MENARI DI ATAS TEMBOK PAGAR MASJID: DENDA RM25

MENARI DI ATAS TEMBOK PAGAR MASJID: DENDA RM25

 

Pada   23 06 2018, dua orang pelancong perempuan dari negara Cina yang memakai seluar pendek, baju-T tanpa lengan menampakkan ketiak dan seluruh lengan dan terbuka di bahagian perut divideokan menari berirama di atas tembuk Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. Video itu telah menjadi tular.

Pada hari yang sama, satu badan bukan kerajaan telah membuat laporan Polis.

Pada 24 Jun 2018, Pembantu Menteri Pelancongan, Assafal Alian (beragama Islam) mengeluarkan kenyataan yang berbunyi:

“Pembantu Menteri Assafal Alian berkata, dalam satu kenyataan, tindakan mereka adalah keterlaluan dan tidak sopan, terutama sekali dilakukan di tempat ibadat.

“Tindakan para pelancong itu di bangunan ibadat menunjukkan kurangnya penghormatan mereka kepada penganut agama Islam serta layanan yang diberikan kepada mereka,” katanya.

Assafal berkata kementerian tidak akan memandang ringan perkara itu kerana Sabah adalah negara berbilang kaum dan pelbagai agama.

Beliau berkata Sabah tidak akan berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa walaupun insiden serupa yang melibatkan pelancong berlaku di mana-mana di dunia.

“Apabila kita mengenal pasti kebangsaan rakyat yang terlibat, tindakan serius akan diambil terhadap mereka dan pengendali kumpulan itu,” katanya.”

Pada hari yang sama, jawatankuasa pengurusan masjid itu memutuskan kawasan masjid itu tidak dibenarkan untuk aktiviti pelancongan. Semua bas ekspres, kereta Grab dan teksi juga tidak dibenakan memasuki kompleks masjid itu dan tempat letak kereta di luarnya.

Pada 26 Jun 2018, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Christina Liew (seorang Cina beragama Kristian) pula mengeluarkan kenyataan, antara lain, katanya:

“Kami telah memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap kedua-dua pelancong itu  kerana kami percaya pelancong itu tidak menyedari betapa  seriusnya tindakan mereka.”

Mungkin kerana melihat kemarahan orang Islam, pada pukul 11.30 pagi 27 Jun 2018, polis telah menangkap pelancong-pelancong itu di sebuah hotel, membawa mereka ke Ibu Pejabat Polis Karamunsing untuk siasatan.

Pada pukul 4.30 petang, mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret. Mereka dituduh di bawah seksyen 15 Minor Offences Ordinance 1953 (Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil 1953) (OKK 1953).

Seksyen itu memperuntukkan, setakat yang berkenaan dengan kes ini, seperti berikut:

“15. Mana-mana orang yang …. bersalah atas apa-apa ….. tingkah laku tidak senonoh …. di kawasan terdekat (immediate vicinity) mana-mana tempat ibadah ….boleh dikenakan denda sebanyak dua puluh lima ringgit, dan dipenjarakan selama empat belas hari, dan pada sabitan kedua atau kemudiannya didenda lima puluh ringgit dan dipenjarakan selama tiga bulan.” (Terjemahan saya).

Mereka mengaku bersalah dan meminta dijatuhkan hukuman ringan kerana mereka akan balik ke negeri mereka malam itu juga. Mereka juga berkata mereka tidak tahu (perbuatan mereka itu dilarang) dan meminta maaf.

Tetapi, Borneo Post Online pada 28 Jun 2018 melaporkan:

“….. bahawa kedua-dua pelancong itu memutuskan untuk menari di atas pagar Masjid Kota Kinabalu baru-baru ini walaupun diingatkan bahawa ia adalah tempat suci oleh pemandu pelancong.”

Pegawai Pendakwa, Albert Basiri (anak negeri, beragama Kristian), meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal.

Majistret, Cindy Mc Juce Balitus (anak negeri beragama Kristian) menjatuhkan hukuman denda RM25.00 jika tidak bayar penjara 7 hari.

