KAMARIAH ALI lwn. KERAJAAN NEGERI KELANTAN

KAMARIAH ALI lwn. KERAJAAN NEGERI KELANTAN, MALAYSIA & SATU LAGI DAN RAYUAN YANG LAIN
MAHKAMAH RAYUAN, KUALA LUMPUR
ABDUL HAMID MOHAMAD, HMR; ABDUL KADIR SULAIMAN, HMR; ALAUDDIN MOHD SHERIFF, HMR
RAYUAN SIVIL NO: D-01-12-2001
2 OGOS 2002
[2002] 3 CLJ 761
UNDANG-UNDANG PERLEMBAGAAN: Bidangkuasa – Mahkamah Tinggi – Habeas corpus – Permohonan untuk dibebaskan daripada menjalani hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah – Sama ada Mahkamah Tinggi mempunyai bidangkuasa ke atas permohonan tersebut memandangkan pengakuan pemohon-pemohon bahawa mereka telah keluar daripada agama Islam – Sama ada persoalan murtad telah ditimbangkan oleh Mahkamah Syariah sebelum hukuman dijatuhkan – Sama ada Mahkamah Tinggi tidak berkuasa campurtangan dalam keputusan Mahkamah Syariah tersebut

UNDANG-UNDANG PERLEMBAGAAN: Kebebasan asasi – Kebebasan beragama – Persoalan murtad – Sama ada pengesahan daripada Mahkamah Syariah diperlukan terlebih dahulu mengikut s. 102 Enakmen 4/1994 – Sama ada s. 102 menyekat kebebasan beragama dan bercanggah dengan per. 11 Perlembagaan Persekutuan – Sama ada s. 102 terpakai kepada muallaf sahaja – Sama ada persoalan murtad perlu diputuskan oleh Mahkamah Syariah mengikut Hukum Syarak

UNDANG-UNDANG ISLAM: Mahkamah Syariah – Bidangkuasa – Persoalan murtad – Sama ada merupakan bidangkuasa eksklusif Mahkamah Syariah – Sama ada Mahkamah Sivil tidak berkuasa campurtangan dalam persoalan tersebut – Enakmen 4/1994, s. 102(1), (2)

Terdapat lapan rayuan yang berkaitan, iaitu empat terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu di Kelantan menolak permohonan habeas corpus supaya membebaskan perayu-perayu daripada menjalani hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas mereka oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu di Kelantan; dan empat lagi terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut menolak permohonan untuk perintah perisytiharan mengenai kebebasan perayu-perayu keluar daripada agama Islam (lihat [2002] 3 CLJ 761). Ini adalah empat rayuan berkenaan permohonan habeas corpus tersebut.

Bagi pihak perayu-perayu dihujahkan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah tidak menghiraukan atau menimbangkan pengakuan mereka bahawa mereka telah keluar dari agama Islam dan salah memutuskan bahawa mereka masih beragama Islam. Memandangkan pengakuan tersebut, Mahkamah Tinggi Syariah tidak ada bidangkuasa terhadap mereka. Juga, s. 102 Enakmen 4/1994 yang memperuntukkan bahawa persoalan murtad diputuskan oleh Mahkamah Syariah bercanggah dengan peruntukan per. 11 Perlembagaan Persekutuan(‘PP’) dan terpakai kepada muallaf sahaja. Oleh sebab perayu-perayu bukan muallaf, seksyen itu tidak terpakai kepada mereka.

Diputuskan:

Oleh Abdul Hamid Mohamad HMR

[1] Kedudukan Islam dalam PP adalah berlainan daripada kedudukan agama-agama lain kerana hanya Islam sebagai satu agama yang disebut dengan namanya dalam PP sebagai “agama bagi Persekutuan” (per. 3(1) PP), dan PP itu sendiri memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri untuk mengkanunkan Hukum Syarak dalam perkara-perkara yang disebut dalam Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, PP (‘Senarai II’). Selaras dengan kehendak Senarai II itu, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (‘Akta 355/1965’) dan berbagai enakmen (untuk negeri-negeri) dikanunkan. Maka, jika undang-undang itu, termasuk s. 102 Enakmen 4/1994, tidak bercanggah dengan peruntukan Senarai II dan tidak bercanggah pula dengan peruntukan-peruntukan Akta 355/1965, maka ia adalah undang-undang yang sah.

[2] Seksyen 102 Enakmen 4/1994 adalah mengenai orang Islam. Ia bukan menghalang seseorang Islam untuk keluar daripada agama Islam. Ia cuma menghendaki seseorang Islam yang hendak membuat pengakuan bahawa dia bukan Islam, mendapat pengakuan Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Ia cuma menetapkan bahawa sehingga disahkan oleh Mahkamah Syariah, dia dianggap sebagai seorang yang beragama Islam. Peruntukan-peruntukan itu bertujuan mengelak kekeliruan sama ada seseorang itu, di sisi undang-undang, Islam atau tidak.

[3] Seksyen 102 terletak dalam Bahagian VI Enakmen 4/1994 yang bertajuk “Memeluk Agama Islam”. Juga adalah jelas bahawa peruntukan ss. 98, 99, 100 dan 101 adalah mengenai muallaf. Seksyen 102 sub-s. (1) merujuk kepada orang yang “diperakukan” oleh Qadhi telah memeluk agama Islam. Ertinya ia merujuk kepada muallaf. Subseksyen (2) adalah sambungan kepada sub-s. (1) dan semestinya mengenai muallaf juga. Tetapi, hakikat bahawa sub-s. (2) s. 102 tidak terpakai kepada perayu-perayu tidak bererti bahawa Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan sama ada seseorang itu beragama Islam atau tidak.

