MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU DALAM BIDANG PERUNDANGAN: PROSPEK DAN MASA HADAPAN
WACANA AMALAN BAIK MEMBUDAYAKAN BAHASA MELAYU TINGGI DI INSTITUT PENGAJIAN TINGGI
30 Oktober 2012
MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU DALAM BIDANG PERUNDANGAN: PROSPEK DAN MASA HADAPAN
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad
(Mantan Ketua Hakim Negara)
Saya telah menghabiskan empat puluh tahun dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan dan Kehakiman, melalui zaman bermulanya penggunaan Bahasa Melayu dalam bidang tersebut selepas Merdeka, hinggalah saya bersara dalam tahun 2008. Dalam tahun sembilan puluhan, saya adalah antara Hakim yang paling banyak, jika tidak yang paling banyak pun, yang menulis alasan penghakiman Mahkamah Tinggi dalam Bahasa Melayu, dalam semua bidang undang-undang, di samping menulis alasan-alasan penghakiman saya dalam Bahasa Inggeris. Dalam tempoh empat puluh tahun itu saya melihat penggunaan Bahasa Melayu dalam penggubalan undang-undang, nasihat undang-undang dan dalam prosiding mahkamah.
Maka biarlah saya ceritakan dahulu apa yang sebenarnya telah berlaku dalam tempoh 40 tahun itu kerana, dalam majlis ini, saya fikir, saya yang lebih tahu mengenainya.
Di Jabatan Peguam Negara
Undang-undang digubal dalam dua bahasa, ia itu Bahasa Melayu (dipanggil Bahasa Malaysia) dan Bahasa Inggeris dangan naskah Bahasa Melayu sebagai naskah sahih. Di segi amlannya, draf rang undang-undang dirangka dalam Bahasa Inggeris. Apabila selesai, baru ia diterjemahkan ke Bahasa Melayu. Ini tidak dapat dielakkan kerana bahan rujukan adalah dalam Bahasa Inggeris. Baik semasa memberi nasihat, penghujahan kes mahupun penulisan alasan penghakiman, biasanya rujukan dibuat kepada naskah Inggeris. Ini didorong oleh “practicality”.
Nasihat undang-undang yang diberi kepada Jabatan-Jabatan Kerajaan di tulis dalam Bahasa Melayu.
Di Mahkamah
Di mahkamah rendah, hampir kesemua perbicaraan dan dokmentasinya dibuat dalam Bahasa Melayu. Di mahkamah atasan, terutama sekali di di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, boleh dikatakan 95% prosiding dijalankan dalam Bahasa Inggeris.
Keterangan diberi dalam apa juga bahasa yang hendak digunakan oleh saksi. Ianya diterjemahkan ke bahasa Melayu atau Inggeris. Keterangan Bahasa Inggeris dicatat tanpa diterjemah ke bahasa Melayu. Semua Hakim dan peguam dianggapkan (sepatutnya) dapat menguasai kedua-dua bahasa itu dengan baik. Sekarang semua keterangan di rakam dengan rakaman video.
Pliding dibuat dalam Bahasa Melayu dengan terjemahan dalam Bahasa Inggeris dikembarkan. Pada amalannya, naskah dalam Bahasa Melayu itu adalah terjemahan daripada naskah Bahasa Inggeris dan naskah bahasa Inggeris itulah yang dirujuk dalm penghujahan dan alasan penghakiman.
Hujah bertulis dibuat dalam Bahasa Inggeris, terutama sekali di Mahkamah atasan (Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan). Pada suatu masa dahulu ia disertai oleh terjemahan ke Bahasa Malaysia. Ianya hanya membazir, kerana menterjemahnya mengambil masa, fail kes berganda, ia tidak penah dirujukkan dan hanya membazirkan wang, masa dan tenaga. Sekarang ia tidak dilakukan lagi. Ada peguam yang masih menterjemahkan ringkasan penghujahan. Tetapi mahkamah tidak “strict” dalam hal ini, kerana faktor femahaman, kecepatan (speed), “practicality”, penghakiman yang segera, betul dan adil adalah lebih penting daripada sama ada ia dihujahkan dan ditulis dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.
Penghujahan lisan di mahkamah rendah (Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen) lebih banyak menngunakan bahasa Melayu, tertakluk kepada tempat dan penguasaan Bahasa Melayu dan Inggeris oleh peguam dan Hakim berkenaan. Di mahkamah atasan, hampir semua hujah lisan dijalankan dalam bahasa Inggeris. Dokumen-dokumen dan penghakiman yang dirujuk dari dalam dan luar negara adalah dalam Bahasa Inggeris. Adalah tidak praktikal memetik satu perenggan dalam bahasa Inggeris dan menghujahnya dalam Bahasa Melayu. Adalah lebih cepat, tepat dan lebih mudah difahami jika ia terus dilakukan dalam bahasa teks itu di petik.
