MALAYAN UNITED FINANCE BHD lwn. CHEUNG KONG PLANTATION SDN BHD & YANG LAIN

MAHKAMAH TINGGI MALAYA, PULAU PINANG
GUAMAN SIVIL NO: 22(23)-341-86
[2000] 2 CLJ 601

PROSEDUR SIVIL: Penghakiman terus – Permohonan untuk – Aturan 18 k. 19(1) Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980 – Perenggan-perenggan (a), (b), (c) dan (d) dalam kaedah – Samada permohonan di bawah kesemua perengganperenggan boleh dibuat dalam satu permohonan – Samada perengggan (a) boleh dipakai bersama-sama perenggan (b), (c) dan (d) – Permohonan mencantum perenggan (a) dengan (b) dan (c) – Samada batal

Plaintif menuntut hutang dari defendan-defendan berjumlah RM1,832,664.59 beserta faedah sebanyak 19.25% berdasarkan kepada satu ‘Letter of Guarantee’. Berikutnya, plaintif memfail permohonan untuk penghakiman terus di bawah A. 18 k. 19(1)(a), (b) dan (c) Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980 (‘KMT’). Permohonan plaintif dibenarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar (‘PKP’) dan defendan-defendan merayu.
Di hadapan yang arif hakim, defendan-defendan berhujah, antara lain, bahawa PKP tersilap dalam membenarkan penghakiman terus kerana permohonan plaintif, yang mencantumkan sekali perenggan-perenggan (a), (b) dan (c), adalah salah di sisi undang-undang. Menurut defendan-defendan, permohonan di bawah perenggan (a) tidak boleh dibuat bersama-sama perenggan (b) dan (c), kerana di bawah perenggan (a) mahkamah tidak boleh merujuk kepada afidavit, sedangkan di bawah perenggan-perenggan (b) dan (c), mahkamah boleh berbuat demikian. Defendan-defendan juga berhujah bahawa penghakiman terus tidak harus diberi kerana plaintif tidak dapat ‘justify’ kadar faedah 19.25% yang dituntutnya.
Diputuskan:
[1] Perenggan (a) hingga (d) k. 19(1) A. 18 KMT adalah berasingan atau ‘disjunctive’ yang bererti seseorang pemohon boleh menggunakan manamana satu perenggan-perenggan itu dalam permohonannya. Tetapi ini tidak bererti bahawa seseorang pemohon tidak boleh menggunakan lebih dari satu perenggan dalam satu permohonan.
[2] Tidak siapapun boleh menghujah bahawa perenggan (b), (c) dan (d) tidak boleh digunakan bersama-sama. Maka setakat yang berkenaan dengan (b), (c) dan (d),walaupun disjunctive, itu tidak bermakna kesemuanya tidak boleh dipakai bersama dalam satu permohonan.
[3] Berhubung soalan samada perenggan (a) boleh dipakai bersama-sama perenggan (b), (c) dan (d), penggunaan perkataan “atau” di antara perenggan-perenggan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengatakan bahawa perenggan (a) tidak boleh dipakai bersama-sama perengganperenggan lain. Sebab, jika itulah hujahnya, maka (b), (c) dan (d) juga sepatutnya tidak boleh dipakai bersama, atas alasan yang sama. Maka satu-satunya alasan mengapa (a) tidak boleh dipakai bersama-sama perenggan-perenggan lain ialah kerana di bawah (a) keterangan afidavit tidak boleh dipakai, manakala di bawah perenggan-perenggan lain, boleh. Itu sahaja.
[3a] Alasan di atas tidaklah cukup untuk mengatakan bahawa sesuatu permohonan yang memakai ke semua perenggan (a) hingga (d) itu tidak mengikut peraturan, apatah lagi tidak sah dan batal. Kaedah 19(1) tidak mengatakan demikian. Apa yang disebut ialah apabila mendengar permohonan di bawah (a) mahkamah tidak boleh mengambilkira keterangan afidavit, tetapi apabila mendengar permohonan di bawah perenggan-perenggan lain itu, boleh. Maka apa yang perlu dilakukan oleh mahkamah ialah semasa mendengar permohonan di bawah (a) jangan ambil kira keterangan afidavit, yakni putuskan berdasarkan pliding sahaja. Tetapi, semasa mendengar permohonan itu di bawah perengganperenggan lain, timbanglah keterangan afidavit itu.
