PP lwn. DATO’ WAAD MANSOR

MAHKAMAH RAYUAN, KUALA LUMPUR
ABDUL HAMID MOHAMAD, HMR; MOHD GHAZALI YUSOFF, HMR; HASHIM YUSOFF, HMR
RAYUAN JENAYAH NO: N-05-65-99
[2003] 3 CLJ 833
UNDANG-UNDANG JENAYAH: Ordinan 22 (Kuasa-kuasa Perlu) Dharurat 1970 – Seksyen 2(1) – Rasuah – Melakukan perbuatan rasuah dengan menggunakan kedudukan awam untuk kepentingan kewangan – Sama ada keputusan hakim Mahkamah Tinggi untuk membebaskan responden betul – Sama ada hakim Mahkamah Tinggi tersalah arah – Sama ada responden patut disabit

PROSEDUR JENAYAH: Hukuman – Sama ada hukuman adalah setimpal – Melakukan perbuatan rasuah dengan menggunakan kedudukan awam untuk kepentingan kewangan – Sama ada hukuman penjara perlu dijatuhkan – Sama ada hukuman denda sudah memadai

Responden dituduh dengan tiga pertuduhan di bawah s. 2(1) Ordinan No. 22 (Kuasa-kuasa Perlu) Dharurat 1970 kerana melakukan perbuatan rasuah dengan menggunakan kedudukan awam beliau untuk kepentingan kewangnya. Responden telah dipanggil membela diri di atas ketiga-tiga pertuduhan itu, tetapi dibebaskan di akhir kes pembelaan. Pendakwa Raya merayu, dan mahkamah ini membenarkan rayuan itu dan menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM15,000, dan jika tidak bayar, enam bulan bagi setiap pertuduhan. Pendakwa Raya merayu terhadap hukuman.
Isteri responden beserta dua orang lagi telah menubuhkan sebuah syarikat (‘Teraju Nusantara’), dan telah memohon sebidang tanah kuari; permohonan ini yang menjadi perkara (‘subject matter’) pertuduhan-pertuduhan itu. Responden telah hadir dalam ketiga-tiga mesyuarat (ketiga-tiga tarikh pertuduhan tersebut) mengenai permohonan tersebut tetapi gagal mengtisytiharkan kepentingannya dalam Teraju Nusantara. Responden juga telah berjumpa Dato’ Rosie Tan, “financier” sebuah syarikat (‘Henro Bina’), untuk berbincang berkenaan penjualan tanah kuari itu oleh Teraju Nusantara kepada Henro Bina, dan satu perjanjian telah dimeteraikan dua bulan selepas pertemuan itu. Walaupun hakim Mahkamah Tinggi menerima semua fakta-fakta tersebut, beliau telah melepas dan membebaskan responden atas alasan bahawa ada kemungkinan bahawa responden, pada ketiga-tiga dalam pertuduhan itu, mempercayai bahawa isteri responden sudah pun melupuskan kepentingannya dalam Teraju Nusantara, sebelum tarikh pertama dalam pertuduhan itu.
Diputuskan:
Oleh Abdul Hamid Mohamad HMR
[1]Mahkamah ini mensabitkan responden atas dua alasan. Pertama, berdasarkan dapatan fakta yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi itu sendiri, keputusannya membebas dan melepaskan responden itu tidak dapat dipertahankan. Ini adalah kerana penglibatan responden sendiri adalah jelas dalam mesyuarat-mesyuarat yang responden sendiri hadir dan dalam penjualan tanah kuari itu. Malah, responden sendiri pun menerima RM150,000 daripada Dato’ Rosie Tan. Kedua, hakim Mahkamah Tinggi itu telah tersalah arah apabila memutuskan bahawa ada kemungkinan bahawa responden percaya isterinya sudah tiada kepentingan lagi dalam Teraju Nusantara pada ketiga-tiga tarikh itu. Ini antara lain, kerana, selepas ketiga-ketiga tarikh itu pun, responden bersama-sama Dato’ Rosie Tan dan lain-lain pergi melawat tanah kuari itu. Di samping itu, responden dan isterinya juga telah pergi ke pejabat Dato’ Rosie Tan untuk berbincang mengenai penjualan tanah kuari itu. Responden sendiri menerima RM150,000 dan isterinya menerima RM130,000, dan isterinya menandatangani perjanjian menjual sahamnya dalam Teraju Nusantara kepada Henro Bina.
