SUNDRAM RAMASAMY lwn. ARUJUNAN ARUMUGAM & YANG LAIN

SUNDRAM RAMASAMY lwn. ARUJUNAN ARUMUGAM & YANG LAIN
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMAD
GUAMAN SIVIL NO. 25-1557-85
7 JUN 1991
[1991] 2 CLJ Rep 176; [1991] 3 CLJ 2109

TORT: Liabiliti – Dua kemalangan yang berlainan – Kecuaian defendan – Kecuaian sertaan plaintif.

Plaintif yang menunggang sebuah motorsikal terlibat dalam kemalangan jalanraya dengan D1. D1, yang memandu kereta; defendan kedua, D2, adalah pemilik kereta. Mengikut laporan polis yang dibuat oleh D1, plaintif telah terlibat dalam satu kemalangan dengan motosikal lain sebelum berlaku kemalangan antara plaintif dengan defendan. Disebabkan kemalangan pertama itu plaintif terbaring di tengah jalan di mana ia terjatuh bersama motosikalnya. Tidak ada orang yang melihat kejadian itu dan plaintif dan defendan juga tidak memberi keterangan di Mahkamah. Saksi-saksi yang memberi keterangan ialah bekas pegawai polis yang menyiasat kemalangan itu, anak plaintif dan seorang anak rakan plaintif.
Mengikut keterangan saksi bagi pihak plaintif, kereta defendan telah menggelek dan mencederakan kaki kanan plaintif. Soalnya adakah D1 cuai dalam menyebabkan kecederaan plaintif itu dan soal berikutnya ialah adakah plaintif bersalah kerana kecuaian sertaan?
Diputuskan:
[1] Berdasarkan keterangan yang ada, hanya kecederaan di kaki kanan plaintif yang boleh dipertanggungjawabkan kepada D1.
[2] Fakta plaintif terbaring melintang di jalanraya dan digelek oleh kereta defendan belum cukup untuk membuktikan bahawa defendan cuai. Daripada rajah kasar, tidaklah diketahui di mana kereta D1 berada, semasa perlanggaran berlaku.
[3] Berasaskan laporan polis oleh D1, Mahkamah membuat kesimpulan D1 berada agak jauh dari tempat plaintif terjatuh dan jika dia tidak memandu keretanya terlalu laju dan jika ia mengambil tindakan segera untuk mengelak, ia boleh mengelak daripada melanggar plaintif. Dalam keadaan ini, defendan telah cuai.
[4] Tidak diketahui bagaimana kemalangan pertama itu berlaku dan tidak boleh dikatakan bahawa kecuaian plaintif telah menyebabkan kemalangan pertama. Mengenai kemalangan kedua, tidak ada keterangan sama ada plaintif masih berupaya bangun dan lari ke tepi jalan untuk mengelak daripada dilanggar oleh defendan. Defendan telah gagal membuktikan bahawa plaintif gagal berjaga-jaga dengan munasabah untuk menjaga keselamatan dirinya. Oleh itu tidak ada kecuaian sertaan di pihak plaintif.
[Nota Pengarang: Defendan telah merayu kepada Mahkamah Agung melalui M.A.R.S. No. 02-200-91]

Case(s) referred to:
Foong Nan lwn. Sagadevan [1971] 1 LNS 33[1971] 1 MLJ 24 (dirujuk)
M.A. Clyde lwn. Wong Ah Mei & Anor. [1970] 1 LNS 73[1972] 2 MLJ 183 (diikuti)
Ng Kah Heng lwn. Ng Pek Choo [1989] 2 CLJ (Rep) 170 (dipertimbangkan)

Counsel:
Bagi pihak plaintif – Sithambaram; T/n. Kumar, Sitham & Co.
Bagi pihak defendan – Bala Mahesan; T/n. Bala Mahesan & Co.