[4] Tindakan dalam kes di sini sudah melangkaui tempoh 12 tahun sehingga tarikh rayuan didengar. Dalam keadaan sedemikian, membatalkan permohonan ini dengan kebebasan memfail semula seperti yang diperintah dalam kes Sambu (m) Sdn. Bhd. V. Stone World Sdn. Bhd. & Anor. [1997] 1 CLJ 775adalah tidak munasabah. Ianya akan hanya melengahkan penyelesaian tindakan ini.
[5] Menimbang permohonan berdasarkan meritnya, adalah jelas, berhubung perenggan (a), dengan hanya berdasarkan pliding sahaja, bahawa ianya tidak boleh dikatakan bahawa pembelaan defendan tidak mendedahkan apa-apa pembelaan yang munasabah. Permohonan plaintif tidak sepatutnya diluluskan di bawah perenggan (a).
[6] Menimbang permohonan di atas meritnya, berhubung perenggan (b) atau (c), terutama perenggan (b) di sini, persoalannya ialah samada pembelaan tersebut remeh atau menyusahkan dan oleh sebab itu wajar dibatalkan.
[6a] Hujah defendan-defendan berhubung pembelaan mereka adalah tidak berasas. Penyata Akaun pinjaman berkenaan yang dihantar oleh plaintif kepada defendan bagi tahun 1986 dan 1987 jelas menyatakan “interest rate 16.25%”. Penyata-penyata akaun ini dibaca bersama-sama eks. MUF-11 menunjukkan bahawa jumlah kadar faedah yang dikenakan ialah 19.25%, iaitu 16.25% + 3%. Hujah defendan-defendan dengan itu adalah tidak bermerit.
[7] Tuntutan plaintif adalah jelas. Tidak ada pembelaan yang munasabah yang patut dibicarakan. Pembelaan adalah remeh dan menyusahkan. Mengkehendaki tuntutan ini dibicarakan hanya akan melengahkan perbicaraan adil tindakan ini. Sehingga kinipun kita sudah mengambil masa 13 tahun.
[Rayuan ditolak; penghakiman terus dibenarkan.]

Kes yang dirujuk:
Pegasus Engineers Sdn Bhd V. Sambu (m) Sdn Bhd [1998] 3 CLJ 677
Sambu (M) Sdn Bhd v. Stone World Sdn Bhd & Anor [1997] 1 CLJ 775 (dirujuk)
Seloga Jaya Sdn. Bhd. V. Pembenaan Keng Ting (sabah) Sdn. Bhd. [1994] 2 BLJ 201

Other source(s) referred to:
Rules of the High Court 1980, O. 18 r. 19(1)(a), (b), (c), (d)
Halsbury’s Laws of Malaysia, Jilid 1, perenggan 10.6-075

Counsel:
Bagi pihak plaintif – Toh Lee Hong; T/n Chew, Tan & Lim
Bagi pihak defendan-defendan – Harjit Singh Harbans Singh; T/n Harjit Singh Sangay& CoDilaporkan oleh WA Sharif

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamad H:
Ini adalah rayuan terhadap keputusan Penolong Kanan Pendaftar mengenai Lampiran 14, iaitu permohonan plaintif untuk membatalkan pembelaan dan tuntutan balas defendan-defendan kedua dan ketiga. Permohonan dibuat di bawah A. 18 k. 19(1)(a), (b) dan (c) Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 (KMT 1980). Penolong Kanan Pendaftar meluluskan permohonan plaintif itu dengan kos. Defendan-defendan merayu kepada hakim dalam kamar.
Tuntutan plaintif adalah untuk jumlah hutang sebanyak RM1,832,664.59 seperti pada 30 Jun 1986 dan juga faedah. Defendan pertama adalah sebuah syarikat (penghutang utama) dan defendan kedua dan ketiga adalah penjamin-penjamin hutang itu.