[4] Persoalan sama ada seseorang itu murtad atau tidak adalah persoalan Hukum Syarak, bukan undang-undang sivil. Hukum Syarak yang terletak dalam Senarai II memperuntukkan penubuhan Mahkamah Syariah yang mempunyai bidangkuasa, antara lain, “menentukan perkara-perkara Hukum Syarak dan iktikad…”. Dalam penjelasan, terdapat peruntukan, “Apa-apa perkara yang dikira murtad hendaklah diputuskan oleh mahkamah” (Mahkamah Syariah). Mahkamah Agung juga telah mengambil pendirian bahawa persoalan itu terletak dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah dalam kes Soon Seng Bikar Singh v. Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kedah & Anor. Walaupun kes itu melibatkan seorang yang muallaf, hukum mengenai murtad, adalah sama bagi semua orang Islam, muallaf atau bukan.

[5] Sama ada perayu-perayu beragama Islam atau tidak itu adalah persoalan fakta yang timbul dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah itu. Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah dimaklumkan bahawa perayu-perayu telah membuat pengakuan bahawa mereka telah keluar daripada agama Islam. Tetapi beliau terus mensabit dan menghukum mereka. Beliau semestinya telah mengambil kira maklumat itu dan berpendapat bahawa mereka masih beragama Islam. Perayu-perayu sepatutnya merayu kepada Mahkamah Rayuan Syariah. Mahkamah ini tidak boleh mensabitkan mereka jika sabitan dan hukuman mereka tidak diketepikan atau dibatalkan dan masih berkuatkuasa.

[6] Mahkamah Tinggi Syariah adalah “a court of competent jurisdiction” dan ditubuhkan oleh Badan Perundangan Negeri Kelantan mengikut per. 74(2) PPmengenai perkara yang diizinkan oleh Senarai II dan Akta 355/1965.

[7] Mahkamah ini tidak mempunyai alasan-alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Syariah kerana tiada rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah dan tiada rayuan boleh dibuat ke mahkamah ini. Jika ada pun, bukanlah dalam bidangkuasa mahkamah ini untuk mengkaji semula keputusan-keputusan Mahkamah Syariah yang terletak dalam sistem yang berlainan itu. Maka, mahkamah ini tidak berkuasa campurtangan dalam keputusan Mahkamah Syariah tersebut. Dictum Mahkamah Persekutuan dalam kes Sukma Darmawan Sasmitaat Madja v. Ketua Pengarah Penjara Malaysia & Anor amat jelas bahawa Mahkamah Sivil tidak sepatutnya campurtangan dalam keputusan Mahkamah Syariah.

Case(s) referred to:

Dalip Kaur v. Pegawai Polis Daerah Balai Polis Daerah, Bukit Mertajam & Anor [1991] 3 CLJ 2768; [1991] 1 CLJ (Rep) 77 (dirujuk)
Gurdit Singh [1933] MLJ 224 (dirujuk)
Isa Abdul Rahman v. Majlis Agama Islam Pulau Pinang [1996] 1 CLJ 283 (dirujuk)
Mohamed Habibullah Mahmood v. Faridah Dato’ Talib [1993] 1 CLJ 264 (dirujuk)
Nor Kursiah Baharuddin v. Shahril Lamin [1997] 1 CLJ Supp 599 (diikuti)
Re Gurbachan Singh’s Application [1966] 1 LNS 158; [1967] 1 MLJ 74 (dirujuk)
Soon Singh Bikar Singh v. Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kedah & Anor [1999] 2 CLJ 5 (diikuti)
Sukma Darmawan Sasmitaat Madja v. Ketua Pengarah Penjara Malaysia & Anor [1999] 1 CLJ 481 (diikuti)
Legislation referred to:

Council of Religion of Islam and Malay Custom Kelantan (En 4/1994), s. 102(1), (2)
Federal Constitution, art. 121(1A)
Penal Code, s. 377D
Syariah Criminal Procedure Code Kelantan (En 9/1983), s. 132(1)
Undang-undang Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Kelantan 1966, s. 69
Counsel:

Bagi pihak perayu-perayu – Haris Mohd Ibrahim (Mohana Kumar, Jahaberdeen Md Yunos); T/n Haris & Co
Bagi pihak responden pertama – Kerajaan Negeri Kelantan
Bagi pihak responden kedua – Pengarah Jabatan Penjara Kelantan

Dilaporkan oleh Usha Thiagarajah

PENGHAKIMAN

Abdul Hamid Mohamad HMR:

Terdapat lapan rayuan yang berkaitan, empat mengenai permohonan habeas corpus dan empat mengenai permohonan perintah perisytiharan, oleh empat orang perayu, setiap seorang mempunyai satu rayuan bagi setiap satu jenis. Fakta-fakta dalam kesemua rayuan-rayuan ini adalah serupa. Isu-isu undang-undang, selain daripada prinsip-prinsip mengenai habeas corpus dan perisytiharan, adalah serupa. Penghakiman ini adalah mengenai empat rayuan yang berbangkit daripada permohonan habeas corpus itu. Satu penghakiman lagi adalah mengenai empat rayuan yang berbangkit daripada permohonan perisytiharan itu. Supaya lebih ringkas, fakta-fakta kes hanya akan diperturunkan dalam penghakiman ini. Isu-isu undang-undang juga akan dibincang dalam penghakiman ini. Oleh itu, untuk rayuan mengenai perisytiharan itu, penghakiman ini hendaklah dibaca bersama penghakiman mengenainya.

Dalam kempat-empat rayuan ini, perayu-perayu telah memohon di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu supaya dikeluarkan perintah habeas corpus untuk membebaskan mereka daripada menjalani hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas mereka oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Kota Bharu, Kelantan yang mereka sedang jalani. Mahkamah Tinggi menolak permohonan-permohonan mereka. Mereka merayu ke Mahkamah ini.
Fakta kes, setakat yang berkenaan, adalah seperti berikut. Keempat-empat mereka dilahirkan Melayu dan dibesarkan serta dididik sebagai orang-orang yang beragama Islam. Dalam tahun 1992 mereka telah disabitkan di bawah s. 69 Undang-Undang Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Kelantan 1966 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Kelantan (“Mahkamah Tinggi Syariah”) atas tuduhan membuat istiadat atau perkara yang berlawanan dengan Hukum Syarak. Mereka dikenakan hukuman penjara selama dua tahun (mengikut affidavit Pendakwa Syarie). Mereka telah merayu ke Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Kelantan (“Mahkamah Rayuan Syariah”). Dalam tahun 1996 Mahkamah Rayuan Syariah itu telah mengesahkan sabitan itu tetapi telah menggantikan hukuman penjara dengan hukuman bahawa mereka mengikat jamin untuk berkelakuan baik di bawah s. 132(1) Enakmen Acara Jenayah Syariah Negeri Kelantan 1983 (“Enakmen 9/1993”) antara tiga hingga lima tahun dan dalam tempoh berkenaan bagi masing-masing, mereka dikehendaki hadir melaporkan diri kepada Qadhi Jajahan di tempat mereka tinggal tiap-tiap bulan untuk melafazkan taubat.

