KE ARAH COMMON LAW MALAYSIA
KE ARAH COMMON LAW MALAYSIA
Oleh
Dato’ Abdul Hamid bin Hj. Mohamed
Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang
31 Disember 1997
Pertama sekali saya ucapkan selamat datang ke negeri saya, walau pun ada perkara yang saya tidak boleh kata saya berbangga dengannya.
Memandang ke belakang, saya merasa hairan mengapa saya bersetuju untuk menerima undangan berucap kepada saudara-saudari hari ini. Saya akui saya terlalu lemah untuk menolak pelawaan Cik Zaleha. Maka, masalah saya bermula, mulai saat saya berkata “Ya” kepadanya. Masalahnya ialah apakah yang saya hendak cakapkan. Hendak membuat satu thesis, saya bukan ahli akademik dan tidak cukup cerdik untuk menjadi seorang. Untuk membuat satu kertas kerja berkenaan undang-undang atau prosedur, saudara-saudari mungkin lebih tahu dari saya. Maka saya memilih untuk bercakap tentang beberapa perkara yang menarik perhatian saya dalam pengalaman saya sebagai seorang Pesuruhjaya Kehakiman dan Hakim, walaupun saya akui bahawa tempoh saya menjadinya masih amat singkat dan pengalaman saya masih terlalu sedikit. Walau bagaimanapun saya akan mengemukakan perkara-perkara yang menarik perhatian saya, sambil memberi pandangan saya mengenainya untuk difikirkan bersama oleh saudara-saudari jika patut, jika perlu diberi satu tajuk, bolehlah dikatakan “Ke Arah Pengwujudan Common Law Malaysia”.
Saudara-saudari sekalian,
Pandangan-pandangan yang saya akan beri ini adalah pandangan saya semata-mata. Tidak mengapa jika saudara-saudari tidak bersetuju dengannya asalkan kita boleh bersetujui bahawa kita tidak boleh bersetuju.
Saudara-saudari sekalian,
Suka atau tidak, undang-undang England, baik yang berupa Akta Parlimen atau penghakiman Mahkamah telah dibawa masuk atau diterima pakai dan telah menjadi sebahagian daripada undang-undang di negara kita. Ada yang dibawa masuk melalui Charter of Justice, ada yang melalui Akta Parlimen kita sendiri dan ada yang diterima pakai oleh Mahkamah kita melalui penghakiman-penghakiman Mahkamah kita. Akibatnya, bolehlah dikatakan bahawa undang-undang di negara kita tidak banyak bezanya daripada undang-undang di England.
Pada pandangan saya, penerimaan dan pemakaian undang-undang England itu bukanlah semestinya satu perkara yang tidak baik. Bukan semua prinsip-prinsip itu tidak baik pula. Banyak di antaranya telah diterima dalam usaha untuk memastikan bahawa perbicaraan dijalankan dengan adil, untuk memastikan bahawa perbicaraan tidak berleretan tanpa arah dan tujuan, untuk mengelak daripada prosiding yang berbilangan dan bertindih-tindan, untuk mengelak sesuatu tindakan yang telah diputuskan tidak akan berulang-ulang dan untuk menentukan bahawa, di mana tidak ada peruntukan undang-undang dalam sesuatu perkara, Mahkamah boleh memberi keputusan seberapa adil yang boleh.
Pada keseluruhannya, penerimaan dan pemakaian prinsip-prinsip ini adalah baik, dan tidak patut ada bantahan terhadapnya. Malah, pada keseluruhannya, prinsip-prinsip Common Law England terutama sekali mengenai prosedur, bukan sahaja telah menjadi undang-undang yang dipakai di Mahkamah Sivil, tetapi makin sehari semakin banyak ianya dipakai di Mahkamah Syariah. Saya dapati semakin banyak orang-orang bercakap berkenaan pemakaian Hukum Syarak di Mahkamah Sivil, hakikatnya ialah lebih banyak prosedur yang dipakai di Mahkamah Sivil telah diterima pakai di Mahkamah Syariah. Sebagai misalan lihat Enakmen Acara Jenayah Syariah, Enakmen Acara Sivil Syariah. Sekarang mereka hendak memberi bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah mengeluarkan perintah injunksi pula. Eloklah.
