Lee Chan Tong LWN. Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Malaysia & Yang Lain

Lee Chan Tong LWN. Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Malaysia & Yang Lain
Mahkamah Tinggi Malaya, Pulau Pinang
ABDUL HAMID MOHAMAD
PERMOHONAN JENAYAH NO. 44-175-90
2 APRIL 1991
[1991] 1 CLJ Rep 661; [1991] 2 CLJ 1133

TAHANAN PENCEGAHAN: Perintah tahanan – Hak membuat representasi – Jumlah salinan Borang I – Hak perkhidmatan Peguam – Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969, s. 4(1) – Kaedah-kaedah Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah (Acara) 1972, k. 3(1) – Kaedah-kaedah Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) (Acara Lembaga Penasihat) 1987 – Kaedah-kaedah Keselamatan Dalam Negeri (Acara Lembaga Penasihat) 1972.

Pada 1 Oktober 1988, pemohon L telah ditahan di bawah perintah tahanan yang dikeluarkan di bawah s. 4(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 (Ordinan tersebut).
L berhujah bahawa tahanannya tidak mematuhi undang-undang kerana:
(a) ketidakpatuhan K. 3(1) Kaedah-Kaedah Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah (Acara) 1972 (Kaedah tersebut) kerana pegawai penjaga apabila ia membawa L ke tempat tahanan, tidak memberitahu L mengenai haknya untuk membuat representasi;
(b) hanya satu salinan Borang I yang diberi kepada L manakala K. 3(2) Kaedah tersebut menghendaki dua atau tiga salinan diberi kepada pemohon, mengikut keadaan dan;
(c) adalah menjadi tanggungjawab pegawai penjaga memberitahu L bahawa dia berhak mendapatkan perkhidmatan Peguam.
Afidavit H, penguasa kanan penjara, menyatakan bahawa beliau telah memberi tiga salinan Borang I kepada L. Walau bagaimanapun, tercatit di atas perintah tahanan bahawa pegawai polis T dan C telah menyampaikan satu salinan Borang I kepada L.
Diputuskan:
[1] Alasan (a) tidak berasas kerana terdapat dalam fail Mahkamah satu afidavit H yang difailkan pada 10 Januari 1991 dimana H mengatakan bahawa sebaik sahaja L tiba di pusat tahanan, H telah menerangkan kepada L haknya untuk membuat representasi kepada Lembaga Penasihat.
[2] Peruntukan Kaedah-kaedah Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) (Acara Lembaga Penasihat) 1987 dalam hal ini adalah seperti yang terdapat di dalam Kaedah-kaedah Keselamatan Dalam Negeri (Acara Lembaga Penasihat) 1972 yang menghendaki pegawai penjaga memberitahu hak representasi dan memberi Borang I itu kepada orang yang ditahan apabila orang tahanan itu dibawa ketempat tahanan. Adalah jelas bahawa pegawai penjaga telah melaksanakan tanggungjawabnya dan penyampaian satu salinan Borang I oleh T dan C tidaklah menjadi kesalahan.
[3] Dalam Kaedah berkenaan, tidak terdapat tanggungjawab untuk pegawai penjaga memberitahu pemohon mengenai perkhidmatan Peguam.
[Permohonan ditolak.]
Legislation referred to:
Public Order and Prevention of Crime (Procedure) Rules 1972, r. 3(1)
Emergency (Public Order and Prevention of Crime) Ordinance 1969, ss. 3(1), 4(1)
Counsel:
Bagi pihak pemohon – Karpal Singh; T/n. Karpal Singh & Co.
Bagi pihak responden – Noorbahri bin Baharuddin; T/n. Peguam Persekutuan

