UCAPAN PERSIDANGAN AGUNG TAHUNAN PERKASA KALI KE 5

PERSIDANGAN AGUNG TAHUNAN PERKASA KALI KE 5
14 Disember 2014
UCAPAN PERASMIAN
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Dalam sejarah negara kita, belum ada seorang mantan Ketua Hakim Negara yang merasmikan persidangan agung tahunan sebuah pertubuhan politik seperti Perkasa. Apatah lagi, dalam keadaan kesihatan saya sekarang. Saya sepatunya rehat dan tidur. Tetapi, saya datang, walaupun dengan kerusi roda. Mengapa?

Jawabnya kerana, kepada saya, orang Melayu sedang menghadapi satu keadaan yang lebih serius daripada keadaan dalam tahun 1946. Sekurang-kurangnya dalam tahun 1946, orang Melayu bersatu. Hari ini orang Melayu berpecah dan diperalatkan hingga suara yang majoriti telah menjadi minoriti dan suara minoriti menjadi kuasa penentu. Malangnya orang Melayu tidak sedar atau tidak peduli akibatnya. Di antara yang berkuasa ada yang seolah-olah hendak mengaut keuntungan selagi masa masih ada; yang baru merasa nikmat berkuasa sudah menunjukkan tamaknya; yang baru jadi Yang Berhormat seolah-olah sudah lupa daratan. Orang ramai membangkang kerana marah tanpa berfikir akibatnya.

Semasa orang Melayu sedang bercakaran sesama sendiri, orang bukan Melayu, terutama sekali orang Cina, membuat perkiraan. Mereka telah menguasai ekonomi, pelajaran dan bidang-bidang lain. Sekarang mereka nampak peluang untuk merampas kuasa politik. Maka, mereka bersatu di belakang DAP yang telah dapat mempergunakan PKR dan PAS untuk mencapai cita-cita mereka. PKR tidak kisah asalkan pemimpin agungnya dapat menjadi Perdana Menteri. Pemimpin-pemimpin PAS, terutama sekali yang baru merasa nikmat mempunyai kuasa dan kedudukan sudah lupa daratan. Mereka lupa perjuangan asal parti mereka dan ghairah dengan impian Putrajaya tanpa menyedari siapa yang sebenarya akan untung.

UMNO pula sudah hilang kepimpinan dan genggaman. Hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak semakin dicabar. Agama Islam semakin dipersenda. Gerakan untuk memurtadkan orang Islam semakin berani. Walaupun dilarang oleh Perlembagaan dan walaupun ada undang-undang yang menjadikannya kesalahan, tindakan tidak atau tidak berani diambil terhadap mereka menyebabkan mereka menjadi lebih berani.

Keadaan diburukkan apabila Kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Saya boleh faham mengapa Deklarasi Darurat dan undang-undang yang dibuat di bawahnya dimansuhkan. Untuk mengatakan selepas tahun 2,000 kita masih berada di bawah keadaan darurat adalah tidak munasabah. Demikian juga melaksanakan undang-undang yang dibuat khas untuk menangani keadaan semasa darurat juga sukar untuk dibela walau pun dari segi undang-undang ia adalah sah.

Tetapi saya dapati sukar untuk  memahami mengapa ISA juga turut dimansuhkan. Perlu diambil perhatian bahawa ISA dibuat di bawah Perkara 149 untuk menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan sebagainya.

Memanglah undang-undang yang membolehkan penangkapan dan tahanan sebelum perbicaraan bukanlah undang-undang yang baik. Tetapi, sudahkah kita lupa 13 Mei? Adakah keadaan yang menggugat ketenteraman negara, tidak kira oleh siapa, komunis, militant Islam, kumpulan pelampau dan lain-lain sudah tidak ada lagi? Mana lebih baik ISA atau Guantanamo? (Untuk perbincangan mengenai ISA dan Guantanamo, sila baca ucapan dan kertas kerja saya bertajuk Conflict of Interests Between Different Basic Rights” dan “Legal and Judicial Transformation in Malaysia” yang boleh didapati dalam laman web saya: http://www.tunabdulhamid.my)

Saya faham bahawa Kerajaan mahu melihat Malaysia berada di kedudukan yang baik di mata dunia. Tetapi, Singapura yang mengekalkan ISA, berada di kedudukan yang lebih baik, hampir dalam semua hal. Ertinya, ISA bukanlah sebab utama yang menentukan kedudukan itu.

