PENDAKWA RAYA lwn. CHUAH AUN PENG

PENDAKWA RAYA lwn. CHUAH AUN PENG
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMAD
PERBICARAAN JENAYAH NO. 47(58)-10-88
26 APRIL 1991
[1991] 2 CLJ Rep 65; [1991] 3 CLJ 2436

KETERANGAN: Sama ada diari balai boleh diterima sebagai keterangan.

PROSEDUR JENAYAH: Mengedar dadah berbahaya – Anggapan undang-undang – Sama ada ujian kuantitatif perlu – Akta Dadah Berbahaya 1952, s. 37(d), (da).

Tertuduh ditangkap pada 22 Februari 1986 semasa dia memunggah guni yang mengandungi candu di jeti kayu di tebing Kuala Sungai Pinang. Semasa tertuduh dibicarakan, tertuduh mengatakan beliau ada di tempat itu kerana bersiar-siar sahaja. Peguam tertuduh telah mencabar keterangan PW3 yang menangkap tertuduh dan memohon supaya Mahkamah mengarahkannya mengemukakan diari balai. Walau bagaimanapun, permohonan ini telah ditolak oleh Mahkamah.
Berdasarkan keterangan pendakwaan dan anggapan undang-undang di bawah s. 37(a) dan (da) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta tersebut), Mahkamah memanggil tertuduh membela diri. Dalam pembelaannya, tertuduh memberi cerita yang sama, iaitu bahawa beliau berada di tempat ditangkap itu kerana bersiar-siar.
Diputuskan:
[1] Kes Dato’ Mokhtar bin Hashim lwn. Public Prosecutor [1983] CLJ (Rep) 101 101 bukan autoriti bahawa diari balai adalah keterangan yang boleh diterima.
[2] Mahkamah tidak ragu-ragu tentang keterangan yang diberi oleh ahli kimia bahawa barang berkenaan adalah candu mentah, semuanya seberat 37.407 kilogram, dan oleh itu anggapan undang-undang di bawah s. 37(a) dan (da) Akta tersebutberbangkit.
[3] Mengenai isu berapa berat candu mentah itu, apa yang perlu dilakukan ialah menimbangnya. Satu ujian kuantitatif adalah tidak perlu, kerana candu mentah tidak sama dengan heroin atau morphine.
[4] Mahkamah juga tidak ragu-ragu terhadap kebenaran cerita saksi-saksi pendakwaan tentang apa yang sebenarnya berlaku pada malam berkenaan. Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah gagal menyangkal anggapan undang-undang dan oleh itu sabit kesalahannya.
[Nota Pengarang: Pihak tertuduh telah merayu ke Mahkamah Agung pada 8 Julai 1991 melalui MARJ No. 2-263-91.]
Case(s) referred to:
Dato’ Mokhtar bin Hashim lwn. Public Prosecutor [1983] CLJ (Rep) 101(dipertimbangkan)

Legislation referred to:
Dangerous Drugs Act 1952, ss. 37(a), (da),39B(1)(a)
Counsel:
Bagi pihak pendakwaan – Kok Keng Fai, Timbalan Pendakwa Raya
Bagi pihak tertuduh – R. Rajasingam, T/n. R. Rajasingam & Co.

