LAGI-LAGI ORANG CINA TIDAK MENGHORMATI NEGARAKU

LAGI-LAGI ORANG CINA TIDAK MENGHORMATI NEGARAKU

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Lagi-lagi, perbuatan tidak menghormati, malah menghina, lagu kebangsaan (Negaraku) dan bendera Malaysia dilakukan oleh orang Cina. Antaranya, selepas kerajaan BN kalah dalam PRU14, pelajar-pelajar Cina Malaysia di Taiwan beramai-ramai memegang bendera Malaysia terbalik. Setakat yang saya tahu, mereka tidak meminta maaf pun.

Kemudian Namewee menghina lagu kebangsaan dengan mencampuradukkannya dengan lagu rapnya. Dia dipanggil polis beberapa kali tetapi carian saya tidak menunjukkan dia didakwa. Sebaliknya, dia didakwa dan dihukum menjalankan perkhidmatan masyarakat selama tiga bulan sebagai ganti hukuman penjara tiga bulan kerana menggunakan perkataan lucah terhadap seorang pegawai Tenaga Nasional Berhad, di bawah seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Selepas itu bendera Malaysia diregang terbalik di sebuah sekolah Cina. Ia dikatakan satu kesilapan. Mengapa kesilapan seperti itu tidak berlaku di Sekolah Kebangsaan atau SRJK Tamil?

Terakhir ini, sekumpulan orang Cina tidak berdiri apabila lagu kebangsaan dimainkan di satu majlis anjuran sebuah parti politik di Kuching, Sarawak.

Mengikut laporan Kinitv, apabila ditanya oleh wartawan mengenainya, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, mereka yang tidak berdiri bagi menghormati lagu Negaraku itu boleh ditahan mengikut Akta Lagu Kebangsaan 1968. Beliau sendiri telah melihat video itu, tetapi setakat kenyataan itu dibuat, belum ada laporan polis dibuat. Katanya lagi, “Ini kesalahan sivil. Jika ada laporan, mungkin siasatan akan dibuat”.

Saya tidak faham apa yang dimaksudkan beliau dengan “kesalahan sivil”. Semua kesalahan (offences) adalah jenayah. Jika laporan diperlukan, beliau sendiri telah melihat video itu, tidakkah boleh beliau atau pegawainya membuat satu laporan?

Biar apa pun, laporan telah dibuat kemudian (tidak tahu oleh siapa) dan lapan orang Cina berkenaan telah dipanggil untuk dirakam kenyataan mereka. Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar, memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 8 (3) Akta Lagu Kebangsaan 1968 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100 atau penjara tidak melebihi sebulan, jika sabit kesalahan.

Menurut jurucakap kumpulan tersebut, Shaow Tung Leong, mereka bertindak demikian sebagai membantah kerajaan persekutuan berhubung keengganan membayar isu royalti minyak 20 peratus kepada Sarawak.

“Tindakan tidak berdiri ketika lagu kebangsaan dimainkan merupakan protes senyap berhubung janji royalti minyak tidak ditepati kepada Sarawak,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, tindakan itu hanya dilakukan ketika lagu kebangsaan dinyanyikan, namun mereka kembali berdiri, apabila lagu kebesaran negeri, Ibu Pertiwiku, dimainkan.

Kesemua individu terbabit dipercayai anggota kumpulan Sarawak For Sarawakian (S4S). (Sumber Astro Awani September 30, 2019).

Mereka nampaknya sedikit pun tidak menunjukkan rasa bersalah atau menyesal, malah bangga dengan perbuatan mereka. Jurucakap mereka sendiri berkata mereka berdiri apabila lagu kebesaran negeri, Ibu Pertiwiku, dimainkan. Ini menyokong kenyataan bahawa mereka adalah anggota kumpulan S4S.

Ini sangat serius. Ia menjurus kepada penderhakaan. Setakat ini, belum didengar bahawa mereka didakwa. Adakah mereka akan dibiarkan sahaja?

Soalan: Jika mereka itu warganegara Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam atau Myanmar, mungkinkah mereka dibiarkan sahaja? Malah, beranikah mereka melakukannya? Mereka berani melakukannya di Malaysia kerana mereka percaya mereka tidak akan didakwa. Jika didakwa pun, hukuman maksima denda RM100 itu boleh diketawakan.

Hukuman denda tidak melebihi RM100 atau penjara tidak melebihi satu bulan itu diadakan dalam tahun 1968. Sekarang, ia terlalu rendah. Lagi pula, perbuatan seperti itu semakin melampau, bukan hanya gagal berdiri, tetapi sengaja dilakukan dan berkait pula dengan gerakan pemisahan.

Peruntukan itu perlu dipinda. Saya cadangkan ia ditambah menjadi tidak melebihi RM10,000.00 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali. Pihak polis, pendakwaan dan mahkamah hendaklah memberi perhatian yang serius terhadap kejadian seperti ini dan mengambil tindakan tegas terhadapnya.

Perhatian juga patut diberi bahawa berulangkali, orang-orang yang melakukan kesalahan itu adalah orang Cina. Ini menunjukkan sikap mereka terhadap negara. Mereka tidak sedikit pun mempunyai perasaan megah dan cinta kepada negara yang mereka pilih untuk menjadi warganegaranya. Mereka nikmati hak-hak sebagai warganegara, mereka kaut kekayaannya tetapi mereka menghina negara mereka sendiri.

Mereka sepatutnya tahu membeza di antara kerajaan dan negara. Tidak sukakan kerajaan persekutuan adalah satu perkara. Tidak menghormati lagu kebangsaan adalah satu perkara lain. Tidak sukakan kerajaan persekutuan bukanlah satu alasan yang boleh diterima bagi tidak menghormati lagu kebangsaan. Tidak mendakwa mereka hanya menggalakkan perbuatan kurang ajar itu. Dan undang-undang berkenaan hendaklah dipinda untuk menambah hukumannya dan dilaksanakan dengan tegas.

05 10 2019

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

32 visits