Kes ini telah difail 13 tahun dahulu, satu daripada beberapa banyak kes yang melibatkan defendan kedua dan mempunyai kaitan antara satu sama lain. Dalam setiap satu kes terdapat pelbagai permohonan dan rayuan.
Dalam alasan penghakiman saya bertarikh 17 Februari 1999 mengenai lampiran 49 kes ini, saya telah memaparkan sejarahnya. Lampiran 49 adalah rayuan oleh plaintif terhadap keputusan Penolong Kanan Pendaftar di Lampiran 31. Dalam Lampiran 31 defendan pertama memohon, selepas lima tahun untuk mengketepikan penghakiman ingkar yang dimasukkan terhadap defendan pertama. Penolong Kanan Pendaftar membenarkannya. Plaintif merayu kepada hakim dalam kamar. Saya membenarkan rayuan itu dan mengesahkan penghakiman ingkar itu. Defendan pertama merayu ke Mahkamah Rayuan. Tidak diketahui perkembangannya.
Melalui lampiran 14 (permohonan yang membawa kepada rayuan ini) plaintif memohon untuk membatalkan pembelaan dan tuntutan balas defendan-defendan kedua dan ketiga, iaitu penjamin-penjamin hutang itu.
Hujah pertama yang dibangkitkan oleh peguam defendan-defendan ialah bahawa permohonan ini (lampiran 14) salah di sisi undang-undang kerana plaintif mencantumkan perenggan (a), (b) dan (c) sekali. Hujah beliau ialah permohonan di bawah perenggan (a) tidak boleh dibuat bersama-sama perenggan (b) dan (c) kerana di bawah (a) mahkamah tidak boleh merujuk kepada afidavit, seperti yang diperuntukkan oleh perenggan (2) k. 19 A. 18 itu.
Memang betul bahawa dalam menimbang permohonan di bawah perenggan (a), mahkamah tidak boleh merujuk kepada afidavit-afidavit yang difail. Tetapi, adakah itu bererti bahawa permohonan tidak boleh dibuat dalam satu saman dalam kamar di bawah perenggan (a), (b) dan (c)?
Peguam defendan merujuk kepada penghakiman Mahkamah Rayuan dalam kes Pegasus Engineers Sdn Bhd V. Sambu (m) Sdn Bhd [1998] 3 CLJ 677. Kes itu adalah rayuan daripada keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru dalam kes yang dilaporkan sebagai Sambu (m) Sdn. Bhd. V. Stone World Sdn. Bhd. & Anor. [1997] 1 CLJ 775.
Dalam kes itu, defendan memohon untuk membatalkan writ dan penyataan tuntutan plaintif dengan memakai kesemua sekali peruntukan A. 18 k. 19(1)(a), (b), (c) dan (d) KMT 1980. Atas bantahan awal oleh peguam plaintif, Penolong Kanan Pendaftar memutuskan bahawa A. 18 k. 19(1)(a), (b), (c) dan (d) KMT 1980 tidak boleh dipakai secara bersekali (“cumulative”) dan oleh sebab perenggan (a) dipakai maka defendan tidak boleh menggunakan keterangan yang terdapat dalam afidavit yang telah difail. Beliau membatalkan permohonan itu dengan kebebasan memfail semula.
Defendan merayu kepada hakim dalam kamar. Hakim mengesahkan keputusan Penolong Kanan Pendaftar itu.
Secara ringkasnya, hakim Yang Arif itu, yang merujuk kepada tidak kurang daripada dua puluh penghakiman yang lebih awal, memutuskan bahawa:
(a) Dalam permohonan di bawah A. 18 k. 19(1)(a), keterangan afidavit tidak boleh digunakan, tetapi dalam permohonan di bawah perenggan (b), dan (d) keterangan afidavit boleh digunakan; dan (b) Perkataan “atau” dalam kaedah itu adalah “disjunctive”. Oleh itu perenggan (a), (b), (c) dan (d) tidak boleh dicantumkan.