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamed PK:
Tertuduh dituduh seperti berikut:
Bahawa kamu pada 23 Februari 1986, lebih kurang jam 12.30 pagi di tepi pantai Kuala Sungai Pinang, di Daerah Georgetown, di Negeri Pulau Pinang, telah mengedar dadah berbahaya, iaitu 37.407 kilogram candu mentah dan oleh itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah s. 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Semakan 1980)dan boleh dihukum di bawah s. 39B(2) Akta yang sama.
Mengikut keterangan bekas Kopral Othman bin Karto (PW3), pada 22 Februari 1986 jam lebih kurang 10.00 malam dia dan lima orang anggotanya keluar meronda mencegah jenayah. Lebih kurang pukul 12.10 pagi 23 Februari 1986 mereka pergi ke tebing Kuala Sungai Pinang untuk membuat serang hendap. Mereka berpecah kepada tiga kumpulan, setiap kumpulan dua orang. Pada jam lebih kurang 12.30 pagi PW3 nampak sebuah sampan yang didayung oleh seorang menghampiri tebing. Tiada sesiapa lain dalam sampan itu. Orang itu menambat sampan itu di jambatan kecil (sebenarnya jeti kayu) di tepi tebing. Orang itu membawa naik satu guni dan letakkan di atas darat, dekat jambatan itu. Dia turun semula ke sampan dan membawa naik satu guni lagi. Semasa dia hendak meletakkan guni kedua itu di tempat yang sama, PW3 menerkam dan menangkapnya. Dia adalah tertuduh.
Selepas tertuduh digari, D/Kpl. Abdul (PW4) memeriksa kedua-dua guni itu. Satu daripada guni-guni itu didapati mengandungi 15 bungkusan berbalut dengan plastik dan yang lagi satu berisi sembilan bungkusan yang serupa, semuanya disyaki berisi candu. PW3 menyerahkan barang-barang itu kepada Konst. Ismail, Konst. Fauzi dan Konst. Roslan (PW5). Dia bersama-sama PW4 dan Konst. Lokman balik ke pejabat. Mereka kemudiannya pergi semula ke tempat kejadian bersama-sama dengan Insp. Karim, Pegawai Penyiasat (PW7) dan jurugambar. Di tempat kejadian PW3 menyerahkan barang-barang itu dan tertuduh kepada PW7. Akhirnya mereka balik semula ke pejabat.
Keterangan PW3 ini disokong oleh keterangan PW4 dan PW5.
Peguam tertuduh dalam soal balasnya yang kadang-kadang agresif mencuba berbagai cara untuk menggugat kebolehpercayaan saksi-saksi pendakwaan terutama sekali berkenaan masa mereka sampai di tempat kejadian untuk membuat serang hendap, bila maklumat diterima, bahawa seorang perempuan datang ke tempat serang hendap itu dan anggota-anggota serang hendap itu menyuruhnya balik dan bahawa tertuduh cuma bersiar-siar di kawasan itu semasa dia ditangkap. Juga dibangkitkan hal laporan polis yang dibuat oleh PW3 mempunyai dua nombor iaitu ” 1230-1/86 “.
Walaupun ada kalanya PW3 nampaknya enggan menjawab soalan-soalan peguam itu dan saya terpaksa mengarahnya menjawab, pada keseluruhannya, saya tidak mempunyai sebarang keraguan tentang keterangan saksi-saksi pendakwaan dan saya terima keterangan mereka.
Semasa menyoal balas PW3, peguam tertuduh memohon Mahkamah mengarahkannya mengemukakan ” diari di balai ” yang menunjukkan waktu dia keluar meronda. Setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak, saya menolak permohonan itu kerana saya berpendapat, terserahlah kepada pendakwaan apa keterangan, lisan atau tulisan, yang hendak dikemukakannya, tertakluk kepada risiko yang mesti dihadapinya disebabkan oleh keengganan atau kegagalan itu. Pihak pembelaan berhak memanggil saksi-saksi, termasuk polis, untuk memberi apa-apa keterangan atau mengemukakan apa-apa dokumen, jika boleh diterima (if admissible ).
Selain daripada itu, kes Dato’ Mokhtar bin Hashim lwn. Public Prosecutor [1983] CLJ (Rep) 101 101, pada pandangan saya, bukanlah autoriti bahawa ” station diary ” adalah ” admissible “. Dalam kes itu diputuskan bahawa ” station diary ” menjadi ” admissible ” kerana ia mengandungi catitan silang kepada catitan yang terdapat dalam ” lock-up register ” yang ” admissible “. Oleh itu kedua-duanya hendaklah dibaca bersama. Ini jelas dinyatakan dalam penghakiman mahkamah persekutuan di mukasurat 110:
