BIOGRAFI LENGKAP

BIOGRAFI LENGKAP

TUN ABDUL HAMID BIN HAJI MOHAMAD

 

LATAR BELAKANG DAN SEKOLAH RENDAH

Tun Abdul Hamid telah dilahirkan pada 18 April 1942, di Permatang Tinggi Bakar Bata, Kepala Batas, Pulau Pinang. Kampung itu di kelilingi sawah padi. Semua penduduknya adalah pesawah.

Ayahnya mengaji pondok di Kedah, di pondok Tok Kenali di Kelantan dan di Masjidil Haram. Abang-abangnya mengaji pondok atau Sekolah Arab selepas tamat sekolah Melayu. Mereka berkerja sebagi pesawah. Kakaknya tidak bersekolah sebab, pada masa itu, budak-budak perempuan tidak bersekolah.

Satu peristiwa yang penting dalam hidupnya ialah, suatu pagi, lebih kurang seminggu sebelum sekolah dibuka semula di awal tahun, beliau berkata kepada ayahnya bahawa beliau hendak pergi ke sekolah. Ayahnya bersetuju.

Sampai harinya, memakai baju abangnya dan berkaki ayam beliau mengikut budak-budak yang lebih besar, berjalan melintasi tiga kampung dan satu kawasan sawah untuk ke Sekolah Melayu Paya Keladi. Wang sekolah 10 sen sehari. 5 sen boleh beli bihun, nasi lemak, kuih, sotong katok, ais gelas atau ais kepal.

Semasa dalam Darjah 3, sewaktu membuat gasing, Tun Abdul Hamid tertetak jari telunjuk kanannya sehingga putus. Ayahnya membawanya ke klinik di Kepala Batas. “Dresser” itu menjahit balik bahagian yang putus dengan jarinya, tanpa ubat bius. Selama beberapa bulan beliau berulang alik ke klinik itu, menanggung kasakitan sehingga akhirnya bahagian yang putus itu kering dan tanggal dengan sendirinya.

Beliau tidak pergi ke sekolah selama dua minggu. Kemudian, apabila beliau pergi semula, beliau belajar menulis dengan tangan kiri dan mengambil peperiksaan menulis dan melukis dengan tangan kiri.

Kemudian Cikgu Muhammad Bin Awang, guru darjahnya mendafarkannya untuk masuk ke sekolah Inggeris. Sepatutnya, kelas Special Malay One itu diadakan di St. Mark’s School, Butterworth. Tetapi, kelas itu ditolak ke St. Mark’s Branch School, Prai. Untuk ke sekolah setiap hari beliau terpaksa mengayuh basikal sejauh tiga kilometer, menaiki bas sejauh 17 kilometer, berjalan kaki sejauh 1½ kilometer, menyeberang Sungai Prai dengan sampan dan berjalan kaki sejauh ½ kilometer lagi.

Mengapa kelas itu yang ditolak ke Prai boleh difahami. Sekolah itu adalah sekolah missionary. Mereka tidak boleh mengkristiankan pelajar-pelajar Melayu. Mereka terpaksa mengadakan kelas itu kerana arahan Kerajaan. Jadi ia bukanlah kelas pilihan.

SEKOLAH MENENGAH DAN UNIVERSITI

Beliau memasuki Tingkatan Satu di Sekolah Menengah St. Marks, Butterworth. Dalam tahun 1960, semasa beliau berada dalam Tingkatan Tiga, kerajaan telah mengadakan Minggu Bahasa Kebangsaan. Walaupun beliau tidak pernah bersyarah di khalayak ramai, beliau mendaftarkan diri, menulis ucapannya sendiri dan, pada hari berkenaan, naik ke pentas memakai seluar panjang abangnya dan berucap. Beliau menjadi Johan di peringkat Daerah, Negeri dan Kawasan Utara dan tempat ke-tiga di peringkat Kebangsaan.

Tun Abdul Hamid sedang menyampaikan syarahan di Dewan Tuanku Abdul Rahman yang menobatkan beliau sebagai Johan Syarahan Peringkat Kebangsaan Bahagian Pelajar Melayu Lelaki.

