RIA’ KERANA IMAN DAN ILMU

RIA’ KERANA IMAN DAN ILMU

Mungkin dihujahkan bahawa kata-kata “ria’ kerana iman dan ilmu” adalah satu “contradiction in terms” kerana orang yang kuat beriman dan alim (banyak ilmu) tidak sepatutnya ria’. Memanglah sepatutnya begitu, tetapi ia tidak semestinya begitu.

Fikirlah kisah benar ini. Suatu pagi, lebih kurang empat atau lima tahun dahulu, saya berjalan di kawasan taman di mana saya tinggal. Saya bertemu dengan seorang yang lebih kurang sebaya dengan saya (dalam lingkungan 70 tahun) yang memakai jubah putih, serban putih, berjanggut putih dan bertongkat rotan. Saya percaya beliau baru pulang dari masjid di kampung berdekatan setelah solat Subuh dan mendengar kuliah Subuh yang bunyinya boleh didengar di rumah saya.

Beliau memberi salam kepada saya. Saya menjawab salamnya. Beliau bertanya, “Rumah di mana?” Saya tunjuk rumah saya yang kebetulan berada di hadapan tempat kami berdiri. Saya bertanya ,”Rumah Tuan Haji di mana?” Jawabnya ,”Di sebelah masjid, pondok sahaja…….rumah kita di syurga”. Saya bertanya, “Tuan Haji dah tahukah Tuan Haji akan masuk syurga?” Beliau diam.

Semasa saya hendak menjual rumah saya di satu taman perumahan di Kuala Lumpur, seorang yang berkopiah putih bertanya isteri saya berapa harganya. Isteri saya menyebut harga kami. Beliau berkata, “Juallah murah-murah sedikit kepada saya. Ambil berkat jual kepada Imam surau kita.” Sebenarnya, beliau adalah salah seorang yang menjadi Imam di surau itu, bukanlah Imam tetap yang dilantik. Itu pun beliau merasa beliau sudah mempunyai berkat yang boleh diberinya kepada orang lain, untuk mendapat keuntungan bagi dirinya.

Seorang ulama yang terkenal di Perak, semasa memberi keterangan di hadapan saya di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, apabila disoal oleh peguam, terus berkata kepada peguam itu “Bodoh”. Sepanjang kerjaya saya, itulah kali pertama seseorang mengatakan orang lain “Bodoh” dalam persidangan mahkamah, apatah lagi oleh seorang saksi kepada seorang peguam semasa soal balas dan ianya datang daripada seorang ulama!

Kita masih ingat apabila seorang pemimpin UMNO Kelantan yang berkelulusan universiti tetapi bukan dari universiti di Timur Tengah menyebut mengenai kaum Khawarij, Murshidul Am PAS lantas memperlekehkan ilmunya, seolah-olah hanya golongan ulama sahaja yang boleh membaca dan mengetahui sejarah umat Islam.

Demikian juga seorang bekas aktivis PAS pernah diperlekeh sebagai “guru sekolah rendah” oleh Presiden PAS.

Mereka juga sangat gemar menggunakan gelaran-gelaran yang menunjukkan keilmuan mereka. Memberi satu misalan sahaja, orang yang hafal al-Quran digelar Al-Hafiz sehinggakan gelaran itu menjadi sebagai sebahagian daripada nama mereka. Malah gelaran itu kekal setelah mereka telah lupa hafalan mereka.

Seorang bekas Mufti pernah menceritakan kepada saya suatu peristiwa di Kedah. Dalam satu bulan Ramadan, DYMM Sultan Kedah menyatakan bahawa baginda ingin mengadakan solat Tarawikh di istana. Seorang hafiz ditetapkan untuk menjadi Imam. Solat berjalan dengan lancar untuk lapan rakaat. Tetapi apabila Baginda Sultan menitahkan supaya disambung hingga 20 rakaat, “Bacaan Tok Imam itu pun hanyut tak tahulah sampai ke mana”, memetik kata-kata bekas Mufti itu. Rupa-rupanya hafiz itu menyangka Baginda Sultan hanya hendak solat lapan rakaat dan beliau hanya bersedia untuk lapan rakaat. Sepatuya, apabila Baginda Sultan menitahkan disambung, jika beliau kurang ingat sambungan surah yang dibacanya, baca sahajalah surah-rurah pendek di penghujung Juzu’ ‘Amma. Mungkin beliau merasa malu untuk berbuat demikian.

Kita ada Persatuan Ulama Malaysia. Siapakah “ulama” yang layak menjadi ahlinya? Siapakah yang menetapkan sama ada seseorang itu ulama atau tidak untuk menjadi ahlinya? Apakah kelayakannya?

