HWANG THEAN LONG LWN. ROBIN TAN PANG HENG

HWANG THEAN LONG LWN. ROBIN TAN PANG HENG
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMAD H
GUAMAN SIVIL NO. 22-98-92
11 APRIL 1992
[1992] 1 CLJ Rep 459; [1992] 4 CLJ 1816
PROSEDUR SIVIL: Injunksi – Mesyuarat Agung Tahunan – Injunksi – notis -Kaedah-kaedah kelab – Imbangan kesesuaian – Memihak kepada defendan.

Plaintif seorang ahli biasa Penang Turf Club memohon satu deklarasi bahawa notis Mesyuarat Agung Tahunan Kelab bertarikh 21 Februari 1992 tidak sah. Plaintif juga memohon bahawa Mesyuarat Agung Tahunan yang ditetapkan pada 27 Mac 1992 tidak sah serta satu injunksi menahan Mesyuarat Agung Tahunan tersebut diteruskan. Plaintif berhujah bahawa mengikut Kaedah-Kaedah kelab 19, 20 dan 21 hanya setiausaha kelab berhak memanggil mesyuarat tersebut, bukan jawatankuasa, bukan pengurus besar. Jawatankuasa tidak mempunyai apa-apa kuasa dalam hal tersebut. Ia juga berhujah bahawa notis tersebut tidak ditandatangani oleh setiausaha seperti dikehendaki oleh kaedah-kaedah tersebut.
Diputuskan:
[1] Mahkamah berpendapat bahawa kaedah-kaedah kelab itu membenarkan jawatankuasa kelab itu memanggil atau mengarahkan supaya Mesyuarat Agung Tahunan dipanggil. Ia juga berpendapat bahawa kegagalan mematuhi kehendak k. 21 yang mengkehendaki notis tersebut ditandatangani oleh setiausaha itu, hanyalah satu kegagalan prosedur. Kegagalan prosedur tersebut tidaklah sampai menjadikan iklan itu tidak sah.
[2] Mahkamah tidak nampak bahawa Plaintif sebagai ahli biasa boleh ‘sufficiently threatened with irreparable damage’ jika mesyuarat tersebut dilangsungkan. Masalah kelab lebih baik diselesaikan di kelab bukan di Mahkamah.
[3] Atas alasan ini juga, Mahkamah berpendapat bahawa ini bukanlah satu kes yang sesuai bagi Mahkamah untuk menggunakan budibicara untuk mengeluarkan perintah injunksi seperti yang dipohon.

Case(s) referred to:
Lee Liong Chan & Anor. v. Tan Sri Datuk Teh Ewe Lim & Anor.[1984] 1 LNS 67;
[1985] 2 MLJ 138
(diikuti)

Counsel:
Bagi pihak plaintif – V.M. Mohan (Murugiah with him); T/n. V.M. Mohan
Bagi pihak defendan – Rumi Manecksha (Surinder Singh with him); T/n. Ong & Manecksha