[2]Berdasarkan fakta dan keadaan dalam kes ini, hukuman penjara tidak perlu dijatuhkan. Kesalahan ini tidak patut disamakan dengan kesalahan-kesalahan jenayah merompak, pecah amanah, merogol dan sebagainya, dan orang yang melakukan kesalahan ini tidak patut diklasifikasikan bersama-sama penjenayah-penjenayah itu. Permohonan tanah kuari tersebut dan kelulusannya tidak salah. Yang salahnya, walaupun bunyinya hebat iaitu “melakukan perbuatan rasuah”, sebenarnya ialah kerana responden berada dalam bilik mesyaurat itu semasa permohonan itu dipertimbangkan dan diluluskan. Permohonan itu boleh diluluskan tanpa kehadirannya dan dalam keadaan itu, kelulusan diperolehi juga dan responden tidak bersalah.
[2a]Melakukan perbuatan rasuah dan menyalahguna kuasa untuk kepentingan diri sendiri, apatah lagi jika ia merugikan bangsa dan negara, adalah suatu perbuatan yang serius, tetapi hakikatnya, dalam kes ini, tidak lebih daripada responden hadir dalam mesyuarat-mesyuarat itu semasa permohonan itu dipertimbangkan, disokong atau diluluskan. Responden memang mendapat faedah kewangan tetapi hukuman yang diterima oleh responden sudah lebih daripada faedah itu. Kerjaya politiknya hancur dan jawatan-jawatan yang dipegangnya hilang dan tidak mungkin diperolehi semula. Nama baiknya tercemar dan dari segi kewangan pun, responden telah, dan akan, terus rugi. Dalam keadaan ini, hukuman penjara tidaklah perlu dan hukuman denda yang dikenakan itu pun sudah memadai.
Dilaporkan oleh Suresh Nathan

Case(s) referred to:
Dato’ Seri Anwar Ibrahim v. PP [2002] 3 CLJ 457FC (dibezakan)
Dato’ Seri Anwar Ibrahim v. PP [2000] 2 CLJ 695CA (dibezakan)
Hj Abdul Ghani Ishak & Anor v. PP [1981] 1 LNS 96; [1981] 2 MLJ 230 FC (dirujuk)
Nunis v. PP [1982] 2 MLJ 114 FC (dirujuk)
PP v. Dato’ Hj Mohamed Muslim Hj Othman [1982] 1 LNS 71; [1983] 1 MLJ 245 (dirujuk)
PP v. Dato’ Seri Anwar Ibrahim (No 3) [1999] 2 CLJ 215HC (dibezakan)
PP v. Datuk Hj Sahar Arpan [1999] 3 CLJ 427HC (dirujuk)
PP v. Datuk Tan Cheng Swee & Anor [1978] 1 LNS 150; [1980] 2 MLJ 276 FC (dirujuk)

Legislation referred to:
Emergency (Essential Powers) Ordinance No 22 1970, s. 2(1)
Counsel:
Bagi pihak perayu – Nordin Hassan TPR; Jabatan Peguam Negara
Bagi pihak responden – Christopher Fernando; T/n Aris Rizal, Christopher Fernando & Co

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamad HMR:
Responden (tertuduh di Mahkamah Tinggi) telah dihadapkan ke mahkamah atas tiga pertuduhan, yang setelah dipinda oleh hakim di akhir kes pendakwaan, berbunyi seperti berikut:
Pertuduhan Pertama: Terpinda
Bahawa kamu pada 21hb Disember 1992, lebih kurang jam 10.00 pagi di Bilik Gerakan, Pejabat Daerah Tampin, dalam Negeri Sembilan, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri, kawasan Gemencheh, Tampin telah melakukan perbuatan rasuah dengan menggunakan kedudukan awam kamu untuk faedah kewangan kamu iaitu telah mengambil bahagian dalam satu keputusan oleh Jawatankuasa Tanah Daerah Tampin yang mana kamu mempunyai kepentingan iaitu, memutuskan supaya permohonan daripada Syarikat Teraju Nusantara Sdn. Berhad untuk memiliki tanah kerajaan di Mukim Repah, Daerah Tampin seluas lebih kurang 20.146 hektar secara lesen pendudukan sementara berserta dengan permit dan seluas 4 hektar secara pemberian hakmilik untuk perusahaan kuari dalam fail permohonan PTT 1/2/545 dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan dengan syor untuk diluluskan dan oleh itu kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 2(1) Ordinan No. 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Dharurat 1970.
