SEKOLAH KEBANGSAAN TELAH BERUBAH MENJADI SEKOLAH AGAMA: SATU ULASAN
SEKOLAH KEBANGSAAN TELAH BERUBAH MENJADI SEKOLAH AGAMA: SATU ULASAN
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad
Saya merujuk kepada berita yang disiarkan di akhbar-akhbar internet yang melaporkan ucapan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bertajuk “Sekolah Kebangsaan telah berubah jadi sekolah agama” atau yang serupa dengannya. Berita itu adalah laporan ucapan beliau di majlis makan malam Persatuan Bekas Pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (SAHOCA) pada21 Disember, 2018.
Katanya:
“Sekolah kebangsaan di negara ini telah berubah menjadi ke arah sekolah agama.
Justeru bagi memperkasakan kembali sistem pendidikan di negara ini, kerajaan akan mengkaji semula kurikulum sekolah yang sedia ada.
Jelas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kurikulum di sekolah perlu memberi penekanan untuk menguasai mata pelajaran yang boleh menghasilkan graduan yang berkualiti dan tidak memberi tumpuan semata-mata kepada mata pelajaran agama.
“Seseorang telah mengubah kurikulum sekolah dan sekarang sekolah kebangsaan telah berubah menjadi sekolah agama.
“Mereka semua hanya belajar tentang agama Islam dan tidak mempelajari yang lain dan keputusannya lepasan pelajar tidak berapa pandai matapelajaran yang berguna untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya pada Majlis Makan Malam pada majlis makan malam Persatuan Bekas Pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (SAHOCA) 2018 di sini pada Jumaat.
“Hasilnya, pelajar tidak berapa mahir dalam subjek-subjek yang akan membantu mendapatkan kerja, tetapi mereka menjadi ulama,”
Perenggan terakhir ini adalah seperti yang dilaporkan oleh Kosmo online. Tiga perkataan terakhir itu tidak terdapat dalam beberapa laporan lain. Saya percaya, mereka merasa tidak selesa untuk melaporkannya.
Malaysiakini serta merta menyokong kenyataan itu. Dalam ulasannya, Malaysiakini, antara lain, berkata:
“Dr Mahathir Mohamad betul. Sekolah kebangsaan telah menjadi “sekolah agama” dan ramai pasti gembira bahawa Perdana Menteri berhasrat untuk membetulkan keadaan.
Mahathir sebenarnya telah menyentuh nota yang betul, kerana banyak kumpulan telah menyatakan keprihatinan mengenai keterlaluan memasukkan ‘agama’ dalam sukatan pelajaran sekolah semasa. ” (Terjemahan saya)
Saya juga temui rencana yang ditulis oleh seorang berketurunan Cina dan seorang yang berketurunan India yang menyahut baik kenyakaan Tun Dr. Mahathir itu dan mendesak supaya keadaan itu dipatah balik semula. Penulis berketurunan India itu mendesak pula supaya sekolah aliran Bahasa Inggeris diwujudkan semula, di samping sekolah-skolah aliran Cina dan India.
Lim Kit Siang menyatakan bahawa membetulkan keadaan itu merupakan cabaran yang paling besar. Ia mungkin akan membangkitkan bantahan seperti bantahan ratifikasi ICERD sekali lagi.
Saya hanya menemui seorang berketurunan Melayu yang menulis dan mengatakan bahawa Tun Dr. Mahathir tersilap fakta atau confused dengan sekolah Kafa. Sebagai seorang yang mempunyai anak bersekolah, beliau tahu kenyataan Tun Dr Mahathir itu salah, katanya.
Kita tumpukan kepada apa yang dikatakan oleh Tun Dr. Mahathir itu dahulu.
Saya percaya ucapan Tun Dr. Mahathir itu bukan satu ucapan bertulis yang dibacanya. Jika tidak, saya percaya ayat ini tidak berbunyi demikian:
“Mereka semua hanya belajar tentang agama Islam dan tidak mempelajari yang lain.”
