POLITIK DI SEMENANJUNG MALAYSIA SELEPAS PRU 14

POLITIK DI SEMENANJUNG MALAYSIA SELEPAS PRU 14
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Rencana ini hanya berkenaan Semenanjung Malaysia sahaja.

Di Semenanjung, pengundi bukan Melayu, seperti yang dijangka, memberi sokongan padu kepada PH. Saya anggarkan hampir kesemua berbuat demikian. Demikian juga pengundi-pengundi yang mengundi PAS dan UMNO dalam PRU 14, hampir kesemuaanya, adalah orang Melayu.

Pengundi-pengundi bukan Malayu yang menyeberang sempadan parti, jika ada pun, menyeberang kapada satu parti sahaja, DAP. Lainlah halnya dengan orang Melayu. Saya percaya orang Melayu yang dahulu mengundi PAS, sama ada terus mengundi PAS atau mengikut Amanah, mengundi PH. Pengundi UMNO dalam PRU 13 yang menyeberang sempadan pula sama ada, kali ini, mengundi PAS atau PH. Saya percaya, mereka semata-mata mengundi PH, tanpa menyertai PKR, Amanah atau pun PPBM.

Mengapa ia berlaku demikian? Bagi pengundi-pengundi bukan Melayu, terutama sekali pengundi-pengundi Cina, mereka nampak bahawa ini adalah peluang terbaik bagi mereka “untuk berkuasa”. Mereka bukan sekadar hendak menyertai pentadbiran kerajaan. Itu mereka telah lakukan semenjak Merdeka. Malah, di peringkat awal, UMNO mengorbankan kawasan-kawasan majoriti Melayu untuk memberi peluang yang lebih kepada mereka untuk menyertai kerajaan. Bagi orang-orang India pula yang tidak mempunyai satu kerusi pun yang majoriti pengundinya berketurunan India, hal seperti itu berterusan hingga sekarang.

Mereka nampak peluang itu kerana salahlaku Dato Seri Najib dan pemimpin-pemimpin UMNO yang melibatkan tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Bagi pengundi-pengundi Melayu pula, pengundi-pengundi PAS sama ada kekal dengan PAS atau mengikut Amanah mengundi PH. Bagi yang kekal dengan PAS, terutama sekali di Kelantan, kepercayaan mereka bahawa perjuangan PAS itu adalah perjuangan Islam sudah cukup bagi mereka. Oleh sebab PAS adalah satu-satunya “parti Islam” di Malaysia, maka mereka akan kekal bersamanya.

Bagi ahli PAS yang mengikut Amanah pula, khususnya di pantai Barat Semenanjung, ianya semata-mata kerana realiti: untuk menang di Pantai Barat Semenanjung mereka perlukan undi orang bukan Melayu. Mereka itu nampak seolah-olah telah meninggalkan perjuangan Islam ala-PAS yang mereka anuti dahulu. Malah, dalam ucapan-ucapan kempen pilihanraya mereka, pemimpin-pemimpin mereka tidak langsung menyebut berkenaan perjuangan Islam.

Yang banyak menyeberang sempadan parti adalah daripada UMNO ke parti-parti lain. Ke mana mereka pergi?

Jawapannya kepada PAS atau kepada PH. Di Pantai Timur, mereka menyeberang kepada PAS. Ini kerana mereka cuma kenal dua buah parti itu sahaja.

Di Pantai Barat pula, mereka menyeberang sama ada kepada PAS atau PH, saya fikir lebih banyak kepada PH. Yang menyeberang kepada PAS adalak mereka-mereka yang sudah bosan dengan pemimpin-pemimpin UMNO, terutama sekali Dato’ Seri Najib dan pemimpin-pemimpin UMNO kerana rasuah dan penyalahgunaan kuasa, tetapi khuatir kiranya PH menang, hak keistimiwaan orang Melayu dan kedudukan agama Islam akan terhakis.

Pengundi-pengundi UMNO yang menyeberang kepada PH pula adalah mereka-mereka yang betul-betul marah kepada Dato’ Seri Najib dan pemimpin-pemimpin UMNO kerana rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Rata-rata bekas pengundi-pengundi UMNO itu masih sayangkan UMNO, tetapi mareka merasakan Dato’ Seri Najib dan pemimpin-pemimpin UMNO telah melampau dan perlu disingkir dan hanya satu-satunya jalan yang ada ialah dengan menjatuhkan BN.

Tetapi, kumpulan pengundi-pengundi Melayu yang memberi sokongan padu kepada PH adalah pengundi-pengundi muda. Mereka ini terdiri daripada graduan-graduan yang menerima biasiswa kerajaan pusat yang diterajui oleh UMNO hinggalah kepada Mat Rempit.

