PENDAKWA RAYA lwn. ABU BAKAR SHARIF

MAHKAMAH TINGGI MALAYA, ALOR SETAR
PERBICARAAN JENAYAH NO. 58-10-87
[1991] 2 CLJ Rep 26; [1991] 1 CLJ 63
PROSEDUR JENAYAH: Pengedaran dadah – Pengetahuan tertuduh – Akta Dadah Berbahaya 1952 (Semakan 1980) ss. 2,37,39B(2)- Kanun Acara Jenayah s. 180- Makna ” mengedar ” – Penjagaan atau kawalan – Kegagalan mengemukakan laporan polis – Akta Keterangan 1950 s. 114(g)- Nilai-nilai pembuktian – Percanggahan keterangan – Beban pembuktian pendakwaan dan tertuduh.

Tertuduh telah ditangkap pada 31 Januari 1987 dan seterusnya dituduh dengan kesalahan mengedar dadah berbahaya iaitu 19.124 kilogram candu mentah. Di akhir pendakwaan, tertuduh tidak membuat hujah selain dari mengatakan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya. Mahkamah berpuashati bahawa tertuduh membawa candu itu semasa ditangkap. Soal selanjutnya ialah samada tertuduh tahu bahawa barang yang dibawanya itu adalah dadah berbahaya.
Dalam keterangan bersumpahnya, tertuduh mengatakan bahawa ia keluar malam itu untuk mencucuh burung. Ia mengatakan ia tidak pernah melihat karung plastik yang mengandungi candu itu. Ia mengatakan bahawa ia telah dianiayai oleh polis. Timbalan Pendakwa Raya telah mencabar kebolehpercayaan tertuduh berdasarkan perbezaan keterangannya di Mahkamah dengan pernyataan beramaran yang telah dibuat olehnya kepada polis. Walau bagaimanapun, Mahkamah mendapati percanggahan itu tidak serius. Tertuduh juga telah membangkitkan isu perbezaan keterangan saksi-saksi pendakwaan.
Diputuskan:
[1] Perbezaan keterangan antara saksi-saksi pendakwaan tentang jarak jauh atau dekat tertuduh pada masa mereka mula-mula nampaknya adalah satu perbezaan kecil dan tidak menimbulkan was-was tentang fakta yang mereka nampak tertuduh membawa karung plastik berkenaan.
[2] Perbezaan keterangan tentang waktu (8.15 malam atau 8.30 malam) juga adalah satu perbezaan kecil yang tidak menimbulkan was-was terhadap kes pendakwaan atau saksi-saksinya.
[3] Perbezaan keterangan tentang bagaimana tertuduh ditangkap setelah berlaku pergelutan di bendang juga satu perbezaan yang kecil dan tidak menimbulkan was-was terhadap kes pendakwaan.
[4] (a) Mengenai hujah tertuduh bahawa pendakwaan telah gagal mengemukakan laporan polis bernombor 110/87 sebagai ekshibit dalam perbicaraan dan oleh itu menimbulkan anggapan di bawah s. 114(g) Akta Keterangan 1950, Mahkamah mengatakan bahawa pihak pembelaan sendiri tidak meminta saksi pendakwaan mengemukakan laporan itu semasa menyoal balas saksi berkenaan.
(b) Soalnya bagi Mahkamah ialah samada laporan itu satu dokumen yang penting. Laporan itu sebenarnya adalah laporan yang dibuat oleh seorang pegawai polis selepas tangkapan dibuat. Kalaupun laporan itu dikemukakan di Mahkamah, ia tidak mempunyai apa-apa nilai pembuktian.
(c) Oleh yang demikian, pada pendapat Mahkamah, laporan itu bukan satu dokumen penting dan kegagalan pendakwaan mengemukakannya tidak membangkitkan anggapan di bawah s. 114(g) Akta Keterangan 1950.
[5] Mahkamah juga berpendapat bahawa pendakwaan tidak sengaja menekan (withhold) atau menutup (suppress) laporan itu. Timbalan Pendakwa Raya tidak mengemukakannya kerana ia kurang jelas samada laporan itu boleh diterima atau tidak oleh Mahkamah.
[6] Mengenai hujah tertuduh bahawa ia tidak diperiksa (dusted for opium) dan di pakaiannya tidak terdapat kesan candu, Mahkamah berpendapat kegagalan pendakwaan membuat ” dusting ” terhadap tertuduh itu tidak sedikitpun mencacatkan kesnya. Demikian juga dengan ketiadaan kesan candu pada pakaian tertuduh; ia tidak menimbulkan was-was terhadap, atau mencacatkan, kes pendakwaan.