Pertuduhan Kedua: Terpinda
Bahawa kamu pada 28hb April 1993, lebih kurang jam 10.00 pagi di Bilik Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dalam Daerah Seremban dalam Negeri, Negeri Sembilan, semasa menjadi seorang anggota Pentadbiran iaitu seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan telah melakukan perbuatan rasuah dengan menggunakan kedudukan awam kamu untuk faedah kewangan kamu, iaitu telah mengambil bahagian dalam satu keputusan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tersebut yang mana kamu mempunyai kepentingan iaitu, keputusan meluluskan pemberian milikan tanah secara pajakan Negeri bagi tempoh 60 tahun seluas 28.24 hektar dalam fail permohonan No.PTT 1/2/545 bagi tujuan perusahaan kuari kepada Syarikat Teraju Nusantara Sdn. Bhd. di Mukim Repah, Daerah Tampin dan oleh itu kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen (1) Ordinan No. 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Dharurat 1970.
Pertuduhan Ketiga: Terpinda
Bahawa kamu pada 26hb Januari 1994, lebih kurang jam 10.00 pagi di Bilik Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dalam Daerah Seremban dalam Negeri, Negeri Sembilan, semasa menjadi seorang anggota Pentadbiran iaitu seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan telah melakukan perbuatan rasuah dengan menggunakan kedudukan awam kamu untuk faedah kewangan kamu, iaitu kamu telah mengambil bahagian dalam satu keputusan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tersebut yang mana kamu mempunyai kepentingan iaitu, keputusan meluluskan permohonan melanjutkan tempoh bayaran premium selama 6 bulan lagi ke atas tanah seluas 28.24 hektar dalam fail permohonan No. PTT 1/2/545 di Mukim Repah, Daerah Tempin, yang diluluskan kepada Syarikat Teraju Nusantara Sdn. Berhad pada 28hb April 1993 dan oleh itu kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 2(1) Ordinan No. 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Dharurat 1970.
Responden telah dipanggil membela diri di atas ketiga-tiga pertuduhan itu, tetapi dilepas dan dibebaskan di akhir kes pembelaan.
Pendakwa Raya merayu ke mahkamah ini. Mahkamah ini membenarkan rayuan itu dan menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM15,000, jika tidak bayar enam bulan penjara bagi setiap pertuduhan.
Pendakwa Raya merayu terhadap hukuman.
Fakta kes, secara ringkas adalah seperti berikut:
Responden mula menjadi ahli Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan pada 22 Mei 1982 setelah beliau memenangi pilihanraya kecil dan terus memenangi pihanraya umum untuk Dewan Undangan Negeri dan dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dalam tahun 1986. Beliau terus memenangi pilihanraya-pilihanraya umum selepas itu dan terus menjadi ahli Dewan Undangan Negeri hingga sekarang, tetapi meletakkan jawatan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan apabila dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan-pertuduhan dalam kes ini. Pada tarikh-tarikh matan, responden adalah ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan ahli Jawatankuasa Tanah Daerah Tampin.
Responden berkahwin degan Noraini bt. Abdul Satar pada 26 Jun 1981, dan Noraini adalah isterinya pada tarikh-tarikh matan itu.
Pada 4 November 1991 Syarikat Teraju Nusantara Sdn. Berhad (“Teraju Nusantara”) telah ditubuhkan oleh Abdul Wahab bin Ahmad (“Wahab”), Noraini bt Abdul Satar (“Noraini”) dan Milah bt. Haron (“Milah”). Mereka masing-masing memiliki satu saham bernilai RM1. Ketiga-tiga mereka juga adalah Pengarah Teraju Nusantara. Noraini adalah isteri responden. Milah adalah isteri Ismail bin Ma’arof, seorang pelukis pelan di Pejabat Tanah Daerah Tampin. Wahab adalah seorang guru Penolong Kanan di Sekolah Kebangsaan Gemencheh di mana Noraini, isteri responden, mengajar.