Dalam bulan Ogos 1998 (pada tarikh-tarikh yang berlainan) mereka membuat Surat Akuan mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 bahawa mereka “telah keluar dari Agama Islam dengan rasminya… dengan kerelaan hati” mereka sendiri.

Pada 5 Oktober 2000 mereka dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah atas suatu “notis usul” yang dikemukakan oleh pendakwa syarie kerana keingkaran perayu-perayu mematuhi perintah Mahkamah Rayuan Syariah itu. Perbicaraan dilangsungkan pada 8 Oktober 2000 dan disambung pada 5 November 2000. Pada tarikh tersebut mereka memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah itu bahawa mereka telah pun keluar daripada agama Islam dan mengemukakan Surat Akuan itu. Tetapi, pada 19 November 2000, Mahkamah Tinggi Syariah itu telah mensabitkan mereka atas “notis usul” itu dan menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun, masing-masing. Mereka sedang menjalani hukuman itu. Tetapi, perlu disebut bahawa mereka tidak merayu ke Mahkamah Rayuan Syariah terhadap sabitan dan hukuman itu. Sebaliknya, pada 9 Disember 2000 mereka memfail saman pemula di Mahkamah Tinggi memohon habeas corpus ini. Pada 19 November 2000 itu juga pertuduhan baru dikemukakan terhadap mereka atas tuduhan cuba keluar daripada agama Islam. Pertuduhan itu masih belum dibicarakan.

Asas permohonan mereka adalah bahawa mereka telah keluar daripada agama Islam, oleh itu hukuman yang dijatuhkan terhadap mereka pada 19 November 2000 itu tak sah. Mereka menghujahkan bahawa oleh sebab mereka telah membuat surat akuan bahawa mereka sudah keluar daripada agama Islam maka mereka bukan lagi orang-orang Islam dan oleh itu Mahkamah Tinggi Syariah tidak mempunyai bidangkuasa ke atas mereka.
Tidak syak lagi bahawa rayuan-rayuan ini telah menimbulkan persoalan-persoalan yang melibatkan tafsiran Perlembagaan Persekutuan, undang-undang Persekutuan dan undang-undang Negeri. Ia sekali lagi mengetengahkan masalah percanggahan bidangkuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.

Bahawa Mahkamah Tinggi Syariah tidak mempunyai bidangkuasa terhadap seorang yang bukan beragama Islam tidak dan tidak boleh dipertikaikan dan tidak perlu bagi saya merujuk kepada undang-undang mengenainya. Kedua pihak bersetuju dan saya juga bersetuju bahawa kuasa mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan terletak dalam bidangkuasa Mahkamah Sivil. Juga tidak boleh dipertikaikan bahawa Mahkamah Sivil mempunyai bidangkuasa untuk mentafsirkan undang-undang Negeri, termasuk yang mengenai pentadbiran agama Islam. Ini telah diputuskan dalam beberapa kes termasuk oleh Mahkamah Agung dalam kes Dalip Kaur v. Pegawai Polis Daerah Balai Polis Daerah, Bukit Mertajam & Anor[1991] 3 CLJ 2768; ([1991] 1 CLJ (Rep) 77). Dalam kes itu, Hashim Yeop A. Sani (HB Malaya), antara lain mengatakan di halaman 2773 (83):

The new cl. 1A of art. 121 of the Constitutioneffective from 10 June 1988 has taken away the jurisdiction of the civil courts in respect of matters within the jurisdiction of the syariah courts. But that clause does not take away the jurisdiction of the civil court to interpret any written laws of the states enacted for the administration of Muslim law. (tekanan ditambah).

Setakat itu adalah jelas.

Penghujahan yang serius berbangkit mengenai peruntukan s. 102 Enakmen 4/1994. Tetapi, untuk mentafsirkannya, keseluruhan Bahagian VI itu perlulah diperturunkan:

BAHAGIAN VI

MEMELUK AGAMA ISLAM

98. Majlis hendaklah menyimpan suatu daftar nama semua orang yang memeluk Agama Islam dalam Negeri ini bersama-sama dengan butir-butir kenyataan berkenaan orang-orang itu seperti yang ditetapkan dalam kaedah-kaedah yang dibuat di bawah Enakmen ini.

99. Seseorang itu tidak boleh didaftarkan sebagai orang yang memeluk Agama Islam, melainkan menurut peruntukan-peruntukan di dalam Enakmen ini, atau kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya.

100.(1) Seseorang yang hendak memeluk Agama Islam hendaklah melafaz dua kalimah syahadah di hadapan mana-mana orang Islam dan selepas itu hendaklah hadir menemui Qadhi atau mana-mana orang yang dilantik oleh Majlis.
(2) Qadhi atau mana-mana orang yang dilantik oleh Majlis hendaklah memeriksa perihal orang itu dan setelah berpuas hati hendaklah membuat perakuan kepada Yang Dipertua untuk didaftarkan.

101.(1) Dengan tidak menghiraukan apa-apa hak yang dipunyai oleh mana-mana orang lain atau badan-badan, Majlis bolehlah memberi kepada mana-mana orang yang baru memeluk Agama Islam, bantuan, perlindungan, pelajaran agama, keselamatan, kebajikan dan lain-lain perkara yang berbangkit dalam tempoh tertentu.
(2) Majlis boleh, pada bila-bila masa, menamatkan tempoh bantuan ke atas seseorang yang baru memeluk Agama Islam.

