IKRAR ANTI-RASUAH: SYABAS SARAWAK DAN KEDAH
IKRAR ANTI-RASUAH: SYABAS SARAWAK DAN KEDAH
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad
Pada 2 September 2016, saya telah menaik-muatkan ke laman-laman web saya satu rencana pendek bertajuk “Pegawai Awam Sebagai Penyelamat Negara” yang saya mula tulis pada hari menyambut Hari Kebangsaan (31 Ogos 2016). Dalam rencana itu, antara lain, saya berkata:
“Semenjak Merdeka, tidak ada satu tahun di mana kita menyambut kemerdekaan dalam keadaan negara seperti tahun ini, di mana pemimpin-pemimpin Kerajaan menghadapi krisis integriti yang paling serius dan imej yang paling teruk. Sebabnya boleh disimpulkan dengan satu perkataan: rasuah.
Umumnya, pemimpin-pemimpin politik sudah tidak boleh hendak dihormati dan diteladani untuk tujuan yang baik lagi….
Maka, kepada siapa kita hendak berpaling untuk mencari “penyelamat”.,,,,,
Saya fikir kita boleh berpaling kepada pegawai-pegawai awam…….
Apa yang pegawai-pegawai awam yang tidak pernah terlibat dengan rasuah dan/atau berazam tidak akan terlibat dengan rasuah boleh lakukan ialah, melalui persatuan-persatuan mereka, tampil ke hadapan dan membuat ikrar terbuka, secara peribadi: “Kami tidak akan terlibat dengan rasuah”.
Oleh itu, saya menyeru….(mereka)….. supaya tampil ke hadapan dan membuat ikrar tersebut…..”
Walaupun saya menghantarnya kepada beberapa buah akhbar, spanjang yang saya tahu, tidak ada satu akhbar pun yang menyiarkannya dan saya faham sebabnya. Saya pun hampir terlupa kepada rencana itu, walau pun lebih daripada 500 pelawat mengunjunginya di dua laman web saya itu.
Hari ini (18 Februari 2017), sambil terlentang, saya menggoogle NST Online, dan saya gembira melihat berita bertajuk “Kedah State Government Signs Corruption-free Pledge”.
Apa yang menggembirakan saya ialah, bukan sahaja apa yang dilakukan itu serupa dengan apa yang saya syorkan, malah lebih daripadanya. Ikrar itu dibuat oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, sembilan orang Ahli Mesyuarat Kerajaan (Exco) dan juga Datuk Bakar Din, Setiausaha Kerajaan Negeri; Datuk Mohd Fuzi Mohaidin, Pegawai Kewangan Negeri dan Datuk Nor Azura Mohamed Zohdi, Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah. Tiga orang yang disebut terakhir itu adalah pegawai awam, bukan ahli politik. Ia “disaksikan” oleh Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Dzulkifli Ahmad. Sayabas kepada mereka semua.
Ini nyata lebih daripada apa yang saya syurkan. Pertama, saya menyeru pegawai-pegawai awam, di bawah anjuran CUEPACS untuk melakukannya kerana saya tidak fikir, dalam keadaan sekarang, pemimpin-pemimpin politik, apatah lagi Menteri Besar, mahu melakukannya. Saya silap dan bergembira di atas kesilapan itu.
Kedua, saya meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah turut melibatkan diri dalam rancangan itu, tetapi, selain daripada di peringkat kebangsaan, saya tidak fikir Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, akan turut menyertainya.
Lebih mengembirakan lagi ialah apabila berita itu turut menyatakan bahawa bulan lepas Sarawak telah menjadi negeri pertama yanag melakukannya. Tahniah Sarawak.
Saya tidak tahu sama ada majlis itu diadakan akibat rencana saya. Malah, saya tidak tahu sama ada pemimpin-pemimpin politik atau pegagai-pegawai awam di negeri-negeri itu membaca rencana saya itu. Tetapi, sama ada rencana itu dibaca oleh mereka atau tidak, dalam kedua-dua keadaan, saya gembira. Jika “Ya” saya gembira kerana saya telah menyumbang sesuatu. Jika “Tidak”, saya gembira kerana ada orang yang berfikir sama seperti saya.
Selepas membuat ikrar itu, saya harap mereka akan menjaganya dengan amalan yang sejajar dengannya.
Sekarang, sudahlah tiba masanya bagi pemimpin-pemimpin politik di negeri-negeri lain dan di peringkat persekutuan untuk turut melakukannya. CUEPACS dan persatuan-persatuan pegawai awam lain hendaklah menganjurkan majlis seperti itu di tiap-tiap negeri untuk ahli-ahlinya membuat ikrar itu. Mereka tidak perlu takut-takut lagi. Apabila ramai pemimpin-pemimpin politik dan pegawai-pegawai awam berbuat demikian, mereka-mereka yang terlibat dengan rasuah dengan sendirinya akan terpinggir.