KEDUDUKAN KETUA HAKIM NEGARA: BIARLAH MAHKAMAH MEMUTUSKANNYA?
KEDUDUKAN KETUA HAKIM NEGARA: BIARLAH MAHKAMAH MEMUTUSKANNYA?
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad
Setahun enam hari dahulu (6 Mei 2017), saya menulis satu rencana bertajuk, “Keperlembagaan Pelantikan Ketua Hakim Negara Selepas Umur 66 Tahun Enam Bulan”. Malangnya, tiada akhbar nasional menerbitkannya. Ia telah dinaikmuatkan di laman web saya dan masih ada di sana hingga ke hari ini. Saya mengakhiri rencana itu seperti berikut:
“Melainkan jika pelantikan itu telah dibuat dengan sahnya menurut mana-mana peruntukan lain, cara yang lebih baik untuk menyelesaikan masalah ini adalah bagi Tan Sri Md Raus mengetepikan kepentingan peribadi dan berkata “Saya telah menimbang semula mengenai keperlembagaan pelatikan ini dan saya merasa tidak selesa untuk terus memegang jawatan Ketua Hakim Negara dan saya meletak jawatan”.
Jika beliau berbuat demikian, saya pasti bahawa beliau akan diingati untuk jangka masa yang panjang kerana keberaniannya, tidak mementingkan diri, maruah dan integriti. Jiwanya juga akan tenang sepanjang hayat. Kerajaan akan melantik seorang Ketua Hakim Negara baru sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan, dengan itu memelihara integriti Badan Kehakiman dan, moga-moga, integriti Kerajaan juga.”
Selepas itu, kerajaan Barisan Nasional (BN), pada masa itu, mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan pelantikan itu. Pada 11 Julai 2017, saya menulis satu rencana lagi, di mana, saya, antara lain, berkata:
“Kenyataan itu mengesahkan bahawa mereka (Tun Raus dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Hakim Besar (Malaya)) hanya dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 122(1A) Perlembagaan Persekutuan. Maksudnya, mereka bukan dilantik semula sebagai Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.
Jika demikian, pada pandangan saya, mereka sepatutnya hanya menjadi hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan dan tidak lebih daripada itu kerana:
1. mereka dilantik untuk jawatan itu; dan
2. pelantikan mereka sebagai Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, masing-masing, telah luput apabila mereka mencapai umur 66 tahun 6 bulan (termasuk perlanjutan mengikut Perkara 125(1)).”
Rencana itu juga tidak diterbitkan oleh akhbar nasional. (Walau bagaimanapun, ia juga boleh didapati di laman web saya.) Sebaliknya, dekat dengan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), sebuah rencana yang ditulis oleh Tun Zaki Azmi, pengganti saya, diterbitkan oleh New Straits Times, menghujahkan bahawa pelantikan itu adalah sah.
BN kalah dalam PRU14 dan Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri yang baru. Selepas itu, kita mendengar bahawa Tun Dr. Mahathir telah memanggil Tun Raus, Ketua Hakim, untuk menemuinya di pejabatnya (Tun Dr. Mahathir) dan Tun Raus pergi. Kita tidak tahu apa yang berlaku dalam pertemuan itu.
Tetapi, jika isu pelantikan Ketua Hakim Negara itu tidak disebut sekali pun (satu perkara yang sukar hendak dipercayai), hakikat bahawa Perdana Menteri telah memanggil Ketua Hakim untuk menemuinya secara bersendirian, pada pandangan saya, tidak elok. Ketua Hakim Negara bukanlah seorang pegawai Eksekutif di bawah jagaannya. Lebih-lebih lagi, apabila kita mengambil kira keadaan semasa dan sejarah masa lalu Tun Dr. Mahathir berhubung pemecatan Tun Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara dahulu.
Biar apa pun yang berlaku di antara Tun Dr. Mahathir dan Tun Raus, ia menimbulkan persepsi yang tidak baik bahawa Tun Dr. Mahathir, sekurang-kurangnya, telah meminta Tun Raus meletakkan jawatan.
Sekiranya Perdana Menteri mempunyai mesej untuk disampaikan kepada Ketua Hakim Negara, adalah lebih baik jika beliau menyampaikannya melalui Ketua Setiausaha Negara.
Bukan sahaja Perdana Menteri tidak sepatutnya memanggil Ketua Hakim Negara untuk menemuinya bersendirian, Tun Raus juga sepatutnya menolak permintaan itu.