Semasa di Tingkatan Lima di Sekolah Menengah St Mark’s beliau menjadi pelajar Melayu pertama dilantik sebagai Ketua Pengawas di sekolah itu. Dalam tahun itu juga beliau menjadi johan pertandinan syarahan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Kebangsaan Bahagian Pelajar Melayu Lelaki.

Johan bahagian pelajar perempuan bukan Melayu ialah seorang pelajar dari Melaka, keturunan Baba Nyonya bernama Choong Giok Hee, sekarang Toh Puan Hamidah Choong Abdulah, isteri dan ibu kepada empat orang anak-anak beliau.

Tun Abdul Hamid mendapat Gred 1 dalam Peperiksaan Senior Cambridge dan Malaysian Certificate of Education.

Beliau masuk ke Tingkatan Enam di St. Xavier’s Institution, Pulau Pinang. Dalam darjah itu hanya ada tiga orang pelajar Melayu. Kebanyakan guru adalah “brother teachers” yang datang dari England, Jerman, Canada dan lain-lain. Mulanya, beliau bermasalah memahami percakapan mereka. Beliau mengeluh bagaimanalah beliau akan bersaing dengan pelajar-pelajar yang tinggal di George Town dan dihantar ke sekolah dengan kereta manakala beliau sendiri terpaksa bangun jam 5.00 pagi, mandi di perigi jiran apabila perigi sendiri kering au di tali air, menunggang motor sikal ke Butterworth, mengambil feri ke Pulau Pinang untuk sampai ke sekolah. (Selepas itu, bersama beberapa orang kawan, beliau menyewa sebuah bilik di rumah seorang tua China di kawasan gangster, suatu fakta yang hanya diketahuinya kemudian.)

Walau bagaimanapun, dalam minggu pertama, pelajar-pelajar di kelasnya dikehendaki menulis satu esai. Pada minggu berikutnya brother itu masuk ke kelasnya dengan kertas-kertas esai yang sudah diperiksa dan memanggil namanya. Beliau bangun. Selepas itu brother tersebut membaca esai beliau kepada kelas. Pelajar-pelajar kelasnya yang datang dari George Town dan, antaranya mendapat “straight A” (yang sangat jarang di masa itu) terkejut. Beliau pula sangat teruja dengannya. Memang beliau telah memenangi peraduan menulis esai beberapa kali dan esainya dibaca dalam kelas-kelas lain, tetapi itu dalam bahasa Melayu. Ini dalam bahasa Inggeris! Ia memberi keyakinan kepadanya untuk terus berusaha.

Sekolah itu adalah sekolah missionary Roman Catholik. Setiap pagi pelajar-pelajar bukan beragama Roman Katholik diletakkan dalam satu kelas “moral instruction”. Suatu hari brother yang mengajar darjah itu memberi kuliah mengenai agama Islam. Dalam kuliahnya itu, beliau berkata bahawa rukun Islam yang kelima ialah jihad. Tun Abdul Hamid bangun membantah. Di penghujung kelas itu, brother tersebut berkata untuk dua hari berikutnya beliau menyerahkan kelas itu kepada Tun Abdul Hamid.

Beliau pun membuat persediaan dan mengambil alih kelas itu selama dua hari, 45 minit sehari. Beliau tekankan mengenai keesaan Allah s.w.t dan kerasulan para Rasul, daripada Adam a.s. hingga ke Muhammad s.a.w., termasuk Isa a.s. Pada hari kedua, beliau membaca terjemahan Al-Qur’an dalam bahasa Inggeris mengenai isu-isu berkenaan. Selepas dua hari, seorang pelajar perempuan Cina berkata kepadanya “Hamid, I want to be a Muslim”. (Hamid, saya mahu jadi seorang Muslim). Itu adalah pembentangan kertas kerja beliau yang pertama!

Lebih kurang seminggu kemudian, “Brother Principal” (Pengetua) datang ke tepi kelas Tun Abdul Hamid dan memanggilnya keluar. Pengetua itu berkata, “You have a bright future. I would like you to concentrate on your studies. From now on, you don’t have to attend the moral instruction class. You can go to the library and study.” (Kamu mempunyai masa depan yang sangat baik. Saya mahu kamu memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran kamu. Mulai sekarang kamu tidak perlu menghadiri kela “moral instruction” lagi. Kamu boleh pergi ke perpustakaan dan belajar.”)