[7] Mahkamah juga berpuashati bahawa tertuduh mempunyai jagaan atau kawalan ke atas karung plastik yang mengandungi candu mentah itu. Dengan menggunakan anggapan (d) dan (da)(v) s. 37 Akta berkenaan, pendakwaan telah berjaya membuktikan tertuduh mengedar dadah berbahaya.

Case(s) referred to:
Haw Tua Tau v. Public Prosecutor [1981] CLJ (Rep) 11
Munusamy v. Public Prosecutor [1987] CLJ (Rep) 221
Dato’ Mokhtar bin Hashim v. Public Prosecutor [1983] CLJ (Rep) 101
Public Prosecutor V. Foong Chee Cheong [1969] 1 LNS 128

Legislation referred to:
Dangerous Drugs Act 1952, ss. 39B(1), (2)
Criminal Procedure Code, s. 180
Evidence Act 1950, s. 114illus.(g)

Counsel:
Bagi pihak pendakwa – Mohd. Zabidin bin Mohd. Diah, Timbalan Pendakwa Raya
Bagi pihak tertuduh – K. Kalimuthu; M/s. Kalimuthu & Associates

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamed PK:
Tertuduh, Abu Bakar bin Sharif dituduh seperti berikut:
Bahawa kamu pada 31 Januari 1987 jam lebih kurang 9.00 malam di tepi Jalan Tanah Merah di Kampung Bendang Cerok, Mukim Temin, Changloon, di Daerah Kubang Pasu di dalam Negeri Kedah, telah didapati bagi pihak diri kamu sendiri, mengedar dadah berbahaya iaitu 19.124 kilogrames candu metah, oleh yang demikian kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah s. 39(B)(1) dan boleh dihukum di bawah s. 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Semakan 1980).
Kes pendakwaan adalah seperti berikut:
Pada 31 Januari 1987 Insp. Yazri bin Ismail (PW2) pergi ke Kampung Bendang Cerok, Mukim Temin, Changloon untuk membuat serang hendap bersama-sama tiga orang anggotanya iaitu:
(1) DPC Ahmad Paris bin Abd. Rahman;
(2) DPC Arifin bin Zainal; dan
(3) DPC Abdul Rashid bin Shaari.
Mereka sampai di tempat serang hendap itu lebih kurang 8.30 malam. Tempat itu adalah jalan tanah merah. Di tepi kedua-dua belah jalan itu terdapat semak-semak yang tidak berapa tinggi. Di kiri kanan jalan itu ialah sawah padi yang pada masa itu kering. Jauh sedikit terdapat kebun getah.
Mereka mengambil kedudukan di dalam semak di sebelah kanan jalan jika seseorang itu menghala ke Sintuk. PW2 duduk bersama DPC Arifin bin Zainal (PW3) manakala DPC Ahmad Paris duduk bersama-sama DPC Abdul Rashid. Jarak antara dua kumpulan mereka itu adalah lebih kurang 5 kaki.
Cuaca malam itu baik, tiada hujan, berbintang tetapi tidak berbulan. Semasa mereka menunggu di situ terdapat kenderaan, terutama sekali motorsikal, lalu di situ. Tetapi itupun jarang-jarang sahaja.
Pada jam lebih kurang 9.00 malam PW2 nampak satu lembaga sedang berjalan ke arah mereka dari sebelah kiri tempat mereka berada. Pada masa PW2 mula-mula nampak lembaga itu, lembaga itu berada lebih kurang 40-50 kaki daripada mereka. PW2 nampak lembaga itu membawa lampu picit di tangan kirinya dan satu bungkusan di tangan kanannya. Dia memberitahu anggota-anggotanya supaya bersiap sedia. Tidak lama kemudian lembaga itu sampai betul-betul di hadapan mereka. Lembaga itu berhenti dan menyuluh ke bahu jalan yang bertentangan dengan kedudukan mereka. Pada masa itu, atas arahan PW2, PW3 keluar daripada tempat dia bersembunyi dan mendekati lembaga itu dari belakang. PW2 ikut di belakang PW3. Apabila sampai di tengah jalan itu, PW2 mengarahkan PW3 supaya menerkam. Sebelum PW3 menerkam, PW2 berteriak ” Polis. Jangan lari “. PW3 menerkam kepada lembaga itu. Pada masa itu PW2 nampak bungkusan yang dipegang oleh lembaga itu jatuh di tepi bahu jalan yang curam. Dalam pergelutan yang berikutannya PW3 dan lembaga itu juga jatuh ke dalam bendang. Dengan bantuan PW2, PW3 dapat meniarapkan lembaga itu dan mengilas tangannya ke belakang. Pada masa itu dua orang anggota lagi juga sampai. Atas arahan PW2, Det. Konst. Ahmad Paris menggari tangan lembaga itu. Lembaga itu adalah tertuduh. Selepas itu PW3 membawa tertuduh pergi ke tempat di mana PW2 dan tertuduh mula-mula bergelut dan terjatuh. Di situ, dalam bendang, berdekatan dengan bahu jalan di sebelah kiri, PW2 menjumpai satu karung plastik bertanda Lembaga Padi dan Beras Negara yang diikat dengan tali rafia berwarna merah. Sejurus kemudian Det. Konst. Abdul Rashid memanggil PW2 dan berkata ” Encik, Encik, torchlight “. Atas arahan PW2 Det. Konst. Abdul Rashid mengambil lampu picit itu yang berada dalam bendang dan masih menyala dan menyerahkannya kepada PW2. Di hadapan tertuduh, PW2 membuka karung plastik itu dan mendapati di dalamnya 10 ketul yang disyaki candu. Selepas itu PW2 mengikat semula karung plastik itu. Mereka tunggu di situ sehingga lebih kurang 1.30 pagi 1 Februari 1987 apabila mereka bertolak balik ke Balai Polis Changloon membawa bersama-sama mereka tertuduh dan karung plastik (P12) bersama-sama dengan isi kandungannya.
