Koh San Yeon LWN. Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Malaysia & Yang Lain

Koh San Yeon LWN. Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Malaysia & Yang Lain
Mahkamah Tinggi Malaya, Pulau Pinang
ABDUL HAMID MOHAMAD
PERMOHONAN JENAYAH NO. 44-166-90
6 APRIL 1991
[1991] 1 CLJ Rep 646; [1991] 2 CLJ 1130
TAHANAN PENCEGAHAN: Perintah tahanan – Keesahan – Penangkapan atas arahan pegawai – Penyebutan seksyen yang salah dalam laporan polis – Penggunaan “segera” – Hanya satu salinan diberi kepada pemohon – Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969, ss. 3(1), 4(1), 7(2) – Kaedah-Kaedah Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah (Acara) 1972, s. 3(2).

Pemohon K telah ditangkap di bawah s. 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 (Ordinan tersebut) oleh D dan telah diarahkan untuk ditahan di bawah perintah tahanan di Pulau Jerjak. K telah menghujah bahawa penahanannya tidak sah kerana:
(a) penangkapannya oleh D menyalahi s. 3(1) Ordinan tersebut kerana D sendiri tidak mempunyai sebab untuk menangkap K kerana D hanya menangkap atas arahan pegawai atasannya – kalaupun D mempunyai sebab-sebab untuk menangkap K, sebab-sebab itu adalah salah kerana dalam laporan polisnya, D merujuk kepada s. 3(1) pada hal seksyen yang berkenaan ialah s. 4(1);
(b) peruntukan s. 7(2) tidak dipatuhi kerana afidavit Setiausaha Lembaga Penasihat telah menggunakan perkataan “seterusnya” dan bukan “segera” dan;
(c) undang-undang tidak dipatuhi kerana hanya satu salinan Borang 1 yang telah disampaikan kepada K manakala K. 3(2) Kaedah-Kaedah Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah (Acara) 1972 (Acara tersebut) menghendaki dua atau tiga salinan diberikan.
Diputuskan:
[1] (a) Tidaklah menjadi satu “kesalahan” atau “kecacatan” jika suatu penangkapan itu dibuat oleh seorang pegawai polis; malah itulah caranya sistem kepolisian atau pentadbiran berjalan;
(b) walaupun D, dalam laporan polisnya, telah menyebut s. 3(1), memandangkan kepada perkataan-perkataan yang digunakan olehnya dalam laporan itu adalah jelas maksudnya ialah s. 4(1) – penggunaan perkataan-perkataan ini pun adalah memadai kerana kuasa menahan di bawah Ordinan tersebut hanya terdapat dalam s. 4(1).
[2] Perkataan “seterusnya” dan “segera” memberi makna yang hampir sama jika tidak pun sama.
[3] Walaupun pemberian satu salinan Borang 1 itu tidak mematuhi dengan sepenuhnya s. 3(2), ketidakpatuhan itu tidaklah menyebabkan prasangka kepada hak atau kepentingan K atau dengan apa cara jua merugikannya – apatah lagi dalam kes ini, K telah menulis surat kepada Lembaga Penasihat bahawa dia tidak mahu membuat apa-apa representasi kepada Lembaga itu.
[Permohonan K ditolak.]

Case(s) referred to:
Re Ong Yew Teck [1960] 1 LNS 114

Legislation referred to:
Public Order and Prevention of Crime (Procedure) Rules 1972, r. 3(2)
Emergency (Public Order and Prevention of Crime) Ordinance 1969, ss. 3(1), 4(1)
Counsel:
Bagi pihak pemohon – Tan Hock Chuan; T/n. Syarikat Kam Won Wah
Bagi pihak responden – Noorbahri bin Baharuddin; T/n. Peguam Persekutuan