Mengenai penulisan alasan penghakiman, di mahkamah-mahkamah rendah, kebanyakan alasan penghakiman ditulis dalam Bahasa Melayu hinngalah sekarang. Dalam tahun sembilan puluhan, setiap Hakim Mahkamah Tinggi dikehendaki meulis sekurang-kurangnya satu alasan penghakiman dalam Bahasa Melayu sebulan. Hakim-hakim Melayu dan beberapa orang Hakim bukan Melayu, peringkat lebih muda, tiada masalah melakukannya. Hakim-hakim bukan Melayu yang dilantik daripada kalangan peguam tidak mematuhinya. Pada masa itu, ada beberapa orang di antara kami yang menyahut seruan penggunaan Bahasa Melayu, menulis alasan penghakiman yang agak banyak dalam Bahasa Melayu. Tetapi, saya dapati, jernal undang-undang kurang berminat untuk melaporkan penghakiman dalam Bahasa Melayu. Jika di laporkan pun, tidak banyak orang yang membacanya. Pada hari ini, kebanyakan Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi yang menulis dalam Bahasa Melayu adalah mereka-mereka yang kurang selesa menulis dalam Bahasa Inggeris.
Semasa saya di Mahkamah Rayuan pun, saya ada menulis beberapa penghakiman yang penting yang melibatkan percanggahan bidang kuasa mahkamah sivil dan mahkamah syari’ah, supaya ia juga dapat dibaca oleh Hakim-Hakim dan pegawai-pegawai mahkamah syari’ah. Sya tidak tahu sama ada mereka membacanya atau tidak. Tetapi, jika saya hendak menulisnya semula hari ini, saya akan tulis dalam Bahasa Inggeris, kerana ia lebih luas dibaca.
Di Pejabat Peguam
Penggunaan Bahasa Melayu di pejabat-pejabat peguam tertakluk kepada jenis kereja itu sendiri. Kontrak-knotrak besar apatah lagi “cross border contracts” dan yang melibatkan syarikat-syarikat multi-nasional ditulis dalam Bahasa Inggeris. Adalah tidak praktikal dan tidak munasabah untuk menghendaki ia ditulis dalam Bahasa Melayu. Firma-firma kechil di luar bandar ada membuat perjanjian-perjanjian kecil seperti perjanjian sewa rumah yang melibatkan orang Melayu dalam Bahasa Melayu.
Borang-borang kerajaan dan pliding mahkamah yang yang dikehendaki dibuat dalam Bahasa Melayu diisi dalam Bahasa Melayu.
Penguasaan bahasa Melayu dan Inggeris oleh Pegawai Undang-undang dan peguam.
Dalam membincangkan tajuk ini, kita terpaksa membahagikan mereka kepada Melayu dan bukan Melayu. Saya tumpukan kepada merek yang berumur 40 tahun kebawah. Biasanya pegawai dan peguam Melayu yang baik penguasaannya Bahsa Iggerisnya, juga baik penguasaan bahasa Melayunya. Tetapi banyak pula yang penguasaan Bahasa Melayunya baik, penguasaan Bahasa Inggerisnya lemah. Mereka ini kerapkali datang dari kawasan luar bandar, belajar di IPT dalam negeri, termasuk yang mengajar dalam Bahasa Inggeris, apatah lagi jika sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Ini mungkin, antara lain, kerana sikap dan pergaulan mereka.
Pada masa ini terdapat satu kumpulan Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen dan juga pegawai-pegawai yang berada dalam dialema. Mereka ini hasil dasar Bahasa Kebangaan kita di IPTA. Malangnya mereka ketinggalan dalam Bahasa Inggeris. Mereka sekaranag menjadi dialema bukan sahaja kepada diri mereka sendiri, tetapi juga kepada Jabatan Peguam Negara, Mahkamah dan juga Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. Tetapi, apa yang saya kurang faham ialah, kenapa setelah terdedah setiap hari selama 25 tahun, mereka masih juga tidak dapat memperbaiki prestasi mereka. Adakah IPT-IPT memuluslan mereka dengan begitu mudah? Semasa saya dalam tahun pertama di Universiti Singapura dalam tahun 1965, terdapat seramai 180 pelajar tahun pertama. Daripada jumlah itu, hanya 56 orang (satu pertiga – itulah quotanya setiap tahun) yang lulus tahun pertama dan mara ke tahun kedua. Selain daripada beberapa orang yang dibenarkan mengulangi semula tahun pertama, yang lainnya terpaksa berhenti pengajian mereka. Mungkin itu zalim!