Seorang lagi anggota serang hendap yang dipanggil memberi keterangan ialah Det. Konst. Ariffin bin Zainal (PW3). Dialah yang duduk bersama-sama PW2 semasa mengambil kedudukan serang hendap. Dialah yang menerkam untuk menangkap tertuduh dan bergelut dengan tertuduh. Keterangannya, pada umumnya adalah sama dengan keterangan yang diberi oleh PW2 walaupun terdapat beberapa perbezaan dalam hal-hal detail.
Peguam tertuduh memilih untuk tidak membuat hujah-hujah di akhir kes pendakwaan selain daripada berkata pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh untuk dipanggil membela diri. Tetapi itu tidak bererti saya tidak perlu menimbang sama ada pendakwaan telah membuktikan terhadap tertuduh yang ” jika tidak disangkal akan mengakibatkan sabitan terhadapnya ” – s. 180 Kanun Acara Jenayah.
Dalam kes ini pokok pangkalnya ialah adakah saya berpuashati melampaui was-was yang berpatutan (beyond reasonable doubt) bahawa PW2 dan PW3 nampak tertuduh membawa karung plastik yang berisi candu mentah itu sebelum dia diterkam? Menimbangkan keterangan PW2 dan PW3 dan memandangkan bahawa kawasan itu adalah kawasan lapang, langit pada malam itu berbintang, bahawa tertuduh membawa lampu picit yang dinyalakannya semasa berjalan dan karung plastik itu berwarna cerah, saya berpuashati bahawa PW2 dan PW3 melihat dan boleh nampak tertuduh membawa karung plastik itu. Saya juga berpuashati bahawa karung plastik itulah yang terjatuh daripada tangan tertuduh semasa dia diterkam, bahawa karung plastik itulah yang dijumpai kemudiannya dan di dalamnya terdapat ketul-ketul candu mentah itu. Saya juga berpuashati bahawa rangkaian keterangan (chain of evidence) dibuktikan dengan baik dan ketul-ketul candu mentah itulah yang diperiksa dan dianalisa oleh Ahli Kimia, PW1, yang mengesahkannya sebagai candu mentah seberat 19.124 kg. Saya juga berpuashati bahawa ia jugalah yang dikemukakan di Mahkamah sebagai ekshibit.
Soal seterusnya ialah sama ada tertuduh tahu bahawa barang-barang yang dibawanya itu adalah dadah berbahaya iaitu candu mentah? Dalam penghakiman saya pengetahuan tertuduh boleh diandaikan daripada fakta-fakta dan keadaan sekeliling kes ini terutama sekali berat karung plastik yang dibimbitnya, keadaan tempat dan masa dia membawanya dan fakta bahawa dia bergelut beberapa lama untuk melepaskan diri apabila diserbu. Semua ini menunjukkan dia tahu apa yang dibawanya itu.