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamed PK:
Pada 16 Disember 1988 Det. Konstabel Foo Chai Tat telah menangkap pemohon di bawah s. 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969. Pada 24 Disember 1988, Menteri Dalam Negeri mengeluarkan perintah tahanan di bawah s. 4(1) Ordinan itu mengarahkannya ditahan selama dua tahun di Pusat Pemulihan Akhlak Pulau Jerjak.
Alasan pertama yang dikemukakan bagi permohonan ini ialah penangkapan yang dibuat oleh Det. Konstabel Foo Chai Tat itu menyalahi undang-undang kerana beliau sendiri tidak mempunyai sebab untuk menangkap. Beliau cuma menangkap atas arahan Insp. Tai Cheng Boon – perenggan 3, Lampiran 10.
Dalam hal ini perlulah diambil perhatian peruntukan s. 3(1) Ordinan itu:
3(1)Any police officer may without warrant arrest and detain pending enquiries any person in respect of whom he has reason to believe that there are grounds which would justify his detention order under s. 4(1).
Encik Tan Hock Chuan, Peguam pemohon menghujahkan bahawa seksyen itu menghendaki pegawai yang menangkap itu sendiri mempunyai sebab-sebab untuk mempercayai bahawa terdapat alasan-alasan yang mematutkan penahanannya di bawah s. 4(1). Oleh sebab Det. Konstabel Foo cuma menangkap atas arahan pegawai atasannya, penangkapan itu adalah berlawanan dengan kehendak s. 3(1), hujah beliau.
Sebenarnya persoalan yang sama telah pun diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Singapura tiga puluh tahun dahulu dalam kes Re Ong Yew Teck [1960] 1 LNS 114. Dalam kes itu penangkapan dibuat oleh seorang kopral detektif atas arahan pegawai kanannya. Chua J memutuskan, antara lain, bahawa kopral detektif itu hanyalah alat pegawai kanan itu dan penangkapan itu adalah mengikut undang-undang. Saya bersetuju dengan pendapat itu. Dalam perkataan lain, tidaklah menjadi satu “kesalahan” atau “kecacatan” jika sesuatu penangkapan itu dibuat oleh seorang pegawai polis atas arahan pegawai atasannya. Malah, itulah caranya sistem kepolisian atau pentadbiran berjalan.
Tetapi, dalam kes ini, Det. Konstabel Foo Chai Tat membuat laporan polis pada hari yang sama – Ekshibit FCT 1, Lampiran 10. Laporan itu menyebut:
Pada jam 1455 hrs, 16 Disember 1988 bersama D.59136 dan W/DPC 67141 tangkap satu lelaki Cina di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur kerana ada sebab-sebab yang menasabah untuk ditahan di bawah s. 3(1) E.O. 5/69. Semasa tangkapan dibuat, saya juga terangkan sebab-sebab mengapa beliau ditangkap. Lelaki Cina itu didapati nama:
Koh San Yeon KP: 6835547
Encik Tan menghujahkan kalau pun Det. Konstabel Foo mempunyai sebab-sebab untuk menangkap, sebab-sebab itu adalah salah kerana dalam laporannya dia merujuk kepada s. 3(1), pada hal seksyen yang berkenaan ialah s. 4(1).
Dalam hal ini perlulah diambil perhatian bahawa kuasa menangkap diberi oleh s. 3(1). Cuma alasannya ialah alasan yang mematutkan tahanan di bawah s. 4(1). Rujukan kepada s. 4(1) disebut dengan nyata dalam s. 3(1). Kita tidak boleh mengharapkan seorang Det Konstabel sama arifnya dengan seorang Peguam. Bagi saya, walau pun beliau menyebut s. 3(1), memandangkan kepada perkataan-perkataan yang digunakan olehnya dalam laporan itu iaitu “ada sebab-sebab yang menasabah untuk ditahan di bawah E.O. 5/69” adalah jelas maksudnya ialah s. 4(1). Malah dalam penghakiman saya, jika beliau cuma mengatakan “ada sebab-sebab yang menasabah untuk ditahan di bawah E.O. 5/69” pun adalah memadai kerana kuasa menahan di bawah Ordinan itu hanya terdapat dalam s. 4(1).