Case History:
Supreme Court : [1994] 4 CLJ 300

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamed PK:
Dalam kes ini hanya soal liabiliti yang menjadi persoalan. Di akhir perbicaraan saya memutuskan bahawa D1 liable sepenuhnya bagi kemalangan itu tetapi dia hanyalah bertanggungjawab bagi kecederaan-kecederaan berikut:
(a) ” laceration of skin about 10 cm “; dan
(b) ” fracture of lower 1/3 right tibia/fibula “, dan tidak bagi kecederaan-kecederaan lain.
Tidak ada orang yang melihat kejadian itu memberi keterangan di Mahkamah. Plaintif tidak memberi keterangan walaupun dia hadir di Mahkamah. Saya berpuashati bahawa dalam keadaan sekarang, disebabkan oleh kecederaan kepada otaknya dia tidak boleh memberi keterangan yang boleh menolong Mahkamah dalam membuat keputusannya.
Defendan pertama juga hadir tetapi, atas sebab-sebab yang lebih diketahui olehnya, atau peguamnya, memilih untuk tidak memberi keterangan.
Walau bagaimanapun tiga orang saksi memberi keterangan iaitu bekas pegawai polis yang menyiasat kemalangan itu, anak plaintif dan seorang rakan anak plaintif.
Selain daripada keterangan-keterangan mereka, saya terpaksa mengambil kira dokumen-dokumen seperti laporan polis, rajah kasar, gambar, pernyataan fakta-fakta yang dipersetujui dan laporan perubatan.
Adalah dipersetujui oleh kedua-dua pihak bahawa:
(a) satu kemalangan berlaku di antara motorsikal bernombor PV 8249 dan kereta bernombor PAW 2857;
(b) plaintif pada masa kemalangan itu berlaku adalah penunggang motorsikal nombor PV 8249;
(c) D1 pada masa kemalangan itu berlaku adalah pemandu kereta PAW 2857;
(d) defendan kedua adalah tuanpunya kereta PAW 2857.
Perlu diambil perhatian bahawa selepas saksi-saksi memberi keterangan dan sebelum membuat hujah-hujahnya, peguam plaintif memohon meminda butiran-butiran kecuaian yang terdapat di perenggan 4(i) pernyataan tuntutan yang berbunyi:
i. causing, permitting or allowing the said motor car to collide into the plaintif;
dengan menambah perkataan-perkataan:
who was lying in the centre of the road.
Daripada laporan polis yang dibuat oleh D1, yang menjadi asas kes plaintif, tidak syak bahawa sebelum berlaku kemalangan di antara D1 dan plaintif, plaintif telah pun terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah motorsikal lain. Mengikut laporan itu, akibatnya kedua-dua penunggang itu telah jatuh di tengah jalan. Salah seorang daripadanya bangun sambil mengangkat motorsikalnya. Oleh sebab terlalu dekat beliau tidak dapat mengawal keretanya dan terus langgar sebuah motorsikal yang terbaring di atas jalan itu.
Dalam keterangannya, PW2 memberitahu Mahkamah apabila beliau sampai di tempat kejadian beliau nampak motorsikal (motorsikal plaintif), kereta (yang dipandu oleh D1) dan plaintif yang terbaring melintang di atas garisan putih. Beliau juga memberitahu Mahkamah bahawa beliau nampak kesan tayar di atas kaki kanan plaintif. Disoal di Mahkamah beliau menjelaskan bahawa kesan itu adalah di atas seluar. PW3, anak plaintif yang pergi ke tempat kejadian juga memberi keterangan yang serupa. Pihak defendan tidak mengemukakan apa-apa keterangan bagi menyangkal keterangan PW2 atau PW3. Dalam keadaan ini saya menerima keterangan mereka bahawa plaintif terbaring melintang di tengah jalan dan terdapat kesan tayar di atas kaki (seluar) kanannya. Andaiannya ialah kereta yang dipandu oleh D1 menggelek kaki kanan plaintif. Sayugia diingat bahawa sebelum itu satu perlanggaran telah berlaku di antara motorsikal plaintif dengan sebuah motorsikal lain dan kedua-dua motorsikal itu terbaring. Dari sini andaiannya ialah plaintif telah jatuh daripada motorsikalnya sebelum kakinya digelek oleh kereta yang dipandu oleh D1. Tidak terdapat apa-apa keterangan lain yang menunjukkan bahawa plaintif ” dilanggar ” oleh kereta yang dipandu oleh D1 dan akibatnya plaintif mengalami semua kecederaan yang dialaminya. Oleh sebab itu saya berpendapat bahawa, mengikut keterangan yang ada, hanya kecederaan di kaki kanan plaintif sahaja yang boleh dipertanggungjawabkan kepada D1.
Soalnya, adakah D1 cuai dalam menyebabkan kecederaan di kaki kanan plaintif itu?