Plaintif merayu ke Mahkamah Rayuan. Rayuan itu ditolak oleh Mahkamah Rayuan. Alasannya diberi oleh NH Chan HMR, bagi pihak mahkamah itu. Katanya:
We consider the whole process of appealing to the Court of Appeal for so trifling a matter as the nature of this appeal de minimis non curat lex (see Re National Assurance and Investment Association, Re Cross [1872] 7 Ch App 221). It is unfortunate that the appellant had saddled itself with an unproductive course when another was equally advantageous to it.
Instead of wasting time and expending so much money on an appeal to this court, the appellant could have made his application afresh, thus saving much time and costs. We think that the de minimis principle would apply here.
The appeal must be dismissed with cost.
Adalah jelas daripada penghakiman Mahkamah Rayuan itu bahawa ia tidak mengatakan bahawa permohonan itu batal dan tidak sah kerana perenggan (a) dicantumkan dengan perenggan-perenggan (b), (c) dan (d). Alasannya hanyalah dalam keadaan kes itu rayuan itu terlalu remeh. Maka soalan sama ada permohonan di bawah kesemua perenggan itu dalam satu permohonan boleh atau tidak boleh dibuat masih terbuka.
Sebelum saya bincang selanjutnya, elok juga dirujuk kepada satu ayat dalam Halsbury’s Laws of Malaysia, Jilid 1, perenggan 10.6-075 mengenai peruntukan A. 18 k. 19 KMT 1980 itu:
… the applicant is entitled to rely on all or any of the grounds specified in the appropriate rule of court.
Maksudnya, semestinyalah dalam satu permohonan. Jika tidak sesuatu pihak boleh membuat permohonan sebanyak empat kali dan setiap kali merayu sehingga ke Mahkamah Persekutuan (atau sekurang-kurang Mahkamah Rayuan). Bayangkan berapa lama masa yang akan diambil dan berapa banyak kos yang akan terlibat.
Mengenai keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru dalam kes Sambu (M) Sdn Bhd v. Stone World Sdn Bhd & Anor [1997] 1 CLJ 775 (dirujuk)seperti yang saya ringkaskan dalam perenggan (a) di atas, saya bersetuju dengan keputusannya. Peruntukan perenggan (2) kaedah itu sudah cukup jelas. Tidaklah perlu saya merujuk kepada mana-mana penghakiman.
Mengenai (b), saya juga bersetuju bahawa perenggan-perenggan (a) hingga (d) itu adalah secara berasingan (“disjunctive”). Tetapi, apakah ertinya? Bagi saya, ertinya seseorang pemohon boleh menggunakan mana-mana satu perenggan- perenggan itu dalam permohonannya. Tetapi adakah itu bererti bahawa seorang permohon tidak boleh menggunakan lebih dari satu perenggan itu dalam satu permohonan?
Saya tidak fikir ada sesiapa pun boleh menghujahkan bahawa perenggan (b), (c) dan (d), tidak boleh digunakan bersama-sama. Maka, setakat yang berkenaan dengan (b), (c) dan (d), walaupun “disjunction”, itu tidak bermakna kesemuanya tidak boleh dipakai bersama dalam satu permohonan.
Maka soal seterusnya ialah sama ada perenggan (a) boleh dipakai bersamasama perenggan (b), (c) dan (d). Saya tidak fikir bahawa penggunaan perkataan “atau” di antara perenggan-perenggan itu boleh dijadikan alasan untuk mengatakan bahawa perenggan (a) tidak boleh dipakai bersama-sama perenggan-perenggan lain. Sebab, jika itulah hujahnya maka (b), (c) dan (d) juga sepatutnya tidak boleh dipakai bersama, atas alasan yang sama.
Maka, satu-satunya alasan mengapa (a) tidak boleh dipakai bersama-sama perenggan-perenggan lain ia kerana di bawah (a) keterangan affidavit tidak boleh dipakai, manakala di bawah perenggan-perenggan lain, boleh. Itu sahaja.