Adalah mendukacitakan bahawa pemansuhan ISA dibuat tanpa memberi peluang kepada orang ramai, terutama sekali orang Melayu dan NGO Malayu, malah UMNO juga, untuk menyuarakan bantahan mereka. Pembangkang, Majlis Peguam dan NGO-NGO bukan Melayu memang dari awal lagi menentang ISA. Ertinya, hanya merekalah yang didengar.

Kemudian timbul pula cadangan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948. Majlis Peguam dan pembangkang telah diberi atau mendapat peluang untuk merealisasikan cita-cita mereka. Maka mereka mengambil kesempatan itu sepenuh-penuhnya sedangkan anggota kerajaan leka kerana ada orang yang “sudi menolong melakukan kerja” untukya, tanpa menyedari bahawa kumpulan itu ada agenda sendiri. Atau adakah anggota-anggota kerajaan itu bersekongkong dengan mereka? (Semua itu saya telah dedahkan dalam ucapan-uapan saya semenjak 14 Mac 2014 dan boleh didapati dalam laman web saya.)

Nasib baiklah, kali ini, NGO-NGO dan individu-individu Melayu sempat sedar. NGO Melayu yang memainkan peranan yang paling besar menentang pemasuhan Akta Hasutan adalah PERKASA. Saya ucapkan tahniah kepada Presidennya, Timbalan Presidenya, Setia Usaha Agungnya dan semua ahli-ahli Perkasa yang tetah berkerja keras hingga terhasilnya Memorandum Perpaduan, Konvensyen Perpaduan Nasional dan kenyataan YAB Perdana Menteri bahawa Akta Hasutan akan dikekalkan dengan penambaikan.

Tetapi, saya mesti peringatkan bahawa perjuangan kita masih belum selesai. Jangan terlalu cepat gembira, bersorak dan berkenduri. Kita perlu memastikan bahawa apa yang dikatakan oleh YAB Perdana Menteri itu akan dilakukan seperti yang ia sepatutnya dilakukan. Maka kita mesti memberi perhatian kepada peruntukan-peruntukan yang akan dimasukkan dan seterusnya bagaimana Akta itu dilaksanakan.

Selain dari itu, banyak lagi perkara yang perlu kita lakukan demi kepentingan orang Melayu/Islam di Malaysia. Kita perlu mengubah sikap orang Melayu; meyedarkan orang Melayu mengenai bahaya yang di hadapinya sekarang dan betapa perlunya mereka bersatu semula; menguatkan semula UMNO atau, sekurang-kurangnya, mewujudkan kerjasama di antara UMNO dan PAS di peringkat Persekutuan dan memperbetulkan pemimpin-pemimpin UMNO yang menyimpang dan menjadi liabilti kepada UMNO.

Ada sikap orang Melayu yang perlu diubah atau dibaiki. Saya akan menyebut enam perkara sahaja. Pertama, sikap mengenai kerja. Kita perlu megubah budaya kerja kita. Kita perlu tekankan “buat kerja” bukan “buat kenduri”.

Kedua, buangkan sifat mahu senang dengan jalan yang mudah.

Ketiga, buangkan sifat hasad dengki sesama Melayu tetapi terlalu sensitive terhadap perasaan orang bukan Melayu  sehingga orang bukan Melayu tidak perlu sensitive terhadap perasaan orang Melayu.

Keempat, jauhi daripada sifat ria’. Ria’ bukan hanya boleh berlaku kerana pangkat dan kekayaan. Ia juga boleh berlaku kerana ilmu pengetahuan, malah kerana janggut dan serban.

Kelima, jangan cuma mengharapkan segala-galanya diberi tanpa perlu berusaha dan berkerja.

Keenam, jangan naïve (betul bendul) terutama sekali dalam hubungan dengan orang yang tidak jujur, yang hendak mengambil kesempatan dan memperlatkan kita.