Golongan graduan itu senentiasa mengikuti berita melalui internet yang menceritakan tentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh Dato’ Seri Najib dan pemimpin-pemimpin UMNO lain, mengikuti ucapan-ucapan pemimpin-pemimpin PH melalui U-Tube dan sebagainya. Mereka tidak merasa terhutang budi kepada UMNO mahupun kerajaan BN kerana, bagi mereka, biasiswa itu adalh hak mereka.

Kerana umur mereka yang muda, mereka tidak menghayati sejarah UMNO, khususnya perjuangan menentang Malayan Union, menuntut kemerdekaan, menuntut hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan ogama Islam dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan, menaikkan kedudukan ekonomi dan pelajaran orang Melayu termasuklah membolehkan mereka sendiri menjadi apa yang mereka jadi hari ini.

Mereka yang sudah terpengaruh dengan konsep kesamarataan di negara-negara maju itu seolah-olah merasa bersalah kerana kewujudan hak keistimewaan orang Melayu dan anak negeri Sabah, melupai di mana mereka tanpa semua itu. Akibatnya mereka tidak mempunyai perasaan takut hak-hak itu akan terhakis dengan penukaran kerajaan. Maka mereka tidak merasai sayang kepada UMNO.

Malah, ada di kalangan mereka yang merasakan perkataan “Melayu” sudah tidak relevant lagi.

Maka, mereka tidak kisah apa akan jadi asalkan Dato’ Seri Najib dapat dijatuhkan.

Kumpulan Mat Rempit adalah golongan anti-establishment dan tertarik dengan ucapan-ucapan seperti ucapan YB Mohamad Sabu. Bagi mereka, manjatuhkan Perdana Menteri dan kerajaan adalah satu keseronokan.

Namun demikian, untuk berlaku adil kepada semua, terutama sekali melihat apa yang berlaku dalam masa dua minggu selepas PRU 14, Dato’ Seri Najib perlu disingkirkan dan tidak ada jalan lain melainkan menjatuhkan BN dengan beliau bersamanya. Itu realitinya dan tragedinya.

Bagaimana masa depan parti-parti politik di Semenanjung Malaysia?

Kita mula dengan DAP. DAP berada di kemuncak kekuatannya sekarang. Saya tidak nampak orang Cina akan meninggalkannya melainkan jika mereka kecewa mereka tidak mendapat sebanyak yang mereka harapkan. Saya tidak fikir pemimpin-pemimpin DAP akan membiar perkara itu berlaku. Mereka tahu undi orang Cinalah yang menjamin kemenangan PH dan mereka boleh membawa undi orang Cina kepada PH

Mereka akan gunakan kedudukan itu sepenuhnya untuk mendesak supaya lebih banyak diberi kepada DAP dan orang Cina. Daripada pembentukan kabinet PH pun dapat dilihat bahawa YAB Tun Dr Mahathir akuh kepada tuntutan mereka. Ucapan Dato’ Seri Anwar Ibrahin dalam tempoh beberapa hari beliau dibebaskan yang menyentuh hak keistimewaan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak juga nampaknya menjurus ke arah itu.

Saya percaya, dengan kedudukannya yang kuat, DAP akan menekan kerajaan PH untuk membuat persempadanan semula kawasan pilihanraya. Tujuannya ialah untuk memecahkan semula kawasan pilihanraya di bandar-bandar besar yang mempunyai bilangan pengundi, kebanyakannya orang Cina, yang banyak. Ini bererti, orang-orang Cina akan memperolehi lebik banyak kerusi yang akan menguntungkan DAP dan PH. Dengan itu kedudukan DAP dan PH akan lebih kuat.

Pada masa yang sama, jika penambahan kerusi itu dilihat keterlaluan, ia akan menjadi modal bagi UMNO untuk menyerang kerajaan PH dan, saya fikir, ia akan menarik perhatian orang Melayu untuk kembali mengundi UMNO, tetapi mungkin sudah terlambat untuk membolehkannya menubuh kerajaan.

Maka, nampaknya, bagi orang Melayu, PRU 14 adalah seperti kata pepatah, ditelan mati emak diluah mati bapa. Bagi orang bukan Melayu pilihan mereka mudah, kerana hanya satu pilihan yang lebih menguntungkan.

Amanah hanya dapat menarik ahli-ahli PAS mengikutnya, berapa banyak sukar diagak. Jika bilangan undi yang didapatinya di Kelantan dan Trengganu (di mana pengundi bukan Melayu tidak banyak) menjadi ukuran, bilangannya tidak cukup untuk memenangi satu kerusi pun. Tanpa ahli-ahli baru ia akan terkubur.