Semasa saya menjadi Penasihat Undang-undang di Negeri Kelantan dulu, satu jawatankuasa telah ditubuh untuk menggubal Enakmen Acara Jenayah Syariah. Jawatankuasa itu dianggotai oleh, antara lain, Mufti Kelantan. Kami menggunakan Kanun Acara Jenayah sebagai asas untuk penggubalan itu. Saya berkata kepada mereka, “saya tak tahu hukum syarak. Mana-mana peruntukan yang berlawan dengan hukum syarak, beritahu saya. Kita keluarkan”.
Agak menghairankan saya bahawa hampir keseluruhan peruntukan Kanun Acara Jenayah itu didapati tidak bercanggah dengan Hukum Syarak. Cuma beberapa peruntukan seperti perbicaraan dengan memakai juri yang bercanggah dengan hukum syarak. Tetapi di Mahkamah-Mahkamah Rendah pun peruntukan itu tidak terpakai.
Lebih jauh dari itu, dalam satu seminar di Langkawi tahun ini, apabila saya menyebut hal itu, seorang peserta yang saya anggap arif dalam hukum syarak mengatakan bahawa peruntukan-peruntukan itu adalah serupa dengan acara mengikut Mazhab Hanafi!
Saya kata, kalau demikian, baguslah!
Saudara-saudari sekalian,
Saya berpendapat bahawa pemakaian prinsip-prinsip Common Law England dalam bidang prosedur telah menolong menjadikan perbicaraan di Mahkamah-Mahkamah kita berjalan dengan adil dan saksama dan menjadikan proses Mahkamah kita diiktiraf oleh dunia, walau pun kita akui ianya tidak “perfect”. Tetapi tidak ada sistem yuang “perfect”. Kalau ada sistem yang “perfect” pun selagi ia dilaksanakan oleh manusia yang semestinya tidak “perfect”, ia tidak akan “perfect” juga.
Saya juga berpendapat bahawa pemakaian prinsip-prinsip itu dalam bidang perdagangan, percukaian, persyarikatan dan kontrak adalah antara faktor-faktor yang menggalakkan perdagangan, pelaburan asing dan pertumbuhan ekonomi negara kita.
Jika demikian halnya, mengapa kita harus bercakap mengenai “Common Law Malaysia”?
Mungkin salah satu daripada jawapannya diberi oleh Y.A.A. Ketua Hakim Negara dalam ucapannya bertajuk “Common Law, satu khayalan atau kenyataan” di Universiti Islam Antarbangsa pada 24 Februari 1990. Katanya, antara lain:
“Pada pandangan saya oleh kerana negara kita adalah negara yang merdeka berdaulat, seksyen 3 (Akta Undang-undang Sivil) dengan
rujukannya kepada Common Law England dan kaedah-kaedah ekuiti seperti yang ditadbirkan di England pada 7 haribulan April 1956, tidak boleh dipertahankan dari segi politik. Dengan perkataan lain, saya menganjurkan pendakwaan (?) kemerdekaan kehakiman dan satu langkah yang penting untuk mewujudkan identiti kebangsaan ialah penaksiran atau pindaan kepada seksyen 3 itu.”
Prof. L.C. Green, menulis dalam tahun 1963 [1963] MLJ xxviii, di bawah tajuk “Filling the Lacuna in the Law”, antara lain berkata:
“Apart from any problem that might arise from the fact that this legislation attempts, to some extent at least, to introduce a supplementary English common law or equity which may have become out of date and which may no longer be applicable in England, the situation in Malaya and Singapore is today different from what it was at the time of the enactmant of the ordinances. In view of the increased potilical stature of the two territories, and in anticipation of further changes likely to be effected with the establishment of Malaysia, it is now perhaps evidence of an out of date attitude as well as contrary to national prestige to make provision for the supplementation of the local law in the event of lacunae by means of reference to any “alien” system, whether it be that of the former imperial power or not.”