Bagi pegawai undang-undang dan peguam bukan Melayu pula, peratusan mereka yang dapat menguasai Bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dangan baik adalah lebih tinggi daripada pegawai dan peguam Melayu. Tetapi, peguam-peguam ada jalan keluar. Jika mereka tidak dapat menguasi Bahasa Melayu dengan baik atau tidak mahu memperpaiki pencapaian mereka, meraka boleh memilih untuk tidak menjadi “litigation lawyers”. Mereka buat kerja-kerja “solicitors”.
Peluang mendapat pekerjaaan
Graduan undang-undang yang lemah penguasaan bahasa Inggerisnya lebih sukar mendapat pekerjaan, di firma-firma guaman yang besar-besar, tidak ada harapan langsung.
Perkembangan baru
Terdapat perkembangan baru yang akan juga memberi kesan kepada penggunan Bahasa Melayu dalam bidang perundangan dan kehakiman.
1. Usaha Malaysia untuk menjadikan Malaysia hab perkankan dan kewangan Islam, undang-undang Malaysia sebagai undang-undang pilihan dan mahkamah Malaysia sebagai mahkamah pilihan. Mengenai tajuk ini sila baca Kuliah Emeritus Professor Ahmad Ibrahim ke 12 yang saya beri pada 7 Disember 2011. Ia boleh di dapati dalam website saya: www.tunabdulhamid.my
2. Penerimaan peguam-peguam luar-pantai berkhidmat di Malaysia dalam bidang perbankan dan kewangan Islam.
3. Globalisasi yang melibatkan, antara lain, undang-undang perdagangan dan “intellectual property law”.
4. Pertumbuhan IPT swasa yang banyak yang menawarkan kursus undang-undang dalam Bahasa Inggeris.
Tuan-tuan mungkin hairan apa kena mengena perbankan dan kewangan Islam dengan Bahasa Inggeris. Sebenarnya, Bahasa Inggeris adalah bahasa perbankan dan kewangan Islam sedunia. Persidangan-persidangan antarabangsa mengenainya menggunakan Bahasa Inggeris. “Multi-national contracts” dibuat oleh peguam common law, bukan peguam Syar’ie. Untuk menjadi Penasihat Syari’ah perbankan dan kewangan Islam pun, telah wujud satu kumpulam pakar perbankan dan kewangan Islam yang berumur di bawah 50 tahun, fasih berbahasa Inggeris dan Arab dan mengetahui juga perbankan dan kewangaan konvensional. Malah, Majlis Penasihat Syari’ah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dalam mesyuarat-mesyuaratnya. Saya pernah berjenaka, jika Imam Syafi’e hidup semula hari ini, beliau terpaksa belajar semula ilmu mu’amalat dan sebahagian daripadanya dalam Bahasa Inggeris!
Itu adalah realiti yang kita mesti terima yang kita mesti sesuaikan diri supaya tidak menjadi “an ummah of lost opportunity,” memetik kata-kata Sheikh Nizam Ya’kubi, seorang penasihat Syari’ah perbankan dan kewangan Islam yang terkenal.
Penutup
Saya ingin menegaskan bahawa apa yang tercapai setakat ini, adalah hasil usaha Pegawai-pegawai Kehakiman dan Perundangan, peguam-peguam dan Hakim-Hakim sendiri. Merekalah peneroka penggunaan Bahasa Melayu di zaman ini dalam bidang perundangan dan kehakiman. Sumbangan mereka patut dihargai.
Dalam reality hari ini, kita tidak patut terlalu taksub dengan penggunaan Bahasa Melayu sehingga tidak memperduli apa akibatnya. IPTA akan melakukan satu peganiayaan kepada graduan-graduannya jika IPTA hanya menekankan pembelajaran undang-undang dalam Bahasa Melayu sahaja. Kita sepatutnya berusaha untuk mengeluarkan graduan undang-undang yang pengusaan Bahasa Melayu dan Bahass Inggerisnya sama baik. Di samping itu, pada pandangan saya, pada masa ini, kita juga mengeluarkan terlalu banyak graduan undang-undang dengan cara yang terlau mudah. Banyak di antara mereka yang tidak dapat bersaing di pasaran.
Sekian. Terima kasih.
[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my