Saya tidak nampak mengapa orang Melayu akan menyertainya. Daya penariknya hanya ucapan-ucapan YB Mohamad Sabu yang menghiburkan golongan muda. Itu pun sekadar untuk bersorak dan mangundi PH, bukan untuk menjadi ahli parti yang serius. Saya tidak nampak bagaimana Amanah akan berkembang, malah bagaimana ia akan kekal.

PPBM adalah parti YAB Tun Dr Mahathir. Tanpa beliau, hilanglah tunggaknya. YAB Mukhriz hanyalah bayangan YAB Tun Dr Mahathir. Beliau tidak cukup kuat untuk berdiri sendiri. Hampir kesemua pemimpin dan ahli PPBM adalah bekas ahli UMNO yang bencikan Dato’ Seri Najib. Sekarang Dato’ Seri Najib telah jatuh. Menutup pintu kepada bekas ahli-ahli UMNO bererti menutup sumber keahliannya. YB Tan Sri Muhyiddin juga sudah tua. Maka, tanpa YAB Tun Dr Mahathir, nampaknya PPBM, besar kemungkinan, akan beransur lamah.

Selain dari itu, pentingnya Amanah dan PPBM kepada orang Melayu terletak kepada performance PH. Jika kerajaan PH dilihat merugikan orang Melayu daripada kerajaan BN sebelumnya, mereka tidak akan tertarik untuk menyerti PPBM, malah untuk mengundi PH.

Mungkinkah Amanah dan PPBM akan menerima nasib yang sama seperti Berjasa di Kelantan dahulu?

Kemungkinan Gerakan akan terkubur adalah lebih besar daripada MCA. Ia adalah parti Tun Dr Lim Chong Eu dan berpusat di Pulau Pinang. Sekarang DAP sudah bertapak begitu kuat di Pulau Pinang. Akibatnya, adalah sukar bagi Gerakan untuk bangun semula.

Kedudukan MCA mungkin baik sedikit. Ia sebuah parti yang lebih tua dan dikenali sebagai parti orang Cina. Saya percaya orang Cina mempunyai sentimen yang sama seperti orang Melayu terhadap UMNO.

Tetapi, saya tidak nampak bagaimana bekas ahli dan pengundinya akan kembali kepadanya daripada DAP. DAP akan memastikan mereka mendapat lebih melaluinya. Juga, saya tidak nampak bahawa orang muda akan mengambil alih dan memberi nafas baru kepadanya melainkan mereka yang merasai bahawa mereka susah mendapat tempat dalam DAP. Maka, masa depan MCA juga agak gelap.

Saya percaya MIC akan lemah melainkan timbul seorang pemimpin baru yang boleh menaikkan semula semangat orang-orang India untuk bersatu bagi mempertahankan hak mereka. Itu pun bergantung kepada performance kerajaan PH: sama ada mereka berpuashati dengannya atau tidak.

Kita sampai kepada PKR. Sehingga 2014, saya menyangka bahawa umur PKR hanyalah sama panjang dengan umur Dato Seri Anwar. Saya salah. Tidak terbayang difikiran saya bahawa YAB Tun Dr Mahathir akan meminta maaf kepada Dato Seri Anwar, berbaik semula dengan YB Lim Kit Siang dan YB Mohamad Sabu, berganding bahu, memakai simbol PKR untuk menjatuhkan Dato’ Seri Najib. Tidak pula terbayang di fikiran saya behawa penyelewengan Dato’ Seri Najib begitu serius. Pada masa itu pun, pada pandangan saya Dato’ Seri Najib mesti pergi, tetapi UMNO patut diselamatkan.

Biar apa pun, sekarang PKR berada di kemuncak kejayaannya. Anak-anak muda Melayu yang berpelajaran tertarik kepadanya. Dengan kejayaan menjatuhkan Najib dan dengan Dato Seri Anwar menjadi Perdana Menteri kelak, ia tentu akan menjadi lebih kuat. Hanya satu faktor yang akan mengurangkan sokongan orang Melayu, ia itu, jika orang Melayu merasa kerajaan PH memberi terlalu banyak kepada orang bukan Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan agama Islam tergugat.

Akhirnya, kita sampai kepada UMNO. Adakah UMNO akan terkubur? Saya fikir tidak. Itu pun berhantung kepada beberapa faktor. Biar apa pun saya tidak fikir ia boleh bangkit semula, sekurang-kurangnya, sehingga selepas dua atau tiga PRU lagi.