The lock-up register was clearly admissible under s. 35 of the Evidence Actas it was a journal within rule 34(2) of the Lock-up Rules 1953 and the lock-up register produced in this case had cross-references to entries in the station diaries; this correlation would therefore make all the relevant entries in the station diaries admissible as they would form part of the lock-up register and the two must therefore be read co-jointly.
Ini tidak bererti ” station diary ” sendirinya adalah ” admissible “.
Semua saksi-saksi pendakwaan cam barang-barang kes yang dikemukakan di Mahkamah. Rangkaian keterangan terpelihara dengan baik. Saya juga tidak ragu-ragu terhadap keterangan Ahli Kimia, Encik Ng Hock Seng (PW1) dan menerima keterangannya bahawa 24 bungkusan berkenaan berisi candu mentah ( ” raw opium ” ) yang kesemuanya seberat 37.407 kilogram. Oleh itu anggapan (d) dan (da) s. 37 Akta Dadah Berbahaya 1952berbangkit. Dengan itu pendakwaan berjaya membuktikan kes yang jika tidak disangkal membolehkan tertuduh disabitkan seperti pertuduhan. Saya memanggil tertuduh membela diri seperti pertuduhan.
Tertuduh memilih membela diri dengan memberi keterangan bersumpah.
Mengikutnya, pada malam berkenaan, selepas makan ” lepas pukul 10 malam “, dia keluar dari rumahnya untuk berjalan-jalan di luar. Semasa dia hendak patah balik, seorang mata-mata gelap memanggilnya. Mata-mata gelap itu bertanya di mana dia tinggal. Dia menjawab ” di sini sahaja “. Lepas itu mata-mata gelap itu menggari tangannya. Selepas itu dia dibawa ” ke tepi batu “. Mata-mata gelap itu bercakap dengan menggunakan walkie-talkie. Tidak lama kemudian 4-5 orang sampai. Mereka berbincang selama lebih kurang 20 minit. Selepas itu mereka ” turun ke mana ” dia tidak tahu dan ” bawa barang ke atas “. Tertuduh menambah ” Mereka turun ke sampan. Di sana ada banyak sampan. Yang mana saya tak tahu “.
Dia tidak tahu barang itu barang apa tetapi ” nampak bungkusan guni “. Mereka bertanya sama ada dia tahu barang itu barang apa. Mereka mengarahnya duduk di situ. Dia tidak tahu berapa lama tetapi lebih daripada satu jam. Kemudian van sampai dan dia dibawa ke balai polis.
Pihak pembelaan juga mengemukakan pernyataan beramaran tertuduh melalui DW2.
Kedua belah pihak membuat hujah masing-masing pada 20 Mac 1991, iaitu selepas saksi-saksi pembelaan memberi keterangan. Selepas mendengar hujah-hujah mereka saya menangguhkan kes itu kepada 23 Mac 1991 untuk memberi keputusan (21 dan 22 Mac telah dikhaskan untuk perbicaraan kes-kes lain). Pada 23 Mac 1991, hari yang ditetapkan untuk saya memberi keputusan, peguam tertuduh memohon untuk memanggil semula PW1 (Ahli Kimia). Walaupun dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, saya membenarkan permohonan itu. Pada 25 Mac 1991, PW1 dipanggil semula dan disoalbalas semula dengan panjang lebar.
Selepas itu peguam tertuduh memohon pula supaya PW1 mengemukakan ” work-sheet ” nya untuk membolehkannya menunjuk kepada saksi-saksi pakar ” sama ada di Kuala Lumpur atau Singapura ” untuk membuktikan bahawa analisa yang dibuat oleh PW1 itu tidak memadai dan tidak betul. Beliau juga memohon supaya kes ini ditangguh untuk membolehkannya memanggil saksi-saksi pakar yang beliau sendiri belum tahu siapa dan bila, jika boleh, mereka boleh hadir.
Saya menolak permohonan-permohonan ini. Permohonan-permohonan ini, di peringkat ini, adalah sangat tidak munasabah.