Pada 25 November 1991, tiga minggu selepas penubuhan Teraju Nusantara, permohonan tanah kuari, yang menjadi perkara (“subject matter”) pertuduhan-pertuduhan itu, diterima oleh Pentadbir Tanah Daerah Tampin.
Kertas mesyuarat disediakan pada 15 Disember 1992 dan enam hari kemudian, pada 21 Disember 1992, kertas mesyuarat itu telah dibentang, dipertimbang dan disokong untuk kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan. Responden hadir dalam mesyuarat itu.
Pada 28 April 1993 Majlis Mesyuarat Kerajaan meluluskan permohonan itu. Responden juga hadir dalam mesyuarat itu.
Pada 26 Januari 1994 Majlis Mesyuarat Kerajaan meluluskan permohonan Teraju Nusantara untuk melanjutkan tempoh bayaran premium ke atas tanah tersebut. Responden juga hadir dalam mesyuarat itu.
Perlu diambil perhatian bahawa ketiga-tiga tarikh yang baru sahaja disebut di atas itu adalah tarikh-tarikh bagi ketiga-tiga pertuduhan itu.
Pada 19 Mei 1994, responden, Noraini (isterinya), Wahab, Milah dan Ismail (suami Milah) dibawa oleh seorang bernama Teoh Song Chuah untuk berjumpa dengan Dato’ Rosie Tan di pejabat Dato’ Rosie Tan di Hotel Pan Pacific, Kuala Lumpur. Teoh Song Chuah adalah “Senior Manager (Treasury) Tan Chong Motors. Mengikutnya, Dato’ Rosie Tan adalah “superior”nya di Tan Chong Motors. Dato’ Rosie Tan juga adalah “financier” Syarikat Henro Bina Sdn. Bhd. (“Henro Bina”).
Tujuan perjumpaan itu adalah untuk berbincang berkenaan penjualan tanah kuari itu oleh Teraju Nusantara kepada Henro Bina. Henro Bina bersetuju membeli saham Teraju Nusantara yang memiliki tanah kuari itu dengan harga RM1.1 juta.
Pada perjumpaan itu Dato’ Rosie Tan membayar RM150,000 kepada responden, RM100,000 kepada Noraini (isteri responden), RM50,000 kepada Wahab dan RM50,000 kepada Milah.
Sebelum pertemuan itu, responden, Wahab, Ismail, Dato’ Rosie Tan dan Teo pergi melawat tanah kuari itu.
Pada 19 Julai 1994, satu perjanjian telah dimeteraikan antara Henro Bina dengan Noraini (isteri responden), Wahab dan Milah di mana Henro Bina membeli kesemua saham-saham ketiga-tiga mereka dalam Teraju Nusantara. Noraini (isteri responden) juga menandatangani perjanjian itu.
Walau pun hakim Mahkamah Tinggi menerima semua fakta-fakta itu, beliau telah melepas dan membebaskan responden atas alasan bahawa ada kemungkinan bahawa responden, pada ketiga-tiga tarikh dalam pertuduhan itu, mempercayai bahawa Noraini (isteri responden), sudah pun melupuskan kepentingannya dalam Teraju Nusantara, sebelum tarikh pertama dalam pertuduhan itu.
Mahkamah ini membenarkan rayuan pendakwa raya dan mensabitkan responden di atas ketiga-tiga pertuduhan itu. Oleh sebab pendakwa raya cuma merayu terhadap hukuman, tidaklah perlu dibincangkan dengan panjang lebar alasan-alasan mengapa mahkamah ini berbuat demikian.
Secara ringkas, mahkamah ini mensabitkan responden atas dua alasan.
Alasan pertama ialah, berdasarkan dapatan fakta yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi itu sendiri, keputusannya membebas dan melepaskan responden itu tidak dapat dipertahankan. Ini adalah kerana, daripada fakta-fakta yang didapati oleh Hakim Mahkamah Tinggi itu, yang telah diperturunkan di atas, penglibatan responden sendiri adalah jelas dalam mesyuarat-mesyuarat itu yang beliau sendiri hadir dan dalam penjualan tanah kuari itu. Malah beliau sendiri pun menerima RM150,000 daripada Dato’ Rosie Tan.