Beliau sangat gembira sehinggalah 15 tahun kemudian. Pada masa itu beliau menjadi Timbalan Pendaftar, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur. Apabila beliau keluar dari biliknya, beliau ternampak Brother Principal beratur di koridor untuk mendapat perkhidmatan Pesuruhjaya Sumpah. Tun Abdul Hamid memperkenalkan dirinya dan menjemput Brother Principal ke biliknya. Beliau memanggil Pesuruhjaya Sumpah untuk memberi perkhidmatan yang dikehendaki oleh Brother Principal. Pada masa Brother Principal meninggalkan biliknya, Tun Abdul Hamid tertanya-tanya apakah sebabnya yang sebenar mengapa beliau dikecualikan daripada menghadiri kelas “moral instruction” lima belas tahun dahulu itu: adakah kerana Brother Principal itu sangat mengambil berat tentang masa depannya atau kerana ceramahnya kepada kelasnya mengenai Islam?

Selepas lulus Higher School Certificate, beliau memohon dan diterima masuk ke Fakulti Undang-undang di Universiti Singapura. Sampai di sana, beliau baru mendapat tahu bahawa di akhir tahun pertama hanya kira-kira 1/3 (33%) pelajar tahun pertama yang akan lulus dan naik ke tahun kedua. Sekali lagi, beliau mengeluh bagaimana beliau akan bersaing dengan 180 pelajar lain dari Singapura dan Malaysia, termasuk anak seorang Ketua Hakim Negara, Hakim dan yang berasal dari keluarga peguam manakala beliau sendiri tidak pernah bertemu seorang peguam pun dalam hidupnya.

Walau bagaimanapun, sekali lagi penulisan esai memberi sedikit keyakinan kepadanya. Mereka dikehendaki mengambil ujian bahasa Inggeri di mana mereka perlu menulis satu esai mengenai salah satu topik yang diberi. Beliau adalah seorang daripada 54 pelajar dari 180 (30%) yang lulus ujian itu. Beliau bertekad untuk lulus tahun pertama kerana beliau tidak mempunyai pilihan lain, sehingga beliau tidak pulang ke rumah sehingga tamat pengajian tahun pertama. Beliau pulang hanya untuk melihat ayahnya berada di hospital kerana kemalangan jalan raya. Keluarganya tidak memberitahunya kerana tidak mahu mengganggu fikirannya. Pada akhir tahun pertama, 56 orang pelajar (31%) lulus dan naik ke tahun kedua. Beliau adalah antara 38 orang pelajar (15%) yang mendapat ijazah yang lulus dalam tempoh empat tahun.

PEGAWAI KEHAKIMAN DAN PERUNDANGAN
Pada awal bulan Mei 1969, beliau memasuki Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan. Beberapa hari kemudian, beliau terperangkap dalam peristiwa 13 Mei di Kampung Baru, Kuala Lumpur di mana beliau menumpang di rumah seorang kawan.

Beliau berkhidmat dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan selama 21 tahun. Dalan tempoh itu beliau berkhidmat sebagai Majistret, Presiden Mahkamah Sesyen, Penolong Pengarah Biro Bantuan Guaman, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Penasihat Undang-Undang Negeri, Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan hasil Dalam Negeri dan Ketua Bahagian Pendakwaan sebelum dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman (1990) yang menamatkan perkhidmatan beliau sebagai seorang pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan .

HAKIM MAHKAMAH TINGGI, HAKIM MAHKAMAH RAYUAN, HAKIM MAHKAMAH PERSEKUTUAN, PRESIDEN MAHKAMAH RAYUAN DAN KETUA HAKIM NEGARA

Dalam tahun 1990, beliau telah dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman dan ditempatkan di Pulau Pinang. Pada tahun 1992 beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi. Dalam tahun 2002 beliau dilantik menjadi Hakim Mahkamah Rayuan. Dalam tahun 2003, Tun Abdul Hamid dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan. Pada 5 September 2007 beliau telah dilantik menjadi Presiden Mahkamah Rayuan. Pada 11 Disember beliau telah di lantik menjadi Ketua Hakim Negara. Beliau bersara pada 18 Oktober 2008.