102.(1) Tiada seorangpun yang telah diakui beragama Islam boleh mengaku bahawa dia bukan Islam melainkan setelah Mahkamah memberi pengesahan sedimikian.
(2) Sebelum Mahkamah membuat pengesahannya, seseorang itu hendaklah dianggap beragama Islam dan segala perkara yang berkaitan dengan Agama Islam adalah terkena ke atasnya.
(3) Jika seseorang Islam dengan sengaja cuba sama ada dengan perkataan atau perbuatan hendak keluar dari Agama Islam, Mahkamah bolehlah, jika berpuashati, memerintahkan orang itu supaya ditahan di Pusat Bimbingan Islam untuk tempoh tidak melebihi 36 bulan bagi tujuan pendidikan dan orang itu hendaklah diminta bertaubat mengikut Hukum Syarak.
(4) Pegawai Penjaga hendaklah menyerahkan laporan kemajuan kepada Mahkamah pada setiap bulan.
(5) Pusat Bimbingan Islam hendaklah diwartakan sebagai Pusat Tahanan di dalam Warta.
Penjelasan

Apa-apa perkara yang dikira murtad hendaklah diputuskan oleh Mahkamah.

Dua hujah dikemukakan mengenai s. 102 itu. Pertama, ianya bercanggah dengan peruntukan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Kedua, ianya cuma terpakai kepada muallaf dan oleh sebab perayu-perayu bukan muallaf, seksyen itu tidak terpakai kepada mereka.

Mengenai hujah pertama, eloklah diperturunkan peruntukan per. 11(1), Perlembagaan Persekutuan:
11(1) Every person has a right to profess and practise his religion and, subject to Clause (4), to propogate it.

Dalam konteks kes ini, hujah peguam-peguam perayu ialah bahawa per. 11 itu bukan sahaja memberi kebebasan kepada seseorang untuk menganut mana-mana agama, tetapi juga untuk keluar daripada sesuatu agama. Terserahlah kepada seseorang itu sama ada dia hendak menganuti mana-mana agama, keluar daripada mana-mana agama atau tidak menganuti mana-mana agama. Kedudukannya di sisi agama terletak kepada apa yang dia sendiri menetapkannya pada sesuatu masa. Tidak ada undang-undang yang boleh menghalangnya berbuat demikian. Tidak ada undang-undang yang boleh menghendaki dia mengikut sesuatu peraturan sama ada untuk memeluk atau keluar daripada sesuatu agama. Undang-undang sedemikian jika dibuat adalah bercanggah dengan peruntukan per. 11 itu dan oleh itu tak sah dan batal. Seksyen 102, mengikut hujah peguam-peguam perayu-perayu, menyekat kebebasan itu kerana seksyen itu menghalang seseorang “yang telah diakui beragama Islam” mengakui bahawa dia bukan Islam melainkan dia telah mendapat pengesahan Mahkamah. Oleh itu ia bercanggah dengan per. 11 dan oleh itu tak sah dan batal.

Hujah ini, jika betul, patut juga terpakai bagi perkataan “practise” (mengamalkan) kerana peruntukan itu mengatakan, “Every person has the right to profess and practise his religion…” Kata-kata “has the right” itu terpakai kepada “profess” dan juga “practise”. Jika itulah makna peruntukan itu maka bukan sahaja undang-undang yang menetapkan cara untuk seseorang itu memeluk agama Islam dan keluar dari agama Islam tak sah malah undang-undang yang menjadikan suatu kesalahan jika seorang Islam itu berzina, berkhalwat, tidak membayar zakat dan lain-lain itu juga semuanya tak sah. Sebab, mengikut hujah itu, per. 11 memberi hak kepada seseorang itu untuk mengamalkan agamanya, maka terserahlah kepadanya sama ada dia hendak mengamal mana-mana suruhan yang dia hendak amalkan dan mana yang tidak, mematuhi mana-mana larangan yang dia hendak patuhi dan mana yang tidak. Oleh itu, mengikut hujah itu, sebarang undang-undang yang menghendaki seseorang itu melakukan sesuatu perkara atau meninggalkan sesuatu perkara adalah bercanggah dengan kebebasan yang diberi oleh per. 11 dan oleh itu tak sah semuanya.

Pada pandangan saya, berkaitan dengan agama Islam (saya tidak memutuskan mengenai agama-agama lain), per. 11 tidaklah boleh ditafsirkan sebegitu luas sehingga ia membatalkan semua undang-undang yang menghendaki seseorang Islam itu mengerjakan sesuatu kewajipan agama Islam atau melarang mereka melakukan sesuatu perkara yang dilarang oleh agama Islam atau yang menetapkan acara bagi melakukan sesuatu perkara yang berkaitan dengan agama Islam.

Ini kerana kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan adalah berlainan daripada kedudukan agama-agama lain. Pertama, hanya Islam, sebagai satu agama, yang disebut dengan namanya dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu sebagai “agama bagi Persekutuan” (“the religion of the Federation”) Perkara 3(1).

Kedua, Perlembagaan itu sendiri memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri (bagi Negeri-Negeri) untuk mengkanunkan Hukum Syarak dalam perkara-perkara yang disebut dalam Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan (“Senarai II”). Selaras dengan kehendak Senarai II itu, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (“Syariah Courts (Criminal Jurisdiction) Act 1965”) (“Akta 355/1965”) dan berbagai-bagai enakmen (untuk Negeri-Negeri) termasuk yang disebut dalam penghakiman ini, telah dikanunkan.
Maka, jika undang-undang itu, termasuk s. 102 Enakmen 4/1994, tidak bercanggah dengan peruntukan Senarai II, dan tidak bercanggah pula dengan peruntukan-peruntukan Akta 355/1965, maka ia adalah undang-undang yang sah.