Kedua, berdasarkan fakta-fakta itu, Hakim Mahkamah Tinggi itu telah tersalah arah apabila memutuskan bahawa ada kemungkinan bahawa responden percaya isterinya sudah tiada kepentingan lagi dalam Teraju Nusantara pada ketiga-tiga tarikh itu. Ini antara lain, kerana, selepas ketiga-tiga tarikh itu pun, responden bersama-sama Dato’ Rosie Tan dan lain-lain pergi melawat tanah kuari itu. Disamping itu, beliau dan isterinya bersama-sama yang lain juga telah pergi ke pejabat Dato’ Rosie Tan untuk berbincang mengenai penjualan tanah kuari itu. Beliau sendiri menerima RM150,000 dan isterinya menerima RM130,000 (kesemuanya) dan isterinya menandatangani perjanjian menjual sahamnya dalam Teraju Nusantara kepada Henro Bina.
Mengenai hukuman, setiap kesalahan itu membawa hukuman maksima penjara selama 14 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah ini tidak menjatuhkan hukuman penjara. Itulah yang menyebabkan pendakwa raya terkilan dan merayu seterusnya.
Sekarang kita akan lihat antara hukuman-hukuman yang pernah dijatuhkan oleh mahkamah-mahkamah di Malaysia bagi kesalahan itu.
Dalam kes Public Prosecutor v. Datuk Tan Cheng Swee & Anor[1978] 1 LNS 150; [1980] 2 MLJ 276 (MP) tertuduh dikenakan hukuman denda RM2,000.
Dalam kes Hj Abdul Ghani Ishak & Anor v. Public Prosecutor[1981] 1 LNS 96; [1981] 2 MLJ 230, tertuduh dihukum penjara selama tujuh bulan.
Dalam kes Nunis v. Public Prosecutor [1982] 2 MLJ 114, tertuduh dihukum penjara selama 24 bulan.
Dalam kes Public Prosecutor v. Dato’ Hj Mohamed Muslim bin Hj Othman[1982] 1 LNS 71; [1983] 1 MLJ 245, tertuduh dihukum penjara satu hari dan denda sebanyak RM2,000.
Dalam kes PP v. Dato’ Seri Anwar Ibrahim (No 3)[1999] 2 CLJ 215(Mahkamah Tinggi) [2000] 2 CLJ 695(Mahkamah Rayuan) dan [2002] 3 CLJ 457(Mahkamah Persekutuan), hukuman penjara selama enam tahun telah dikenakan.
Dalam kes PP v. Datuk Hj Sahar Arpan[1999] 3 CLJ 427Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun dan denda sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan.
Apa yang jelas ialah tidak ada, malah tidak boleh ada, satu “hukuman standard” bagi kesalahan-kesalahan di bawah seksyen itu. Setiap kes perlu ditimbang mengikut fakta-fakta dan keadaannya masing-masing.
Sebagai misalan kita tidak boleh bandingkan kes ini dengan kes Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim. Fakta kesalahan amat berbeza. Keadaan disekeliling kes-kes itu sangat berbeza.
Dalam kes Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, perbuatan yang menjadi kesalahan itu ialah, bagi pertuduhan pertama, mengarahkan Pengawal Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia memperolehi pengakuan bertulis daripada Azizan bin Abu Bakar bagi menafikan salah laku seks dan liwat yang dilakukan olehnya dengan tujuan melindungi dirinya daripada sebarang tindakan atau prosiding jenayah.
Bagi pertuduhan kedua, mengarahkan pegawai yang sama menggesa Azizan bin Abu Bakar supaya memberi kenyataan umum bertulis mengenai perkara yang sama untuk tujuan yang sama seperti dalam pertuduhan pertama.
Bagi pertuduhan ketiga mengarahkan pegawai yang sama supaya memperolehi pengakuan bertulis daripada Ummi Hafilda bte. Ali bagi menafikan perkara yang sama untuk tujuan yang sama seperti dalam pertuduhan pertama.
