SU PONG SING & YANG LAIN LWN. EIKO ELECTRONIC PRODUCT (M) SDN. BHD.

SU PONG SING & YANG LAIN LWN. EIKO ELECTRONIC PRODUCT (M) SDN. BHD.
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMAD
GUAMAN SIVIL NO. 22-90-90
26 SEPTEMBER 1991
[1992] 1 CLJ Rep 635; [1992] 1 CLJ 75

PROSEDUR SIVIL: Pembatalan pelaksanaan writ penghantar serahan spesifik – Perintah asal di Mahkamah Tinggi belum diketepikan – Rayuan ke Mahkamah Agung belum didengar.

Defendan memfailkan saman dalam kamar. Penolong Kanan Pendaftar telah mengeluarkan writ penghantar serahan spesifik mengesahkan beliau menyita dan menghantar serah mesin-mesin kepada plaintif. Writ tersebut telah dilaksanakan. Dalam kehadiran di mahkamah yang lalu kedua-dua pihak telah bersetuju bahawa oleh sebab pelaksanaan telah dijalankan, soal penggantungan pelaksanaan perintah itu tidak perlu didengar.
Sehari selepas writ itu dilaksanakan, defendan melalui saman dalam kamar memohon, di antara lain perintah-perintah berikut:
(a) bahawa prosiding pelaksanaan perintah hantar spesifik yang dijalankan oleh plaintif dibatalkan dan semua barangan yang disitakan itu diserahkan balik kepada premise plaintif dalam keadaan sebelum ia disitakan.
(b) plaintif dihalang daripada menjualkan memajakkan atau melupuskan mesin-mesin tersebut dan
(c) suatu guaranti dalam suatu amaun yang ditetapkan oleh mahkamah dari plaintif berkenaan tuntutan (b) itu.
Diputuskan:
[1] Aturan 46 Kaedah 3 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 yang dirujuk itu adalah berkenaan permohonan kebenaran untuk mengeluarkan writ pelaksanaan di mana kebenaran itu hendaklah diperolehi sebelum writ itu boleh dikeluarkan. Tindakan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah memeteraikan writ itu bukanlah satu perintah ex parte dan tindakan itu hanyalah satu tindakan pentadbiran sahaja.
[2] Hujah peguam defendan tidak kena pada sasaran kerana apa yang defendan pohon dibatalkan ialah pelaksanaan writ. Sebenarnya, perkara ini sepatutnya dibangkitkan semasa plaintif-plaintif memohon untuk mendapatkan perintah hantar serah dahulu. Soal ini telah diputuskan mengikut perintah bertarikh 9 Januari 1991 itu dan defendan telah pun merayu kepada Mahkamah Agung terhadap perintah itu. Defendan tidak sepatutnya membangkitkan persoalan ini dalam permohonan ini.
[Nota Pengarang: Defendan telah merayu kepada Mahkamah Agung melalui MARS No. 2-389-91.]

Case(s) referred to:
United Malayan Banking Corp. lwn. Syarikat Perumahan Luas Sdn. Bhd. [1988] 2 CLJ(Rep) 522 (dirujuk)

Legislation referred to:
Rules of the High Court 1980, O. 14O. 46 rr. 3, 4
Counsel:
Bagi pihak pemohon – John Khoo Boo Lai; T/n. S.H. Ang & Co.
Bagi pihak responden – Tan Boon Hee; T/n. Tan Teh & Co.