Seperti disebut lebih awal, tidak ada saksi yang melihat kejadian itu berlaku. Rajah kasar menunjukkan bahawa selepas kejadian motorsikal dan kereta berkenaan berada di sebelah kiri jalan menghala ke Sungai Bakap. Terdapat satu ‘kesan garis di atas jalanraya (L). Tetapi tidak diketahui sama ada kesan garis itu baru atau lama, siapa atau apa yang menyebabkannya. Kesimpulannya, daripada rajah kasar, tidaklah diketahui di mana kereta D1, di sebelah kiri atau kanan jalan, semasa perlanggaran berlaku.
Tetapi, sayugia diingat bahawa, mengikut keterangan PW2 dan PW3, plaintif terbaring melintang di tengah jalanraya itu. Dan jika kereta defendan cuma menggelek kaki plaintif, adalah munasabah bahawa kedudukan plaintif tidak banyak berubah, jika pun berubah, selepas dia digelek. Oleh itu satu-satunya andaian yang boleh dibuat ialah kereta D1 menggelek kaki plaintif semasa plaintif terbaring melintang jalanraya. Saya akui bahawa fakta ini sahaja tidak membuktikan bahawa D1 cuai.
Tetapi, dalam laporan polis yang dibuat oleh D1 sendiri beliau berkata:
…masa itu jam saya dapati 2 buah motosikal yang datang dari arah hadapan saya terlibat dalam kemalangan antara satu sama lain. Kedua-dua penunggang itu telah jatuh di tengah-tengah jalan, sebaik sahaja kemalangan itu terjadi salah seorang daripada mangsa kemalangan itu telah bangun sambil mengangkat motorsikalnya.
Jika D1, mengikut apa yang dikatakannya sendiri, [boleh melihat perlanggaran itu sehingga salah seorang penunggang motorsikal itu (bukan plaintif) bangun dan mengangkat motorsikalnya, dan semua itu dilihatnya semasa keretanya sedang berjalan, andaian yang munasabah ialah pada masa perlanggaran di antara kedua buah motorsikal itu berlaku, beliau berada pada kedudukan yang agak jauh yang dalam keadaan biasa, jika beliau tidak memandu terlalu laju dan jika beliau] mengambil tindakan segera untuk mengelak, boleh mengelak daripada melanggar plaintif. Dalam keadaan inilah saya dapati bahawa D1 cuai.
Saya telah menimbang sama ada, dalam keadaan kes ini, plaintif juga bersalah kerana kecuaian sertaan dan berpendapat beliau tidak bersalah kerananya.
Seperti yang dikatakan oleh Ong CJ (pada masa itu) dalam kes Foong Nan lwn. Sagadevan [1971] 1 LNS 33[1971] 1 MLJ 24 at 26:
…contributory negligence means the failure by a person to use reasonable care for the safety of himself, contributing, by his want of care, to his own injury.
Dalam kes M.A. Clyde lwn. Wong Ah Mei & Anor. [1970] 1 LNS 73[1972] 2 MLJ 183, Gill FJ (pada masa itu) berkata:
It is to be observed that the rule at common law in relation to contributory negligence having been modified by s. 12(1) of our Civil Law Ordinance 1956, which is in pari materia with s. 1(1) of the English Law Reform (Contributory Negligence) Act 1945, the damages recoverable would have had to be reduced to the extent of the deceased’s responsibility for the damage, if he himself had been proved to be negligent.
Dalam kes Ng Kah Heng lwn. Ng Pek Choo [1989] 2 CLJ (Rep) 170 170, di mana plaintif dilanggar oleh kereta yang dipandu oleh defendan semasa dia sedang bangun setelah terjatuh daripada motorsikalnya akibat termasuk lopak, L.C. Vohrah H. memutuskan bahawa plaintif bertanggungjawab sebanyak 30% kerana kecuaian sertaan. Hakim yang arif itu mengambil kira kecuaian plaintif yang menyebabkan motorsikalnya termasuk lopak itu.
Dalam kes ini, bagaimana kemalangan pertama berlaku tidak diketahui langsung. Jadi kita tidak boleh mengatakan kecuaian plaintif telah menyebabkan kemalangan pertama. Jadi, kalau pun kecuaian dalam kemalangan pertama boleh diambilkira, tidak ada bukti bahawa dia cuai dalam kemalangan pertama.
Berkenaan kemalangan kedua yang melibatkan defendan, adalah nyata bahawa sebelum kakinya digelek oleh kereta yang dipandu oleh D1, tidak ada keterangan sama ada dia masih berupaya bangun dan lari ke tepi jalan untuk mengelak daripada dilanggar oleh kereta yang dipandu oleh D1. Dalam keadaan ini, pada pandangan saya, defendan tidak berjaya membuktikan bahawa plaintif telah gagal ” to use reasonable care for the safety of himself. ”
Kesimpulannya, saya dapati plaintif berjaya membuktikan diatas imbangan kemungkinan bahawa D1 cuai kerana menyebabkan kecederaan di kaki kanan plaintif.

205 visits