Mungkin kerana tidak sabar menunggu tua sedikit untuk menjadi ulama, ada pula Persatuan Ulama Muda. Adakah setiap graduan universiti di Timur Tengah atau universiti Islam tempatan telah menjadi seorang ulama?

Di kebelakangan ini terdapat pula iklan-iklan serti “tanyalah ustaz” seolah-olah ustaz mengetahui segala-galanya. Di negara-negara Arab “Ustaz” ertinya Profesor. Di sini, dengan menjadi ahli sebuah parti politik tertentu dan memakai kopiah puteh sudah menjadi ustaz.

Kemakmuran yang dibawa oleh pemerintahan BN (yang tidak mahu diakui) telah menambah pendapatan orang kampung dan membolehkan anak-anak mereka ke universiti, menjawat jawatan dan menjadi professional yang namanya pun tidak pernah diketahui sebelumnya. Ini membolehkan lebih ramai mengerjakan haji dan/atau umrah. PAS pula telah berkembang ke Pantai Barat Malaysia. Ditambah pula, kopiah putih lebih murah, nampak lebih alim dan warak dan banyak pula orang mensedekahkannya dan ia juga menjadi identity ahli sebuah “parti Islam”, orang Melayu mengubah fesyen pakaian mereka. Lebih banyak yang memakai jubah, serban, kopiah puteh dan berjanggut.

Jika itu hanya untuk megingatkan diri sendiri supaya lebih patuh kepada suruhan dan larangan agama Islam, memanglah baik. Tetapi janganlah kerananya seseorang itu merasa dia lebih alim dan warak.

Sedihnya orang-orang seperti itulah yang merasakan bahawa mereka tidak perlu lagi mematuhi undang-undang jalan raya (undang-undang sekular!) semasa menghadiri ceramah agama dan solat Jumaat dan meletak kereta mereka sesuka hati.

Cuba tegur mengenai penyalahgunaan pembesar suara di masjid-masjid (tidak termasuk untuk azan). Pegawai-pegawai masjid akan melenting. Kejadian berikut sangat menarik. Seorang bekas banduan yang baru keluar dari penjara yang rumahnya berhampiran dengan masjid cuba menikam mudir masjid itu. Dia marah kerana pembesar suara di masjid itu terlalu kuat terutama sekali untuk ceramah yang berjam-jam. Tetapi dia berkata unutk azan tidak mengapa sebab pendek.

Walau pun perbuatannya memang salah, walaupun dia bekas banduan, bagi saya dia ada point yang patut diberi perhatian. Ceramah yang didengar hanya oleh beberapa orang, mengapa hendak digunakan pembesar suara dari menara masjid hingga menyebabkan bunyi bising di seluruh kawasan?

Cerita seorang rakan saya mengenai pengalamannya di Indonesia lebih menarik. Semasa lawatannya ke Indonesia, beliau tinggal di sebuah hotel di kawasan di luar kota Jakarta, berdekatan sebuah masjid. Di waktu subuh, beliau terdengar bunyi ceramah datang daripada pembesar suara masjid itu. Beliau pergi untuk mendengarnya. Hanya terdapat seorang sahaja di masjid itu, iaitu penceramah itu sendiri. Tidak ada seorang pun yang mendengarnya.

Saya pernah mendengar seorang penceramah yang rakamannya di mainkan semasa jemaah sedang masuk ke dalam masjid untuk solat Jumaat dan sedang solat sunat Tahiyyatul Masjid. (Saya sangat tidak bersetuju dengan amalan itu. Ia mengganggu orang yang hendak solat sunat, zikir, membaca Quran atau i’tikaf.) Ini apa yang saya dengar: “Bagi tiap2 sepatah ceramah saya yang tuan-tuan dengar, tuan-tuan akan mendapat satu pahala. Kalau ceramah saya 10,000 perkataan, tuan-tuan akan mendapat 10,000 pahala.”

Ria’ bukanlah sifat yang sepatutnya ada pada seseorang yang berilmu (alim) dan beriman. Ia bukanlah sifat orang yang bertaqwa.

Andainya ia tidak disedari, dalam ucapan saya semasa menerima ijazah kehormat Doktor Pengurusan di Universiti Tenaga Nasional, saya mengingati:

“Ria’ bukan hanya boleh berlaku kerana pangkat dan kekayaan. Ia juga boleh berlaku kerana ilmu pengetahuan, malah kerana janggut dan serban.”

Tun Abdul Hamid Mohamad

20 05 2017

tunabdulhamid@gmail.com
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me