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamed PK:
Pada 9 Januari 1991 saya membuat perintah berikut:
Adalah Diperintahkan bahawa defendan hantar serah kepada plaintif kedua-dua unit “plastic injection moulding machines” bernombor ST 130 dan ST 250 sebelum atau pada 8 Februari 1991 dan segala pebelanjaan [sic] untuk mengambil balik 2 unit mesin tersebut ditanggung dan dibayar oleh plaintif Dan Juga Diperintahkan bahawa gantirugi yang dialami oleh plaintif oleh kerana defendan salah guna dan salah taham mesin plastic injection moulding ditaksirkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Dan Akhirnya Diperintahkan bahawa defendan membayar kos plaintif bagi permohonan ini.
Defendan merayu kepada Mahkamah Agung terhadap perintah itu.
Rayuan itu belum didengar.
Pada 24 Mei 1991 defendan memfailkan saman-dalam-kamar (Lampiran 26) memohon:
(a) bahawa semua prosiding perlaksanaan [sic] perintah serah hantar spesifik yang dibenarkan oleh Mahkamah yang termulia pada 9 Januari 1991 (selepas dari ini dipanggil perintah tersebut) digantung sementara bicara notis rayuan defendan yang difailkan pada 5 Februari 1991 di Mahkamah Agung dan/atau;
(b) bahawa semua prosiding perlaksanaan [sic] perintah tersebut digantung sehingga bicara saman dalam kamar perintah 14 defendan yang telah difailkan dan/atau;
(c) bahawa semua prosiding perlaksanaan [sic] perintah tersebut digantung sehingga bicara tuntutan balas defendan dalam Guaman Sivil No: 22-9-90[sic] dan/atau;
(d) bahawa suatu perintah dikeluarkan oleh Mahkamah yang termulia menghalang plaintif-plaintif menjualkan memajakkan atau melupuskan dengan apa cara pun terhadap kedua-dua unit “plastic injunction [sic] moulding machines” bernombor ST 130 dan ST 250 dan 1 [sic] atau;
(e) bahawa plaintif-plaintif memberi defendan suatu guaranti dalam suatu amaun yang ditetapkan oleh Mahkamah yang termulia berkenaan dengan (d) di atas.
(f) bahawa kos dalam permohonan adalah kos dalam kausa;
Oleh sebab perakuan segera tidak difailkan bersama-sama permohonan ini, Penolong Kanan Pendaftar menetapkan (mengikut giliran biasa) permohonan ini untuk didengar pada 4 September 1991.
Pada 15 Mei 1991 plaintif-plaintif memohon dan Penolong Kanan Pendaftar mengeluarkan writ penghantar serahan spesifik (lampiran 23) mengarahkan belip menyita dan menghantar serah kepada plaintif mesin-mesin tersebut. Writ itu telah dilaksanakan pada 18 Julai 1991.
Sehari selepas writ itu dilaksanakan, iaitu pada 19 Julai 1991, defendan, melalui saman-dalam-kamar (lampiran 32) memohon perintah-perintah berikut:
(a) bahawa prosiding perlaksanaan [sic] perintah serah hantar spesifik yang dijalankan oleh pihak plaintif pada 18 Julai 1991 dibatalkan dan kedua-dua unit “plastic injection moulding machines” bernombor ST 130 dan ST 250 (selepas dari ini dipanggil mesin-mesin tersebut) dan lain-lain barangan yang disitakan oleh plaintif dari defendan atau diserah-hantar kepada plaintif oleh defendan [sic] diserahkan balik kepada premise plaintif dalam keadaan sebelum ia disitakan atau diserah-hantarkan dan atau;
(b) bahawa suatu perintah dikeluarkan oleh Mahkamah yang termulia menghalang plaintif-plaintif menjualkan memajakkan atau melupuskan dengan apa carapun terhadap mesin-mesin tersebut dan atau;
(c) bahawa plaintif-plaintif memberi defendan suatu guaranti dalam suatu amaun yang ditetapkan oleh Mahkamah yang termulia berkenaan dengan (b) di atas dan atau;
(d) bahawa plaintif-plaintif mendepositkan dalam mahkamh [sic] yang termulia suatu amaun yang ditetapkan oleh Mahkamah yang termulia berkenaan dengan (b) di atas;
(e) bahawa kos dalam permohonan adalah kos dalam kausa.