Adakah peruntukan s. 102 Enakmen 4/1994 itu bercanggah dengan Senarai II atau Akta 355/1965 itu? Pada pandangan saya tidak. Seksyen itu adalah mengenai orang Islam. Ia bukan menghalang seseorang Islam untuk keluar daripada agama Islam. Ia cuma menghendaki seseorang Islam yang hendak membuat pengakuan bahawa dia bukan Islam, mendapat pangakuan mahkamah (Mahkamah Syariah) terlebih dahulu. Ia cuma menetapkan bahawa sehingga disahkan oleh mahkamah, dia dianggap sebagai seorang yang beragama Islam. Peruntukan-peruntukan itu bertujuan mengelak kekeliruan sama ada seseorang itu, di sisi undang-undang, Islam atau tidak. Sama ada seseorang itu Islam atau tidak di sisi Allah, hanya Allah yang tahu.

Peruntukan ini bolehlah dibandingkan dengan peruntukan-peruntukan mengenai nikah dan cerai. Hukum Syarak menghendaki seorang lelaki dan seorang perempuan yang hendak bersekedudukan supaya bernikah mengikut syarat-syarat dan peraturan-peraturan tertentu. Keperluan semasa memerlukan undang-undang dibuat mengenainya, termasuk, antara lain, menghendaki nikah itu didaftarkan dan permohonan untuk bercerai dibuat di Mahkamah Syariah dan perintah yang diberi, jika diberi, didaftarkan. (Bagi saya undang-undang yang terakhir disebut ini yang kerapkali dipanggil “undang-undang pentadbiran” itu, adalah sebahagian daripada pembangunan (development) Hukum Syarak juga.) Adakah undang-undang itu juga tak sah dan batal atas alasan ia bercanggah dengan per. 11 kerana, mengikut hujah itu, ia menghalang kebebasan beragama yang dijamin oleh per. 11? Pada pandangan saya tidak.

Kesimpulannya, adalah penghakiman saya bahawa s. 102 Enakmen 4/1994 itu adalah sah.

Hujah kedua adalah mengenai tafsiran s. 102 itu sendiri, sama ada ia cuma terpakai kepada muallaf (seorang yang baru memeluk agama Islam) atau kepada semua orang yang beragama Islam.

Seksyen 102 terletak dalam Bahagian VI Enakmen 4/1994 yang bertajuk “Memeluk Agama Islam”. Juga, adalah jelas bahawa peruntukan ss. 98, 99, 100 dan 101 adalah mengenai muallaf. Mengenai s. 102, sub-s. (1) mengatakan “Tiada seorangpun yang telah diakui beragama Islam…”. Ini juga jelas menunjukkan bahawa sub-s. (1) itu merujuk kepada orang yang “diperakukan” oleh Qadhi telah memeluk agama Islam mengikut acara yang ditetapkan dalam s. 100 itu. Ertinya sub-s. (1) s. 102 adalah merujuk kepada muallaf. Subseksyen (2) adalah sambungan kepada sub-s. (1) dan semestinya mengenai muallaf juga.

Subseksyen (3) s. 102, tidak berkenaan dalam kes ini dan tidaklah perlu dibincangkan.
Tetapi, hakikat bahawa sub-s. (2) s. 102 tidak terpakai kepada perayu-perayu tidak bererti bahawa Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan sama ada seseorang itu beragama Islam atau tidak dan sebaliknya Mahkamah Sivil yang mempunyai bidangkuasa untuk memutuskannya.

Dihujahkan oleh peguam-peguam perayu-perayu bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai bidangkuasa tidak terhad (“unlimited jurisdiction”) manakala bidangkuasa Mahkamah Syariah pula terhad kepada perkara-perkara yang tersebut dalam Senarai II, Akta 355/1965 dan enakmen-enakmen (bagi Negeri-Negeri) yang menubuhkannya.

Dengan hormat, hujah ini juga ada betulnya dan tidak betulnya.

Memanglah kerapkali dikatakan bidangkuasa Mahkamah Tinggi “tidak terhad” (“unlimited”). Tetapi kata-kata itu perlu dilihat dalam konteks penghakiman-penghakiman itu. Saya tidak temui mana-mana peruntukan undang-undang yang mengatakan bahawa bidangkuasa Mahkamah Tinggi tidak terhad langsung dalam ertikata ia boleh membicarakan apa juga kes, menjatuhkan apa juga hukuman dan membuat apa juga perintah.

Perkara 121 Perlembagaan Persekutuanseperti yang dipinda oleh Akta A704 dan berkuatkuasa mulai 10 Jun 1988 yang menubuhkan Mahkamah-Mahkamah Tinggi itu sendiri memperuntukkan “… dan Mahkamah-Mahkamah Tinggi… hendaklah mempunyai bidangkuasa dan kuasa sebagaimana yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan” (“… and the High Courts… shall have such jurisdiction and powers as may be conferred by or under federal law”). Untuk mengetahui bidangkuasa dan kuasanya perlulah dirujuk kepada undang-undang persekutuan seperti Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (“Courts of Judicature Act 1964”) dan lain-lain. Perkara 121 itu sendiri, melalui kl. 121 (1A) menghadkan bidangkuasa Mahkamah Tinggi.

Maka, sama juga seperti Mahkamah Syariah yang perlu melihat undang-undang yang berkenaan sama ada ia mempunyai bidangkuasa dalam sesuatu perkara, Mahkamah Tinggi juga perlu berbuat demikian, walaupun undang-undang yang perlu dilihat itu berlainan. Maka, secara umum, hujah bahawa jika Mahkamah Syariah itu tidak mempunyai bidangkuasa dalam sesuatu perkara, Mahkamah Tinggi semestinya mempunyai bidangkuasa dalam perkara itu adalah tidak betul dalam semua keadaan. Jika, seperti yang dihujahkan tidak ada peruntukan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa untuk menentukan sama ada seseorang itu murtad atau tidak, soalannya, manakah undang-undang yang mengatakan Mahkamah Tinggi mempunyai bidangkuasa dalam perkara itu?