Mereka membayar denda itu dan di hantar ke lapangan terbang untuk pulang ke negera mereka.

Orang yang beragama Islam memang marah terhadap perbuatan itu. Ia mencemari kesucian masjid tempat ibadat orang Islam. Mereka juga tidak puas hati dengan hukuman itu, yang, pada pandangan mereka terlalu ringan.

Sebaliknya, orang bukan Islam, di Sabah, kebanyakannya beragama Kristian, berpendapat bahawa itu perkara kecil yang tidak sepatunya diperbesarkan dan polis tidak sepatutnya mengambil tindakan terhadap mereka. Adalah jelas bahawa perbezaan pendapat itu terbahagi mengikut agama: Islam dan bukan Islam.

Kita telah lihat perbezaan pendapat di antara Menteri Pelancongan dengan Timbalannya. Dua orang ahli Parlimen juga berlainan pendapat. Ahli Parlimen Sepanggar, Azis Jamman (beragama Islam) berpendapat hukuman itu ringan. Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin (besar kemungkinan beragama Budha) mengatakan ia berpatutan.

Apatah lagi jika kita membaca komen-komen yang diberi oleh pembaca berita-berita mengenainya yang disiarkan oleh akhbar online. Kebanyakan yang menulis adalah orang bukan Islam, terutama sekali orang Cina. Mereka menggunakan bahasa yang sangat biadab terhadap polis yang mengambil tindakan itu dan orang Islam yang menganggap perbuatan itu adalah satu perkara yang serius.

Mereka seolah-olah datang daripada satu masyarakat yang tidak tahu apakah  “adab”, “sopan santun”, “budi bahasa”, “adat resam”, “hormat”, “malu” dan sepertinya.

Adalah lebih baik jika ruangan komen oleh pembaca itu ditiadakan, atau komen-komen yang tidak sopan itu dipotong, jika boleh. Jika tidak boleh, jangan adakan langsung ruangan itu. Kata-kata mereka itu boleh menyebabkan pergaduhan antara kaum/agama.

Orang-orang Islam yang tidak puas hati itu membandingkan hukuman dalam kes ini dengan hukuman terhadap empat pelancong lelaki Eropah yang bertelanjang di puncak Gunung Kinabalu yang disifatkan suci oleh masyarakat di Ranau. Kejadian itu berlaku pada 30 Mei 2015.

Kebetulan, tiga hari kemudian, berlaku gempa bumi berdekatan tempat itu dengan kekuatan 6.0 skala Richter yang mengorbankan 16 nyawa dan 2 orang lagi masih hilang. Gempa bumi itu dikaitan dengan perbuatan pelancong-pelancong berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri, Joseph Pairin Kitingan, (anak negeri beragama Kristian) berkata pada esoknya (Sabtu):

           “This will certainly bring misfortune… we can’t play with the spirit of the sacred mountain,”

 (“Ini pasti akan membawa malang (misfortune)… kita tidak boleh main-main  dengan semangat gunung suci itu.” )

Pelancong-pelancong itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan didakwa mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Seksyen itu memperuntukkan:

“294. Sesiapa, yang menyebabkan gangguan (annoyance) kepada orang lain-

  • melakukan apa-apa perbuatan lucah di mana-mana tempat awam;

…….. hendaklah dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai  tiga bulan atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.” (Terjemahan  saya)

Mereka mengaku bersalah. Peguam mereka, Ronny Cham (Cina beragama Kristian), meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan. Beliau mengatakan bahawa mereka meminta maaf di atas pebuatan mereka itu dan mereka mengaku tidak akan mengulanginya. Cham juga mengatakan bahawa tidak ada bukti saintifik atau yang boleh dipercayai bahawa gempa bumi yang menggoncangkan Ranau itu disebab oleh perbuatan tertuduh.

Hakim Mahkamah Sesyen, Dean Wayne Daly (anak negeri beragama Kristian) menjatuhkan hukuman penjara selama tiga hari dan denda sebanyak RM5,000, jika tidak bayar penjara tiga bulan, tiap-tiap seorang.