Oleh sebab saya berpuashati bahawa tertuduh membawa candu mentah seberat 19.124 kg itu dan tahu ia adalah candu mentah saya dapati pendakwaan berjaya membuktikan bahawa tertuduh ” mengedar ” dadah bahaya itu, pertama, secara terus-menerus (directly) berdasarkan takrif ” mengedar ” dalam s. 2 Akta Dadah Berbahaya 1952yang termasuk ” membawa “. Kedua, oleh sebab tertuduh mempunyai penjagaan atau kawalan (custody or control) karung plastik yang berisi candu mentah itu, anggaran (d) dan (da)(v) di bawah s. 37 Akta itu juga terpakai. Saya dapati bahawa terdapat kes terhadap tertuduh seperti pertuduhan yang ” jika tidak disangkal akan mengakibatkan sabitan terhadapnya ” (s. 180 Kanun Acara Jenayah) dan mengikut prinsip yang dinyatakan dalam kes Haw Tua Tau v. Public Prosecutor [1981] CLJ (Rep) 11dan dijelaskan dalam kes Munusamy v. Public Prosecutor [1987] CLJ (Rep) 221, saya memanggil tertuduh untuk membela diri.
Tertuduh memberi keterangan bersumpah. Dia menceritakan bahawa dia mempunyai hobi membela burung. Pada malam berkenaan dia keluar dari rumah untuk pergi mencucuh burung. Dia membawa sebatang buluh lebih kurang 5 atau 6 kaki, getah burung yang dibubuh di lidi buluh lebih kurang 5 inci panjang dan lampu picit berbateri tiga. Malam itu gelap, tak berbulan tetapi berbintang sedikit. Dia menyuluh dari satu tempat ke satu tempat. Tiba-tiba dia terdengar bunyi ” prak prak ” yang datangnya dari dalam semak. Empat atau lima orang menerkam kepadanya dan memukulnya. Sebelum itu dia tidak mendengar apa-apa suara. Selepas dia ditangkap, orang-orang itu memberitahu bahawa mereka adalah polis. Dia dibawa masuk ke dalam semak. Dua atau tiga orang anggota polis itu pergi dari situ. Kemudian mereka balik semula membawa karung plastik dan bertanya kepadanya ” itu binatang apa? ” Dia jawab ” tak tahu “. Dia tidak pernah melihat karung plastik itu sebelum itu. Tertuduh menafikan lampu picit yang dikemukakan di Mahkamah itu miliknya. Bungkusan itu dibuka dan dia diberitahu terdapat dadah di dalamnya.
Semasa pemeriksaan balas tertuduh memberitahu bahawa lidi-lidi buluh yang mengandungi getah burung itu diikat di pinggangnya. Dia tidak tahu ke mana perginya, mungkin terjatuh semasa bergelut. Dia juga tidak tahu ke mana perginya buluh dan lampu picit yang dibawanya. Pembelaan juga mengemukakan pernyataan beramaran yang diberinya kepada polis.
Timbalan Pendakwa Raya mencabar kebolehpercayaan tertuduh berdasarkan perbezaan keterangannya di Mahkamah dan pernyataannya itu. Dalam keterangannya di Mahkamah dia mengatakan dia ditempatkan di semak semasa tiga atau empat orang anggota polis itu pergi ke mana dia tidak tahu. Anggota-anggota polis itu kemudiannya kembali ke tempat itu membawa karung plastik berkenaan. Dalam pernyataan beramarannya dia berkata ” beberapa orang lelaki itu heret saya dan cari apa saya tak tahu “, yang bererti dia dibawa bersama semasa anggota-anggota polis itu mencari barang yang tidak diketahuinya. Tertuduh diminta memberi penjelasan tentang percanggahan itu. Dia berkeras bahawa keterangannya dalam Mahkamah adalah betul.
Mengikut keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Dato’ Mokhtar bin Hashim v. Public Prosecutor [1983] CLJ (Rep) 101saya tidak membuat keputusan berkenaan permohonan Timbalan Pendakwa Raya dengan serta merta menangguh keputusan itu sehingga akhir kes.
Saya telah menimbang keterangan tertuduh keseluruhannya. Saya dapati percanggahan keterangannya itu bukanlah sesuatu yang serius yang menyebabkan keterangannya patut diketepikan. Oleh itu saya memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada keterangan beliau keseluruhannya.
Dalam hujahnya En. Kalimuthu membangkitkan beberapa perkara dan persoalan. Pertama, beliau membangkitkan tentang ” percanggahan ” di antara keterangan PW2 dan PW3.
Oleh sebab perkara ini dihujahkan dengan terperinci bagi kali pertamanya setelah kes pembelaan ditutup, biarlah saya membincang dan menimbangnya semula dengan lebih terperinci juga.
Pertama PW2 mengatakan mula-mula dia nampak lembaga itu, lembaga itu berada lebih kurang 40-50 kaki darinya.