Sebenarnya, soalan sama ada seseorang itu murtad atau tidak adalah persoalan Hukum Syarak, bukan undang-undang sivil. “Hukum Syarak” (“Islamic Law”) adalah perkara yang terletak dalam Senarai II. Jadual itu juga memperuntukkan penubuhan Mahkamah Syariah yang akan mempunyai bidangkuasa, antara lain, “menentukan perkara-perkara Hukum Syarak dan iktikad…” (“the determination of matters of Islamic Law and doctrine…”). Walaupun hanya dalam “penjelasan”, terdapat peruntukan, “Apa-apa perkara yang dikira murtad hendaklah diputuskan oleh mahkamah” (Mahkamah Syariah). Sebaliknya, tidak terdapat apa-apa peruntukan langsung dalam undang-undang mana pun yang menyebut bahawa Mahkamah Sivil mempunyai bidangkuasa memutuskan persoalan Hukum Syarak, termasuk murtad. Ini boleh difahami kerana, jika dibuat, ia mungkin bercanggah dengan peruntukan Senarai II itu sendiri.

Selain daripada itu, nampaknya Mahkamah Persekutuan telah mengambil pendirian bahawa persoalan itu terletak dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah. Kes Soon Singh Bikar Singh v. Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kedah & Anor[1999] 2 CLJ 5adalah otoriti utama dalam hal ini. Dalam kes itu perayu telah memeluk agama Islam semasa berumur 17 tahun. Empat tahun kemudian, dia membuat satu suratikatan pol (“deed poll”) mengisytiharkan dia keluar daripada agama Islam. Dia kemudiannya memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk mendapat suatu perisytiharan bahawa dia bukan lagi seorang Islam.

Mahkamah Persekutuan memutuskan, antara lain, bahawa permohonan untuk suatu perisytiharan bahawa perayu bukan lagi seorang Islam terletak dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah dan bukan Mahkamah Tinggi. Untuk membuat keputusan sedemikian mahkamah tertinggi di Malaysia itu sanggup “imply” bidangkuasa itu daripada peruntukan mengenai memeluk agama Islam, walaupun di setengah-setengah negeri tidak ada peruntukan mengenai keluar daripada agama Islam. Sebabnya, seperti yang diberi oleh Mohamed Dzaiddin HMP (pada masa itu) ialah:

One reason for this being that the determination of a Muslim convert’s convertion out of Islam involves inquiring into the validity of this purported renunciation of Islam under Islamic law in accordance with Hukum Syarak, which only the Syariah Courts are the experts and appropriate to adjudicate.

Dalam kes Mohamed Habibullah bin Mahmood v. Faridah bte. Dato’ Talib[1993] 1 CLJ 264(MA), Gunn Chit Tuan, HMA (pada masa itu) antara lain berkata:

With respect to the submission of Mr. Balwant Singh Sidhu regarding whether the plaintiff could be considered apostate, reference ought to be made to the dictum of Mohamed Yusoff SCJ (as he then was) in the recent decision of this court in Dalip Kaur v. Pegawai Polis Daerah Balai Polis Daerah, Bukit Mertajam & Anor, when it was pointed out that in determining whether a Muslim has renounced Islam, the only forum qualified to answer the question is the Syariah Court.

Saya tidak akan mengulangi perbincangan mengenai “dictum” oleh Mohamed Yusoff HMA itu yang saya telah lakukan dengan panjang lebar dalam kertas bertajuk “Civil and Syariah Courts in Malaysia: Conflict of Jurisdictions” [2002] 1 MLJ cxxx. Biar apa pun hakikatnya ialah Mahkamah Sivil di kebelakangan ini keberatan untuk memutuskan persoalan Hukum Syarak, termasuk murtad dan berpendapat bahawa Mahkamah Syariah adalah lebih sesuai untuk memutuskan persoalan-persoalan itu. Lihat juga Isa Abdul Rahman v. Majlis Agama Islam Pulau Pinang[1996] 1 CLJ 283.

Dihujahkan bahawa Soon Singh tidak terpakai bagi kes ini kerana Soon Singh adalah melibatkan seorang muallaf, manakala perayu-perayu bukan muallaf. Tetapi, perlu diingati bahawa Faridah dalam kes Mohamed Habibullahjuga bukan muallaf. Namun demikian, Gunn Chit Tuan HMA (pada masa itu) berpendapat bahawa Mahkamah Syariah adalah lebih sesuai untuk memutuskan persoalan murtad itu. Perlu juga diingati bahawa Mohamed Habibullah dan Soon Singh adalah penghakiman mahkamah yang lebih tinggi daripada mahkamah ini dan kena diikuti oleh mahkamah ini, melainkan jika dapat dibezakan. Saya tidak nampak sebab-sebab yang munasabah bagaimana penghakiman-penghakiman itu boleh dibezakan dan tidak diikuti. Seorang Islam adalah seorang Islam, sama ada dia muallaf atau bukan. Hukum mengenai murtad, khususnya apa yang memurtadkan seseorang mengikut Hukum Syarak adalah sama bagi semua orang Islam, muallaf atau bukan.

Kesimpulannya, jika mahkamah ini perlu memutuskan persoalan sama ada Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa memutuskan persoalan murtad, pada pandangan saya, Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa berbuat demikian. Jika tidak bagaimana mahkamah itu hendak membicarakan kes-kesnya? Bidangkuasanya terhad kepada orang Islam. Adakah setiap kali persoalan itu berbangkit di Mahkamah Syariah, ia perlu diputuskan oleh Mahkamah Sivil terlebih dahulu sebelum Mahkamah Syariah boleh meneruskan perbicaraannya? Ini amat tidak munasabah.