Dengan penuh hormat kepada semua, saya berpendapat alasan itu pun tidaklah cukup untuk mengatakan bahawa sesuatu permohonan yang memakai ke semua perenggan (a) hingga (d) itu tidak mengikut peraturan, apatah lagi tidak sah dan batal. Kaedah itu tidak mengatakan demikian. Apa yang disebut ialah apabila mendengar permohonan di bawah (a) mahkamah tidak boleh mengambil kira keterangan afidavit, tetapi apabila mendengar permohonan di bawah perenggan-perenggan lain itu, boleh. Maka apa yang perlu dilakukan oleh mahkamah ialah semasa mendengar dan memutuskan sesuatu permohonan di bawah (a) jangan ambil kira keterangan dalam affidavit: putuskan berdasarkan pliding sahaja. Tetapi, semasa mendengar dan menimbang permohonan itu di bawah perenggan-perenggan lain itu, bacalah dan timbanglah keteranganketerangan afidavit itu.
Saya tidak fikir bahawa hakim atau pendaftar, akan menghadapi apa-apa masalah untuk berbuat demikian.
Dalam kes Mahkamah Tinggi Johor Bahru itu, nampaknya tindakan difail dalam tahun 1995. Keputusan Penolong Kanan Pendaftar dibuat pada 14 September 1996. Penghakiman Hakim Yang Arif itu bertarikh 26 November 1996. Ertinya permohonan dibuat, didengar dan rayuan didengar dan diputuskan dalam masa yang agak singkat. Dalam keadaan itu adalah munasabah bahawa perintah membatalkan permohonan itu dengan kebebasan memfail semula dibuat. Ia tidaklah menyebabkan kelewatan yang keterlaluan kepada prosiding dalam kes itu.
Berlainan halnya dengan kes ini. Hingga tarikh saya mendengar rayuan itu, tindakan itu sudah lebih daripada 12 tahun. Permohonan itu (lampiran 14) sendiri sudah hampir sebelas tahun. Semasa ia didengar oleh Penolong Kanan Pendaftar, hujah itu tidak dibangkitkan, malah kes yang kepadanya dirujukkan sekarang pun belum difail. Dalam tempoh bertahun-tahun, semasa rayuan itu ditetapkan beberapa kali untuk didengar oleh Edgar Joseph Jr. H (pada masa itu) yang kemudiannya menjadi hakim Mahkamah Persekutuan dan bersara dan di hadapan Mohamed Dzaiddin H (pada masa itu), yang juga telah pun menjadi hakim Mahkamah Persekutuan begitu lama hinggalah kepada saya, tidak sekali pun persoalan itu dibangkit atau diberitahu akan dibangkitkan. Hanya apabila ia didengar oleh saya dan pada masa itu peguamcara baru telah mengambil alih, barulah hujah itu dibangkitkan, dua belas tahun setelah tuntutan difail dan hampir sebelas tahun selepas permohonan dibuat.
Dalam keadaan itu saya berpendapat bahawa membatalkan permohonan itu dengan kebebasan memfail semula adalah tidak munasabah. Ia hanya akan melengahkan penyelesaian tindakan ini, dan nampaknya itulah yang dikehendaki oleh defendan-defendan. Saya juga tidak menghadapi apa-apa masalah untuk menimbang permohonan di bawah perenggan (a) secara berasingan daripada di bawah perenggan-perenggan yang lain itu: semasa menimbang permohonan di bawah perenggan (a) saya tidak membaca atau mengambil kira keterangan afidavit. Saya juga tidak fikir bahawa Mahkamah Rayuan dalam kes Pegasus Engineers Sdn Bhd V. Sambu (m) Sdn Bhd [1998] 3 CLJ 677itu memutuskan bahawa sesuatu permohonan yang mencantumkan perenggan (a) dengan yang lainnya itu adalah batal, tidak sah dan mesti dibatalkan.
Dalam keadaan kes ini pada pandangan saya adalah tidak munasabah bagi mahkamah ini membatalkan permohonan berkenaan dengan kebebasan memfail semula. Tambahan pula, peguam plaintif memohon secara lisan untuk meminda saman dalam kamar dengan menambah perkataan “or” di antara perengganperenggan “(a), (b), (c)” dalam saman dalam kamar itu. Pada pandangan saya pindaan itu tidaklah perlu. Jika perlu pun saya membenarnya.
