NOTA PERBICARAAN DAN ULANG BICARA
JABATAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG.
KURSUS TEKNIKAL UNDANG-UNDANG
KADI DAN PENDAKWA NEGERI PULAU PINANG
Pada: 7 Oktober 1992 hingga 8 Oktober 1992
TAJUK: NOTA PERBICARAAN DAN ULANG BICARA
Oleh:
Dato’ Abdul Hamid Bin Haji Mohamad
Hakim Mahkamah Tinggi
Pulau Pinang
Dalam kertas ini saya akan mengemukakan apa yang dilakukan di Mahkamah Sibil. Saya akan serahkan kepada tuan-tuan untuk menimbang mana yang sesuai dicontohi dan mana yang tidak, mengikut keadaan di Mahkamah Syariah.
Nota Perbicaraan
Nota Perbicaraan ialah catitan yang diambil oleh hakim semasa mengendalikan perbicaraan. Ia meliputi nota berkenaan tarikh setiap persidangan sesuatu kes, pihak-pihak yang hadir dan tidak hadir, apa-apa permohonan atau bantahan lisan, keputusan, arahan, perintah dan keterangan saksi-saksi.
Nota perbicaraan tidak termasuk alasan penghakiman. Ia ditulis berasingan. Ia juga tidak termasuk Perintah yang dimeteraikan. Ia juga disediakan berasingan. Ia juga tidak termasuk Ekshibit dan pliding (pernyataan tuntutan dan pembelaan).
Tujuan mengambil nota keterangan
Pertama, sebagai rekod yang boleh dirujuk untuk mengetahui perjalanan sesuatu kes, sama ada ia mengikut peraturan atau tidak, sama ada keputusan yang dibuat itu betul atau tidak dari segi fakta dan undang-undang. Ini penting untuk mengelak sebarang tuduhan ketidak-jujuran atau kesilapan Hakim.
Kedua, untuk membolehkan Hakim menyemak dan mengkaji semula keterangan, hujah dan isu yang berbangkit dalam sesuatu perbicaraan itu, apabila dia hendak menulis alasan penghakiman.
Ketiga, untuk tujuan rayuan (appeal), terutama sekali apabila antara alasan rayuan itu ialah keputusan Mahkamah silap di segi fakta seperti, tidak disokong oleh fakta.
Kes Jenayah
(i) Tertuduh mengaku salah
Mahkamah tidak semestinya menerima setiap pengakuan salah oleh tertuduh. Mahkamah mesti berpuashati –
- bahawa tertuduh faham pertuduhan itu,
- faham keadaan dan akibat pengakuan salah itu,
- ada kesalahan di sisi undang-undang seperti pertuduhan dan,
- fakta-fakta dikemukakan dan dipersetujui oleh tertuduh menunjukkan bahawa terdapat kesalahan.
Dalam keadaan biasa, tertuduh yang mengaku salah cuma boleh merayu terhadap hukuman. Tetapi, dia boleh juga merayu terhadap sabitan jika sabitan itu menyalahi undang-undang.
Oleh itu hakim perbicaraan mestilah mencatit bahawa –
- pertuduhan dibaca dan diterangkan kepada tertuduh,
- tertuduh mengaku salah,
- tertuduh faham akan keadaan dan akibat pengakuan salahnya itu,
- fakta-fakta rengkas yang diberi oleh pegawai pendakwaan,
- tertuduh bersetuju dengan fakta-fakta itu,
- sabitan,
- rayuan untuk hukuman ringan, jika ada
- hukuman.
(ii) Tertuduh tidak mengaku salah
Jika tertuduh tidak mengaku salah seluruh prosiding itu mestilah dicatit.