Tetapi, telahan ini pun ada kelemahannya. Selepas dua atau tiga PRU lagi, pengundi-pengundi UMNO yang pada masa ini berumur 60 tahun ke atas, mungkin sudah tidak ada lagi. Budak-budak sekarang akan menjadi pengundi. Mengikut trend sekarang, besar kemungkinan, mereka akan lebih tertarik kepada PH. Tetapi, pada masa itu, YAB Tun Dr Mahathir, Dato’ Seri Anwar, YB Mohamad Sabu juga mungkin sudah tidak ada lagi atau, jika masih ada pun, mungkin sudah tidak bertenaga seperti sekarang lagi. Kita tidak tahu siapa dan bagaimana pengganti mereka.

Mengapa saya katakan UMNO tidak akan terkubur?

Pertama, dalam PRU 14, pengundi-pengundi Melayu yang dahulunya mengundi BN berpindah mengundi PH semata-mata kerana marahkan Dato’ Seri Najib, dan pemimpin-pemimpin UMNO lain. Mereka bukan ahli-ahli UMNO yang keluar beramai-ramai daripada UMNO dan menjadi ahli PKR, PPBM atau Amanah. Dengan Dato’ Seri Najib disingkir daripada jawatan Perdana Menteri dan meletak jawatan daripada menjadi Presiden UMNO dan kemungkinan akan didakwa, simpati mereka kepada UMNO mungkin kembali. Tetapi, selepas dua atau tiga PRU lagi, mereka pun mungkin tidak ada lagi!

Biar apa pun, selain daripada golongan muda, tertakluk kepada bagaimana kerajaan PH menangani isu hak keistimewaan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan kedudukan agama Islam dan bagaimana UMNO disusun semula, saya fikir kemungkinan mereka akan kembali mengundi UMNO semula, terutama sekali di kawasan luar bandar, tetap ada. Itu pun jika mereka masih ada.

Kedua, walau pun tidak ada sesiapa yang boleh mengemukakan angka yang tepat, saya fikir, jumlah pengundi Melayu yang mengundi UMNO adalah lebih daripada jumlah pengundi Melayu yang mengundi PKR, apatah lagi PPBM atau Amanah.

Untuk hujah ini kita ambil PKR untuk dibandingkan dengan UMNO. Kita perhatikan, di kawasan majoriti pengundi Melayu, termasuk di mana terdapat pertandingan tiga penjuru, sama ada calon PKR atau UMNO yang menang, bezanya, kebanyakannya, dalam lingkungan 2,000 – 3,000. Pengundi UMNO boleh dikatakan semuanya orang Melayu yang menyokong UMNO. Sebaliknya, pengundi PKR adalah terdiri daripada orang bukan Melayu dan orang Melayu penyokong PKR, PPBM atau Amanah. Oleh itu, pada pandangan saya, jumlah besar pengundi Melayu yang mengundi UMNO adalah lebih banyak daripada yang mengundi PKR.

Ketiga, kekalahan UMNO adalah kerana pengundi marahkan Dato’ Seri Najib, dan beberapa orang pemimpin tertinggi UMNO. Ketepikan mereka, gantikan dengan pemimpin-pemimpin baru, kemarahan itu akan hilang.

Maka, untuk bangkit semula, UMNO perlu menyingkirkan pemimpin-pemimpin yang dikaitkan dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan menggantikan mereka dengan muka-muka baru, temasuk yang baru masuk atau dibawa masuk menjadi ahli UMNO.

Satu masalah yang saya nampak ialah, pada masa ini tidak nampak seorang pemimpin UMNO yang terserlah untuk mengganti Dato’ Seri Najib. Oleh itu semua pemimpin-pemimpin UMNO memandang kepada rakan-rakan mereka dengan perasaan curiga kiranya rakan dan musuh politiknya itu yang akan naik. Maka, masing-masing tidak mahu mencadangkan sesiapa menjadi pengganti Dato’ Seri Najib. Akibatnya, pemimpin-lama kekal dan penyakit lama pun kekal.

Kemasukan ahli-ahli baru hendaklah dipermudahkan dan digalakkan.

Sifat buruk orang Melayu iaitu hasad dengki dan “jika aku tak dapat biar lingkup” yang sekian lama memakan diri UMNO perlu dibuang. Bagaimana, saya pun tidak tahu. Misalan terbaru adalah Trengganu. Tetapi, ini tidak terhad kepada orang Melayu dalam UMNO sahaja. Orang Melayu dalam parti-parti lain pun serupa.