Perlu diambil perhatian bahawa persoalan sama ada perayu-perayu beragama Islam atau tidak itu adalah persoalan fakta yang timbul dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah itu. Mahkamah itu, seperti dalam setiap kes di Mahkamah itu, perlu berpuashati bahawa orang-orang yang hendak dibicarakannya itu beragama Islam. Perkara biasa seperti itu semestinya sentiasa berada dalam fikiran setiap Hakim Mahkamah Syariah, dalam setiap kes. Saya percaya bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Syariah itu juga demikian. Beliau telah dimaklumkan bahawa perayu-perayu telah membuat akuan bahawa mereka telah keluar daripada agama Islam. Mereka telah menunjukkan surat akuan yang mereka buat kepada beliau. Tetapi, beliau terus mensabitkan mereka dan menghukum mereka. Untuk berbuat demikian, beliau semestinya telah mengambil kira maklumat itu dan berpendapat bahawa mereka masih beragama Islam sebelum mensabitkan mereka dan menghukum mereka. Jika, seperti aduan mereka, mahkamah itu “tidak menghiraukan” maklumat itu atau tidak menimbangnya, atau salah dalam memutuskan bahawa mereka masih beragama Islam, maka mereka sepatutnya merayu kepada Mahkamah Rayuan Syariah. Di sana mereka boleh menghujahkan sepenuhnya bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Syariah itu silap dan meminta Mahkamah Rayuan Syariah mengenepikan sabitan dan hukuman itu. Dan, Mahkamah itu semestinya kena dan akan mendengar hujah-hujah mereka, menimbang dan memutuskannya.

Tetapi, mereka tidak berbuat demikian. Mereka tidak pun merayu. Mereka terus ke Mahkamah ini, memohon writ habeas corpus dan perintah perisytiharan. Hakikatnya ialah mereka telah membelakangkan prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang (untuk merayu), melangkah sempadan dan pergi ke Mahkamah Tinggi meminta Mahkamah Tinggi membebaskan mereka. Memang mereka tidak memohon perintah certiorari untuk membatalkan sabitan dan hukuman itu. Memang dalam “prayer” mereka, mereka tidak memohon supaya sabitan dan hukuman itu dibatalkan. Mereka memohon supaya mereka dibebaskan daripada menjalani hukuman penjara. Tetapi, bagaimana mahkamah ini boleh membebaskan mereka jika sabitan dan hukuman tidak diketepikan atau dibatalkan dan masih berkuatkuasa? Untuk membebaskan mereka, Mahkamah Tinggi tidak boleh mengelak daripada, sekurang-kurangnya, memutuskan bahawa sabitan dan hukuman terhadap mereka itu tak sah di sisi undang-undang.

Mengenai habeas corpus, tidaklah perlu disebut mengenai sejarah writ habeas corpus. Sebagai titik permulaan, memadailah dengan mengatakan bahawa Mahkamah Tinggi diberi kuasa mengeluarkan writ habeas corpus oleh Perkara 5(2) Perlembagaan Malaysia dan acaranya seperti yang diperuntukan oleh Bab XXXVI Kanun Acara Jenayah. Beberapa penghakiman dirujukkan kepada kami, khususnya mengenai orang yang menjalani hukuman atas perintah mahkamah. Saya akan memilih sebahagian daripadanya dan membincangnya secara ringkas. Saya mula dengan yang lebih awal.

Dalam kes Gurdit Singh [1933] MLJ 224, Mahkamah Majistret telah mensabitkan dan memerintahkan pemohon mengikat jamin. Pemohon merayu ke Mahkamah Tinggi yang menolak rayuan itu dan menggantikan hukuman dengan hukuman penjara selama tiga bulan. Perayu memohon writ habeas corpus supaya dibebaskan daripada menjalani hukuman penjara itu. Permohonannya ditolak. Penghakiman Elphinestone CJ seperti yang diringkaskan dalam jernal itu adalah seperti berikut:

A person is not improperly nor illegally detained when he has been sentenced to imprisonment by a Judge of the Supreme Court in a case properly brought before him and it is not proper for another Judge of the Supreme Court to act under section 363 of the Criminal Procedure Code (1926 ditambah) to decide that question.

Dalam kes Re Gurbachan Singh’s Application[1966] 1 LNS 158; [1967] 1 MLJ 74, pemohon dihukum penjara oleh Mahkamah Sesyen atas tuduhan rasuah. Rayuannya ke Mahkamah Tinggi ditolak. Selepas itu dia memohon writ habeas corpus. Permohonan itu ditolak. Yong J memutuskan:

Held: a writ of habeas corpus cannot be granted to a person who is serving sentence passed by a court of competent jurisdiction.

Dalam kes Sukma Darmawan Sasmitaat Madja v. Ketua Pengarah Penjara Malaysia & Anor[1999] 1 CLJ 481, (MR) perayu telah disabitkan dan dihukum penjara enam bulan atas kesalahan di bawah s. 377D Kanun Keseksaanoleh Mahkamah Sesyen. Dia memohon writ habeas corpus. Alasannya ialah bahawa Mahkamah Sesyen tidak mempunyai bidangkuasa untuk membicara, mensabitkan dan menghukumnya. Permohonannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan rayuannya ke Mahkamah Rayuan juga ditolak. Penghakiman Gopal Sri Ram HMR menjelaskan undang-undang berkenaan pengeluaran writ habeas corpus mengenai seseorang yang menjalani hukuman mahkamah. Katanya di halaman 493:

In our judgment, the expression “unlawfully detained” and “detention” employed by the article do not apply to the case of a person held in a prison in execution of a sentence passed by a court of competent jurisdiction. Habeas corpus does not lie as a remedy in such a case. The only remedy is that of appeal under s. 307 or s. 358 of the Criminal Procedure Code or an application for the court to exercise its powers of revision under section 323 of that code or the much wider s. 35 of the Courts of Judicature Act…

The only instance in such circumstances where habeas corpus may exceptionally lie would be a case where the court passing sentence had no jurisdiction to do so. However, absence of jurisdiction must be patent upon the face of the record, for example, a Magistrate Court or a Sessions Court passing sentence of death. However habeas corpus is not available if lack of jurisdiction falls to be established by having recourse to matters dehors the record. Appeal or revision is the only remedy in such cases.

Rayuan selanjutnya ke Mahkamah Persekutuan juga ditolak. Apa yang dikatakan oleh Eusoff Chin KHN di halaman 715 adalah menarik:

Since the syariah courts have their own system, their own rules of evidence and procedure which in some respects are different from those applicable to the civil courts, it is appropriate that the civil court should refrain from interfering with what goes on in the syariah courts. This policy of non-interference is reciprocated by the syariah courts.

