UCAPAN DI MAJLIS SILATURRAHIM AIDILFITRI PEGUAM-PEGUAM SYARIAH PULAU PINANG
UCAPAN DI MAJLIS SILATURRAHIM AIDILFITRI PEGUAM-PEGUAM SYARIAH PULAU PINANG
5 Februari 1999
Oleh
Dato’ Abdul Hamid Mohamad
Sebenarnya saya agak keberatan untuk berucap pada malam ini. Saya khuatir kiranya dikatakan bahawa Mahkamah Sivil cuba “hijack” Mahkamah Syariah.
Walau bagaimanapun, oleh sebab dijemput, biarlah saya berucap sepatah dua.
Pertama sekali saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang hadir dan memohon maaf zahir dan batin.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Saya tidak layak bercakap bagi pihak Mahkamah Syariah. Saya juga tidak boleh bercakap mengenai Mahkamah Sivil di Majlis ini, kerana ianya tidak relevan. Maka saya cuma akan memberi pandangan peribadi saya, berdasarkan pengalaman saya yang singkat sebagai salah seorang Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Pulau Pinang.
Pada pandangan saya, Mahkamah Syariah mempunyai tanggungjawab yang amat berat. Ini kerana kaitan Mahkamah Syariah dengan Agama Islam. Mahkamah Syariah disifatkan sebagai Mahkamah Islam, yang melaksanakan Hukum Islam. Kalau pelaksanaan itu cekap, dan berkesan, orang kata Hukum Islam itu adil. Jika tidak orang akan kata Hukum Islam itu tidak adil.
Pada hal pelaksanaan undang-undang dan undang-undang itu adalah dua perkara yang berlainan. Undang-undang yang adil jika tidak dilaksanakan dengan cekap dan berkesan mungkin membawa akibat yang tidak adil. Hakikat bahawa ia undang-undang Islam tidak bererti bahawa ia semestinya akan memberi keadilan. Ia terserah kepada pelaksanaannya. Undang-undang Allah pun kalau tidak dilaksanakan dengan cekap dan betul boleh menyebabkan ketidakadilan. Seperti beras grade super, kalau tak betul ditanak mungkin menghasilkan nasi yang mentah. Bukan salah beras. Salah tukang masak. Tetapi orang yang makan cuma akan menilai nasi – mentah. Maka adalah menjadi tanggungjawab Mahkamah Syariah untuk memastikan bahawa nama baik undang-undang Islam dan Agama Islam terpelihara dengan mengendalikan kes-kes dengan cekap, betul dan cepat.
Peguam-peguam Syarie juga bertanggungjawab membantunya.
Saya merasa dukacita, kerana walaupun di Pulau Pinang ini Mahkamah Syariah telah ditubuh sudah 40 tahun, ia masih dalam peringkat pembinaan. Ia boleh diibaratkan seperti rumah kampung yang belum siap tetapi diduduki.
Setelah sekian lama, baru dibuat kaedah jenayah dan undang-undang keterangan. Kaedah Sivil masih tak ada. Kaedah Rayuan Sivil tak ada. Ketua Hakim Syarie sekejap ada, sekejap tak ada. Dan macam-macam lagi. Dalam keadaan itu sukarlah ia berjalan dengan baik.
Dalam keadaan ini, peguam-peguam Syarie memain peranan yang penting. Disebabkan oleh latihan mereka dan amalan di Mahkamah Sivil, secara langsung atau tidak mereka akan membawa masuk prosedur-prosedur di Mahkamah Sivil ke Mahkamah Syariah. Saya tidak nampak apa salahnya. Kerana Acara Jenayah Syariah dan Enakmen Keterangan Syariah telah digubal itu pun berdasarkan C.P.C. (Criminal Procedure Code) dan Evidence Act (Akta Keterangan). Akta Prosedur Mal yang baru diluluskan oleh Parlimen untuk dipakai di Mahkamah Syariah di Wilayah Persekutuan pun berasaskan Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1980.
Jadi, sehingga acara-acara itu diadakan kita boleh pakai, secara umum, mana yang sesuai acara-acara yang dipakai di Mahkamah Sivil.
Yang pentingnya ialah bahawa keadilan tercapai.
Saya yakin dengan kerjasama semua pihak prestasi Mahkamah Syariah akan dapat ditingkatkan.