UCAPAN DI PERAYAAN HARI GURU PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

UCAPAN DI PERAYAAN HARI GURU
PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG
19.5.99

Oleh

Dato’ Abdul Hamid Mohamad

 

Apabila saya menerima panggilan talipon daripada Tuan Haji Ahmad Farouk, rakan sedarjah saya, menjemput saya ke Majlis ini, saya tahu bahawa saya tidak dapat mengelaknya. Tetapi, pada masa yang sama saya tertanya-tanya apakah yang saya hendak katakan di majlis ini. Kerana perkara yang berkenaan adalah di luar bidang pengkhususan saya dan saya perlu belajar daripada tuan-tuan dan puan-puan mengenainya. Walau bagaimanapun saya mengambil keputusan untuk menerima jemputannya atas alasan jika saya tidak dapat memberi apa-apa sumbangan sekali pun, sekurang-kurangnya saya akan boleh mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan saya dan seluruh masyarakat, jika saya boleh bercakap bagi pihak mereka, terhadap sumbangan dan pengorbanan guru-guru kepada bangsa dan negara.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Dalam sejarah hidup setiap orang, ada suatu tempoh apabila dia berguru, sama ada dia bersekolah atau tidak. Sekarang ini boleh dikatakan, semua orang bersekolah. Tempoh itu adalah suatu tempoh yang paling genting dalam kehidupan seseorang: dari masa dia seorang kanak-kanak sehingga dia dewasa. Dalam tempoh itu, selain daripada ibu-bapa, guru-gurulah yang mendidik mereka, sehingga mereka bersedia keluar ke dunia untuk membina kehidupan mereka. Maka, dalam setiap seorang yang berjaya, ada sumbangan guru, ada peranan guru, yang kadangkala dilupai.

Maka saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan saya dan masyarakat kepada tuan-tuan dan puan atas peranan, sumbangan dan pengorbanan yang tuan-tuan dan puan-puan beri selama ini dan juga kepada seluruh masyarakat guru sepanjang masa.
Tuan-tuan dan puan-puan,

Apabila saya mengimbas kembali sejarah pendidikan di negara kita, terutama sekali di zaman sebelum pemerintah British dan sebelum Merdeka, saya amat kagum dengan sumbangan dan pengorbanan tok-tok guru di zaman itu. Mereka, secara sukarela, telah membuka sekolah-sekolah pondok di merata-merata tempat, termasuk di Seberang Perai yang, sebelum Merdeka, amat terkenal dengan sekolah-sekolah pondoknya.

Sebelum ada sekolah-sekolah kerajaan di kawasan luar bandar, pondok-pondok itulah tempat anak-anak Melayu belajar menulis dan membaca dan seterusnya menimba berbagai ilmu. Selepas terdapat sekolah-sekolah rendah di kawasan luar bandar, pondok-pondok itu adalah ganti sekolah menengah, maktab dan universiti.

Tok-tok guru itu adalah orang-orang yang berwibawa, yang menghabiskan sepanjang hidup mereka mengajar dan mendidik.

Allah Yarham Ayah saya, yang pernah belajar di pondok Allah Yarham Tok Kenali di Kelantan, pernah menceritakan kepada saya satu kisah mengenai Tok Kenali.

Biasanya selepas sembahyang Maghrib, Tok Kenali mengajar kitab sampailah ke Isyak. Suatu masa, selepas sahaja sembahayang Maghrib, beliau hilang. Tiada siapa tahu ke mana perginya dan beliau juga tidak memberi tahu sesiapa ke mana beliau pergi. Beliau tidak mengajar malah tidak pulang untuk bersembahayang Isyak bersama anak-anak muridnya. Anak-anak muridnya menjadi hairan dan cemas. Suatu malam mereka mengambil keputusan untuk mengekorinya. Mereka menemuinya sedang duduk di atas sebuah kerusi di kaki lima sebuah kedai taukeh Cina Singapura di Kota Bharu. Taukeh itu berada disisinya. Apa yang Tok Kenali sedang buat? Beliau sedang belajar Bahasa Inggeris daripada taukeh Cina itu!