Seperti yang saya telah sebutkan, pada hari yang sepatutnya saya memberi keputusan saya, beliau memohon untuk memanggil semula PW1. Saya benarkan. (Sebelum itu, semasa masih dalam kes pendakwaan, beliau telah memohon untuk memanggil semula PW1. Saya telah benarkan juga.) Walaupun semasa membuat permohonan itu beliau berkata beliau cuma hendak bertanya satu soalan sahaja iaitu sama ada ahli kimia itu membuat ” quantitative test “, saya membenarkan beliau menyoal saksi itu dengan panjang lebar termasuk hal-hal yang tidak bersangkut dengan ” quantitative test “. Selepas itu beliau memohon penangguhan pula untuk memanggil saksi-saksi pakar yang beliau sendiri tidak tahu siapa, dari mana dan bila boleh hadir, jika boleh. Untuk membolehkan beliau mendapat ” pendapat pakar ” itu beliau memohon Mahkamah mengarahkan PW1 mengemukakan ” work-sheet ” nya. Saya berpendapat ini sudah keterlaluan. Apatah lagi, di akhir kes pendakwaan beliau memilih untuk tidak membuat sebarang hujah (submission), kerana, dalam perkataannya sendiri, itu adalah satu taktik untuk mengelak kemungkinan Timbalan Pendakwa Raya memohon untuk memanggil semula PW1 jika beliau membuat hujah di akhir kes pendakwaan!
Walaubagaimanapun, baiklah saya menimbang pembelaan tertuduh. Walaupun keterangan tertuduh, pada amnya menyerupai pernyataan beramarannya, saya dapati ceritanya itu tidak munasabah. Dalam perkataan lain, dia mengatakan dia dianiaya oleh anggota-anggota polis itu, tanpa sebarang sebab selain daripada kebetulan dia bersiar-siar di kawasan itu. Saya tidak dapat temui sebarang sebab yang munasabah yang memungkinkan alasan dan ceritanya itu. Pendek kata setelah memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada cerita tertuduh itu, saya tidak mempunyai sebarang keraguan terhadap kebenaran cerita saksi-saksi pendakwaan tentang apa yang sebenarnya berlaku pada malam itu.
Soalan seterusnya, adakah terdapat sebarang keraguan bahawa isi kandungan 24 bungkusan itu adalah candu mentah dan bahawa beratnya adalah seberat 37.407 kilogram?
PW1 adalah seorang ahli kimia yang berkelayakan dan mempunyai pengalaman sebagai ahli kimia kerajaan selama 12 tahun. Dalam kes ini beliau dipanggil memberi keterangan sebanyak tiga kali (dua kali atas permohonan peguam tertuduh) dan disoalbalas dengan panjang lebar. Saya tidak merasa ragu-ragu untuk menerima keterangannya bahawa bahan yang dianalisanya itu adalah candu mentah.
Pendapat itu adalah satu pendapat yang bersifat ” elementary ” dan mengenai ” identity ” bahan itu sahaja, bukan sesuatu yang rumit – lihat Munasamy lwn. Public Prosecutor. Malah peguam tertuduh sendiri tidak mempersoalkan bahawa bahan itu adalah candu mentah.
Apa yang ditekankannya ialah tentang beratnya. Beliau mempersoalkan sama ada PW1 membuat ” quantitative test ” atau tidak untuk mengetahui berat candu mentah yang sebenar. PW1 dengan tegas menjawab beliau tidak membuat ” quantitative test “, kerana bagi menentukan berat candu mentah ujian itu tidak perlu dilakukan. Yang perlu dilakukan hanya menimbangnya. Itu beliau lakukan dengan teliti. Beliau menjelaskan bahawa candu mentah bukanlah sama seperti heroin atau morphine. Ia mengandungi banyak bahan (substance). Adalah tidak perlu mengasingkan bahan-bahan itu, misalnya, berapa peratus morphine, codine dan lain-lain.
Dalam perkataan lain, 24 ketul yang dianalisanya adalah candu mentah. Untuk mengetahui beratnya, apa yang perlu dilakukan ialah menimbangnya. Memanglah candu mentah terdiri daripada bahan-bahan yang halus seperti morphine dan codine. Tetapi untuk mengetahui berat candu mentah ia tidak perlu dipecahkan kepada bahan-bahan halus itu dengan membuat ” quantitative test ” kerana yang hendak diketahui bukan berat morphine, codine dan lain-lain, tetapi berat candu mentah itu sendiri.
Kesimpulannya, setelah mendengar dan menimbang keterangan saksi-saksi pembelaan dan hujah-hujah bagi kedua-dua pihak, saya tidak mempunyai sebarang keraguan terhadap kes pendakwaan. Saya juga berpuashati bahawa pembelaan tidak berjaya menyangkal anggapan-anggapan yang berbangkit di atas imbangan kemungkinan. Oleh itu saya dapati tertuduh bersalah seperti pertuduhan, mensabitkannya dan menjatuhkan hukuman mati yang mandatori keatasnya.

75 visits