Persoalan ini juga pernah dibincang oleh KC Vohrah H (pada masa itu) dalam kes Nor Kursiah bte Baharuddin v. Shahril bin Lamin[1997] 1 CLJ Supp 599. Dalam kes itu pemohon memohon writ habeas corpus untuk membebaskan seorang kanak-kanak yang dikatakan ditahan secara menyalahi undang-undang oleh kedua-dua responden. Responden menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur telah memberi perintah bahawa kanak-kanak itu diletak di bawah jagaan responden kedua sehingga kes berkenaan selesai.

Di sini diperturunkan sebahagian daripada penghakiman itu, yang berkenaan:

The Syariah High Court in the Federal Territory is a creature of Act 505, it having been created under s. 40 thereof. Act 505 is a federal law and Parliament made the law obviously acting under its powers to legislate on Islamic law in the Federal Territories under art 74 read with item 6(c) of the Federal List (List I) of the Legislative Lists in the Ninth Schedule to the Federal Constitution.

The Syariah High Court is clearly therefore a court of competent jurisdiction. Ordinarily, for the purposes of a habeas corpus application, any order made by a court of competent jurisdiction is valid and subsisting until set aside under relevant laws and procedures (see Gurdit Singh (Petitioner ) [1933] MLJ 224 and the Indian Supreme Court case Janardan Reddy & Ors v. State of Hyderabad & Ors [1951] SCR 344.

I do not think it can be argued otherwise that the order that was made by the Syariah High Court in the Federal Territory was made in respect of a matter which was well within its jurisdiction and that it is an order that affects Muslim parties. This High Court, under art. 121(1A) of the Constitution, has therefore no jurisdiction to question the validity of the order which was made in respect of a matter which is obviously within the jurisdiction of the Syariah High Court.

To recapitulate, this High Court cannot, in a habeas corpus application under s. 365, review or question the validity of a subsisting order made by a court of competent jurisdiction. And in any event, this court by virtue of art. 121(1A) of the Constitutionhas no jurisdiction to question an order made in respect of a matter where the Syariah High Court, a creature of a written law, has jurisdiction given to it under a written law (see also Lim Chan Seng lwn. Pengarah Agama Islam Pulau Pinang & Satu lagi [1996] 3 CLJ 231). This court has to accept the Syariah High Court order as a valid order. This court cannot go behind the order and consequently it has to accept that the custody of the child in the second respondent in the house of the first respondent is not illegal.

Perlu diambil perhatian bahawa kes-kes yang dirujukkan itu, melainkan Nur Kursiah, melibatkan sabitan dan hukuman Mahkamah-Mahkamah Sivil (Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi) dan bukan sabitan dan hukuman Mahkamah Syariah. Oleh itu, kata-kata “a court of competent jurisdiction” dalam penghakiman-penghakiman itu adalah berkenaan mahkamah-mahkamah yang terletak dalam sistem Mahkamah Sivil. Nur Kursiahadalah mengenai perintah Mahkamah Syariah. Kita lihat pendekatan yang diambil oleh KC Vohrah H (pada masa itu) yang mengambil kira Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Adakah Mahkamah Tinggi Syariah: “a court of competent jurisdiction”? Tidak ada dua jawapan kepada soalan ini. Jawapannya ialah: “Ya”. Ia adalah ditubuhkan oleh Badan Perundangan Negeri Kelantan pada menjalankan kuasanya mengikut Perkara 74(2) mengenai perkara yang diizinkan oleh Senarai II dan Akta 355/1965.

Tetapi, sebenarnya, persoalan dalam rayuan-rayuan ini bukanlah sama ada Mahkamah Tinggi Syariah itu sebuah mahkamah yang berbidangkuasa atau tidak, bukan sama ada Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan sama ada perayu-perayu beragama Islam atau tidak, tetapi sama ada mahkamah itu betul atau tidak dalam menolak pengakuan perayu-perayu bahawa mereka telah keluar daripada agama Islam, menyifatkan mereka sebagai masih beragama Islam, mensabitkan dan menghukum mereka sebagai orang Islam. Mereka berkata, oleh sebab mereka telah membuat pengakuan bahawa mereka telah keluar daripada agama Islam maka mereka bukan lagi orang-orang Islam. Oleh itu mahkamah itu tidak mempunyai bidangkuasa terhadap mereka. Jadi, dalam analisis akhir, soalannya ialah sama ada, dengan membuat pengakuan itu, mereka masih Islam atau tidak. Itu adalah soalan fakta yang perlu diputuskan oleh mahkamah itu mengikut Hukum Syarak kerana, sebagai yang saya sebutkan lebih awal sub-s. (1) dan (2), s. 102, Enakmen 4/1994 tidak terpakai ke atas mereka. Kita tidak mempunyai alasan-alasan penghakiman mahkamah itu kerana tiada rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah dan tiada rayuan boleh dibuat ke mahkamah ini. Jika ada pun, bukanlah dalam bidangkuasa mahkamah ini untuk mengkaji semula keputusan-keputusan Mahkamah Syariah yang terletak dalam sistem yang berlainan itu. Mahkamah ini mesti menerima bahawa Mahkamah Tinggi Syariah itu telah pun membuat keputusan fakta itu, mengikut Hukum Syarak dan mahkamah ini tidak berkuasa campurtangan dalam keputusan itu dan mengubahnya, membatalkannya, mengisytiharkan ia tak sah atau tidak menghiraukannya dan membebaskan perayu-perayu. “Dictum” Mahkamah Persekutuan oleh Mohd. Eusoff Chin KHN dalam kes Sukma Darmawanamat jelas bahawa Mahkamah Sivil tidak sepatutnya campurtangan dalam keputusan Mahkamah Syariah.

Atas alasan-alasan ini, saya berpendapat bahawa Mahkamah Tinggi adalah betul dalam menolak permohonan-permohonan habeas corpus oleh perayu-perayu dan rayuan-rayuan ini patut ditolak.

Saudara-saudara saya, Dato’ Abdul Kadir Sulaiman dan Dato’ Alauddin Mohd. Sheriff HHMR telah membaca penghakiman ini dan bersetuju dengannya.

Rayuan-rayuan ditolak.

863 visits