Satu kisah lagi diceritakan kepada saya oleh Allah Yarham Timbalan Mufti Kelantan semasa saya berkerja di Kelantan dulu. Mengikutnya, suatu hari taukeh Cina itu bertanya kepada Tok Kenali:

“Tok Guru, Nabi Muhammad itu macam mana?”
Tok Kenali menjawab, “Macam kitalah.”
Taukeh itu bertanya lagi: “Kalau begitu mengapa Tok Guru tak jadi Nabi?”
Tok Kenali diam sebentar. Kemudian beliau bertanya taukeh Cina itu: “Kamu tahu tidak Raja?”
Taukeh itu menjawab: “Tahu.”
Beliau bertanya lagi, “Raja itu macam mana?”
Taukeh itu menjawab: “Macam kitalah.”
Kemudian beliau bertanya seterusnya: “Mengapa kamu tak jadi Raja.”
Tuan-tuan dan puan-puan,

Bagi saya itu adalah satu contoh:
…………… (Petikan ayat Al-Quran)

(Maksudnya: Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik – An-Nahl:125).

Prinsip ini terpakai di mana-mana.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Keadaan di hari ini telah banyak berubah. Kita mesti akui tentang kejayaan yang telah dicapai di negara kita dalam bidang pendidikan, baik dari segi infrastrukturnya mahu pun sukatan pelajarannya. Pergilah ke negara-negara lain dan lihatlah sendiri keadaan institusi-institusi pendidikannya dan bandinglah dengan keadaan di negara kita. Bercakaplah dengan rakyatnya, maksud saya dengan golongan terpelajarnya, dan perhatilah luas mana pengetahuan am mereka. Di akhir tahun tujuh puluhan, saya dapati ada hakim Mahkamah Agung di sebuah negara jiran yang tidak tahu nama Ibu Negara Malaysia.

Dari segi disiplin pun kedudukan kita masih baik. Rata-rata pelajar-pelajar kita masih menghormati guru-guru dan mematuhi peraturan. Seorang pensyarah UIA yang berasal dari sebuah negara di Asia Selatan menceritakan pengalamannya semasa mengajar di sebuah sekolah menengah di sana. Suatu hari beliau ditugaskan mengawas peperiksaan. Setelah peperiksaan bermula seorang pelajar memanggilnya. Beliau menghampiri meja pelajar itu. Pelajar itu mengeluarkan sepucuk pistol, meletakkannya di atas meja dan berkata kepadanya: “Saya hendak tiru.” Beliau pun membiarkan pelajar itu meniru sebanyak yang boleh ditirunya.

Kita juga baca mengenai pembunuhan di sekolah-sekolah di Amerika Syarikat.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya tidak katakan bahawa keadaan di negara kita ini “perfect”, semua baik. Tidak. Kita juga mempunyai kelemahan dan kekurangan yang perlu kita baiki.

Bagi saya kelemahan kita bukanlah kerana ketiadaan undang-undang tetapi kerana kurang penguatkuasaannya, bukan kerana kekurangan peraturan tetapi kerana kurang pengawasan dan tindakan, bukan kerana tiada perancangan tetapi kerana kelemahan pelaksanaannya, bukan kerana tiada pelancaran tetapi kerana kurang tindakan susulan, bukan kerana kurang pembangunan tetapi kerana kurang penyelenggaraannya. Itulah masalah kita, di Jabatan mana sekali pun. Dan itulah yang perlu diberi perhatian serius dan segera.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Hari ini kita berada di suatu zaman yang amat mencabar. Dunia sudah menjadi amat kecil. Anak-anak kita bukan hanya akan bersaing sesama sendiri tetapi mereka terpaksa menghadapi saingan sejagat. Dan pentasnya adalah dunia ini.