Mengenai bahaya yang di hadapi orang Melayu sekarang dan betapa perlunya mereka bersatu semula, menguatkan semula UMNO atau, sekurang-kurangnya, mewujudkan kerjasama di antara UMNO dan PAS di peringkat Persekutuan, saya telah menghuraikan perkara ini dalam ucapan saya di Konvensen Perpaduan Nasional. Saya tidak akan mengulaginya. Sesiapa yang belum medengar atau membacanya, bolehlah membacanya di laman web saya www.tunabdulhamid.my Malah, video ucapan penuhnya pun boleh ditonton melalui internet. Google “Tun Abdul Hamid”. Klik “Video”. Pilih dan klik.

Semasa kita semua gembira menyambut kenyataan Perdana Menteri bahawa Akta Hasutan akan dikekalkan dan ditambahbaikkan, Timbalan Yang Dipertua PAS menyatakan bahawa PAS akan menentangnya berhabis-habisan. Dulu beliau mahu pemimpin-pemimpin pengganas kominis diiktiraf sebagai wira yang memperjuangkan kemerdekaan Semenanjung Tanah Melayu. Baru-baru ini ada pula ADUN PAS yang mengulangi seruan itu. Pemimpin-pemimpin PAS juga menyokong penggunaan kalimah Allah dalam Bible Bahasa Melayu dan upacara agama itu dalam Bahasa Melayu, yang jelas tujuannya untuk memurtadkan orang Melayu. Mursyidul Amnya juga menyokong agenda Gereja Katholik itu sehingga beliau menyedari bahawa pendiriannya tidak popular di kalangan penyokong-penyokong PAS. Selepas itu barulah beliau membuat “U-Turn”. Adakah pemimpin-pemimpin PAS sanggup melakukan semua itu semata-mata untuk mendapat undi orang bukan Islam atau kerana takutkan sekutu-sekutunya? Begitu murah sekalikah perjuangan mereka yang dicanangkan sebagai “jihad” dan menjanjikan syurga kepada pengikut-pengikutny?

Dari situ sahaja pun kita sudah boleh lihat betapa jauhnya perjuanan PAS telah menyimpang. Semua ini merugikan orang Melayu dan Islam. Pengikut-pengikut PAS yang naïve (betul bendul) yang masuk PAS degan harapan untuk masuk syurga telah dikelirukan (misled). Mereka mesti diberitahu dan disedarkan kerana ia merugikan orang Melayu dan Islam dan demi untuk menjaga kepentingan orang Melayu dan Islam. PERKASA boleh memain peranan dalam hal ini.

Sekarang terdapat pula tentangan terhadap pengekalan Akta Hasutan dari luar negara. Bukan sahaja persatuan-persatuan peguam dari seluruh dunia, malah Kerajaan Amerika Syarikat juga membantah pengekalan Akta Hasutan. Siapa yang menjadi Kitol yang melutut kepada mereka untuk campur tangan hal dalaman Malaysia? Kepentingan siapa yang mereka perjuangkan? Kepada Persatuan-Persatuan Peguam dari negara-negara luar itu saya bertanya: Mengapa tidak membantah Singapura yang juga ada Akta Hasutnnya?

Kepada Amerika Syarikat, saya berkata: sebelum mengajar orang lain mengenai hak asasi manusia, suluh sejarahnya dulu: Apa yang mereka lakukan kepada Red Indians? Siapa yang melakukan perdagangan hamba abdi yang terbesar dalam sejarah manusia? Siapa yang menggugurkan bomb atom di Hiroshima dan Nagasaki? Siapa yang melancarkan peperangan yang menghancurkan Vietnam, Afghansitan dan Iraq? Siapa penyokong paling kuat kekejaman Israel di Palestin dan Gaza? Siapa yang selalunya menjadi dalang pemberuntakan dan perang saudara untuk menjatuhkan kerajaan-kerajaan yang tidak disenanginya, di seluruh dunia?