Perbuatan-perbuatan itu adalah penyalahgunaan kedudukan untuk menggagalkan pentadbiran keadilan.
Dalam kes ini, perbuatan salahnya, pada hakikatnya, hanyalah kerana beliau tidak keluar dari bilik-bilik mesyuarat itu semasa permohonan berkenaan dibentang, dipertimbang dan diluluskan. Itu sahaja.
Juga kita semua maklum bahawa kes Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah menggugat ketenteraman awam. Sebaliknya, kes ini tidak memberi apa-apa kesan kepada ketenteraman awam.
Jadi, kedua-dua kes itu bukanlah perbandingan yang sesuai.
Kami mengambil kira kepentingan awam walau pun kami tidak fikir adalah perlu menulis dengan panjang lebar mengenainya, kerana terlalu banyak sudah ditulis dan berapa banyak lagi ditulis pun mengenai prinsipnya, perbezaan pendapat tetap akan berlaku apabila menimbangkan hukuman sebenar yang akan dijatuhkan.
Kami tidak fikir berdasarkan fakta dan keadaan dalam kes ini, hukuman penjara perlu dijatuhkan. Pertama, kesalahan ini tidak patut disamakan dengan kesalahan-kesalahan jenayah merompak, pecah amanah, merogol dan sebagainya dan orang yang melakukan kesalahan ini tidak patut diklasifikasikan bersama-sama penjenayah-penjenayah itu. Memohon tanah kuari itu tidak salah. Bahawa permohonan itu diluluskan pun tidak salah. (Kalau itu salah, Majlis Mesyuarat Kerajaanlah yang patut dipersalahkan). Yang salahnya, walaupun bunyinya hebat iaitu “melakukan perbuatan rasuah”, sebenarnya ialah kerana beliau berada dalam bilik mesyuarat itu semasa permohonan itu dipertimbangkan dan diluluskan. Permohonan itu boleh diluluskan tanpa kehadirannya dan dalam keadaan itu, kelulusan diperolehi juga dan beliau tidak bersalah.
Kami setuju dan kami tegaskan bahawa melakukan perbuatan rasuah dan menyalahguna kuasa untuk kepentingan diri sendiri, apatah lagi jika ia merugikan bangsa dan negara adalah suatu perbuatan yang serius, tetapi hakikatnya, dalam kes ini, tidak lebih daripada responden hadir dalam mesyuarat-mesyuarat itu semasa permohonan itu dipertimbangkan, disokong atau diluluskan. Memang responden mendapat faedah kewangan. Tetapi hukuman yang diterima oleh responden sudah lebih daripada faedah itu. Kerjaya politiknya hancur. Jawatan-jawatan yang dipegangnya hilang dan tidak mungkin diperolehi semula. Nama baiknya tecemar. Dari segi kewangan pun, beliau telah dan akan terus rugi.
Dalam keadaan ini, pada pandangan kami hukuman penjara tidaklah perlu dan hukuman denda yang dikenakan itu pun sudah memadai.
Kita lihat juga dalam beberapa kes hukuman penjara satu hari dikenakan. Kami berpendapat ini juga tidak bermakna. Hukuman penjara selama satu hari itu biasanya dikenakan oleh mahkamah dalam kes-kes di mana hukuman penjara itu mesti dikenakan tetapi mahkamah berpendapat kes itu bukanlah satu kes di mana hukuman penjara sesuai dikenakan. Maka untuk mencukupkan syarat, mahkamah mengenakan hukuman penjara satu hari dan denda.
Keadaan dalam kes ini bukan sedemikian. Hukuman penjara bukanlah satu hukuman mandatori di bawah seksyen itu dan mahkamah berpendapat bahawa hukuman penjara sehari tidak memberi apa-apa makna kerana, apabila mahkamah tamat bersidang, hanya beberapa minit selepas menjatuhkan hukuman itu, tertuduh telah disifatkan sebagai telah pun menjalani hukuman itu.
Atas alasan-alasan ini kami menjatuhkan hukuman denda itu dan amaun RM15,000 itu adalah tiga per empat daripada hukuman denda maksima yang diperuntukkan. Kami berpendapat ianya adalah tepat betul dan munasabah.

226 visits