PW3 semasa pemeriksaan balas mengatakan bahawa beliau mula nampak lembaga itu pada jarak lebih kurang 15 kaki dan beliau tak boleh nampak lebih daripada 30 kaki. Kemudian beliau mengatakan ” 15 kaki yang saya kata itu, boleh jadi 20, boleh jadi 30 kaki “. Selepas itu, dalam pemeriksaan semula, beliau berkata ” Saya mula-mula nampak lembaga itu lebih kurang 30 kaki. Maksud saya dengan 15 kaki ialah semasa lembaga itu hampir sampai di hadapan saya. Semasa lembaga itu berada lebih kurang 15 kaki dari saya, saya berada di pertengahan jalan. Masa itu lembaga itu berhenti dan menyuluh. Masa saya mula nampak lembaga itu, ia berada lebih kurang 30 kaki. ”
Saya telah mendengar dan memerhatikan tingkah laku (demeanour) PW2, seorang Inspektor yang berpengalaman. Saya dapati beliau adalah seorang saksi yang jujur dan boleh dipercayai. Saya dapati keterangan beliau bahawa mula-mula beliau nampak lembaga itu pada jarak 40 atau 50 kaki boleh diterima.
Sementara itu PW3, seorang koperal, nampaknya kurang tetap (steady). Beliau terlalu cepat memberi sesuatu jawapan dan apabila terperangkap cuba berdalih untuk membetulkannya. Tetapi itu tidaklah bererti bahawa beliau tidak boleh dipercayai langsung. Keterangan PW3, bagi saya, masih boleh dipakai untuk menyokong keterangan PW2, bahawa mereka nampak lembaga itu membawa lampu picit dan karung plastik itu. Dalam hal ini, apa yang penting ialah sama ada saksi-saksi pendakwaan nampak lembaga itu (yang setelah ditangkap dicam sebagai tertuduh) membawa karung plastik itu sebelum dia diserbu. Soal berapa jauh PW2 dan PW3 mula nampak tidaklah penting. Dua orang mungkin mula lihat dan nampak pada masa yang berlainan. Lagi pula anggaran jarak oleh dua orang, terutama sekali di waktu malam, mungkin berbeza. Itu adalah perkara biasa.
Oleh itu, dalam penghakiman saya, perbezaan keterangan di antara kedua-dua saksi itu berkenaan jarak lembaga itu pada masa mereka mula-mula nampaknya adalah satu perbezaan kecil sahaja dan tidak menimbulkan was-was bahawa mereka nampak lembaga itu membawa karung plastik itu.
Perbezaan kedua di antara keterangan PW2 dan PW3 yang dibangkitkan oleh peguam tertuduh ialah, PW2 mengatakan mereka sampai di tempat serang hendap itu lebih kurang pukul 8.30 malam.PW3 mengatakan mereka sampai lebih kurang pukul 8.15 malam. Pada saya perbezaan ini juga adalah satu perbezaan kecil yang tidak menimbulkan apa-apa was-was terhadap kes pendakwaaan atau saksi-saksinya. Perlu diambil ingatan bahawa kedua-dua saksi itu memberi masa yang sama, iaitu lebih kurang pukul 9.00 malam apabila mereka ternampak lembaga itu.
Perbezaan di antara keterangan mereka yang ketiga yang dibangkitkan oleh peguam ialah berkenaan perkataan yang diteriakkan oleh PW2 sebelum PW3 menerkam. Mengikut PW2, dia berteriak, ” Polis. Jangan lari. ” Mengikut PW3, ” Polis ” sahaja. Bagi saya ini juga satu perkara remeh-temeh yang tidak menyebabkan apa-apa was-was terhadap kes pendakwaan atau kewibawaan saksi-saksi itu. Sekurang-kurangnya terdapat satu persamaan iaitu perkara ” Polis ” disebut.
Peguam tertuduh juga mengatakan bahawa keterangan PW2 dan PW3 bercanggah berkenaan kedudukan anggota-anggota serang hendap. Mengikut PW2, beliau dan PW3 duduk bersama, manakala dua orang anggota lain duduk bersama dan jarak di antara dua kumpulan itu adalah lebih kurang lima kaki. Dalam keterangannya PW3 berkata, ” Saya duduk bersama PW2. DPC Abdul Rashid dan DPC Ahmad Paris duduk bersama. Kami duduk di lokasi yang sama. ” Mengikut peguam itu ” kami duduk di lokasi yang sama ” bererti mereka duduk sekumpulan. Ini nyata tidak berasas. Bagi saya tidak ada percanggahan dalam hal ini.
Akhir sekali, peguam tertuduh juga mengatakan bahawa terdapat satu lagi percanggahan yang serius. Mengikut PW2, PW3 dengan dibantu olehnya, berjaya meniarapkan tertuduh dalam bendang dan mengilas tangannya ke belakang. Dua anggota lagi datang membantu selepas itu. Dari keterangan PW3 nampaknya kedua-dua anggota itu datang membantunya sebelum itu, walaupun beliau tidak dengan jelasnya berkata demikian.