PERKASA juga boleh memain peranan untuk menegur pemimpin-pemimpin UMNO supaya tidak menyebabkan orang Melayu benci kepada UMNO. Dalam ucapan saya di Konvensyen Perpaduan Nasional pada 23 November lepas, saya berkata dan saya ulangi:

“Sambil itu, pemimpin-pemimpin UMNO juga patut sedar diri. Sebenarnya UMNO sebagai sebuah parti Melayu dan Islam berada di atas landasan yang betul. UMNO sepatutnya terus menjadi parti dominan Melayu dan Islam. Masalahnya adalah pemimpin-pemimpinnya. Faktor nombor satu yang menyebabkan orang bencikan UMNO ialah persepsi rasuah yang tinggi. UMNO mestilah perbetulkan persepsi ini, bukan hanya dengan cakap dan kempen tetapi dengan mengelakkan perbuatan rasuah.

 

Golongan professional merungut mengenai kesukaran untuk memasuki dan memenangi apa-apa jawatan dalam hierarchy UMNO. Itu adalah antara faktor-faktor mengapa golongan professional tidak menyertai UMNO. Mereka lebih mudah mendapat tempat dalam PAS. Jika hal ini berterusan UMNO akan ketandusan pemimpin. Hal ini telah pun dirasai hari ini dan mestilah diperbetulkan jika UNMO tidak mahu terkubur.”

PERKASA juga boleh memain peranan memperbaiki keadaan ini, demi agama, bangsa dan negara. Kita cuba perbetulkan UMNO, tetapi jangan sekali-kali, kerana marahkan nakhoda, kita bakar kapal. Itu kerja orang bebal yang mengamuk dan tidak berfikir. Dalam kata-kata lain, itu kerja bodoh. Malangnya kerapkali orang Melayu bertindak demikian.

Selain dari itu, PERKASA hendaklah jangan menjadi sebab bertambahnya perpecahan orang Melayu. Dalam keadaan sekarang, PERKASA hendaklah terus menyokong UMNO; PERKASA hendaklah cuba memperbetulkan UMNO; PERKASA hendaklah cuba menarik penyokong atas pagar dan penyokong naive PAS, malah PKR juga, termasuk orang muda, supaya menyertai UMNO; dan/atau PERKASA hendaklah berusaha untuk menggabungkan atau menyatukan atau mewujudkan kerjasama di antara UMNO dan PAS, sekurang-kurangnya di peringkat Persekutuan, bersama-sama parti-parti anak negeri Sabah dan Sarawak dan parti-parti dalam Barisan Nasional lain yang sehaluan. Itu sahajalah jalan untuk mencapai sebuah negara Malaysia yang aman, tenteram, bersatupadu dan makmur.

Tetapi, PERKASA hanya boleh memain peranan itu jika pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya sendiri bersih dan berintegriti. Janganlah masuk PERKASA kerana tidak dapat projek untuk mendapat projek. Orang seperti itu patut disingkir daripada PERKASA. Lebih baik PERKASA mempunyai bilangan ahli yang kecil tepai bersih, disegani dan berintegriti daripada mempunyai ahli yang ramai tetapi berulat. Saya pun tidak mahu datang ke majlis PERKASA jika ia berulat.

Tuan-tuan dan puan-puan mempunyai jadual yang padat. Berbahaslah dengan hujah yang mantap berdasarkan fakta yang betul dan cukup. Masalah agama, bangsa dan negara adalah masalah yang serius. Fikirlah dengan mendalam dan bincanglah dengan serius. Janganlah jadikan Persidangan Agung Tahuan ini sebuah pentas Pertandingan Kejohanan Penglipor Lara. Isi kandungan (substance) ucapan adalah lebih penting. Janganlah jadi seperti Mat Rempit yang menunggang motosikal berkuasa kecil, bunyi kuat, “corner baring” tetapi berada di situ juga. Jadilah seperti pemandu motosikal kuasa besar. Kita memandu 110 km sejam di lebuh raya, dia datang dari belakang dan dengan senyap memotong kita. Belum sempat kita melihatnya, dia sudah jauh meninggalkan kita. Itulah perbezaan di antara motosikal berkuasa besar dengan motosikal berkuasa kecil.

Maka dengan lafaz Bismillahir rahmanir Rahim saya mengisytiharkan Persidangan Agung Tahunan Perkasa Kali Ke 5 dibuka dengan rasminya dan Selamat Bersidang.

Wabillahit taufiq walhidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

[email protected]

www.tunabdulhamid.my

                                                                                      

Read 130 times