SUBRAMANIAM RAMAN lwn. MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI, MALAYSIA & YANG LAIN

SUBRAMANIAM RAMAN lwn. MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI, MALAYSIA & YANG LAIN
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMAD
PERMOHONAN JENAYAH NO. 44-36-91
11 JUN 1991
[1991] 2 CLJ Rep 174; [1991] 3 CLJ 1753
TAHANAN PENCEGAHAN: Perintah tahanan baru – Ditahan selama 13 bulan – Kajian semula – Sama ada sah – Tempoh masa untuk membuat kajian semula – Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1987, ss. 6(1), 11(1).

Dibawah perintah tahanan bertarikh 29 Mac 1989, pemohon telah ditahan di Pulau Jerejak mulai 30 Mac 1989. Pada 17 Februari 1990, perintah tahanan itu dibatalkan dan perintah tahanan baru dikeluarkan mengarahkan dia ditahan ditempat yang sama selama 13 bulan. Pada 15 Mac 1991 perintah tahanan tersebut itu dilanjutkan selama dua tahun lagi.
Pemohon berhujah bahawa kajian semula yang dibuat pada 6 November 1990 itu adalah berlawanan dengan s. 11(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1987 kerana tanpa perintah Menteri, kajian semula hanya boleh dibuat tidak lebih daripada 12 bulan dari tarikh perintah tahanan baru dan tidak lewat daripada tiga bulan sebelum tempoh tahanan itu tamat.
Diputuskan:
[1] Dalam kes ini, kajian semula yang lebih awal daripada 12 bulan itu tidak memudaratkan pemohon. Tetapi, peruntukan s. 11(1) adalah terlalu jelas untuk dipersoalkan maksudnya. Oleh sebab terdapat perlanggaran peruntukan s. 11(1) Akta tersebut, permohonan pemohon diluluskan.
[Nota Pengarang: Pihak respondan telah membuat rayuan kepada Mahkamah Agung pada 6 Jun 1991 vide M.A.R.J. No. 5-72-91]
Legislation referred to:
Dangerous Drugs (Special Preventive Measures) 1987, ss. 6(1), (3), 7, 9, 11(1), 11A(1)
Counsel:
Bagi pihak pemohon – V. Shanmugam; Shanmugam & Co.
Bagi pihak responden – Jalaldin Hussain, Peguam Kanan Persekutuan
PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamed PK:
Pemohon ditangkap pada 19 Januari 1989. Perintah tahanan di bawah s. 6(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1987 dikeluarkan pada 29 Mac 1989 mengarahkannya ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak Pulau Jerjak, Pulau Pinang mulai 30 Mac 1989. Pada 17 Februari 1990, perintah tahanan itu dibatalkan dan pada hari yang sama perintah tahanan baru dikeluarkan mengarahkan dia ditahan ditempat yang sama selama 13 bulan. Pada 15 Mac 1991 perintah tahanan baru itu dilanjutkan selama dua tahun lagi.
Hanya satu alasan dikemukakan, iaitu kajian semula yang dibuat pada 6 November 1990 (lebih kurang sembilan bulan daripada tarikh bermulanya penahanan dibawah perintah tahanan baru bertarikh 17 Februari 1990) itu adalah berlawanan dengan peruntukan s. 11(1) Akta itu. Seksyen itu memperuntukkan:
11. (1) Setiap perintah atau arahan yang dibuat atau diberikan oleh Menteri di bawah subs. (1) atau (3) s. 6, atau di bawah s. 7, atau di bawah subs. (1) s. 11A, hendaklah, selama ianya berkuatkuasa dan sama ada atau tidak representasi-representasi di bawah s. 9 telah dibuat, dikaji semula oleh suatu Lembaga Penasihat tidak lebih awal daripada dua belas bulan dari tarikh perintah atau arahan itu dan bagaimanapun juga tidak lewat daripada tiga bulan sebelum tempoh yang disebut dalam perintah atau arahan itu tamat tempoh:
Dengan syarat bahawa Menteri boleh, pada bila-bila masa sepanjang tempoh tahanan atau sekatan yang dikenakan oleh perintah atau arahan itu, mengarahkan Lembaga Penasihat supaya mengkaji semula kes itu.
Jadi keputusan kes ini adalah terletak kepada interpretasi s. 11(1) itu. Peguam pemohon menghujahkan bahawa tanpa perintah Menteri, kajian semula hanya boleh dibuat tidak lebih awal daripada 12 bulan dari tarikh perintah tahanan (baru) dibuat dan tidak lewat daripada tiga bulan sebelum tempoh tahanan itu tamat. Kajian semula dalam yang lebih awal daripada 12 bulan daripada tarikh perintah tahanan dibuat atau lewat daripada tiga bulan sebelum tempoh tahanan itu tamat hanya boleh dibuat dengan perintah Menteri. Dalam kes ini kajian semula dibuat lebih awal daripada 12 bulan dari tarikh perintah tahanan itu dibuat. Tidak ada perintah oleh Menteri mengarah Lembaga Penasihat supaya membuat kajian semula itu. Oleh itu kajian semula itu adalah tidak sah.
Encik Jalaldin, Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili responden-responden menghujahkan bahawa peruntukan s. 11(1) itu hanya terpakai dalam keadaan biasa di mana tempoh tahanan adalah selama dua tahun. Dalam keadaan seperti dalam kes ini dimana tempoh tahanan hanya 13 bu1an, di mana kajian semula semestinya kena dilakukan lebih awal dari 12 bulan dari tarikh perintah itu dibuat atau lewat daripada tiga bulan dari tarikh tempoh permohonan itu tamat, peruntukan seksyen itu tidak terpakai.
Saya akui, dalam kes ini, kajian semula yang lebih awal daripada 12 bulan itu tidak memudaratkan pemohon. Tetapi pada pandangan saya, peruntukan seksyen ini adalah terlalu jelas untuk dipersoalkan maksudnya. Selain dari itu, seksyen itu bukan menyebabkan kajian semula dalam keadaan kes ini tidak boleh dilakukan langsung, dan oleh itu boleh dihujahkan ia tidak boleh dipakai dan oleh sebab itu tidak terpakai. Kajian semula, dalam keadaan kes ini, boleh dilakukan. Cuma hendaklah dengan arahan Menteri.
Kita sedia maklum bahawa undang-undang penahanan pencegahan hendaklah diberi tafsiran yang ketat (strict). Sesuatu penahanan itu sah jika kehendak-kehendak undang-undang yang dibawah kuatkuasanya seseorang itu ditahan dipatuhi. Di dalam kes ini terdapat perlanggaran peruntukan s. 11(1) Akta berkenaan. Oleh itu permohonan ini diluluskan dan writ habeas corpus dikeluarkan.

56 visits