Permohonan ini disokong oleh afidavit pengarah syarikat defendan. Beliau mengatakan tindakan plaintif-plaintif melaksanakan perintah bertarikh 9 Januari 1991 itu adalah keterlaluan kerana plaintif-plaintif tahu bahawa defendan merayu tehadap perintah itu dan bahawa defendan telah membuat permohonan untuk menggantungkan pelaksanaan perintah itu(lampiran 26) yang belum didengar.
Perlu disebut di sini, apabila kedua-dua pihak hadir di hadapan saya pada 14 Ogos 1991, kedua pihak bersetuju bahawa oleh sebab pelaksanaan telah dijalankan, Lampiran 26 tidak perlu didengar lagi. Oleh sebab itu saya cuma mendengar Lampiran 32. Keputusan yang saya beri dan rayuan ini adalah berkenaan Lampiran 32 sahaja.
Peguam defendan menghujahkan bahawa oleh sebab writ itu dipohon dan dikeluarkan secara ex parte, ia boleh diketepikan. Beliau merujuk kepada saya peruntukan Aturan 46 Kaedah 3 untuk menunjukkan bahawa writ itu dipohon secara ex parte. Beliau juga merujukkan saya kepada kes United Malayan Banking Corp. lwn. Syarikat Perumahan Luas Sdn. Bhd. [1988] 2 CLJ(Rep) 522 [1988] 2 CLJ (Rep) 522 untuk menyokong hujahnya itu.
Beliau seterusnya menghujahkan bahawa semasa “memohon” writ itu, plaintif-plaintif tidak memaklumkan kepada Mahkamah (Penolong Kanan Pendaftar) bahawa terdapat permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan itu.
Nampaknya, apa yang cuba dihujahkan oleh beliau ialah, apabila seseorang itu membuat permohonan secara ex parte, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mendedahkan semua fakta yang relevan. Jika itu tidak dilakukan, maka defendan berhak membatalkan perintah itu.
Tetapi adalah jelas bahawa peguam defendan keliru dalam hal ini.
Pertama, Aturan 46 Kaedah 3 Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980 yang dirujukkannya itu adalah berkenaan permohonan kebenaran untuk mengeluarkan writ pelaksanaan di mana kebenaran itu perlu diperolehi sebelum writ itu boleh dikeluarkan. Dalam kes ini kebenaran tidak diperlukan, tidak dipohon dan tidak ada perintah ex parte memberinya. Apa yang dilakukan oleh peguam plaintif-plaintif ialah memfailkan writ penghantar serahan spesifik untuk dimeterai oleh Penolong Kanan Pendaftar di bawah Kaedah 4 Aturan itu.
Tindakan Penolong Kanan Pendaftar memeteraikan writ itu bukanlah satu perintah ex parte yang diberi atas permohonan plaintif-plaintif. Tindakan itu hanyalah satu tindakan pentadbiran sahaja. Jadi, prinsip yang dipakai mengenai pembatalan sesuatu perintah ex parte, terutama sekali berkenaan kegagalan mendedahkan semua fakta yang relevan, tidaklah berkenaan.
Kedua, permohonan defendan (Lampiran 32) itu ialah supaya “prosiding pelaksanaan perintah serah hantar spesifik yang dijalankan oleh pihak plaintif pada 18 Julai 1991 dibatalkan”.
Tegasnya, apa yang defendan pohon dibatalkan ialah pelaksanaan writ itu, bukan writ itu sendiri. Jadi hujah peguam defendan itu tidak mengenai sasaran.
Selanjutnya, peguam defendan cuba menghujahkan, berdasarkan afidavit pengarah syarikat defendan (Lampiran 25) bahawa defendan ialah tuanpunya mesin-mesin itu di sisi undang-undang.
Sebenarnya, perkara ini sepatutnya dibangkitkan semasa plaintif-plaintif memohon untuk mendapatkan perintah hantar serah dahulu. Saya telah memutuskan persoalan itu dengan membuat perintah bertarikh 9 Januari 1990 itu dan defendan telahpun merayu kepada Mahkamah Agung terhadap perintah itu.
Defendan tidak sepatutnya membangkitkan persoalan ini di dalam permohonan ini.
Memandangkan bahawa defendan tidak dapat memberi sebab-sebab yang munasabah mengapa pelaksanaan writ itu patut dibatalkan, memandangkan bahawa keesahan writ itu sendiri tidak dicabar dan memandangkan bahawa perintah bertarikh 9 Januari 1991 itu masih belum diketepikan (walaupun rayuan terhadapnya dibuat) saya menolak permohonan defendan untuk membatalkan permohonan writ penghantar serahan spesifik yang dilaksanakan pada 18 Julai 1991 itu dan permohonan perintah-perintah sampingan dengan kos.

75 visits