PEGAJARAN TSUNAMI DAN BANJIR (BAHAGIAN KE 2)

PEGAJARAN TSUNAMI DAN BANJIR (BAHAGIAN KE 2)
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Ummat Islam percaya bahawa Allah s.w.t. berkuasa berbuat sesuatu sekehendakNya. Tetapi, tidak ada manusia yang tahu mengapa Allah s.w.t. melakukan sesuatu kejadian yang tertentu, seperti banjir di Kelantan. Manusia boleh melihat kepada keadaan sekeliling dan memberi pendapat seperti keadaan diburukkan oleh penebangan hutan dan lain-lain. Namun manusia tidak boleh jawab mengapa Allah s.w.t. menyebabkan turun hujan yang banyak di kawasan itu.

Ada manusia yang cuba memberi alasan sendiri terhadap “soalan Tuhan” itu. Maka dikemukakanlah teori “cubaan”, “balasan” dan lain-lain. Tetapi, semua itu, adalah induksi sendiri. Tiada sesiapa pun, termasuk mereka itu sendiri, yang boleh membuktikan ianya betul atau tidak.

Maka, dalam keadaan sekarang, adalah lebih baik kita berhenti membuat iduksi sendiri, terutama sekali jika ia dipengaruhi oleh pegangan politik dan kepentingan diri. Kita lihat kepada apa yang jelas dan nyata di hadapan mata kita dan cuba berfikir dengan rasional cara mengatasi masalah itu.

Apa yang kita lihat ialah kerosakan yang dahsyat dan kerugian berbilion Ringgit. Kita tahu Kerajaan Pas Kelantan tidak mampu membangunkan semula Kelantaan secara bersendirian. Sembahayang hajat sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah. Wang ringgit dan usaha yang banyak adalah diperlukan. Kerajaan Pas Kelantan sendiri tidak mampu mengadakannya. Kerajaan-kerajaan sekutu Pas, Selangor dan Pulau Pinang tidak, tidak mahu atau tidak mampu mambantu secukupnya. Parti-parti sekutu Pas, PKR dan DAP berdiam diri. Pemimpin-pemimpin besarnya juga tidak nampak kelibat. Ke mana pergi Majlis Peguam, sahabat baik YB Dato’ Mujahid semasa menggubal Rang Undang-Undang harmoni tidak lama dulu? Kita juga tidak nampak NGO-NGO bukan Melayu (khususnya Cina) dalam usaha membantu mangsa banjir di Kelantan.

Yang nampak bertongkos lomos membantu adalah Kerajaan Pusat yang diterajui oleh UMNO dan BN, pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO yang pernah “dikafirkan” oleh ulmak-ulamak dan pemimpin-pemimpin Pas dan NGO-NGO Melayu/Islam termasuk Perkasa.

Itulah hakikat yang pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong Pas mesti sedar dan terima. Mereka patut sedar sekaranag, semasa dalam kesusahan, siapakan yang tampil membantu mereka dan kepada siapakah mereka berpaling untuk meminta bantuan?

Saya merasa sedikit gembira kerana semenjak rencana pertama saya atas tajuk yang sama disiarkanoleh Utusan Malaysia lima hari lalu, perkembangan yang menggalakkan mula dapat dilihat. Pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas telah mula memberi sokongan kepada syor supaya UMNO dan Pas bersama-sama berganding bahu untuk memulihkan Kelantan. Email-email yang saya terima daripada orang-orang yang saya kenali dan tidak kenali juga menyokong saranan saya supaya UMNO dan Pas berkerjasama. Tetapi, semuanya menyuarakan bahawa Paslah yang susah dibawa berbincang dalam hal ini.

Memanglah, pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas itu hanya memandang kepada usha pemulihan akibat banjir itu sahaja. Biar apa pun, itu adalah satu petanda baik. Sementara UMNO mungking sanggup berfikir lebih jauh dari itu, saya harap Pas tidak akan melihatnya semata-mata sebagai satu helah untuk mendapat bantuan tanpa perlu “berterima kasih”. Pas telah lama mengajar pengikut-pengikutnya budaya “ambil dan lari”: ambil apa sahaja bantuan yang diberi tetapi undi Pas. Saya harap kali ini ulamak-ulamak dan pemimpin-pemimpin Pas akan mengajar pengikut-pengikut mereka supaya lebih berbudi, bukan semestinya untuk mengudi UMNO tetapi untuk berkerjasama demi Melayu dan Islam.

Sementara usaha segera untuk memulihkan Kelantan secara bersama itu diteruskan, saya mengulangi saranan saya supaya UMNO dan Pas berfikir untuk berkerjasama, sekurang-kurangnya di peringkat Persekutuan, untuk mengelak malapetaka yang lebih dahsyat kepada orang Melayu, Anak-Anak Negeri Sabah dan Sarawak dan agama Islam yang saya telah huraikan beberapa kali dan kesemuanya boleh didapati dalam laman web saya.

Sebagai tanda keikhlasan, eloklah ulamak-ulamak dan pemimpin-pemimpin Pas yang pernah “mengkafirkan” ahli-ahli dan penyokong-penyokong UMNO menarik balik kata-kata mereka dan meminta ma’af. Ulamak-ulamak, pemimpin-pemimpin dan pengikut-pengikut Pas patut berhenti berlagak atau beranggapan seolah-olah mereka adalah kumpulan Muslimin yang dipimpin oleh Rasul Allah dan pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong UMNO adalah ibarat kumpulan Musyrikin yang dipimpin oleh Abu Jahal dan Abu Suffian. Adik YABhg Dato’ Nik Aziz yang pernah mempersendakan do’a seleps solat hajat (ada orang memanggilnya “solat jahat”) sebelum PRU 13 itu juga patut meminta ma’af di atas perbuatanya yang “tak ada kelas” itu.

Seumur hidup saya, saya tidak pernah dengar “do’a” seperti itu. Apakah reaksi Allah yarham ayahanda saya jika beliau mendengarnya? Saya boleh teka tetapi baiklah saya tidak menyebutnya.

07 Januari 2015

Read 129 times