Sebagaimana saya katakan lebih awal, saya dapati PW2 seorang saksi yang lebih mantap dan saya tidak syak tentang kebenaran keterangannya. Walau bagaimanapun perbezaan ini juga adalah satu perkara yang kecil. Dalam menceritakan kejadian seperti itu, bahawa terdapatnya perbezaan seperti ini dalam keterangan dua orang saksi adalah perkara biasa dan, dalam penghakiman saya, tidak menimbulkan apa-apa was-was terhadap kes pendakwaan.
Satu hujah lagi yang dibangkitkan ialah berkenaan kegagalan pendakwaan mengemukakan laporan polis yang dibuat selepas tangkapan. Sayugia diambil ingatan, selepas PW2 membawa balik tertuduh ke Balai Polis Changloon, dia membuat laporan polis, bernombor 110/87. Pendakwaan tidak mengemukakan laporan itu sebagai ekshibit. En. Kalimuthu menghujahkan bahawa oleh sebab kegagalan itu Mahkamah hendaklah mensifatkan, jika ia dikemukakan, ia tidak akan memberi manfaat kepada pendakwaan – s. 114(g) Akta Keterangan 1950. Beliau merujuk kepada kes Munusamy v. Public Prosecutor [1987] CLJ (Rep) 221
Semasa menjawab hujah Encik Kalimuthu itu, Timbalan Pendakwa Raya mengatakan bahawa laporan itu dibuat selepas tangkapan. Sama ada laporan yang bukan laporan maklumat awal (first information report) boleh diterima sebagai keterangan atau tidak masih tidak jelas, biasanya pihak pembelaanlah yang membantah jika laporan seperti itu hendak dikemukakan. Dalam kes ini, pihak pembelaan sendiri tidak meminta PW2 mengemukakannya semasa menyoalbalas beliau.
Dari pengalaman saya sendiri soal samada laporan yang bukan laporan maklumat awal (first information report) boleh diterima sebagai keterangan atau tidak, selepas pindaan kepada Kanun Acara Jenayah melalui Akta A324 yang berkuatkuasa pada 10 Januari 1976 masih dipertikaikan. Ada kalanya cubaan pendakwaan untuk mengemukakannya dibantah oleh pihak pembelaan untuk mengemukakannya dibantah oleh pendakwaan. Ada kalanya kedua-dua pihak bersetuju untuk dikemukakan atau tidak dikemukakan. Saya sendiri telah memberi keputusan dalam hal ini dalam satu kes lain.
Untuk tujuan kes ini, rasanya tidaklah perlu bagi saya membuat keputusan sama ada laporan itu boleh diterima sebagai bukti atau tidak oleh sebab laporan soalan itu tidak timbul dan tidak dihujahkan di hadapan saya.
Soalnya ialah adakah kegagalan pendakwaan mengemukakan laporan itu menyebabkan anggapan (presumption) di bawah s. 114(g) Akta Keterangan 1950patut dibangkitkan terhadap pendakwaan?
Dalam memutuskan soalan ini eloklah diambil panduan daripada kes Munusamy v. Public Prosecutor [1987] CLJ (Rep) 221Dalam kes itu Mohamed Azmi SCJ yang menyampaikan keputusan Mahkamah Agung berkata, di mukasurat 223:
Adverse inference under that illustration ((g) of section 114) can only be drawn if there is withholding or suppression of evidence and not merely on account of failure to obtain evidence. It may be drawn from withholding not just any document, but material document by a party in his possession, or for non-production of not just any witness but an important and material witness to the case.
Jadi soalnya, adakah laporan itu satu dokumen yang penting?
Sayugia diingat, laporan itu adalah laporan yang dibuat oleh seorang pegawai polis (PW2) selepas tangkapan. Apa yang mungkin terkandung dalam laporan itu hanyalah cerita ringkas tentang penangkapan. Kalaupun ia dikemukakan ia tidak mempunyai apa-apa nilai pembuktian (probative value). Semestinya pendakwaan tidak dan tidak boleh mendasarkan pembuktian kesnya di atas laporan itu. Malah, berkenaan laporan maklumat awalpun, dalam kes Public Prosecutor V. Foong Chee Cheong [1969] 1 LNS 128 Gill J. (pada masa itu) berkata:
However important a document a first information report is, it can never be treated as a piece of substantive evidence and the fact that no first information report was made is not in itself a ground for throwing out a case.
Atas alasan ini, dalam penghakiman saya, laporan berkenaan bukanlah satu dokumen penting yang kegagalan mengemukakannya patut membangkitkan anggapan di bawah s. 114(g)itu.