Dalam keputusannya, Daly berkata mahkamah menerima pengakuan bersalah mereka sebagai faktor bagi meringankan hukuman, namun tindakan mereka telah memberi kejutan kepada negara dan menyebabkan kemarahan orang ramai.

“Masyarakat tempatan, terutama di Ranau, terganggu (annoyed) dengan tindakan mereka kerana mereka menganggap gunung Kinabalu itu suci,” katanya

Pendakwaan diwakili oleh tiga orang Timbalan Pendakwa Raya (TPR), diketuai oleh Jamil Aripin (beragama Islam).

Biasanya, apabila orang tidak puas hati dengan hukuman yang, pada pandangannya, ringan, dia akan menyalahkan Mahkamah, apatah lagi, dalam kes ini, Mejistret berkenaan beragama Kristian.

Sebenarnya, Majistret hanya boleh menjatuhkan hukuman mengikut seksyen yang di bawahnya pertuduhan dibuat. Dalam kes ini (kes masjid), hukuman yang boleh dikenakan ialah “denda sebanyak dua puluh lima ringgit, dan dipenjarakan selama empat belas hari”.

Majistret memilih untuk tidak mengenakan hukuman penjara. Kita tidak tahu sebabnya, mungkin kerana, tertuduh mengaku  salah, meminta maaf, tidak tahu ia menyababkan gangguan (annoyance) kepada masyarakat di sini, mereka melakukannya hanya untuk hiburan, mereka akan pulang pada malam itu dan/atau beliau juga memandang perkara itu sebahai satu perkara remeh.

Perhatikan bahawa dalam kes ini pendakwaan hanyalah dilakukan oleh seorang Inspektor Polis berbanding dengan kes gunung Kinabalu di mana tiga orang TPR hadir di mahkamah. Soalnya, adakah kertas siasatan itu dibawa ke pengtahuan TPR? Jika ya, adakah pertuduhan itu dibuat atas arahan atau dengan persetujuan TPR?

Jika tidak, mengapa? Adakah kerana kesuntukan masa sebab tertuduh akan pulang ke negara mereka malam itu juga atau pegawai pendakwa mengambil jalan mudah untuk menyesaikan kes itu: untuk memuaskan hati masyarakat Islam mereka dihadapkan ke mahkamah; untuk mendapatkan tertuduh mengaku bersalah, cari kesalahan yang hukumannya paling ringan?

OKK 1953 adalah satu undang-undang yang sudah ketinggalan zaman. Hukumannya terlalu rendah. Semenjak tahun 1970, semasa saya menjadi majistret, saya telah menyuarakan bahawa OKK 1955 yang dipakai di Semenanjung Malaysia patut dipinda untuk menambahkan hukumannya. Dua tahun lepas, saya menulis kepada Peguam Negara, pada masa itu, untuk memindanya. Malangnya, hingga sekarang ia kekal demikian. Di Sabah juga serupa.

Dalam kes ini, berdasarkan faktanya, seksyen 15 OKK 1953 sahajalah yang sesuai. Saya telah meneliti peruntukan-peruntukan Kanun Keseksaan. Yang paling dekat adalah seksyen 298A.

Tetapi, jika dituduh di bawah seksyen itu, besar kemungkinan mereka tidak akan mengaku salah kerana hukumannya yang berat ia itu penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada lima tahun. Lagi pula, jika dibicarakan, sabitan tidak mungkin diperolehi kerana satu daripada ingredient kesalahan itu ialah perbuatan itu menyebabkan, atau cuba menyebabkan, atau mungkin menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, atau perasaan permusuhan, kebencian atau buruk sangka….berdasarkan agama, di antara orang atau kumpulan orang yang menganut agama yang sama atau berbeza……”, (terjemahan saya) yang berdasarkan fakta (menari di atas tembok pagar masjid), tidak dapat dipenuhi.

Maka, sekali lagi saya menyeru supaya OKK-OKK yang dipakai di seluruh negara  dipinda untuk menambahkan hukumannya supaya sesuai dengan keadaan semasa.

 

Tun Abdul Hamid Mohamad

02 07 2018

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

Read 147 times