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamed H:
Plaintif adalah seorang ahli biasa Penang Turf Club. Beliau memohon satu deklarasi bahawa notis Mesyuarat Agung Tahunan Kelab itu bertarikh 21 Februari 1992 tidak sah,bahawa Mesyuarat Agung Tahunan yang ditetapkan pada 27 Mac 1992 adalah tidak sah dan satu injunksi menahan Mesyuarat Agung Tahunan itu diteruskan.
Permohonan ini difailkan pada 25 Mac 1992, iaitu dua hari sebelum mesyuarat itu diadakan. Saya mengarahkan plaintif menyerahkan permohonan ini kepada defendan. Pada 26 Mac 1992 saya mendengar kedua belah pihak dan menolak permohonan ini dengan kos.
Alasan yang dikemukakan oleh peguam plaintif dalam hujahnya ialah mesyuarat itu tidak dipanggil oleh setiausaha dan notis itu tidak ditandatangani oleh setiausaha.
notis yang dikeluarkan dan diiklankan mempunyai kata-kata berikut di akhirnya:
By Order of the Committee,
Robin Rizal P.H. Tan
General Manager.
Eloklah diperturunkan kaedah-kaedah yang berkenaan di sini :
19. The business of the annual general meeting shall be to receive and consider and pass, if thought fit the reports, accounts and balance sheet, to elect the committee and president and such other officers as are subject to annual election and to consider any other business the terms of which shall have been notified in writing to the secretary not less than seven (7) days before the date of the meeting.
20. Other general meetings shall be called by the secretary on the direction of the committee, or on the written requisition of not less than twenty five ordinary members of the club, stating the object for which a meeting is required.
21. Meetings shall be called by an advertisement signed by the secretary, and published in one or more daily newspapers in Penang, Singapore, Kuala Lumpur and Ipoh at least 14 days before the day of the meeting.
Oleh sebab peguam plaintif cuma menghujah alasan-alasan yang saya sebutkan di atas sahaja saya membuat keputusan berdasarkan hujah-hujah itu sahaja.
Kaedah 19 menyebut berkenaan ” the business of the General Meeting”.
Kaedah 20 bermula dengan kata-kata:
other General Meetings shall be called by the Secretary on the direction of the Committee…
Kaedah 21, di antara lain menyebut:
Meetings shall be called by an advertisement signed by the secretary…
Peguam plaintif menghujahkan bahawa Mesyuarat Agung Tahunan hanya boleh dipanggil oleh setiausaha, bukan jawatankuasa, bukan pengurus besar. Dalam lain perkataan, setiausaha berhak untuk membuat keputusan untuk memanggil atau tidak memanggil Mesyuarat Agung Tahunan. Jawatankuasa tidak mempunyai apa-apa kuasa dalam hal itu. Jawatankuasa cuma boleh mengarahkan setiausaha memanggil Mesyuarat Agung lain.
Berkenaan kedudukan setiausaha, diperhatikan bahawa dia bukanlah salah seorang ahli jawatankuasa – lihat kaedah 6. Kedua-dua belah pihak bersetuju bahawa setiausaha hanyalah seorang pekerja (employee) kelab itu.
Jadi, kalau hujah peguam plaintif diterima, ini bererti bahawa hak untuk memanggil atau tidak memanggil Mesyuarat Agung Tahunan terletak kepada seorang pekerja (employee) kelab itu, dan jawatankuasa tidak mempunyai apa-apa kuasa memanggil Mesyuarat Agung Tahunan atau mengarahkan setiausaha memanggilnya.
Saya akui, sekali imbas nampaknya kaedah-kaedah 19, 20 dan 21 mengatakan demikian. Tetapi, keadaan ini adalah amat ganjil dan perlu diteliti dan dibaca pada keseluruhannya, bersama-sama kaedah-kaedah lain yang berkenaan.
Meneliti peruntukan kaedah-kaedah 19, 20 dan 21 dan peruntukan kaedah 6 yang, antara lain, mengatakan “The club shall be managed by a Committee…”, saya berpendapat perkataan “other” di permulaan kaedah 20 itu tidak patut difahamkan sebagai memberi makna bahawa jawatankuasa cuma berkuasa mengarahkan setiausaha memanggil Mesyuarat Agung lain dan tidak berkuasa memanggil atau mengarahkan supaya Mesyuarat Agung Tahunan dipanggil.