- Permohonan Lisan
Jika ada permohonan lisan, seperti untuk penangguhan permohonan dan alasannya, bantahan dan alasannya, jika ada, dan keputusan Mahkamah mestilah dicatit. - Bantahan
Kerapkali dalam sesuatu perbicaraan, beberapa bantahan akan dibuat. Misalnya, pertuduhan tidak sah, pertuduhan tidak menyebut fakta yang cukup, keterangan yang hendak dikemukakan tidak boleh diterima (inadmissible). Semua bantahan itu, dan hujah kedua belah pihak dan keputusan hakim mestilah dicatit. - Keterangan saksi-saksi
Keterangan saksi-saksi mestilah dicatit sepenuhnya. Biasanya ia dicatit secara cerita, bukan soal-jawab. Ada bahagian-bahagian yang lebih baik dicatitkan secara soal-jawab. Misalnya:
(a) apabila saksi sengaja berdolak dalik;
(b) apabila sesuatu fakta itu “dikatakan” (put) kepada saksi.
Tidak semestinya setiap patah yang dikatakan oleh saksi dicatit. Yang penting ialah isi patinya.
Setiap ekshibit yang dimasukkan hendaklah ditanda dan diberi nombor. Biasanya ada dua peringkat. Peringkat pertama ialah ekshibit itu ditunjukkan kepada saksi. Di peringkat ini, amalan saya ialah mencatit, misalan –“baju tangan panjang warna biru ditunjuk kepada saksi – ditanda sebagai ID1”.
Kemudian, apabila saksi yang mengambil baju itu (biasanya pegawai penyiasat) memberi keterangan, baju itu ditunjuk kepadanya. Setelah dicam olehnya, baju itu akan dikemukakan sebagai ekshibit. Catitan yang perlu dibuat ialah:
“ID1 ditunjuk kepada saksi (PW…). Dicam, dikemukakan dan ditanda sebagai P1…”.
Hanya selepas dikemukakan dan ditanda sebagai P1, baru ia menjadi ekshibit.
Kes sibil
- Penghakiman dengan persetujuan, penghakiman ringkas, penghakiman tanpa kehadiran.
Dalam sesuatu tuntutan sibil kedua pihak boleh merekodkan penghakiman dengan persetujuan. Dalam hal sedemikian, Mahkamah hendaklah mencatitkan bahawa penghakiman itu adalah “Dengan Persetujuan”, kerana penghakiman “Dengan Persetujuan” tidak boleh diketepikan atas permohonan satu pihak, seperti penghakiman ingkar, atau tanpa kehadiran. Demikian juga penghakiman ingkar atau penghakiman yang dibuat tanpa kehadiran Defendan, hakikat itu hendaklah dicatit. - Permohonan dan bantahan
Sama seperti kes-kes jenayah. - Keterangan saksi
Sama seperti dalam kes jenayah. Tetapi perlu disebut bahawa dalam kes sibil, kedua pihak boleh bersetuju tentang fakta, isu dan dokumen.
Di Mahkamah Sibil, sebelum perbicaraan, pihak Plaintif akan memfail “Ikatan Pliding”, “Ikatan Fakta yang dipersetujui” dan “Ikatan Dokumen yang tidak dipersetujui”. Masing-masing pihak memfailkan “Ikatan Dokumen yang tidak dipersetujui” masing-masing. Supaya mudah dirujuk, amalan saya ialah menandakan ikatan-ikatan itu A, B, C dan seterusnya sebelum perbicaraan bermula.
Jika, dalam perbicaraan ada fakta, isu atau dokumen yang dipersetujui, hakikat itu hendaklah dicatit.
Ada dua jenis persetujuan mengenai dokumen:
- mereka bersetuju ia diterima sebagai ekshibit tanpa memerlukan pembuatnya dipanggil menjadi saksi dan mengemukakannya. Persetujuan jenis tidak bererti kedua pihak bersetuju tentang benar atau tidaknya kandungan dokumen-dokumen itu. Dalam keadaan ini Mahkamah masih perlu membuat keputusan fakta sama ada fakta-fakta yang tersebut dalam dokumen-dokumen itu benar atau tidak, berdasarkan keseluruhan keterangan.
- mereka bersetuju dokumen-dokumen itu diterima masuk sebagai keterangan dan bersetuju dengan kebenaran isi kandungannya. Dalam keadaan ini mereka hanya menerima bahawa fakta-fakta yang tersebut dalam dokumen-dokumen itu adalah benar.