Pada masa yang sama, DAP, sebuah parti komponen, jika bukan parti dominan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekali pun, mendesak secara terbuka, supaya Ketua Hakim Negara meletak jawatan. Sekali lagi, pada pandangan saya, itu bukanlah cara yang betul untuk melakukan sesuatu. Lebih buruk lagi, mereka juga berkempen untuk hakim tertentu dilantik menggantikannya.
Apa bezanya dengan alasan mengapa tempoh perkhidmatan Tuan Raus dilanjutkan oleh kerajaan BN? Adakah peranan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman akan diketepikan? Jika dan apabila hakim tertentu itu mengganti Tun Raus, adakah beliau bebas atau nampak, bebas?
Sekarang, kita mendengar sesuatu yang lebih mengganggu, jika tidak mengejutkan sekali pun. Khabarnya, Tun Daim Zainuddin, Pengerusi Council of Eminent Persons (CEP), juga memanggil Tun Raus untuk menemuinya di pejabatnya (Tun Daim) dan Tun Raus pergi. Kita tidak tahu apa yang berlaku di antara mereka. Tetapi, bukanlah tidak patut (unreasonable) jika seseorang menyangka bahawa pertemuan itu berkenaan dengan kedudukan Tun Raus sebagai Ketua Hakim Negara.
Pada pandangan saya, kedua-dua pihak membuat kesilapan dalam hal ini. Kedua-duanya tidak sepatutnya melakukan apa yang mereka lakukan itu.
CEP tidak lebih daripada satu jawatankuasa pentadbiran. Jika Tun Daim bukan sekutu rapat Perdana Menteri dan tidak melakukannya bagi pihak Perdana Menteri, beranikah beliau memanggil Ketua Hakim Negara pergi menemuinya di pejabatnya sendiri? Sekiranya Tun Raus tidak melihat Tun Daim sebagai melakukannya bagi pihak Perdana Menteri, adakah beliau akan pergi?
Jika Tun Daim hendak bertemu dengan Ketua Hakim Negara, Tun Daim sepatutnya membuat temujanji dan pergi menemuinya di pejabatnya (Ketua Hakim Negara). Dengan memanggil Ketua Hakim Negara pergi menemuinya dipejabatnya, Tun Daim nampak seolah-olah hendak memberitahu kepada Ketua Hakim Negara siapa lebih berkuasa. Sekali lagi, ini adalah persoalan “Kekuatan adalah kebenaran”.
Adalah sukar untuk mempercayai bahawa kerajaan PH tidak menekan Ketua Hakim egara untuk meletak jawatan. Memang betul kerajaan BN yang terdahulu, seperti yang saya telah hujahkan, telah melakukan satu kesilapa dalam “menyambung” tempoh perkhidmatan Tun Raus. Tetapi, kerajaan PH sekarang tidak melakukan sesuatu yang lebih baik dalam menekan beliau untuk meletak jawatan seperti yang dilakukan dan menggantikan Tun Raus dengan pilihannya sendiri. Kerajaan sekarang tidak sepatutnya melakukan kesilapan dalam membetulkan kesilapan yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu. Jika tidak, kedua-duanya adalah sama.
Lagipun, pada masa ini, terdapat kes di Mahkamah Persekutuan, yang difailkan oleh Majlis Peguam untuk perisytiharan bahawa “penyambungan” tempoh perkhidmatan Tun Raus tidak sah di sisi Perlembagaan. Panel tujuh orang hakim yang mendengar kes itu telah menangguhkan penghakiman yang, dalam keadaan biasa, akan disampaikan tidak lama lagi.
Saya percaya saya adalah orang pertama yang mengesyurkan kepada Tun Raus, secara terbuka, supaya meletakkan jawatan. Tetapi, keadaan pada masa itu sangat berbeza. Masa itu sebelum peralihan kerajaan. Tun Raus, pada masa itu, boleh mengundur diri dengan hormat dan bermaruah. Tetapi, keadaan telah berubah. Malang bagi Tun Raus, jika beliau melakukannya sekarang, ia akan kelihatan seperti beliau melakukannya di bawah tekanan kerajaan PH yang mahu meletakkan pilihannya sendiri di tempatnya. Ia tidak baik bagi kedua-dua pihak.
Mungkin, di dalam keadaan sekarang, cara terbaik bagi kedua-dua pihak adalah “membiarkan mahkamah menentukannya”. Tun Raus mungkin bersedia untuk mengambil risikonya. Tetapi, adakah kerajaan PH bersedia untuk berbuat demikian?
12 Jun 2018 / 27 Ramadan 1439
[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me