Selain dari itu, saya juga berpendapat bahawa pendakwaan tidak ” withhold ” atau ” suppress ” laporan itu.
PW2 apabila disoal oleh peguam tertuduh tidak teragak-agak memaklumkan bahawa beliau ada membuat laporan itu dan memberi nombor rujukannya. Peguam tertuduh tidak meminta dia mengemukakannya. Lagi pula, Timbalan Pendakwa Raya tidak mengambil inisiatif mengemukakannya kerana beliau kurang jelas samada laporan itu boleh diterima atau tidak. Dalam keadaan ini saya berpendapat pihak pendakwawan tidak ” withhold ” atau ” suppress ” laporan itu. Oleh itu atas alasan ini juga anggapan di bawah s. 114(g)itu tidak boleh dibangkitkan terhadap pendakwaan kerana tidak mengemukakan laporan itu.
Peguam tertuduh membangkitkan soal ketiadaan keterangan bahawa tertuduh ” was dusted for opium “. Juga ahli kimia (PW1) memberi keterangan bahawa tidak terdapat ” traces of opium ” di pakaian tertuduh.
Samada pihak penyiasatan hendak membuat ” dusting ” atau tidak terserahlah kepada budibicara mereka memandang kepada keadaan sesuatu kes. Dalam kes seperti ini, di mana bahan yang dijumpai adalah candu mentah yang dibungkus dengan plastik dan dibawa dalam karung plastik, kemungkinan ” traces of opium ” ditemui pada tertuduh, jika ” dusting ” dibuat sekalipun, adalah amat tipis. Lainlah halnya jika tertuduh ditangkap semasa sedang membungkus bahan itu. Oleh itu kegagalan pendakwaan membuat ” dusting ” terhadap tertuduh tidaklah sedikitpun mencacatkan kes pendakwaan. Demikian juga dengan ketiadaan ” traces of opium ” di pakaian tertuduh.
Dalam penghakiman saya kegagalan pendakwaan mengemukakan keterangan samada ” dusting ” terhadap tertuduh dibuat atau tidak, dan ketiadaan ” traces of opium ” di pakaian tertuduh tidaklah menimbulkan apa-apa was-was terhadap, atau mencacatkan, kes pendakwaan.
Sekarang tibalah masanya untuk saya menimbangkan keterangan tertuduh pada keseluruhannya dan membandingkannya dengan keterangan saksi-saksi pendakwaan.
Pada dasarnya, pembelaan tertuduh ialah dia dianiayai oleh pihak polis. Dia pergi ke tempat berkenaan untuk burung. Tiba-tiba dia diserbu dan ditangkap. Sejurus kemudian polis membawa karung plastik yang berisi candu mentah. Dia dituduh mengedarnya.
Walaupun saya memberi pertimbangan yang sewajarnya saya tidak dapat menerima kemungkinan benarnya cerita ini. Adalah tidak munasabah mengatakan pihak polis begitu tidak berperikemanusiaan sekali sehingga sanggup berbuat demikian. Tidak ada apa-apa bukti bahawa mana-mana anggota polis yang terlibat dalam penangkapan tertuduh mengenali tertuduh atau ada apa-apa sebab, dendam kesumat dan sebagainya, yang memungkinkan mereka berbuat demikian. Juga, jika mereka hendak menganiaya tertuduh, mengapa mereka harus bersusah payah pergi menyorok dalam semak di tengah-tengah sawah di waktu malam untuk menangkap tertuduh? Mengapa mereka harus menunggu di situ selama empat jam selepas menangkap tertuduh? Bukankah lebih mudah jika mereka pergi sahaja ke rumah tertuduh dan menangkapnya?
Juga dicadangkan oleh pihak pembelaan bahawa pihak polis telah tersalah orang dengan menangkap tertuduh. Sebab itu mereka menunggu di situ selama empat jam selepas menangkap tertuduh.
Sebenarnya saya tidak tahu dan tidak boleh tahu apakah maklumat yang diterima oleh polis dan siapakah yang mereka hendak tangkap. Mungkin orang tertentu mungkin tidak. Mungkin tertuduh mungkin bukan. Tetapi soalnya ialah adakah saya, setelah menimbang semua keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan dan pembelaan, mempunyai was-was yang berpatutan samada tertuduh membawa karung plastik itu sebelum dia ditangkap?
Sebab anggota-anggota pasukan itu menunggu selepas menangkap tertuduh diterangkan oleh PW2 dalam pemeriksaan balas: ” Tujuan saya menunggu ialah untuk memastikan sekiranya orang lain datang mencari OKT “. Saya terima alasan ini. Itu adalah satu tindakan yang wajar. Juga perlu diambil perhatian, sepanjang pasukan serang hendap itu berada di situ, tidak ada keterangan, baik oleh saksi-saksi pendakwaan atau pembelaan, bahawa ada orang lain datang ke tempat itu. Oleh itu, dalam penghakiman saya, cadangan bahawa tertuduh telah tersalah tangkap adalah tidak berasas.