Oleh itu dalam penghakiman saya, alasan ini gagal. Alasan kedua ialah peruntukan s. 7(2) tidak dipatuhi. Subseksyen itu menghendaki Lembaga Penasihat apabila selesai menjalankan ulangkaji, “segera” menyampaikan kepada Menteri satu laporan bertulis.
Dalam afidavitnya (Lampiran 16) Setiausaha Lembaga Penasihat mengatakan, di perenggan 6:
Pada 7 November 1990, Lembaga Penasihat telah bersidang untuk mengkaji semula perintah tahanan terhadap pemohon menurut seksyen 7(1) dan (2) Ordinan dan seterusnya telah mengemukakan suatu laporan bertulis mengenai kajian semula kepada Menteri.
Encik Tan menghujahkan bahawa “seterusnya” bukanlah “segera”.
Dalam penghakiman saya perkataan “seterusnya” dan “segera” memberi makna yang hampir sama jika tidak pun sama.
Perhatian patut juga diambil terhadap penggunaan perkataan “terus” (kata akar “seterusnya”) di Utara Semenanjung Malaysia, termasuk Pulau Pinang, di mana Setiausaha Lembaga Penasihat itu tinggal. Perkataan “terus”, antara lain bererti “serta-merta”, seperti dalam ayat:
Apabila bubur itu dimasak dia terus makan.
Di sini, “dia terus makan” bererti dia makan dengan serta-merta, iaitu lebih cepat daripada “segera”.
Dalam penghakiman saya, alasan ini tidak berasas.
Alasan yang ketiga ialah berkenaan bilangan salinan Borang 1 yang disampaikan kepada pemohon. Dalam kes ini cuma satu salinan disampaikan kepada pemohon, manakala K. 3(2), Kaedah-K. Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah (Acara) 1972, menghendaki dua atau tiga salinan, mengikut keadaan, diberikan.
Telah banyak keputusan yang diberi oleh Hakim-hakim Mahkamah Tinggi berkenaan isu ini, dan pendapat mereka berbelah bagi. Saya sendiri berpendapat, walau pun dengan memberi satu salinan itu peruntukan K. 3(2) itu tidaklah boleh dikatakan telah dipatuhi sepenuhnya, tetapi ketidakpatuhan itu tidaklah menyebabkan prasangka kepada hak atau kepentingan pemohon atau dengan apa cara jua pun merugikannya. Oleh itu pada pendapat saya, ketidakpatuhan itu tidaklah menjadikan penahanan pemohon berlawanan dengan undang-undang dan justeru itu tidak sah. Apatah lagi dalam kes ini pemohon sendiri menulis surat kepada Lembaga Penasihat bahawa beliau tidak mahu membuat apa-apa representasi kepada Lembaga itu.
Saya sedar bahawa penahanan pencegahan adalah penahanan tanpa perbicaraan, bahawa ia adalah satu perlanggaran terhadap kebebasan seseorang, bahawa Mahkamah hendaklah memastikan bahawa kehendak-kehendak undang-undang dipatuhi dengan ketat. Namun begitu saya tidak fikir Mahkamah harus bertukar menjadi komputer yang akan terus “menolak” jika satu nombor pengenalan disalah tekan. Mahkamah sepatutnya mengekalkan budibicaranya untuk menimbang dan memutuskan, seperti dalam kes ini, sama ada terdapat ketidakpatuhan peruntukan undang-undang, dan di mana terdapat ketidakpatuhan itu, sama ada ia membawa apa-apa akibat buruk terhadap pemohon dan sama ada akibat itu cukup serius sehingga ia menyebabkan ketidakadilan kepada pemohon. Penyerahan satu salinan borang itu (dan tidak 2 atau 3 salinan), walau pun satu ketidakpatuhan undang-undang, bukanlah satu kegagalan yang membawa apa-apa akibat buruk terhadap pemohon dan menyebabkan ketidakadilan kepadanya.
Oleh itu, dalam penghakiman saya, permohonan ini, atas alasan yang terakhir ini juga gagal.

61 visits