Maka, kita perlulah membekalkan mereka dengan ilmu pengetahuan yang berkini untuk melengkapkan mereka bagi menghadapi saingan itu. Tetapi sebelum kita boleh berbuat demikian kita perlu melengkapkan diri kita dulu dengan ilmu-ilmu itu untuk kita sampaikan kepada mereka. Kalau Tok Kenali pada umurnya, di zamannya boleh belajar Bahasa Inggeris untuk menambah ilmu pengetahuannya, dengan kemudahan yang disediakan sekarang, tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh menambah ilmu pengetahuan kita.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Mungkin pada hari ini ada orang yang merasakan bahawa kita berhadapan dengan satu dilema: kita perlu belajar daripada Barat, tetapi kita ingin kekalkan keTimuran kita. Kita mahu maju dalam bidang sains dan teknologi tetapi kita juga mahu anak-anak kita menjadi Muslimin dan Muslimat yang soleh. Kita mahu dunia dan kita juga mahukan akhirat.

Sebenarnya tidak ada dialema, tidak ada percanggahan. Islam bukan hanya tidak melarang, malah menjadikan fardhu kifayah kepada penganut-penganutnya untuk mempelajari berbagai-bagai ilmu yang berguna kepada ummah dan manusia. Ahli-ahli sains terkenal di zaman kegemilangan Islam adalah juga ulamak-ulamak yang terkenal. Malah hari ini pun kebanyakan cerdik pandai kita adalah orang-orang yang kuat agamanya. Biasanya orang yang ada akhirat ada dunianya, yang tiada melepas kedua-duanya.

Malah, kita tidak perlu menjadi orang putih untuk maju dalam bidang sains dan teknologi. Kita tidak perlu jadi Arab untuk jadi Islam. Kita tidak perlu buang akhirat untuk mendapat dunia. Kita boleh terus jadi Melayu, Islam, soleh dan maju dalam bidang sains dan teknologi. Malah itulah yang dituntut oleh Islam.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Kemajuan dalam bidang ilmu pengetahuan bukan monopoli orang kulit putih sepanjang zaman. Tamadun manusia tidak bermula di Eropah atau Amerika Syarikat dan mungkin juga tidak akan berakhir di sana. Orang-orang Eropah cuma kenal gula semasa peperangan Salib. Perkataan “sugar” dalam bahasa Inggeris dan yang bunyi hampir sama dalam bahasa Perancis berasal dari Bahasa Arab. Mereka belajar mengguna kompas daripada orang-orang Arab. Hinggakan nombor “1,2,3…” yang dipakai di seluruh dunia hari ini adalah nombor Arab. Dalam undang-undang ia dipanggil “Arabic Numeral” untuk membezakannya dengan “Roman Numeral”. Memang orang-orang Roman telah tahu menulis nombor, tetapi nombor mereka tidak ada sifar (“0”). Mereka ada nombor sepuluh. Dua puluh ditulis dengan dua nombor sepuluh. Bagaimana kalau hendak menulis angka sejuta atau satu billion? Maka orang-orang Arab cipta sifar (“0”).

Banyak lagi misalan yang boleh diberi.

Tamadun dan keagungan juga bukan monopoli sesuatu bangsa sepanjang masa. Melihat kepada Turkey dan Mongolia hari ini siapa sangka bahawa pada suatu masa, selama beberapa ratus tahun, mereka mempunyai empayar yang merentang Asia, Eropah dan juga Afrika. Penduduk gurun pasir yang lemah dan kucar-kacir, dalam masa yang singkat boleh berubah menjadi kuasa dunia, iaitu orang-orang Arab selepas kedatangan Islam. Kemudian mereka lemah dan kucar-kacir semula. Benarlah firman Allah swt:
———— (Petikan ayat Al-Quran)

(Maksudnya: Dan bagi tiap-tiap ummat (atau bangsa) ada tempoh (yang telah ditetapkan) – Al A’raaf:34).

Tetapi kita diperingatkan:
———— (Petikan ayat Al-Quran)

(Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehinggakan mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri – Ar-ra’d:11).

Tuan-tuan dan puan-puan,

Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah, pertama, jika sesuatu bangsa itu maju hari ini tidak bererti ia telah maju dari permulaan sejarah dan akan terus maju sehingga ke akhir sejarah. Ini hari dia. Mungkin esok hari kita.