Di samping itu, terdapat satu golongan yang antaranya termasuk oleh Prof. Ahmad Ibrahim yang sangat vokal dalam mendesak pemansuhan peruntukan-peruntukan Akta Undang-Undang Sivil itu dan menggantikananya dengan Hukum Syarak, yang sebelum kedatangan British adalah undang-undang tempatan di negara kita. Banyak kertas kerja telah ditulis mengenainya dan beberapa seminar telah diadakan.
Kita sedia maklum bahawa seksyen 3(1) Akta Undang-Undang Sivil 1956 memperuntukkan pemakaian Common Law England dan kaedah ekuiti seperti yang ditadbirkan di England pada tarikh-tarikh tertentu, misalnya di Malaysia Barat pada 7 April 1956.
Seksyen 5 Akta itu pula memperuntukkan pemakaian undang seperti yang ditadbirkan di England pada tarikh Akta itu berkuatkuasa dalam bidang perkongsian, perbadanan bank dan urusan bank, prinsipal dan ejen, pengangkutan dengan jalan udara, darat dan laut, insuran laut, kerugian laut (average), insuran api dan nyawa, dan yang berkenaan dengan undang-undang persaudaraan umumnya.
Banyak telah ditulis dan perkatakan berkenaan peruntukan-peruntukan ini. Rata-rata pendapat yang disuarakan ialah bahawa peruntukan ini patut dipinda:
(i) supaya undang-undang di seluruh Malaysia menjadi selaras;
(ii) supaya Mahkamah di Malaysia boleh memakai prinsip-prinsip yang datangnya bukan sahaja dari England,
(iii) supaya prinsip-prinsip yang berkembang selepas tarikh itu boleh dipakai juga;
(iv) supaya, undang-undang tempatan khususnya prinsip-prinsip hukum syarak boleh dipakai.
Rasanya, pandangan itu tidak boleh dipertikaikan, bagi saya, bukan sangat untuk memerdekakan kehakiman, bukan sangat kerana identiti nasional, bukan kerana anti bekas penjajah, tetapi, lebih dari itu, kerana kesesuaian prinsip-prinsip yang mungkin sesetengahnya telah lapuk itu di negara kita.
Memanglah seksyen 3(1) Akta Undang-undang Sivil itu sendiri mempunyai proviso yang berbunyi:
“Provided always that the said common law, rules of equity and statutes of general application shall be applied so far only as the circumstances of the States of Malaysia and their respective inhabitants permit and subject to such qualifications as local circumstances render necessary”.
Beberapa perkara patut disebut mengenai peruntukan ini.
Pertama, ia mengatakan bahawa jika undang-undang England yang berkenaan itu didapati tidak sesuai, ia bolehlah tidak dipakai atau dipakai dengan penyesuaian yang perlu.
Kedua, ia tidak mengatakan undang-undang yang mana yang patut dipakai.
Ketiga, rujukan kepada proviso itu sendiri, dalam pengalaman saya amat jarang dibuat dalam penghujahan kes. Malah, kadangkala, kes-kes dihujahkan seolah-olah Pulau Pinang (saya cuma boleh bercakap berkenaan Pulau Pinang) ini sebahagian daripada England atau ia masih menjadi tanah jajahan England, seolah setiap keputusan Mahkamah di England patut diikuti, seolah-olah kata-hata hakim-hakim England adalah wahyu. Ada kalanya rujukan dibuat kepada penghakiman-penghakiman di England tetapi tidak sedikit pun kepada undang-undang bertulis di Malaysia dan/atau penghakiman Mahkamah-Mahkamah di Malaysia sendiri. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku.
Oleh itu tidak hairanlah jika Mahkamah juga kurang merujuk kepada proviso itu, memandangkan bahawa kita mengamalkan “adversarial system” dan Mahkamah dikehendaki membuat keputusan mengikut pliding kedua-dua belah pihak dan tekanan kerja yang tidak mengizinkan Hakim-Hakim membuat kajian sendiri dan kekurangan buku-buku rujukan.