Sekarang saya akan menimbang permohonan ini atas meritnya. Mula-mula di bawah perenggan (a), hanya berdasarkan pliding. Adalah jelas, berdasarkan pliding sahaja, tidaklah boleh dikatakan bahawa pembelaan defendan tidak mendedahkan apa-apa pembelaan yang munasabah. Permohonan plaintif tidak sepatutnya diluluskan di bawah perenggan (a). Saya tidak fikir saya patut kata lebih banyak mengenainya.
Sekarang, di bawah perenggan (b) atau (c). Perenggan yang lebih berkenaan ialah perenggan (b ).
Sekali lagi saya tidak berhajat memetik authoriti-authoriti atau menjelaskan secara terperinci prinsip-prinsip mengenai peruntukan ini. Ia terlalu asas dan sudah terlalu banyak ditulis. Asasnya, mengenai perenggan (b), ialah sama ada ianya remeh atau menyusahkan dan oleh sebab itu pembelaan itu wajar dibatalkan. Biar apapun, kuasa mahkamah itu hanya patut digunakan dalam kes-kes yang jelas bahawa tidak terdapat pembelaan yang munasabah yang patut dibicarakan. Jika ada, walaupun kemungkinan ia berjaya amat nipis, pembelaan itu tidak wajar dibatalkan.
Dalam kes ini hujah yang dibangkitkan oleh peguam defendan kedua dan ketiga mengenai pembelaan mereka ialah bahawa plaintif tidak dapat “justify” bahawa plaintif berhak menuntut faedah pada kadar 19.25%.
Peguam defendan-defendan merujuk kepada prayer (b) lampiran 14 di mana plaintif memohon penghakiman untuk faedah pada kadar 19.25% setahun. Beliau merujuk kepada lampiran 13 (afidavit menyokong permohonan itu) perenggan 11 yang menyatakan:
11. Vide Clause 1 off the said letter of guarantee, the 2nd and 3rd Defendants agreed to pay on demand the said loan and interest at the rate of 16% per annum or such other rate as may from time to time be stipulated by the Plaintiff at the Plaintiffs discretion.
Peguam defendan-defendan kemudian merujuk kepada annexture gadaian itu yang antara lain, memperuntukkan penerima gadaian (plaintiff) boleh dari masa ke semasa dengan memberi notis bertulis menaikkan atau menurunkan kadar faedah itu. Beliau menghujahkan bahawa notis tidak diberi.
Kemudian beliau merujuk kepada affidavit defendan kedua (lampiran 22) perenggan 9(c) di mana defendan kedua mengatakan bahawa dia tidak diberi notis perubahan kadar faedah itu seperti yang dikehendaki di klausa 1 “letter off guarantee” itu.
Peguam defendan-defendan kemudian merujuk pula kepada perenggan 14 penyataan pembelaan terpinda (lampiran 20):
14. Further or in the alternative if which is denied the alleged account was stated between the Plaintiff and the 2nd and 3rd Defendants, the said alleged account was incorrect and made under mistake of fact contained several substantial errors by reasons whereof the alleged amount is of no effect and is not binding on the 2nd and 3rd Defendants.
These Defendants further aver that the Plaintiff has wrongfully charged interest and the same has been incorporated into the principal sum, thus rendering the sum claimed incorrect and further in contravention of section 11 of the Civil Law Act 1956.
Beliau juga merujuk kepada perenggan 16 dokumen yang sama di mana defendan-defendan menafi menerima notis-notis itu.
Jadi ringkasnya, hujah beliau, plaintiff tidak dapat “justify” kadar faedah yang dituntut kerana plaintif tidak memberi notis mengenai perubahan kadar faedah itu. Itu sahaja.
Peguam defendan-defendan merujuk kepada kes Seloga Jaya Sdn. Bhd. V. Pembenaan Keng Ting (sabah) Sdn. Bhd. [1994] 2 BLJ 201. Dalam kes itu Mahkamah Agung, melalui penghakiman Edgar Joseph Jr (HMA) menjelaskan pendekatan yang patut dibuat oleh seorang hakim semasa mendengar rayuan daripada keputusan Penolong Kanan Pendaftar. Antara lain, penghakiman itu mengatakan bahawa walaupun perkara itu berbentuk satu rayuan, ia mengambil bentuk dan stail suatu pendengaran semula (“… although the matter before the judge was in the form of an appeal, it took the shape and style of a rehearing.”)