Tetapi, sama ada disenghaja atau tersilap fakta atau beliau confused dengan sekolah Kafa atau Ma’had Tahfiz, ia telah diucapkan, disiarkan dan dijadikan alasan oleh penulis-penulis bukan Islam untuk mengunanya bagi menyokong agenda mereka.
Kita kena menerima bahawa Tun Dr. Mahathir telah mengeluarkan kata-kata yang dipetik itu dan bertanggungjawab mengenainya. Maka ulasan saya ini adalah berdasarkan apa yang dikatakannya itu.
Tun Dr. Mahathir mengatakan sekolah kebangsaan telah berubah menjadi sekolah agama semata-mata berdasarkan kurikulum sekolah itu dan bukan atas alasan-alasan lain seperti pakaian, aktiviti keagamaan dan lain-lain. Maka ulasan ini pun tertumpu kepada alasan itu sahaja.
Sama ada sekolah kebangsaan telah berubah menjadi sekolah agama atau tidak adalah soal pendapat. Saya tidak akan berhujah mengenainya. Saya akan lebih menumpukan kepada alasan yang diberinya.
Kurikulum pelajaran memang perlu dikaji semula dari semasa ka semasa dengan tujuan menambahbaikkan dan mengemaskini.
Saya tiada masalah dengan perenggan empat petikan ucapannya di atas.
Kenyataan bahawa “Seseorang telah mengubah kurikulum sekolah dan sekarang sekolah kebangsaan telah berubah menjadi sekolah agama” adalah tidak betul. Sejarah menunjukkan kurikulum sekolah rendah mula diperkenalkan pada tahun 1983 dengan menggunakan nama Kurikulum Baru Sekolah Rendah.
Pada tahun 1993, Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) diperkenalkan.
KBSR disemak semula pada tahun 2003 kerana dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahsa Inggeris (PPSMI). (Ambil perhatian, Tun Dr. Mahathir menjadi Menteri Pendidikan daripada tahun 1974 hingga 1978 dan Perdana Menteri daripada tahun 1981 hingga 2003.)
Selaras dengan ucapan YAB Perdana Menteri (Tun Abdullah Badawi) di Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 2006, KBSR (semakan) telah digubal semula menjadi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) selaras dengan teras kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).
KSSR mula dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 2011.
Sekurang-kurangnya Tun Dr. Mahathir tentu tahu apa yang berlaku daripada tahun 1974 hingga tahun 2003.
Kenyataan bahawa “Mereka semua hanya belajar tentang agama Islam dan tidak mempelajari yang lain….” adalah salah. Carian rambang melalui internet menghasilkan peruntukan masa bagi mata-mata pelajaran berkenaan adalah seperti berikut (Supaya ringkas saya hanya menunjukkan mata-mata pelajaran teras asas sahaja):
Tahun 2 dan 3:
Pengurusan Kehidupan: 240 jam setahun
Asas 3M (BM, BI, Mat: 192 jam setahun
Pendidikan Seni Kreatif: 240 jam setahun
Pendidikan moral/ Islam: 96 jam setahun
Pendidikan Jasmani: 64 jam setahun
Dalam kata-kata lain masa yang diperuntukkan bagi Pendidikan Islam hanya 96/832 jam setahun atau 11.5%.
Bagi Tahun 4,5 dan 6:
Bahasa Malaysia: 96 jam setahun
Bahasa Inggeris: 64 jam setahun
Matematik: 80 jam setahun
Pengurusan Kehidupan: 96 jam setahun
Pendidikan Seni Visual: 32 jam setahun
Pendidikan music: 32 jam setahun
Pendidikan IMoral/slam: 96 jam setahun
Pen. Jasmani dan Kesih: 48 jam setahun
Pen. Sains, Alam Sekitar : 80 jam setahun
Teknoligi Maklumat: 32 jam setahun
Dalam kata-kata lain masa yang diperuntukkan bagi Pendidikan Moral/Islam hanya 96/656 jam seminggu atau 14.6%.