Walau bagaimana pun saya harus sebut satu penghakiman Peh Swee Chin H. (pada masa itu) dalam kes Syarikat Batu Sinar Sdn. Bhd. v. U.M.B.C. Finance Bhd. Dalam kes itu Hakim Peh Swee Chin (pada masa itu) enggan mengikuti penghakiman House of Lords dan sebaliknya mengikuti keputusan Mahkamah Tinggi Brunei Darulsalam. Dalam berbuat demikian beliau mengambil kira “keadaan tempatan”.
Saudara-saudari sekalian,
Saya ingin menarik perhatian saudara-saudari kepada dua prinsip dan undang-undang yang telah diterima pakai di negara ini. Pertama ialah prinsip “caveat emptore” (atau mengikut tafsiran saya “pembeli waspada, penjual menipu” atau budaya Petaling Street dan Chowrasta Market). Selama ini saya belum dengar dihujahkan sama ada prinsip ini sesuai dengan keadaan tempatan, termasuk hukum syarak dan budaya Malaysia. Rasanya prinsip Hukum Syarak bahawa penjual dan pembeli mesti jujur, bahawa penjual dikehendaki memberitahu pembeli tentang kecacatan barang yang hendak dijualnya, jika ada, adalah lebih baik. Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa persatuan-persatuan pengguna cuma perlu ada kerana wujudnya prinsip seperti caveat emptore itu.
Satu misalan lagi ialah prinsip “equitable estoppel”. Prinsip ini telahpun diterima oleh Mahkamah-Mahkamah di Malaysia, tanpa menimbang kesesuaiannya. Bahawa ia telah menjadi undang-undang Malaysia sudah tidak boleh disangkal lagi – lihat Yong Tong Hong v. Siew Soon Wah & Ors. . Mok Deng Chee v. Yeap Swee Hooi & Ors. .
Bagi saya prinsip ini ada baiknya dan ada tidak baiknya. Baiknya kerana seorang tuan tanah tidak boleh menghalau seorang penyewa tanpa pampasan. Tetapi tidak baiknya ialah seorang tuan tanah yang kerana murah hatinya, membenarkan seorang penghuni tinggal percuma di tanahnya, akhirnya terpaksa membayar pampasan pula – yang mengikut amalan hari ini biasa sebuah rumah teres! Nampaknya kedudukannya samalah seperti arak mengikut Al-Quran (saya merujuk kepada ayat yang turun lebih awal berkenaan arak) iaitu ada baiknya tetapi mudaratnya lebih besar. Tidak mengapalah apa pandangan kita tentang prinsip ini. Apa yang saya hendak tekankan ialah ia diterima tanpa soal, tanpa menimbang kesesuaiannya di negara kita di mana, adalah satu amalan biasa bagi seseorang yang mempunyai tanah membenarkan saudara maranya yang miskin mendiri rumah di atas tanahnya.
Saya khuatir prinsip seperti ini akan menghapuskan budaya tolong-menolong, bantu-membantu, gotong-royong, yang telah menjadi asas masyarakat kita, terutama sekali masyarakat Melayu kampong. Adalah lebih baik budaya Melayu kampong itu dijadikan asas undang-undang kita daripada budaya asing itu.
Satu perkara lagi yang saya sebutkan ialah Akta Kawalan Sewa. Akta ini kalau tidak silap saya, diimport dari England. Dikatakan bahawa akta itu diwujudkan di England selepas Perang Dunia Kedua, semasa masalah perumahan amat genting. Oleh itu tuan-tuan rumah mengambil kesempatan menaikkan sewa sewenang-wenangnya.