Tun Abdul Hamid menyampaikan ucapan pelantikan sebagai Ketua Hakim Negara.

PENULISAN PENGHAKIMAN MENGENAI ISU-ISU DAN MAHKAMAH SYARIAH.
Dalam tempoh hampir 10 tahun sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, beliau telah menulis penghakiman-penghakiman penting mengenai wakaf, murtad dan percanggahan bidangkuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah yang menjadi asas kertas kerja dan ucapan-ucapannya sehingga selepas persaraan beliau dan terkumpul bersama-sama penghakiman-penghakimannya dalam satu jilid bertajuk Konflik dan Pengharmonian setebal 508 halaman itu. Penghakiman-Penghakiman itu ialah:

• Dalip Kaur w/o Gurbux Singh v Ketua Polis Daerah (OCPD) Balai Polis Daerah Bukit Mertajam Pulau Pinang Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Saman Pemula N0 24-796-91.
• Ng Siew Pian v. Sbdul Wahid Bin Abu Hasan Kadi Daerah Bukit mertajam (1993) 11 CLJ 391.
• G Rethinasamy v Majlis Ugama Islam Pulau Pinang [1993] 2 MLJ 166
• Tan Kim Luan v Sabariah Binti Md Noor [1995] 1 CLJ 323.
• Isa Abdul Rahman v Majlis Agama Islam Pulau Pinang 1996) 1 CLJ 283
• Lim Chan Seng v Pengarah Jaabatan Agama Islam Pulau Pinang (1996) 3 CLJ 231
• Abdul Shaik Bin Md Ibrahim v Hussien Bin Ibrahim (1999) 3 CLJ 539

Sebagai Hakim Mahkamah Rayuan beliau menulis dua penghakiman penting berkenaan percanggahan bidang kuasa di antara kedua-dua mahkamah itu. Penghakiman-penghakiman itu ialah:
• Daud Bin Mamat lwn. Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (2002) 3 CLJ 761
• Kamariah Bt Ali v. Kerajaan Negeri Kelantan, Malaysia (2002) 3 AMR 3512

Sebagai Ketua Hakim Negara, beliau telah menulis penghakiman-penghakiman penting mengenai bidangkuasa mahkamah syariah dan mahkamah sivil dan undang-undang yang dibuat oleh Dewan Undangan Negeri. Penghakiman-penghakiman itu adalah dalam kes-kes berikut:

• Latifah Bte Mat Zin v. Rosmawati Bte Sharibun (2007) 5 MLJ 101
• Abdul Kahar Bin Ahmad v. Kerajaan Negeri Selangor DE [2008] 4 CLJ 309
• Sulaiman Bin Takrib v Kerajaan Negeri Trengganu (2009) 6 MLJ 354

KES-KES TERSOHOR

Dalam tahun 2004. sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, beliau mempengerusikan Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan kes liwat Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang pertama. Di hari pertama, peguam beliau mengusulkan supaya Tun Abdul Hamid menarik diri daripada membicara kes itu atas alasan besar kemungkinan beliau akan berat sebelah. Beliau menolak. Dato’ Seri Anwar Ibrahim bangun dan dengan suara yang lantang mengutuk mahkamah.

Pada hari penyampaian penghakiman, apabila Tun Abdul Hamid selesai membaca penghakimannya yang membebaskan beliau, beliau bangun dan berkata, “My Lord, Thank you. May God bless you. That is all I want to say.” “Yang Arif, Terima Kasih. Semoga Allah merahmati tuan. Itu sahaja yang saya hendak katakan.”

Semasa menjadi Ketua Hakim Negara, beliau juga telah mempengerusikan persidangan Mahkamah Khas yang membicarakan tuntutan sivil terhadap Mantan Yang Di Pertuan Agong. Beliau menulis penghakiman mahkamah yang menghendaki Baginda membayar sebanyak US1 juta kepada bank berkenaan. Baginda mematuhi perintah itu. Kes itu menunjukkan bahawa prinsip rule of law sangat dihormati di Malaysia.

Sepanjang kerjayanya beliau telah menulis sebanyak 567 penghakiman mengenai berbagai-bagai bidang undang-undang, kebanyakannya telah disiar dalam jurnal undang-undang dan boleh juga didapati dalam laman-laman web beliau.