Bagi sekolah menengah rendah pula:
Bahasa Melayu: 4 jam seminggu
Bahasa Inggeris: 3.5 jam seminggu
Pendidikan moral/Islam: 4 jam seminggu
Metamatik: 3.5 jam seminggu
Sains 3.5 jam seminggu
Sejarah 2 jam seminggu
Dalam kata-kata lain masa yang diperuntukkan bagi Pendidikan Moral/Islam hanya 4/20.5 jam seminggu atau 19.5%.
Bagi sekolah menengah atas pula (mata pelajaran teras sahaja):
Bahasa Melayu: 4 jam seminggu
Bahasa Inggeris: 3.5 jam seminggu
Pendidikan moral/Islam: 3 jam seminggu
Metamatik: 3.5 jam seminggu
Sains 3.5 jam seminggu
Sejarah 2 jam seminggu
Dalam kata-kata lain masa yang diperuntukkan bagi Pendidikan Moral/Islam hanya 3/19.5 jam seminggu atau 15.3%.
Angka-angka ini dengan jelasnya menunjukkan keadaan sebenar.
Mengenai ayat terakhiri yang beliau dilaporkan berkata, pelajar-pelajar itu “tidak berapa mahir dalam subjek-subjek yang akan membantu mendapatkan kerja,” pengajaran ilmu agama tidak boleh disalahkan kerana premis hujah beliau bahawa “Mereka semua hanya belajar tentang agama Islam dan tidak mempelajari yang lain….” adalah salah. Dalam kata-kata lain, kita tidak boleh menyalahkan pembelajaran ilmu agama Islam jika pelajar-pelajar itu tidak berapa mahir dalam subjek-subjek lain.
Phrasa “…tetapi mereka menjadi ulama,” nyata salah tempatnya. Beliau bercakap berkenaan sekolah, bukan universiti. Seorang pelajar berkelulusan sekolah menengah kebangsaan tidak menjadi atau digelar ulamak.
Saya pun pernah mengkritik penyalahgunaan perkataan “ulamak” di negara ini. Tetapi, itu berlainan daripada apa yang dikatakan beliau.
Adalah menyedihkan mendengar seorang negarawan seperti beliau membuat ucapan seperti itu. Itu bukanlah mutu ucapan yang kita harapkan daripada beliau. Mungkin, di umur beliau dan sebagai Perdana Menteri, beliau tidak patut menerima jemputan jamuan makan malam bekas pelajar sekolah lagi, walaupun sekolahnya sendiri. Malah, beliau patut mengelak membuat kenyataan akhbar, apatah lagi menjawab soalan-soalan secara spontan. Tidak dapat tidak kesilapan akan berlaku.
Di Malaysia, daripada ingatan saya, amalan Perdana Menteri menjawab soalan-soalan wartawan secara spontan itu dimulakan oleh beliau. Tetapi, dahulu beliau masih muda.
Yang gembira adalah pengaran-pengarang akhbar online dan pembaca-pembaca yang menunggu sesuatu yang tidak baik dikatakan mengenai Islam. Mereka ada agenda sendiri. Apabila Perdana Menteri membuat kesilapan dan berkata sesuatu yang tidak baik terhadap Islam, mereka terus melompat dan menyahut “betul” dan mengambil kesempatan membuat desakan bagi mencapai agenda mereka, termasuk menuntut dikurangkan masa untuk pelajaran agama Islam dan diadakan semula sekolah aliran Inggeris, bersama-sama sekolah aliran Cina dan India.
Yang menghairankan ialah mengapa mereka begitu gembira mayahut ucapan Perdana Menteri itu? Mereka tidak menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah kebangsaan. Jika anak-anak mereka belajar di sekolah kebangsaan pun, anak-anak mereka dikecualikan daripada kelas-kelas agama itu. Adakah semua itu disebabkan oleh kebencian mereka terhadap Islam yang mendalam?