Catitan hendaklah menunjukkan dengan jelas sama ada persetujuan mengenai dokumen-dokumen itu terhad kepada ianya boleh diterima sebagai bukti atau meliputi kebenaran fakta-fakta yang tersebut di dalamnya.
Alasan Penghakiman
Walaupun alasan penghakiman bukan sebahagian daripada nota perbicaraan, ia adalah sebahagian daripada Rekod Rayuan.
Alasan Penghakiman amat penting dalam sesuatu rayuan. Peguam Perayu cuma boleh mempertikaikan sesuatu keputusan atau penghakiman dengan merujuk kepada alasan penghakiman. Mahkamah Rayuan juga cuma boleh tahu apakah sebenarnya keputusan Hakim perbicaraan berkenaan sesuatu fakta, undang-undang dan mengapa beliau membuat keputusan atau penghakiman seperti yang dibuatnya, berdasarkan alasan penghakiman. Peguam perayu boleh menghujah dan Mahkamah Rayuan boleh memutuskan sama ada hakim perbicaraan tidak menimbang apa-apa fakta atau persoalan yang sepatutnya dipertimbangkan berdasarkan alasan penghakiman. Juga boleh dilihat daripada alasan penghakiman sama ada beban membukti diletak di atas pihak yang sepatutnya dan sama ada hakim perbicaraan menggunakan “burden of proof” yang bersesuaian (dalam kes jenayah “melampaui keraguan yang munasabah” dan dalam kes sibil “atas imbangan kemungkinan”.)
Oleh itu alasan penghakiman hendaklah menyebut:
- fakta yang diterima, jika bercanggah, mengapa diterima satu versi dan tidak versi yang lainnya;
- undang-undang berkenaan sesuatu isu, jika terdapat dua versi yang dihujahkan, mengapa menerima satu versi dan tidak yang lainnya;
- beban pembuktian terletak di atas pihak mana;
- “degree” pembuktian yang diperlukan;
- sama ada sesuatu unsur (ingredient) (dalam kes jenayah) atau sesuatu isu (dalam kes sibil) dibuktikan;
- keputusan di atas setiap unsur atau isu;
- penghakiman;
- (dalam kes jenayah) alasan mengapa hukuman itu dijatuhkan.
Alasan Penghakiman hendaklah ditulis dengan jelas dan cara yang mudah difaham.
Nota Ulangbicara (Rayuan)
Perbezaan yang nyata antara perbicaraan dan ulangbicara (rayuan) ialah dalam rayuan, tidak ada keterangan saksi-saksi. Mahkamah Rayuan biasanya membuat keputusan berdasarkan keterangan yang telah dicatit oleh hakim perbicaraan. Biasanya, cuma hujah kedua belah pihak yang didengar. Oleh itu catitan yang perlu dibuat adalah ringkas.
Amalan saya ialah, saya meminta peguam yang berhujah itu menyatakan terlebih dahulu apa “point” yang hendak dihujahkannya. Kemudian dia bolehlah merujuk kepada nas-nas undang-undang dan bahagian-bahagian keterangan dalam nota keterangan yang berkenaan yang menyokong hujahnya itu. Saya tidak mencatit nas-nas itu atau keterangan itu. Saya cuma mencatit rujukannya misalnya “Akta Keterangan Seksyen 71”, “Rekod Rayuan mukasurat 28-30”.
Sebaik-baiknya, Mahkamah Rayuan hendaklah memberi penghakiman bertulis atau menulis alasan penghakiman selepas memberi keputusan, untuk menjadi ikutan Mahkamah yang lebih rendah dan panduan Mahkamah itu sendiri, di masa hadapan.
Perintah Mahkamah Rayuan hendaklah dicatit dengan jelas – sama ada rayuan diluluskan atau ditolak atau, sama ada rayuan itu ditarik balik, sama ada rayuan itu dibatalkan. Jika sebahagian rayuan diluluskan dan sebahagian lagi tidak, perkara itu juga mestilah dicatit dengan jelas. Perintah mengenai kos juga mestilah dicatit dengan jelas.