Kedua, semasa dia tidak maju, orang lain maju dia belajar daripada orang lain yang lebih maju. Dan dia terus memajukan bidang-bidang ilmu yang dipelajarinya itu. Maka dia jadi lebih maju.

Kita juga harus demikian. Hari ini mereka maju. Kita belajar daripada mereka. Mungkin akan tiba pula masanya apabila kita lebih maju dari mereka. Pokok pangkalnya usaha.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Kita tidak harus terlalu khuatir kiranya dengan belajar daripada Barat kita akan hilang nilai-nilai keTimuran kita. Perhatilah murid-murid Tuan-tuan dan puan-puan: yang tidak mahu belajar itulah yang paling kuat meniru perkara-perkara yang bukan-bukan. Tetapi yang mahu belajar, rajin belajar dan perfikir adalah pelajar-pelajar yang biasanya baik akhlaknya, soleh atau solehah. Pergilan ke kampus-kampur di luar negara. Akan kita lihat pelajar-pelajar kita masih mengekalkan budaya dan cara hidup kita, sambil cemerlang dalam pelajaran mereka.

Masalahnya ialah yang tidak mahu belajar, bukan yang mahu belajar.

Tentu ada yang tergelincir. Itu perkara biasa. Di kampung pun ia berlaku. Tetapi, percayalah, jika iman tersemat di dada, tergelincir seketika, kepangkal jalan kembali jua.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Apakah tugas kita? Tugas kita ialah sekadar mengajar dan mendidik, sehabis baik yang kita boleh lakukan, dengan jujur dan ikhlas. Kita tidak boleh menjaminkan corak kehidupan seseorang di masa hadapan. Kita tidak boleh menjamin kejayaan seseorang. Itu di luar kekuasaan kita.

Rasul-Rasul pun cuma ditugaskan untuk memberi peringatan. Semasa hidup mereka, ada orang yang mengikut mereka, ada yang tidak. Bagi kebanyakan Rasul-Rasul, kejayaan mereka semasa hidup mereka amat terhad. Nabi Muhammad (S.A.W.) adalah antara Rasul-Rasul yang paling berjaya semasa hidupnya, setelah melalui berbagai-bagai ujian getir. Beliau berjaya menubuh sebuah negara Islam sebelum wafatnya, tetapi beliau tidak berjaya mengIslamkan bapa saudaranya Abu Talib, hingga ke mati. Nabi Nuh (A.S.) tidak berjaya walau pun untuk memujuk anaknya naik ke atas bahteranya, semasa banjir sedang mengancam. Seruannya kepada anaknya supaya naik dijawab, “Aku akan naik ke atas gunung dan akan selamat”. Tetapi tenggelam juga.

Memang kita akan disoal mengenai tanggungjawab kita. Pada pandangan saya, kita akan disoal sama ada kita telah melaksanakan tanggungjawab kita sehabis baik yang kita boleh lakukan dengan tulus ikhlas. Saya tidak fikir kita akan disoal mengapa pelajar “A” tidak mendapat Pangkat 1, sebagaimana saya tidak fikir Nabi Muhammad (S.A.W.) akan disoal mengapa Abu Talib tidak berjaya diIslamkannya, atau Nabi Nuh (A.S.) mengapa anaknya sendiri tidak berjaya dipujuknya menaiki bahteranya. Itu bidangkuasa Allah (S.W.T.).

Maka, sebelum kita disoal, eloklah kita menyoal diri sendiri terlebih dahulu dengan soalan yang sama. Berilah jawapan yang ikhlas kepada diri sendiri. Dan ambillah apa-apa tindakan susulan yang sesuai dan perlu.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Sehabis baik setiap orang adalah sudah cukup baik. (Everybody’s best is good enough).

Terima kasih.

Dato’ Abdul Hamid bin Haji Mohamad,
Hakim, Mahkamah Tinggi,
Pulau Pinang.

Read 110 times