Saya belajar di sekolah Roman Catholic selama dua tahu semasa dalam tingkatan enam. Setiap pagi, selama 45 minit, diadakan kelas agama untuk pelajar-pelajar beragama Roman Catholic. Pelajar-pelajar lain, termasuk Islam, diletakkan dan kelas “Moral Instruction”. Tiada sesiapa menyalahkannya. Sekarang, di sekolah-sekolah kebangsaan, hampir kesemua pelajarnya adalah Melayu/Islam, mengapa orang bukan Islam menyibuk? Adakah mereka tidak suka pelajar Islam diajar pelajaran agama Islam? Sampai pelajaran agama Islam yang diajar kepada pelajar-pelajar Islam pun mereka hendak campur tangan!
Kepada Lim Kit Siang, saya katakan, jika jadual untuk pembelajaran agama Islam dikurangkan atas alasan yang salah, tentu sekali orang Melayu marah. Jangan lupa betapa besarnya cabaran yang akan dihadapi jika kerajaan hendak menutup sekolah-sekolah aliran Cina dan India, sedangkan itulah antara sebab utama polarisasi kaum!
Mengatakan bahawa pelajar-pelajar sekolah kebangsaan hanya diajar ilmu agama adalah tidak betul. Mengatakan, oleh sebab itu pelajar-pelajar lulusan sekolah kebangsaan “tidah fasih” (lemah) dalam mata pelajaran lain juga adalah tidak tidak betul.
Daripada pemerhatian saya, latar belakang, keadaan sekitar, tahap akonomi dan availability sumber pembelajaran adalah factor penting. Sebab itu, pelajar-pelajar kampung yang dipilih untuk belajar di MRSM mencapai prestasi cemerlang. Memanglah mereka pelajar-pelajar terpilih. Tetapi, apabila diletak dalam persekitaran dan kemudahan sumber yang lebih baik, mereka mencapai kejayaan yang lebih baik. Jangan lupa pelajar-pelajar sekolah-sekolah itu jugalah yang memenangi berbagai-bagai pertandingan, termasuk sains, di peringkat antara bangsa, malah dunia.
Saya akui, umumnya, terdapat kelemahan dalam pengusaan bahasa Inggeris, terutama sekali dalam percakapan atau lisan di kalangan pelajar-pelajar Melayu.. Sepatutnya, seorang pelajar yang diajar bahasa itu daripada darjah satu hingga ke tingkatan lima, selama 11 tahun, paling kurang boleh bercakap dengan fasih.
Tetapi, dari pemerhatian saya, pelajar-pelajar luar bandar, di mana bahasa Inggeris tidak digunakan langsung di rumah dan di kampungnya, malah mungkin dianggap sebagai “kurang-Islam” atau “tak-Islam”, tidak yakin atau “malu” untuk bercakap Inggeris walaupun setelah mereka lulus universiti dan berkerja berpuluh-puluh tahun hingga menjadi professor, hakim dan doctor.
Sebaliknya, semasa di sekolah rendah Inggeris di Prai, Pulau Pinang, saya dapati pelajar-pelajar keturunan India yang tinggal di Prai, walau pun bapa mereka hanya pekerja sebagai boroh Keretapi Tanah Melayu, bercakap dalam bahasa Inggeris dengan lancar dalam perbualan harian, walaupun mereka bukanlah pandai dalam darjah, termasuk bahasa Inggeris. Sebabnya ialah kerana mereka hidup dalam satu masyarakat yang merasa megah apabila bercakap dalam bahasa Inggeris.
Kesimpulannya, kita tidak boleh menyalahkan pengajaran pendidikan Islam sebagai sebab kelemahan pelajar-pelajar Melayu dalam mata-mata pelajaran lain, jika mereka betul lemah dalam mata-mata pelajaran lain sekali pun.
26 12 2018
[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me