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamed PK:
Pemohon ditangkap pada 5 Ogos 1988 di bawah s. 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969. Pada 1 Oktober 1988 Timbalan Menteri Dalam Negeri mengeluarkan perintah tahanan di bawah s. 4(1) Ordinan itu mengarahkan pemohon ditahan selama dua tahun di Pusat Pemulihan Akhlak Jerjak atau di mana-mana tempat lain sebagaimana yang diarahkan olehnya dari semasa ke semasa.
Alasan pertama yang dibangkitkan oleh Encik Karpal Singh, peguam pemohon, ialah kehendak K. 3(1) Kaedah-kaedah Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah (Acara) 1972 telah tidak dipatuhi.
Kaedah itu menghendaki apabila seseorang dibawa ke tempat tahanan, adalah menjadi tugas Pegawai Penjaga (Officer in Charge) untuk memaklumkan kepadanya haknya untuk membuat representasi.
Encik Karpal Singh menghujahkan bahawa tiada apa-apa bukti yang menunjukkan pegawai penjaga telah berbuat demikian.
Sebenarnya hujah ini timbul daripada salah faham bahawa tiada apa-apa afidavit difailkan berkenaan perkara ini. Sebenarnya dalam fail Mahkamah terdapat satu afidavit En. Hassanudin bin Harun, Penguasa Kanan Penjara, Pusat Pemulihan Akhlak, Pulau Jerjak yang difailkan pada 10 Januari 1991 – Lampiran 4. Dalam perenggan 4 afidavitnya, jelas beliau mengatakan bahawa sebaik sahaja pemohon tiba di pusat itu beliau telah menerangkan haknya untuk membuat representasi kepada Lembaga Penasihat. Oleh itu alasan pertama itu tidak berasas sama sekali.
Alasan kedua ialah hanya satu salinan Borang I diberi kepada pemohon manakala Kaedah 3(2) menghendaki pegawai penjaga memberi dua salinan, atau jika dia hendak mengambil seorang peguambela untuk mewakilinya, tiga salinan.
Dengan penuh hormat alasan ini juga timbul daripada salah faham yang sama. Afidavit En. Hassanudin itu, di perenggan 4 juga (Lampiran 4) dengan jelas menyatakan bahawa beliau memberi tiga salinan borang tersebut kepada pemohon.
Memanglah mengikut apa yang tercatit di mukasurat 2 perintah tahanan (MJMA 1, Lampiran 6), Insp. Tai Cheng Boon dan Insp. Chandra Segaran K. telah menyampaikan “satu salinan Borang I” kepada pemohon.
Perlu diambil perhatian bahawa terdapat perbezaan dalam kaedah ini dengan kaedah-kaedah lain dalam hal yang sama.
Kaedah 3 Kaedah-kaedah Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah (Acara) 1972 menghendaki pegawai penjaga memberitahu hak membuat representasi dan memberi Borang I itu kepadanya apabila orang tahanan itu dibawa ke tempat tahanan.
Kaedah-kaedah Keselamatan Dalam Negeri (Acara Lembaga Penasihat) 1972 menghendaki pegawai polis melakukan tugas tersebut semasa menyampaikan perintah tahanan itu kepada orang tahanan.
Peruntukan Kaedah-kaedah Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) (Acara Lembaga Penasihat) 1987 dalam hal ini adalah seperti yang terdapat dalam Kaedah-kaedah Keselamatan Dalam Negeri (Acara Lembaga Penasihat) 1972.
Mungkin peruntukan-peruntukan yang berbeza berkenaan hal yang sama dalam kaedah-kaedah itu yang mengelirukan pegawai-pegawai polis dalam kes ini dan menyebabkan mereka menyampaikan salinan perintah tahanan itu kepada pemohon. Pada hal tugas itu adalah tugas pegawai penjaga.
Jadi, apa yang penting ialah sama ada pegawai penjaga melaksanakan tanggungjawab itu atau tidak. Adalah jelas tugas itu telah dilaksanakannya. Bahawa pegawai-pegawai polis juga telah menyampaikan satu salinan Borang I itu tidaklah menjadi satu “kesalahan”. Oleh itu, dalam penghakiman saya, alasan ini juga tidak berjaya.
Walau bagaimanapun saya ingin menarik perhatian pihak-pihak berkenaan supaya mengkaji dan menimbang kemungkinan menyelaraskan peruntukan-peruntukan yang berlainan dalam hal yang sama seperti yang telah saya sebutkan itu supaya kekeliruan dan kesilapan dalam mematuhi kehendak undang-undang itu dapat dielakkan dengan mudah.
Ketiga, Encik Karpal Singh menghujahkan bahawa adalah menjadi tanggungjawab pegawai penjaga memberitahu pemohon bahawa dia berhak mendapatkan perkhidmatan Peguam. Jawapan ringkas kepada hujah itu ialah tidak terdapat tanggungjawab seperti itu di atas pegawai penjaga dalam kaedah-kaedah berkenaan.

49 visits