Saya akui itulah undang-undangnya pada masa ini, berdasarkan peruntukan yang ada sekarang, dan saya mematuhinya. Walau bagaimanapun, saya berpendapat, Jawatankuasa Kaedah-Kaedah patutlah menyemak semula sama ada keadaan itu patut dikekalkan. Saya tidak faham logiknya mengapa ia suatu rayuan tetapi didengar sebagai pendengaran kali pertama, bukan seperti rayuan biasa. Jika ia bukan rayuan mengapa panggil rayuan? Jika ia disifatkan seperti suatu permohonan yang didengar buat kali pertama, untuk apa ia didengar oleh Penolong Kanan Pendaftar terlebih dahulu dan selepas itu rayuan dibuat kepada hakim? Semua itu cuma melambatkan prosiding dan menambah kos. Pada pandangan saya suatu pendirian hendaklah diambil: ia rayuan atau suatu permohonan yang didengar buat pertama kalinya di hadapan hakim. Kalau rayuan, gunakan prinsip-prinsip mengenai rayuan. Kalau pendengaran kali pertama, tidaklah perlu Penolong Kanan Pendaftar mendengarnya terlebih dahulu. Hakikat bahawa itu keadaannya di England tidaklah bererti kita mesti mengikutinya. Banyak perkara di England yang dilakukan seperti yang ia lakukan kerana faktor-faktor tradisi bukan kerana dirancangkan begitu.
Kembali kepada kes ini. Saya dapati hujah-hujah defendan-defendan itu tidak berasas. Perenggan 33, 34 dan 35 afidavit plaintiff (lampiran 13) dengan jelas mengatakan:
33. Vide letter dated 14th day of June 1986, to the Defendants.
The Plaintiff has also informed the Defendants that a penalty interest of 3% per annum over and above the prescribed interest rate of 16.25% per annum will be charged in the event of the Defendants failure to settle the loan.
Exhibited hereto marked “MUF-11” is a photocopy of the said letter dated 14th day of June 1986.
34. The Plaintiff therefore states that the Plaintiff is entitle to interest at the rate of 19.25% per annum (being interest at 16.25% plus penalty interest of 3% per annum) calculated from 1st day of July 1986 till full settlement of the loan.
35. The Plaintiff further avers that monthly Statements of Accounts have been sent to the 1st Defendant showing the amount of interest computed monthly on the outstanding sum as at the last day off each calendar month.
The 2nd and 3rd Defendants being directors of the 1st Defendant have all along accepted the outstanding sum and the monthly computation of interest in the Statement of Account sent to them as correct and have never raised any doubts or objection to the sum due as stated in the Notice of Demand and monthly statements of Account.
Exhibited hereto marked “MUF-12” are photocopies of the monthly Statement of Account sent by the Plaintiff to the 1st Defendant.
Ekshibit MUF-12 adalah penyata akaun pinjaman berkenaan yang dihantar oleh plaintif kepada defendan. Penyata-penyata itu, bagi tahun 1986 dan 1987 dengan jelas menyatakan: “Interest Rate 16.25.” Penyata-penyata akaun ini, dibaca bersama-sama eks. MUF-11 menunjukkan bahawa jumlah kadar faedah yang dikenakan ialah 19.25% (16.25% + 3%).
Dalam keadaan ini saya dapati bahawa hujah peguam defendan-defendan itu tidak bermerit.
Tuntutan plaintif adalah jelas. Tidak ada pembelaan yang munasabah yang patut dibicarakan. Pembelaan adalah remeh dan menyusahkan. Menghendaki tuntutan ini dibicarakan hanya akan melengahkan perbicaraan tindakan ini adil.
Sehingga kini pun ia telah mengambil masa selama 13 tahun. Maka saya menolak rayuan ini dengan kos.

125 visits