Saya tidak tahu sama ada kita mempunyai masalah seperti itu pada masa kita mengadakan undang-undang itu. Saya juga tidak tahu sama ada pada awalnya ia membawa kesan yang baik kepada negara kita, kerana saya tidak membuat kajian mengenainya. Tetapi, pada hari ini, saya berpendapat bahawa ia membawa kesan negatif. Penyewa menjadi tuan, tuan rumah menjadi “orang tahanan”. Penyewa membayar sewaan pada kadar dua puluh tahun dahulu, tetapi menjual barangan mereka pada harga hari ini. Dari segi pembangunan lihatlah “George Town” itu. Perhatikan betapa banyak rumah sebelum perang dalam keadaan yang menyedihkan. Jangan khuatir, banyak firma-firma peguam juga terdapat dalam bangunan seperti itu. Cuba tanya mereka sama ada mereka mengenakan fee yang “terkawal” juga?
Usaha-usaha untuk mendapat kembali, baik di Lembaga Sewa, mahupun di Mahkamah (saya mesti akui, walaupun saya merasa malu menyebutnya) mengambil masa bertahun-tahun, malah berdekad-dekad. Sementara menunggu berakhirnya guaman, penyewa-penyewa terus mengutip sewa daripada penyewa-penyewa kecil bukan pada kadar yang terkawal, walaupun sewaan kecil itu melanggar perjanjian antara tuan tanah dengan penyewa utama.
Saya harap Undang-undang ini, dan undang-undang seperti ini (termasuk sistem juri) akan dihapuskan dengan segera.
Mungkin saya patut berhenti sejenak di sini dan bertanya: apakah yang dimaksudkan dengan Common Law Malaysia itu? Bagi saya, ia adalah undang-undang yang berjiwa Malaysia yang sesuai dengan keadaan di Malaysia. Ia boleh datang dari mana juga, tetapi keutamaan hendaklah diberi kepada unsur-unsur tempatan seperti hukum syarak, adat resam dan undang peribadi orang-orang Melayu, Cina, India, dan lain-lain yang sesuai dipakai oleh semua di negara kita. Jadi dalam menggubal undang-undang, atau memutuskan sesuatu kes di mana terdapat kekosongan yang perlu diisi, kita harus melihat sekeliling kita dahulu, sebelum terbang ke England atau menyeberangi Lautan Hindi yang senantiasa bergelora tanpa arah dan tujuan itu atau ke negara-negara Commonwealth lain, seperti yang kerapkali dilakukan sekarang.
Kita lihat dalam undang-undang kita di zaman Ketua Hakim Negara kita orang British, di masa rayuan masih boleh dibuat ke Majlis Privi, di masa Bahasa Inggeris menjadi bahasa Mahkamah, ada amalan di kalangan orang-orang Melayu yang telah menjadi undang-undang. Saya merujuk kepada sistem “jual-janji”. Jual janji bukan suatu konsep undang-undang yang dicipta oleh peguam, hakim atau professor undang-undang. Ia adalah satu cara, pinjaman yang kerapkali dilakukan di kalangan petani-petani, termasuk di kampong saya, apabila mereka tidak cukup wang untuk ke Mekkah atau menikahkan anak. Sekarang ia sudah jadi satu prinsip undang-undang.
Saya ingin beri satu contoh lagi iaitu “harta sepencarian”, yang selama ini saya faham adalah satu amalan masyarakat tani Melayu apabila berlaku perceraian. Tetapi baru-baru ini, dalam satu seminar di Langkawi seorang professor berkata mengikut kajiannya, ia berasal dari hukum syarak, mazhab Hanafi, kalau tak silap.
Tetapi, tidaklah menjadi persoalan dari mana asalnya. Jika ia berasal dari hukum Syarak lagi baik, kerana ertinya kita melaksanakan salah satu hukum Islam. Jika tidak pun, tidak mengapa kerana ia tidak bercanggah dengan undang-undang Islam. Apa yang saya mahu tekankan ialah bahawa itu adalah salah satu misalan di mana Undang-undang tempatan telah dipakai dalam perundangan kita. Jadi, kita harus perluaskan lagi pemakaian konsep seperti itu dalam undang-undang kita.