Kuasa yang diberi kepada jawatankuasa untuk mengurus (manage) kelab itu semestinya termasuk kuasa memanggil atau mengarahkan supaya dipanggil Mesyuarat Agung Tahunan. Adalah amat anih jika jawatankuasa berkuasa mengarahkan supaya Mesyuarat-Mesyuarat Agung lain dipanggil tetapi tidak berkuasa mengarahkan supaya Mesyuarat Agung Tahunan dipanggil. Saya juga berpendapat bahawa kaedah 21 bukanlah berkaitan dengan kuasa memanggil Mesyuarat Agung, sama ada Mesyuarat Agung Tahunan atau bukan. Kaedah 21 hanya berkenaan prosedur notis itu hendak diberi, yang saya akan bincangkan selepas ini.
Oleh itu, saya berpendapat bahawa adalah tidak menyalahi peruntukan kaedah-kaedah kelab itu bagi jawatankuasa mengarahkan pemanggil Mesyuarat Agung Tahunan itu.
Perkara kedua yang dihujahkan ialah bahawa iklan itu hendaklah ditandatangani oleh setiausaha, bukan pengurus besar.
Diperhatikan bahawa jawatan pengurus besar juga tidak disebut dalam kaedah-kaedah kelab itu. Apa yang saya faham daripada hujah kedua-dua belah pihak beliau juga adalah seorang pekerja (employee) kelab itu, malah pekerja yang paling kanan.
Dalam memutuskan sama ada iklan yang ditandatangani oleh beliau dan bukan setiausaha itu sah atau tidak, peruntukan kaedah 21 adalah berkenaan.
Tidak boleh dinafikan bahawa kaedah itu memperuntukkan bahawa iklan itu hendaklah ditandatangani oleh setiausaha. Tetapi, soalnya, jika seperti dalam kes ini ia ditandatangani oleh Pengurus Besar, adakah ia tidak sah?
Saya berpendapat bahawa kaedah 21 hanyalah sebagai satu arahan (directory) dan bukanlah satu perkara yang termesti (mandatory). Kegagalan mematuhinya tidaklah sampai menjadikan iklan itu tidak sah. Kehendak kaedah 21 yang menghendaki iklan itu ditandatangani oleh setiausaha itu, pada pandangan saya, hanyalah satu kehendak prosedur. Mahkamah patut melihat kepada ” substance rather than the form “- lihat Lee Liong Chan & Anor. v. Tan Sri Datuk Teh Ewe Lim & Anor.[1984] 1 LNS 67;[1985] 2 MLJ 138.
Kesimpulannya saya berpuashati bahawa notis atau iklan itu adalah sah dan, oleh itu, tidak ada persoalan serius yang patut dibicarakan. Oleh sebab itu injunksi yang dipohon ini tidak patut diberi.
Selain dari itu, saya juga berpendapat bahawa imbangan kesesuaian (balance of convenience) juga memihak kepada defendan. Tidak boleh dinafikan bahawa kelab ini perlu mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya. Notis dikehendaki diberi untuk memaklumkan ahli-ahli tarikh dan perkara yang akan dimesyuaratkan. Dalam kes ini, bukan notis tidak diberi malah diberi atas arahan jawatankuasa, badan tertinggi yang menguruskan kelab itu. Mana-mana ahli yang tidak berpuashati dengan pengurusan kelab itu boleh hadir dan menyuarakan rasa tidak puashatinya. Mana-mana pihak yang tidak sukakan mana-mana calun yang di pertua atau ahli jawatankuasa boleh tidak mengundinya dan mengundi calun yang disukainya. Mana-mana ahli yang ingin bertanding mana-mana jawatan yang dipertandingkan boleh berbuat demikian.
Saya tidak nampak apa faedahnya menahan Mesyuarat itu diadakan atas alasan-alasan yang remeh. Seberapa yang boleh, masalah kelab lebih baik diselesaikan di kelab, bukan di Mahkamah. Saya juga tidak nampak bahawa plaintif, sebagai ahli biasa, ” is sufficiently threatened with irreparable damage” jika mesyuarat itu dilangsungkan.
Atas alasan ini juga, saya berpendapat bahawa ini bukanlah satu kes yang sesuai bagi Mahkamah ini menggunakan budibicaranya mengeluarkan perintah injunksi seperti yang dipohon.
Saya menolak permohonan injunksi ini dengan kos.

137 visits