada masa yang sama. Tidakkah ia akan bercanggah dengan konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang berjalan seiring dan pada masa sama meletakkan bidang tugas masing-masing antara keduanya?

Dikatakan dengan adanya MAGERAN, Parlimen akan bersidang dan tindakan MAGERAN akan dibentang kepada Parlimen. Ini boleh dilakukan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021. Yang di-Pertuan Agong boleh memanggil Parlimen untuk bersidang (Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat) dan laporan mengenai Covid-19 yang disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh dibentangkan di Parlimen.

Mengenai keahlian MAGERAN, ahli-ahli pakar datang daripada kumpulan yang sama, malah mungkin orang yang sama yang akan dilantik. Jika tidak pun, orang-orang yang difikirkan layak dilantik, boleh dicadangkan untuk menganggotai mana-mana task force di bawah kendalian MKN.

Antara ahli-ahli yang dicadangkan termasuklah beberapa tokoh politik yang tidak bertindak mewakili parti. Persoalannya, siapakah mereka? Akhirnya, kita hanya menggantikan tokoh politik Kerajaan (Perdana Menteri) dengan tokoh politik lain, mungkin, wakil pembangkang.

Dikatakan tidak ada politik dalam MAGERAN. Jika ada tokoh politik, baik dari pihak kerajaan atau pembangkang, tidak dapat tidak pertimbangan politik akan diambil kira. Bagaimana hendak menghalangnya, apatah lagi sekiranya jawatankuasa (baik apa pun namanya) itu dipengerusikan oleh seorang ahli politik?

Kami berpendapat cadangan tersebut akan mencelarukan lagi keadaan. Yang penting ialah keanggotaan jawatankuasa yang akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong atau Kerajaan, di mana berkenaan, sama ada MKN atau MAGERAN. Jika ditubuh MAGERAN sekalipun, orang yang sama akan duduk di dalamnya juga seperti KSU Kementerian Kesihatan, pasukan keselamatan, seperti polis dan tentera dan lain-lain. Yang lainnya, yang difikirkan sesuai dilantik boleh dilantik duduk dalam MKN. Justeru, kami medapati tidak ada keperluan untuk menubuhkan satu lagi agensi seperti MAGERAN? Nampaknya yang hendak diganti ialah pengerusinya  dengan tokoh politik lain.

Sampai kita kepada cadangan Tengku Razaleigh bahawa Raja-Raja Melayu perlu memilih seorang Perdana Menteri yang baharu untuk mengetuai kerajaan bagi menyelamatkan negara daripada krisis penularan COVID-19, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Menurut beliau Raja-Raja Melayu bertanggungjawab memainkan peranan keperlembagaan itu selepas Dewan Rakyat berdepan kesukaran memilih Perdana Menteri.

Katanya, Dewan Rakyat tidak boleh menentukan Perdana Menteri walaupun ditauliahkan oleh Perlembagaan Persekutuan kerana pada masa ini ia tidak berfungsi secara menyeluruh.

“Dewan Rakyat juga kini dalam keadaan tergantung dan tiada pihak mempunyai majoriti untuk membuat keputusan,” katanya.

Peranan memilih Perdana Menteri itu timbul selaras dengan sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong disaksikan wakil Raja-Raja Melayu yang memilih baginda sebagai  mewakili Majlis Raja-Raja, katanya.

Dengan hormat,  alasan yang diberinya itu bukanlah hujah undang-undang yang memberi kuasa kepada Majlis Raja-Raja untuk melantik seorang Perdana Menteri. Tiada peruntukan Perlembagaan yang telah dirujuk untuk menyokong cadangan bagi memberi kuasa kepada Majlis Raja-Raja melantik seorang Perdana Menteri baharu menggantikan Perdana Menteri yang sedia ada. Kami katakan Majlis Raja-Raja tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. Tugas dan bidang kuasa MRR ditetapkan oleh Perlembagaan – lihat Perkara 38, Jadual Ketiga dan Jadual Kelima Perlembagaan. (Untuk mengikuti perbincangan lanjut sila lihat “Majlis Raja-Raja: Fungsinya Menurut Perlembagaan.’” 19 September 2017, http://www.tunabdulhamid.my).

Akhir sekali sampai kita kepada keputusan-keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Pada 15 Jun 2021, Istana Negara mengeluarkan kenyataan berikut:

“Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

“Ini untuk membolehkan ordinan-ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.”

Kami tiada komen terhadap kenyataan ini.

Pada hari yang sama, Raja-Raja Melayu, melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, juga mengeluarkan kenyataan bahawa Raja-Raja Melayu bersependapat, tiada keperluan untuk meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos depan.

Menurut Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad:

“Dalam semangat itu, Raja-Raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Yang di-Pertuan Agong, yang menitahkan supaya Parlimen bersidang segera.”

Kami juga berpendapat tidaklah perlu bagi kami mengulas kenyataan ini kerana ia merupakan pendapat dan pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja. Demikian juga dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh baginda semua yang tidak diperturunkan dalam rencana ini.

Kita perhatikan, pada kebelakangan ini, banyak pihak di luar Kerajaan yang tidak berpuashati terhadap sesuatu tindakan Kerajaan cuba melibatkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk melakukan apa yang mereka mahu walaupun ia jelas di luar bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan. Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Rja Melayu perlu waspada supaya institusi beraja tidak termasuk perangkap mereka. Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang bijaksana perlu senantiasa waspada bahawa baginda adalah Raja Berperlembagaan di mana amanah yang baginda galas adalah diperuntukkan oleh Perlembagaan.  Baginda semua juga tertakluk kepada kedaulatan undaang dan perlu patuh kepada peruntukan-peruntukan Perlembagaan. Dalam kata lain, adalah lebih tepat untuk baginda menurut nasihat Perdana Menteri dan Peguam Negara yang berkuasa pada masa ini dan pada ketika-ketika tertentu baginda boleh menyampaikan pandangan kepada Kerajaan. Sama ada sesuatu keputusan berdasarkan nasihat itu politically popular atau pun, tidak baginda perlu meletakkan ketepatan undang-undang yang utama dan bukan sekadar melihat kepada keselesaan penerimaan parti politik. Adalah menjadi tanggungjawab parti yang memerintah untuk menangani aspek politik kepartian. Itulah sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang diamalkan.

20 06 2021

Read 62 times