Apakah peranan penggunaan bahasa Malaysia dalam mewujudkan Common Law Malaysia itu?
Saya akui dulu saya tidak terfikir bahawa kedua-dua ini ada hubungan. Mungkin saya terpengaruh kepada hakikat bahawa hukum syarak bukan sahaja ditulis, dibincang, dan dikembangkan melalui bahasa Arab. Banyak ulama’-ulama’ Melayu (terutama sekali dari Pattani, seperti Sheikh Daud Al-Fattani) yang menulisnya dalam bahasa Melayu.
Tetapi, saya mula berfikir semula setelah membaca tulisan Prof. R.H. Hickling dalam bukunya Malaysia Law di mukasurat 35:
“In fact the language of Malaysian Law has been English for less than a hundred years. If a Malaysia jurisprudence is to develop, then the national language – the medium from which the nation itself draws life – must effectively be adopted. In certain states, such as Kedah, Perlis, Kelantan and Terengganu some proceedings in the High Court are already conducted entirely in the national language; and this tendency will inevitably continue. Yet the obstacle of the English common law remains forbidable, as the long and ever increasing rows of English law reports confirm. While the speedy retrieval of case law is now possible with computerization and new technology, the problem for Malaysia remains and can only be resolved by a confrontation between English and Malaysian Common Law, and a change in the structure of the legal profession itself – a profession still domited by English trained barristers.”
Berlainan daripada orang-orang seperti Sheikh Daud Al-Fattani yang berjiwa Islam dan menulis berkenaan hukum-hukum Islam dalam Bahasa Melayu, peguam-peguam dan Hakim-Hakim yang berhujah dan menulis dalam Bahasa Inggeris, bukan sahaja berhujah atau menulis dalam bahasa Inggeris. Mereka sendiri berjiwa Inggeris. Kadang-kadang lebih Inggeris daripada orang-orang Inggeris, cuma kulitnya sahaja yang tak putih. Orang-orang itu mengagung-agungkan sesuatu yang bersifat Inggeris, berpandangan bahawa budaya dan kesusasteraan Inggeris sahajalah yang agung di dunia ini, berfikir sebagai atau lebih daripada sebagai seorang Inggeris. Mereka tidak mengambil berat, malah kadang-kadang memandang rendah terhadap bahasa, kesusasteraan, budaya, adat istiadat orang Malaysia sendiri dan hukum Syarak. Oleh itu kita semestinya tidak boleh mengharapkan kepada mereka untuk melahirkan undang-undang yang menerapkan unsur-unsur tempatan, termasuk Hukum Syarak ke dalam undang-undang kita.
Kerapkali, apabila disebut perkataan Hukum Syarak banyak orang melatah. Mereka beranggapan bahawa Hukum Syarak hanyalah potong tangan dan rejam dengan batu sampai mati. Dalam hal ini, orang-orang Islam sendiri patut disalahkan kerana tidak memberi gambaran yang sebenar berkenaan dengan jurisprudensi dan keadilan undang-undang Islam. Adalah tidak memadai hanya sekadar mengatakan bahawa Hukum Islam itu hukum Allah, oleh itu ia maha adil. Hukum Allah pun jika tidak dilaksanakan dan ditadbirkan dengan adil akan membawa akibat yang tidak adil. Apa yang lebih penting ialah mendedahkan jurisprudensi Islam itu sendiri dan cara bagaimana undang-undang itu dikehendaki dilaksanakan.
Umat Islam harus mendedahkan prinsip-prinsip perundangan Islam lebih mudah diterima oleh masyarakat majmuk di Malaysia ini. Sebagai misalan ambil prinsip “caveat emptore” yang saya sebut lebih awal. Bandingkan dengan prinsip undang-undang Islam di mana penjual mesti memberitahu kecacatan barangan yang hendak dijualnya. Saya tidak fikir ada sesiapa yang akan menentang prinsip undang-undang Islam itu jika ia diserapkan ke dalam undang-undang kita, tidak kira apa ugamanya, malah jika dia tidak beragama sekalipun. Persatuan-persatuan pengguna semestinya akan menyokong. Penjual-penjual juga tidak patut menentang kerana apa yang mereka jual itu kerapkali, terlebih dahulu, mereka beli. Hanya penipu sahaja yang akan menentang. Adakah kepentingan penipu yang patut dijaga?