PENULISAN DAN PENYAMPAIAN UCAPUTAMA, KERTAS KERJA, KULIAH DAN ARTIKEL

Seawal tahun 1993, beliau telah dijemput untuk menjadi pembincang kertas kerja Professor Tan Sri Ahmad Ibrahim dan Dato’ Dr. Abdul Monir Yaakob mengenai Common Law di Malaysia di Seminar Perundangan dan Kehakiman Malaysia di Langkawi. Jemputan itu adalah permulaan penglibatan beliau dalam seminar dan persidangan berkenaan hubungan antara undang-undang sivil dan syarak yang berlanjutan sehingga selepas beliau bersara.

Dalam tahun 2002, beliau telah menulis satu kertas kerja yang mencadangkan isu-isu syariah yang berbangkit di Mahkamah Sivil dan Penimbangtara dirujuk untuk mendapat ketetapan (ruling) oleh Lembaga Penasihat Syariah Bank Negara untuk mengelak ianya diputuskan oleh Hakim-Hakim yang tidak berkelayakan dan tidak mahir mengenai syariah, termasuk Hakim-Hakim bukan Islam dan memastikan penetapan hukum yang sama mengenai isu yang sama demi untuk menggalakkan perkembangan perbankan Islam.

Cadangan itu diterima oleh Kerajaan dan sekarang termaktub dalam seksyen 51 hingga 58 Akta Bank Negara Malaysia 2009 (Akta 701). Ia dipuji oleh penulis-penulias antarabangsa termasuk Yahia Abdul Rahman dalam bukunya “The Art of Islamic Banking and Finance”.

Beliau kerap dijemput menyampaikan ucaputama, kuliah dan membentang kertas kerja dalam berbagai-bagai bidang terutama sekali mengenai bidangkuasa mahkamah sivil dan mahkamah syariah, penharmonian undang-undang sivil dan syariah, perbankan dan kewangan Islam, pelaksanaan hudud di Brunei dan Malaysia di dalam dan di luar negara, termasuk di Universiti Harvard.

Masalah kesihatan menyebabkan beliau tidak aktif selama setahun mulai Oktober 2010. Walau pun tidak sembuh seperti sediakala dan senantiasa dalam kesakitan, beliau terus menulis dan menyampaikan ucaputama dan membentang kertas kerja dengan banyaknya. Semenjak tahun 2015, beliau tidak boleh bangun lagi. Namun demikian beliau terus menulis dan menghadiri persidangan, seminar dan lain-lain dengan menaiki ambulans dan menyampaikan ucaputama dan kertas kerjanya sambil duduk di atas kerusi roda. Namun demikian, suara beliau tetap berpengaruh.

Walaupun senentiasa dalam kesakitan, beliau telah menentang dengan kuatnya melalui lisan dan tulisan cadangan untuk memansuh Akta Hasutan 1948 dan cadangan memasukkan seksyen 88A ke dalam Akta 164. Cadangan-cadangan itu kemudian telah tidak diteruskankan oleh kerajaan.

Pada masa yang sama, beliau, melaui ucapan dan tulisan, telah berusaha untuk menyedarkan orang Melayu dan Islam Malaysia mengenai bahaya perpecahan dan cuba mewujudkan kerjasama di antara UMNO dan PAS, bermula dengan kesepakatan mengenai Rang Undang-Undang A355. Usaha ini nampaknya semakin berjaya.

Beliau telah menulis lebih daripada 300 ucaputama, kertas kerja, kuliah dan artikel. Kesemuanya boleh didapati dalam laman-laman web beliau.

SUMBANGAN-SUMBANGAN LAIN
Dalam tahun 1981, semasa berkhidmat sebagai Panasihat Undang-Undang Negeri Kelantan, di bawah pemerintahan Barisan Nasional, beliau telah menyiapkan Rang Undang-Undang Acara Jenayah Syari’ah dan Rang Undang-Undang Acara Mal Syari’ah untuk dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan. Kedua-dua Enakmen itu diluluskan dan Kelantan menjadi negeri pertama di Malaysia yang melaksanakannya.