Satu perkara yang baik akibat kejatuhan kerajaan BN ialah ia menamatkan politik wang UMNO. Pemimpin-pemimpin UMNO tidak berkuasa lagi dan, oleh itu, tidak mempunyai wang lagi untuk mengamalkan politik wang. Maka peluang kenaikan pemimpin-pemimpin baru yang berkaliber dan berintegriti adalah lebih cerah.

Mengikut Dato’ Ibrahim Ali, pengasas dan Presiden Perkasa yang meletak jawatan selepas PRU 14, Perkasa mempunyai 700,000 ahli. Saya dapati ahli-ahli Perkasa berjiwa Melayu seperti ahli-ahli UMNO di tahun 50an. Kebanyakan mereka adalah bekas atau masih menjadi ahli UMNO. Mereka kecewa dengan UMNO. Saya fikir mereka patut kembali kepada UMNO. Mereka tidak septutnya menubuh parti baru. Ia hanya akan lebih mengeliru dan memecahbelahkan orang Melayu.

Untuk memenangi PRU, UMNO tidak boleh bersendirian. Ia perlukan undi orang bukan Melayu. Untuk itu, pada masa ini, tidak ada sumber lain daripada MCA, Gerakan dan MIC. Maka, adalah bagi faedah UMNO dan juga parti-parti itu jika mereka terus wujud dan berkerjasama dengan UMNO seperti sebelum PRU 14.

Saya perhatikan, di kawasan majoriti Melayu di Pantai Barat di mana terdapat pertandingan tiga penjuru, perbezaan undi yang diperolehi oleh PH, BN dan PAS hanyalah beberapa ribu sahaja. Memandangkan yang mengundi PAS dan BN (UMNO) hampir kesemuanya pengundi-pengundi Melayu dan hampir kesemua orang bukan Melayu mengundi PH, maka jika dicampur undi pengundi Melayu yang diperolehi oleh UMNO dan PAS, jumlahnya, saya percaya, jauh lebih banyak daripada undi pengundi Melayu yang diperolehi oleh PH.

Maka, jika di kawasan-kawasan itu, UMNO dan PAS boleh berkerjasama untuk mengelak pertandingan tiga penjuru, saya percaya, kedua-dua UMNO dan PAS boleh menambah bilangan kerusi yang dimenangi mereka, yang jika dicampurkan akan melebihi bilangan yang dimenangi oleh PH. Tetapi, bolehkah UMNO dan PAS bertolak ansur dan mencapai persetujuan untuk, pertama mengelak pertandingan tiga penjuru dan, kedua, untuk berkerjasama selepas kemenangan?

Mengenai kerjasama antara UMNO dan PAS di Kelantan dan Trengganu, Kelantan adalah negeri PAS. Selagi tidak ada sebuah parti yang berjenama Islam dan pemimpin-pemimpinnya dari golongan “ulama”, mereka akan terus mengundi PAS. Trengganu boleh bergolek ke kiri dan ke kanan dari satu PRU ke satu PRU.

Biar apa pun, di kedua-dua buah negeri itu, pengelakan pertandingan tiga penjuru tidak perlu kerana undi yang diperolehi PH tidaklah banyak. UMNO dan PAS boleh bertarung sesama sendiri di peringkat negeri.

Untuk mengalahkan PH di peringkat persekutuan UMNO dan PAS perlu berkerjasama seperti yang saya sebut itu. Itu pun bergantung kepada keputusan di Sabah dan Sarawak dan dengan pihak mana mereka menyokong.

Apa yang saya katakan ini hanyalah pandangan saya berdasarkan pemerhatian saya. Dalam politik adalah amat sukar untuk membuat telahan yang tepat kerana, pertama, ahli politik boleh membuat pusingan U yang mengejutkan seperti yang dilakukan oleh YAB Tun Dr Mahathir dalam PRU 14.

Kedua, pengundi-pengundi tidak semestinya membuat pilihan mengikut logik kerana mereka mungkin tidak memperolehi fakta sepenuhnya, dan, kedua, mereka mungkin dipengaruhi oleh atau tertarik dengan faktor-faktor lain, termasuk emosi dan ucapan-ucapan yang menghiburkan.

Ketiga, mungkin ada faktor-faktor lain yang timbul di sesuatu kawasan pilihanraya yang mempengaruhi pengundi.

Biar apa pun, dua perkara yang paling jelas ialah:

1. Kejatuham kerajaan BN dalam PRU 14 adalah kerana pengundi-pengundi bencikan Dato’ Seri Najib;
2. Masa depan politik Malaysia bergantung kepada performance PH dalam memerintah Malaysia.

Wallahu a’lam.

25 Mei 2018 / 9 Ramadan 1439

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

Read 640 times