Saudara-saudari sekalian,
Kembali kepada soal bahasa tadi. Apa yang dikatakan masalah penggunaan bahasa Malaysia di Mahkamah, sebenarnya bukanlah masalah bahasa, tetapi masalah manusia. Bahasa berkembang kerana ia digunakan dan dengan cara itu dikembangkan oleh manusia. Manusia boleh menggunakan sesuatu bahasa jika ia tahu bahasa itu. Seorang yang tidak tahu bahasa Inggeris tidak boleh menggunakan bahasa Inggeris termasuk dalam bidang perundangan. Dia tidak boleh berkata bahawa bahasa itu yang bermasalah. Sebenarnya dialah yang bermasalah.
Bagi saya, dalam hal ini manusia yang sebenarnya bermasalah adalah Hakim-Hakim. Selagi mereka tidak boleh menggunakan Bahasa Malaysia, selama itulah bahasa Malaysia tidak akan digunakan. Peguam-peguam yang tidak boleh menggunakan bahasa Malaysia bukan satu masalah. Kerana, jika Mahkamah menggunakan bahasa Malaysia, peguam-peguam terpaksa menggunakannya. Mereka yang tidak boleh menggunakan bahasa Malaysia dengan sendirinya akan mengundurkan diri atau perkhidmatan mereka tidak akan dicari. Siapa yang akan mengambil seorang peguam yang tidak boleh bercakap di Mahkamah untuk mewakilinuya? Satu evolusi “survival of the fittest” akan berlaku. Yang “fit” akan kekal. Yang tidak “fit” akan terpaksa berusaha menjadi “fit” atau lenyap.
Mungkin orang berkata ini terlalu “drastic”. Kita akan kehilangan khidmat peguam-peguam yang kanan dan terpelajar, semata-mata kerana mereka tidak fasih dalam bahasa Malaysia. Saya kata, dalam dunia “meritokrasi” kekananan tidak penting. Saya kata, seorang peguam yang tidak boleh menggunakan bahasa Mahkamah bukanlah seorang peguam yang terpelajar. Saya kata, ketiadaan mereka tidak akan merugikan profesyen undang-undang atau mencacat pentadbiran kehakiman. Dulu, semasa bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar di Mahkamah dan di pejabat-pejabat, orang yang tidak boleh berbahasa Inggeris tidak mendapat pekerjaan, melainkan sebagai peon. Tidak pula dikatakan itu tidak adil atau merugikan.
Saudara-saudari sekalian,
Kesimpulananya, saya berpendapat bahawa sudahlah tiba masanya untuk kita meMalaysiakan undang-undang kita, dengan menyerapkan unsur-unsur undang-undang, adat resam dan amalan tempatan itu. Setelah berbuat demikian, apabila terdapat kekosongan dalam undang-undang kita, kita beri perhatian terlebih dahulu kepada unsur-unsur perundangan tempatan, sebelum kita melihat keluar. Jika tidak ada, baru kita lihat ke luar, tetapi sebelum menerimanya, kita patut timbang dahulu kesesuaiannya sebelum menerimanya, sama ada dengan pengubahsuaian atau tidak.
Saudara-saudari sekalian,
Hari ini kita berada di persimpangan jalan – persimpangan antara bahasa Inggeris dengan bahasa Malaysia, antara Common Law England dengan Common Law Malaysia. Saudara-saudari mempunyai kelayakan dan peluang untuk mengambil bahagian sama ada untuk menjadi pelopor atau pembela “status quo”. Saudara-saudari boleh membuat pilihan sendiri. Saya telah membuat pilihaan saya, betul atau tidak. Penghakiman-penghakiman saya adalah buktinya, baik atau tidak.