Semasa menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, beliau telah juga dilantik menjadi ahli Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Pulau Pinang. Beliau telah memain peranan penting dalam menyediakan Mahkamah Rayuan Syariah Pulau Pinang, termasuk pengwartaannya dan pelantikan Ketua Hakim Syar’ienya yang pertama sehingga ia dapat mengadakan persidangan sulungnya setelah Mahkamah Kadi Besar tidak bersidang selama tiga tahun.

Pada masa yang sama, beliau juga telah dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Sivil dan Syariah Negeri Pulau Pinang, satu-satunya negeri yang mempunyai jawatankuasa seperti itu.

Semasa menjadi Hakim Mahkamah Rayuan, beliu juga menjadi Pengerusi, Lembaga Tatatertib Peguam Malaya. Antara lain, beliau menyediakan kertas kerja untuk meringkaskas proses perbicaraan kes-kes tersebut.

Beliau juga menjadi ahli jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Sivil dan Syariah di peringkat kebangsaan.

PELANTIKAN SEBAGAI AHLI PANEL PENASIHAT DAN LAIN-LAIN.

Dalam tahun 2004, semasa beliau menjadi Hakim Mahkamah Rayuan, beliau telah dilantik menjadi ahli Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan, tidak lama kemudian, ahli Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Beliau adalah satu-satunya hakim mahkamah sivil yang pernah dilantik ke jawatan itu dan berkhidmat sehingga tahun 2016 apabila kesihatan beliau memaksa beliau menarik diri.

Selepas bersara, beliau dilantik menjadi ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Pengerusi Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pengharmonian Undang-Undang Sivil dan Syariah Bank Negara Malaysia dan Pengerusi Jawatankuasa Semakan Penalti Monetari Bank Negara Malaysia. Kerajaan Persekutuan telah juga melantik beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Bagi Penentuan Tuntutan Bayaran Tunai Daripada Hasil Petroleum Di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

PENULISAN BUKU

Beliau juga telah menulis lima buah buku yang berjumlah 3,604 halaman. Buku-buku itu ialah: I Will Never Beg, Saya Tidak Akan Melutut, The Truth Shall Prevail, Konflik dan Pengharmonian dan Buat Kerja. Beliau menekankan bahawa setiap patah perkataan dan seitap koma dan noktah ditulis atau ditaip oleh beliau sendiri, termasuk yang, di-akhir-akhir ini, dilakukan sambil terlentang dengan memegang mini Ipad dengan sebelah tangan dan menaip dengan jarinya yang kebas dan kaku.

Buku-buku hasil tulisan Tun Abdul Hamid

Buku-buku hasil tulisan Tun Abdul Hamid

PENGANUGERAHAN IJAZAH
Beliau telah dikurniakan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan oleh Universiti Tenaga Nasional Malaysia (UNITEN), Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Syari’ah dan Kehakiman oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau pernah dilantik sebagai Professor Adjung di Universiti Utara Malaysia, Universiti Tenaga Nasional Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau juga adalah pemenang Lifelong Contribution to Islamic Finance Award 2004 yang dikurniakan oleh Kuala Lumpur Islamic Finance Forum (KLIFF) 2004.

Pada tahun 2015 beliau telah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1437H/2015M kerana sumbangan beliau dalam memartabatkan syiar Islam di peringkat nasional dan antarabangsa.

Tun Abdul Hamid ketika menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1437H/ 2015M.

Tun Abdul Hamid menyampaikan ucapan di Majlis Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1437H/ 2015M.

PENGURNIAAN BINTANG-BINTANG DAN DARJAH-DARJAH KEBESARAN

Tun Abdul Hamid telah dikurniakan bintang dan darjah-darjah kebesaran P.J.K. (Perlis) (1974), K.M.N. (1978), D.P.C.M. (Perak) (1989) yang membawa gelaran “Dato”, D.M.P.N. (Pulau Pinang) (1996) yang membawa gelaran “Dato”, S.P.C.M. (Perak) (2008) yang membawa gelaran “Dato’ Seri” D.U.P.N (Pulau Pinang) (2008) yang membawa gelaran “Dato’ Seri Utama” dan, S.S.M (2008) yang membawa gelaran “Tun”.

COGAN KATA: BUAT KERJA!

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

763 visits