Pihak pembelaan juga mencadangkan bahawa tidak mungkin tertuduh boleh membimbit candu seberat itu (19.124 kg) dengan sebelah tangan. Pembelaan cuba membuktikan bahawa tertuduh mempunyai sebuah motorsikal dan, jika dia hendak membawa barang seberat itu, adalah lebih munasabah dia membawanya dengan motorsikal.
Saya melihat bentuk badan tertuduh. Saya juga mengambil ingatan bahawa tertuduh apabila diserbu mengheret PW3 ke dalam sawah dan bergelut beberapa lama. Hanya dengan pertolongan PW2, barulah PW3 dapat meniarapkan tertuduh. Ini menunjukkan tertuduh adalah seorang yang kuat. Saya tidak syak dia boleh membimbit barang seberat itu dengan sebelah tangan.
Berkenaan motorsikal, anehnya tertuduh tidak ingat nombor motorsikalnya, dia tak pasti berapa lama dia telah membelinya. Setakat keterangan yang dikemukakan saya tidak pasti samada tertuduh mempunyai motorsikalnya pada masa itu. Saya beri ” benefit of the doubt ” kepadanya dalam perkara itu. Namun demikian fakta ini tidaklah menimbulkan was-was bahawa pada malam berkenaan tertuduh membimbit karung yang berisi candu mentah itu. Mengapa dia memilih untuk membimbitnya dan dari mana, dia sahajalah manusia yang tahu.
Bagaimana dengan cerita tertuduh bahawa dia pergi ke tempat berkenaan untuk mencucuh burung? Mengikut tertuduh dia membawa buluh sepanjang 5 atau 6 kaki, lampu picit berbateri tiga dan getah burung yang diikat di pinggangnya. Ketiga-tiga benda ini tidak dijumpai di tempat kejadian. Kalaulah buluh sepanjang itu sebenarnya dibawa oleh tertuduh tidak mungkin ia tidak dilihat oleh saksi-saksi pendakwaan, tidak mungkin ia tidak dijumpai. Demikian juga dengan getah burung. Kalaulah benar ia diikat di pinggang sepatutnya ia masih berada di pinggang semasa tertuduh ditangkap. Andainya ia terjatuh semasa pergelutan, ia sepatutnya dijumpai di tempat pergelutan itu. Demikian juga dengan lampu picit berbateri tiga, jika sebenarnya ada. Tetapi semua ini tidak dijumpai. Yang dijumpai adalah lampu picit berbateri dua. Saya berpuashati melampaui was-was yang berpatutan bahawa cerita saksi-saksi pendakwaan tentang apa yang dibawa oleh tertuduh adalah benar dan cerita tertuduh itu tidak mungkin benar.
Seperti kita sedia maklum untuk berhak dibebaskan tertuduh hanya perlu menimbulkan was-was yang berpatutan terhadap kes pendakwaan, dan di mana pendakwaan melandaskan kesnya di atas anggapan-anggapan (presumptions), tertuduh perlu menyangkal (rebut) anggapan-anggapan itu atas imbangan kemungkinan (on the balance of probabilities). Saya berpuashati melampaui was-was yang berpatutan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan bahawa tertuduh membawa candu mentah berkenaan. Saya juga berpuashati bahawa tertuduh tidak berjaya menimbulkan was-was yang berpatutan bahawa dia tidak tahu bahawa benda yang dibawanya itu adalah candu mentah. Oleh itu saya berpuashati bahawa pendakwaan berjaya membuktikan secara terus menerus bahawa tertuduh mengedar candu mentah itu mengikut tafsiran yang diperuntukkan di dalam s. 2 Akta berkenaan.
Sebagai tambahan, saya juga berpuashati tertuduh mempunyai jagaan atau kawalan (custody or control) karung plastik yang mengandungi candu mentah itu dan dengan menggunakan anggapan-anggapan (d) dan (da)(v) di bawah s. 37 Akta berkenaan, pendakwaan berjaya membuktikan tertuduh mengedar candu mentah itu. Saya juga berpuashati bahawa tertuduh tidak berjaya menyangkal andaian-andaian itu atas imbangan kemungkinan.
Oleh itu, di atas kedua-dua alasan ini saya dapati tertuduh bersalah seperti pertuduhan dan mensabitkannya seperti pertuduhan.
Seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang saya menjatuhkan hukuman mati ke atas tertuduh.

496 visits